AKU INGIN BERUBAH, TAPI BAGAIMANA?

“Entahlah Abang Sham, saya ni dah lama ikut usrah, tapi tak rasa ada peningkatan pun pada diri, masih lagi tak mampu nak tinggal lagu-lagu lagha, masih suka tengok ‘movie’ lama-lama, layan bola tengah-tengah malam buta, masih lagi suka ‘outing’ dan ‘chatting’ dengan budak perempuan, kadang-kadang, saya rasa saya ni hipokrit, tapi entahlah, saya tak tahu bagaimana nak berubah.” Luah Zairul dengan wajah penuh kesal.

Saya mendengar dan cuba menganalisa, tidak ingin cepat memberi nasihat dan cadangan, cuba untuk meletakkan diri di dalam kasutnya.

“Mutabaah amal saya cuba ‘maintain’, Quran saya baca, Solat Jemaah saya cuba untuk tak miss, tapi tak tahulah, kemanisan beribadah tu saya tak dapat rasa, hipokritkah saya ni Abang Sham?” Zairul menambah.

Saya terdiam dan memandang wajahnya mencari makna. Tampak ada keikhlasan di wajahnya untuk berubah, tapi ada sesuatu yang menghalangnya dari terbang tinggi.

Selepas lama Zairul mendiamkan diri dan melihat wajahnya yang memberi isyarat untuk saya memberi respon, barulah saya memulakan kata-kata.


“Alhamdulillah, pertamanya Abang Sham nak ucap tahniah pada Zairul kerana semangat nak berubah masih ada. Ini satu perkara yang amat baik dan tanda iman masih hidup dan sensitif. Ada manusia yang hidup dalam kemaksiatan, tapi tidak pernah ada rasa sesal dan lebih malang, merasakan yang mereka berada di jalan yang lurus.”

“Apa yang Zairul hadapi adalah pertembungan biasa antara kehendak nafsu dan tarikan keimanan, biasalah, ada masanya kita tewas, ada masanya kita menang, dan jangan kita lupa, syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan kita sampailah kita akan bersama-sama dengan dia dibakar di dalam neraka nanti.”

“Cumanya Zairul, perubahan yang membawa kepada ketinggian jiwa dan kemanisan dalam beribadah ni, dia mahal sikit harganya, dan memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tak akan dapat rasa kemanisan dalam beribadah, tanpa pengorbanan, kita tak akan dapat berhijrah dari tabiat-tabiat lama kita. Hijrah, kata kuncinya adalah pengorbanan.”

“Kalau nak berubah, kena ada tolakan dalaman yang kuat, datangkanlah naqib dan ahli usrah sehebat mana sekalipun, dengarlah ceramah atau taujihat yang basah lencun setiap minggu tapi kalau tolakan dalaman kita lemah, kita tetap akan kekal di takuk lama.”

“Begini Zairul, seperti mana syaitan menyesatkan kita bertahap-tahap, kita juga perlu bertahap-tahap, perlu ada keazaman, perlu ada perancangan dan strategi yang jelas untuk berhijrah dan berubah.”

“Tentukan matlamat yang jelas, apa tabiat buruk yang kita nak cuba buang? Kenapa kita nak buang tabiat buruk tersebut? Bagaimana kita nak buang dan bila kita nak buang tabiat tersebut sepenuhnya?”

“Sebagai contoh, katalah nak buang tabiat dengar lagu lagha. Kita kena tahu bahawa lagu lagha cintan cintun tak kiralah rentak apa sekalipun yang dinyanyikan oleh perempuan terutamanya akan membuatkan banyak titik hitam melekat dalam hati kita. Apatah lagi kalau penyanyinya seksi meksi yang membuatkan mata kita pula berdosa bila tengok video klipnya. Lama-lama, titik-titik hitam ini akan membuatkan kita hilang sensitiviti, bak kata orang, hati jadi gelap, hati yang gelap, cahaya tak akan masuk dalam hatinya.”

“Selepas itu, gariskan langkah, macamana nak buang tabiat dengar lagu lagha ni, memang dia tak mudah, tapi kita kena buat juga sebab tak nak hati kita terus kekal gelap.”

“Contohnya, minta sahabat kita yang dipercayai simpan semua cd-cd lagu lagha yang Zairul ada di tempat yang tersembunyi, kemudian di dalam kereta, sediakan cd lagu nasyid, zikir dan Al Quran sebagai alternatif. Layan lagu Maher Zain pun best juga sekali sekala.”

“Cuba ‘puasa’ telinga dari lagu lagha selama tiga hari sebagai contoh. Kalau tak tahan sangat, minta satu cd untuk di dengari hanya selama sejam, lepas tu minta kawan tu simpankan balik. Kemudian cuba tahan seminggu pulak.”

“Akhir sekali, cuba tahan selama 40 hari, kalau Zairul boleh ‘puasakan’ telinga tu selama 40 hari, insya-Allah boleh tinggal terus tabiat dengar lagu lagha tu.”

“Kemudian, Zairul kena banyak bersama dengan orang soleh, dan kena sentiasa usaha untuk berada dalam suasana yang soleh seperti di dalam usrah, bersama dengan rakan-rakan yang selalu berzikir dan membaca Al Quran. Kalau Zairul tahu yang Zairul tak akan boleh kawal diri ketika berseorangan, cuba elakkan berseorangan, kalau nak berseorangan juga, haa, pergi iktikaf di masjid, kat masjid takkan nak layan lagha juga dak, mesti ada segan sikit kan bila berada di rumah Allah.”

“Zairul tahu apa yang terbaik untuk diri Zairul, cuba bawa bincang dengan naqib dan minta dia pantau juga. Zairul pun kena proaktif juga, jangan kalau naqib tak ‘initiate’, Zairul pun buat tak tahu dan ‘end up’ nanti salahkan semua orang bila Zairul gagal berubah.”

“Tarbiah ni Zairul, bukan pergi balik usrah, pergi balik qiam, pergi balik daurah dan pergi balik mukhayyam sahaja, tapi tarbiah ini adalah apa yang membuatkan kita berubah, menjadikan kita Muslim yang lebih baik, lebih berilmu, lebih soleh dan lebih mampu untuk mengislahkan orang lain.”

Saya mengakhiri butir bicara dan membiarkan Zairul melayani perasaannya. Dia tunduk. Entah apa yang bermain di fikirannya. Moga-moga Allah akan melimpahkannya kekuatan untuk dia berubah menjadi manusia yang lebih baik, bukan sahaja baik, tapi mampu juga untuk memperbaiki orang lain.

Perubahan diri ke arah kebaikan adalah natijah utama daripada melalui jalan tarbiah dan ia bukan satu perkara yang mudah kerana tarikan keimanan dan tarikan syaitan sentiasa berada di dalam pertarungan yang hebat. Pertarungan ini adalah pertarungan yang telah dijanjikan oleh Allah sejak manusia pertama dicipta, iaitu setelah Iblis bersumpah untuk menyesatkan setiap anak Adam dan mengheretnya ke neraka.

Untuk berubah ke arah kebaikan, tidak cukup dengan semangat kerana semangat akan pudar dengan berlalunya masa, perubahan perlu pada perancangan, strategi yang bertahap dan implementasi yang bersungguh-sungguh. Segala wasilah dalam jalan tarbiah seperti usrah, daurah dan mukhayyam perlu dilalui dengan penuh faham dan ikhlas kerana Allah untuk mencapai perubahan diri ke arah kebaikan, bukan sekadar rutin yang akan menyebabkan kita akhirnya akan merasa jemu.


Akhir sekali, apa yang penting dalam setiap proses perubahan ke arah kebaikan adalah kita berdoa agar di akhir kehidupan kita nanti Allah akan memperkenankan kita untuk kembali kepadanya dalam keadaan dia redha kepada kita. Kita hanya akan dikira berjaya bila Allah redha dan sebelah kaki kita telah mencecah syurga. 

Mudah-mudahan kita semua akan berjaya.

No comments:

Post a Comment