INSYIRAH BAKAL DAPAT ADIK?

Alhamdulillah, tsumma Alhamdulillah.

Tidak ada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, segala puji untuk dia yang telah mengurniakan kepada kami anugerah anak-anak yang cukup menyejukkan mata.

Teringat ketika baru berkahwin dulu, kami menanti lebih 6 bulan sebelum berita gembira itu hadir, dan penantian selama 6 bulan itu dirasakan terlalu lama hingga kami ke klinik kesuburan berjumpa Dr Murizah untuk membuat pemeriksaan.

Tika menanti berita gembira yang kedua, hampir 4 tahun kami menunggu, resah gelisah dibuatnya. Humaira' sering bertanya bilakah masanya dia akan punya teman bermain dan bergembira bersama. Kami sering tidak ada jawapan kepada soalan cepu emasnya.

Pertemuan demi pertemuan, usaha, demi usaha, pelbagai kaedah dan ubat yang diambil dan doa demi doa kami lafazkan hingga beberapa hari sebelum kami menjalani prosedur IVF, berita gembira itu hadir. Memang terasa satu keajaiban dan keberkatan doa Ramadhan yang sebelumnya.

Berita gembira yang ketiga hadir ketika kami di Australia, tidaklah terlalu lama menunggu masa, dan ia hadir tepat pada masanya, walaupun serasa saya, inilah proses kehamilan yang paling mencabar, tapi kemanisannya tetap luar biasa.

Berita gembira yang keempat hadir tanpa disangka-sangka, Insyirah juga baru mencecah setahun 6 bulan dan masih menyusu. Ubat kawalan telah diambil dan kami juga tidak merancang untuk mendapatkan khabar dalam tempoh terdekat. Memang mengejutkan, tapi ia tetap satu kegembiraan kerana Humaira', Khadijah dan Insyirah bakal beroleh seorang lagi saudara yang akan keluar 8 bulan lagi.

Syukur padamu Ya Allah, moga dipermudahkan proses kelahiran kali ini dan harap-harapnya, kali ini anak lelaki pula yang akan keluar. Inshaallah.

1 comment: