Rahsia Dalam Rahsia

“Bukankah saya kata jangan ‘on’ kan telefon bimbit dalam kelas! Mengapa kamu degil! Keluar sekarang!” Jerkah seorang pensyarah bagai halilintar apabila ‘pantang larang’ utamanya dalam kelas dicabar oleh seorang pelajar yang duduk di tepi tingkap setelah pelajar itu kelihatan sedang menatap skrin telefon bimbitnya dengan amat leka ketika waktu pengajaran.
Dalam satu situasi lain,

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ni, ana tengok anta selalu datang lambat ke program usrah atau daurah (seminar), apakah anta tak tahu bahawa nilai masa bagi seorang mu’min adalah lebih mahal dari intan permata?” Nasihat seorang naqib kepada Aiman, anak usrahnya yang sering lambat hadir ke program-program tarbiah sejak akhir-akhir ini.

Aiman hanya tunduk sambil termenung jauh.

Dalam satu lagi situasi,

“#$%^&* punya perempuan, kalau aku jumpa dia, aku akan belasah cukup-cukup!” Komen Husni setelah melihat video seorang wanita memukul anaknya yang masih kecil dengan bantal dan beberapa objek lain bertubi-tubi tanpa belas kasihan.

Apakah persamaan antara 3 kisah di atas? Apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan?


Cuba berfikir sejenak, anjak paradigma dan cuba lihat 3 situasi di atas dari perspektif yang lebih luas.

Sebelum itu mari kita telusuri kisah kisah kembara Nabi Musa bersama Nabi Khidir yang dirakamkan Allah dalam surah Al Kahfi bermula ayat 65 – 82.

Kisah musafir Nabi Musa dan Nabi Khidir menempuh beberapa peristiwa yang menimbulkan tanda tanya Nabi Musa walaupun asalnya beliau tidak diizinkan untuk bertanya.

Pada zahirnya, tindakan Nabi Khidir merosakkan perahu yang menumpangkan mereka berdua, membunuh seorang anak tanpa sebarang sebab zahir yang jelas dan membaiki tembok di sebuah kampung yang penghuninya enggan membantu musafir mereka berdua mungkin kelihatan tidak tabi’i dan bertentangan dengan logik akal pemikiran manusia.

Namun, setelah mendapat penjelasan tentang hakikat sebenar di sebalik setiap tindakan, akhirnya Nabi Musa akur bahawa di sana ada rahsia-rahsia langit yang tidak diketahuinya.

Benar, itu mungkin kisah para anbiya’ yang padanya ada banyak pengajaran agung. Tapi satu perkara yang boleh kita ambil pengajaran dan mengaitkannya dalam konteks situasi di atas adalah di sebalik sesuatu peristiwa atau kejadian, ada rahsia tersirat yang kita tidak mengetahuinya kecuali selepas kita mengetahui  kisah sebenar di sebaliknya.

Sebab itu kita jangan terlalu pantas menghukum tanpa menyelidik dan mengetahui sedalam-dalamnya tentang hakikat sesuatu peristiwa yang berlaku.

Selidiklah dahulu sebelum pantas membuat kesimpulan atau mengeluarkan kenyataan.

Jangan jadi orang yang terburu-buru dan gopoh apatah lagi jika dari kalangan para pendakwah.

Hassan Hudhaibi mengatakan “KITA ADALAH PENYERU, BUKAN PENGHUKUM”

Stephen Covey mengatakan ‘SEEK FIRST TO UNDERSTAND’,

Sekarang mari kita lihat semula 3 situasi di atas dari sisi yang lain,

Pelajar yang dihalau keluar oleh pensyarah itu sebenarnya sedang melihat teks berita kematian ayahnya yang dihantar oleh abangnya. 

Sejak dari pagi dia menunggu berita dari keluarganya di kampung yang jauh tentang ayahnya yang menjalani pembedahan. Dia tidak mampu pulang kerana tidak berwang, dengan langkah yang berat, pelajar itu melangkah juga ke kelas sambil tidak lepas dari telefon bimbit kerana menanti nanti berita dari keluarga di kampung.

Bayangkan perasaannya ketika disergah dan dihalau keluar dari kelas sejurus selepas menerima berita kematian ayahnya?

Benar, mungkin pelajar itu juga bersalah kerana tidak awal-awal memberitahu pensyarah tersebut, namun dengan keserabutan perasaannya, mungkin dia terlupa dan apa salahnya jika sebelum menyergah, pensyarah itu bertanya dahulu tentang apa yang berlaku.

Ini adalah kisah benar.

Dalam situasi kedua pula, Aiman sebenarnya sedang menguruskan isteri dan anaknya yang sedang sakit sambil sedang bertarung dengan pengajiannya yang amat mencabar. Seringkali Aiman terlambat untuk hadir ke program kerana menguruskan keperluan makanan, pakaian dan macam-macam lagi buat anak dan isterinya kerana tiada keluarga dan orang lain yang datang membantu. 

Dia tidak menceritakannya lagi kepada sesiapa kerana tidak ingin menyusahkan orang lain, juga kerana tidak ada sesiapa yang hadir bertanya tentang kesusahan yang dialaminya.

Bila dimuhasabah tentang nilai masa oleh naqibnya, batinnya menjerit ingin memberitahu, namun sifatnya yang tidak suka mengadu menyebabkan dia hanya memendam perasaan itu di lubuk hatinya yang paling dalam.

Mungkin salah Aiman juga kerana tidak memberitahu kepada sesiapa, namun mungkin lebih baik sebelum memberi muhasabah, naqib itu bertanya dan menyelidik dulu mengapa Aiman yang sebelum ini terkenal dengan displinnya tiba-tiba hadir lambat ke banyak program.

Dalam video itu pula, apa yang dipaparkan adalah seorang wanita yang memukul-mukul anaknya dengan amat menakutkan hingga menitiskan air mata ramai orang dan tidak kurang yang panas hati mencaci maki.

Namun apa pandangan kita jika diberitahu yang wanita itu sedang mengalami ‘Post Natal Depression’ iaitu kemurungan yang amat buruk akibat tidak dipedulikan oleh suami dan keluarga sendiri selepas bersalin dan lebih malang, wanita muda itu juga mengalami zaman kecil yang buruk akibat diseksa oleh ibunya.

Pengalaman-pengalaman buruk yang dilalui dan kemurungan yang sedang dihadapi menyebabkan emosi dan jiwanya terganggu. Dengan bahasa yang mudah, wanita itu sedang sakit, sakit jiwa.

Ada wanita yang pernah membunuh anaknya sendiri akibat mengalami sakit jiwa ini. Tidak ada yang mampu memahami melainkan yang pernah mengalami atau yang sedikit peduli untuk mengambil tahu tentangnya.

Nah, jika anda mengetahui sisi pandang ini, saya pasti, kita semua akan merubah perspektif dan cara kita memberi komentar terhadap ketiga-tiga situasi di atas.

Dalam era kepantasan dan lambakan maklumat hari ini, kita perlu lebih cermat dan teliti dalam memandang kepada sesuatu. Jangan hanya menghukum berdasarkan zahir yang terlihat, tapi ambil masa untuk berfikir dan menyelidik, kebenaran itu mungkin berada pada lapisan pandangan yang tersembunyi.

Sebelum anda ‘share’ sesuatu video, memberi kutukan rapat kepada seseorang, menuduh dan apatah lagi menghukum secara pukul rata, adalah lebih baik jika kita ambil masa untuk menyelidik dan cuba untuk mencari sudut pandang berbeza.

Jika tidak ada masa dan tidak ingin membuang masa, mungkin lebih baik kita tinggalkan sahaja. Bukan kerana tidak peduli, tapi agar kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang gopoh dan akhirnya kelihatan bodoh.

Diam dan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat itu adalah jauh lebih baik bagi orang beriman.

“Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.” (HR Tirmidzi dan Nasa’i)

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam” (HR Bukhari dan Muslim)

Kerja yang kita ada jauh lebih banyak dari masa. Sibukkan diri dengan amal, bukan dengan kata-kata sia-sia yang hanya akan membawa kita terjerumus dalam gaung neraka.

"Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

3 comments:

  1. Assalamualaikum

    Sejujurnya saya tidak melihat langsung video popular itu kerana jika saya melihat nanti percuma sahaja saya dapat dosa sebab akan wajiblah saya mengutuk, memaki hamun dan seangkatannya walhal di sebalik video itu hanya Allah yg tahu.

    Saya suka artikel ini.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikumm...


    oooo.. mcm tu ke cerita dia.. sbb member ada gak bgtahu pasal budak yg kena pukul dgn mak dia tu.. tak sggp nak tgk , sbb dengar ceriat jer dah 'menyeramkan'.. cuma, mungkin kat sini saya boleh buat justification tntg org yg tangkap video tersebut..

    btw, this is all about the third part of your story( video budak kena belasah dgn mak dia), saya tak rasa dia ada reason yg solid untuk perbuatan na. adakah dia nak malukan perempuan tu, or nak amik video yg boleh bg kesedaran kpd org lain.. or, perhaps, dia juga sakit?? sbb, kalau tak salah saya, (menurut cerita yg saya dengarlah) , dia just cakap "sudahlah, kau nak belasah smpi budak tu mati ke".. tu je..?? kenapa, die tak ambil budak tu dr mak dia? dan kenapa, dia sampai hati untuk biarkan budak sekecil itu dipukul sebegitu rupa..? malah, sempat ambil video lagi?? ya allah..

    pertanyan saya mungkin berdasarkan apa yg saya dengar dari luaran sahaja.. tapi, apa2 pun, bg saya, any justification can't be made for that ridiculous-but-yet-too-a-stupid-action..

    p/s=sekadar pendapat dari seorg insan.btw, saya pun suka artikel ni.. (:

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam,

      Saya pastekan satu komen dari rakan fb saya yang mengenali wanita tersebut, boleh nilai, Wallahua'lam,
      -----------------------------------------------------------------------
      "Ramai yang mengutuk perlakuan seorang ibu mendera anaknya. Tak kurang juga yang mengutuk dan mencaci org yang merakam video tersebut. Mereka-mereka ini hanya tahu menuduh tanpa bertanya dan menyiasat apa yg berlaku disebalik cerita tersebut.

      Tahukah anda orang yang merakam video tersebut adalah seorang ibu tunggal pada ketika itu dan mempunyai lima orang anak? Tahukah anda sebelum video ini dirakam budak kecil tersebut telah beberapa kali diperlakukan sebegitu oleh ibunya? Dan tahukah anda bahawa orang yang merakam video tersebut telah banyak kali menghalang perlakuan gila si ibu tersebut sehingga dia sendiri dipukul?

      Orang yang anda maki itulah juga yang membuat laporan polis dan merakam video tersebut sebagai bahan bukti agar si ibu berhati binatang ini tidak terlepas daripada hukuman. Orang yang anda caci ini jugalah yang membela dan menjaga anak kecil ini selama sebulan lebih selepas ibunya ditahan polis.

      Tetapi tanpa disangka-sangka pada hari ini, orang yang berhati mulia ini telah dicaci, dikutuk dan dimaki sehingga maruahnya jatuh seteruk-teruknya. Segala jasanya menyelamatkan anak kecil ini telah dihina oleh mereka-mereka yang hanya tahu menuduh tanpa menyiasat terlebih dahulu. Anda pasti setuju bahawa mereka-mereka ini sebenarnya telah berdosa terhadap orang yang berhati mulia ini.

      Tidak mengapa..mereka-mereka ini tidak perlu meminta maaf. Cukuplah sekadar mereka-mereka ini dan juga anda mendoakan orang yang berhati mulia ini agar diberi kesihatan, dimurahkan rezeki dan hidup bahagia bersama keluarga di bawah rahmatNya...amin.."

      Delete