HARAPKAN ‘PAGAR’, ‘PAGAR’ MAKAN PADI

Harapkan ‘pagar’, ‘pagar’ makan padi adalah satu peribahasa melayu yang biasa saya dengar sejak zaman sekolah. Bahkan hingga hari ini pun ia masih popular. Namun apa yang saya tidak tahu adalah apa yang saya tahu tentang peribahasa ini selama lebih dari 20 tahun, rupanya adalah salah.

Sebenarnya bukan pagar, tapi pegar, sejenis burung yang biasa ditugaskan untuk menjaga sawah padi dari ancaman serangga dan haiwan perosak lain. Maksud sebenar peribahasa ini adalah, burung Pegar yang diharapkan untuk menjaga padi, akhirnya khianat dengan menjadikan padi sebagai habuannya sendiri.

20 tahun saya tenggelam dalam kefahaman yang salah. Tidak mengapalah kerana ia hanya peribahasa, tapi bagaimana dengan perihal agama kita?

Apakah kita telah memeriksa setiap amalan yang kita percaya dan laksanakan selama ini? Apakah ianya benar-benar berlandaskan ilmu? ataupun ikut-ikutan sejak zaman sekolah yang kita tidak pernah kisah untuk menyemaknya kembali?

Jika hanya peribahasa, mungkin tidak akan ada kesan kepada nasib kita di akhirat, tapi bila melibatkan urusan agama, kehidupan kita yang abadi di akhirat yang sedang kita pertaruhkan.


Jika kita sanggup meluangkan banyak masa dan wang untuk meningkatkan ilmu dalam kerjaya bagi membolehkan kita mendapat kedudukan yang lebih baik dalam kerjaya, kita mesti ada usaha yang sama untuk meningkatkan kefahaman kita dalam agama. Ilmu asas agama untuk kehidupan bukan milik ustaz dan wajib dikuasai oleh mereka sahaja, tapi ia adalah tuntutan yang fardhu pada setiap Muslim yang mukallaf.

Amat malang jika penyelidikan atau eksperimen yang kita lakukan adalah menggunakan teknik-teknik terkini yang kita kuasai setiap inci, tapi dalam solat, kita hanya melakukannya berdasarkan ilmu yang kita pelajari di sekolah rendah.

Amat menyedihkan jika berpuluh tahun kita solat, namun tidak pernah ada usaha untuk mengetahui dalil-dalil setiap perbuatan, bacaan dan masalah-masalah dalam solat, tidak cuba untuk menghafaz doa-doa yang ma’thur dan meningkatkan kualiti ibadah yang paling penting ini ke tahap yang sesuai dengan usia kita.

Itu baru berkenaan dengan solat, bagaimana dengan ibadah khusus dan urusan-urusan kehidupan kita yang lain?

Persoalan yang perlu kita tanya dengan jujur pada diri dan jawablah seikhlas mungkin. Di akhirat nanti, kita tidak akan mampu lagi untuk beralasan ketika hisab, apatah lagi beralasan dengan kesibukan kerjaya dan anak-anak.

Moga Allah memberi kita petunjuk dan mengurniakan kita hidayah di sepanjang jalan kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment