Fatimah Insyirah, Setahun Berlalu


Beberapa detik selepas lahir
Sedar tak sedar, telah setahun Fatimah Insyirah dilahirkan. Terasa seperti baru semalam saya memasak ikan bilis hangit ketika isteri saya dilanda alahan yang menyebabkannya langsung tidak boleh ke dapur.


Saat saya menanti di dewan pembedahan Women’s and Children Hospital dengan penuh sabar, mendengar tangisannya buat kali pertama dan melihatnya berlumuran darah diangkat keluar dari rahim ibunya juga terasa seperti amat baru berlalu.

Hari ini, genap usianya setahun, Insyirah telah berjalan dengan pantas ke sana dan ke mari. Wajahnya sentiasa riang bila ada yang mengagah dan mengajak bermain. Mulutnya juga boleh tahan. Seolah tidak sabar mahu berbual. Tidak ubah seperti kakaknya yang sulung.

Masa memang berjalan dengan amat pantas. Segala-galanya terasa baru berlalu. Sedar-sedar nanti, terjaga di alam barzakh dan kemudiannya berpindah pula ke alam akhirat yang kekal abadi.

Melihat perkembangan anak-anak, saya tidak pernah gagal untuk merasa takjub. Melihat bagaimana dia mula meniarap, kemudian menjulur, merangkak, berpaut perlahan dan seterusnya berjalan, terasa betapa besar kuasa Allah yang menjaganya selama ini.

Insyirah di Brisbane ketika salah satu dari misi dakwah di sana

Insyirah bersama Atuk ketika pulang ke Malaysia Julai 2012

Insyirah dan Pillow Pet yang paling digemarinya

Meniarap di atas rumput di ladang ceri

Bersama Kakak Khadijah yang setia menemani setiap hari
Insyirah di Melbourne Museum menyaksikan pameran serangga
Moga membesar menjadi anak yang solehah
Semoga Insyirah akan terus membesar di bawah naungan rahmat dan perlindungan Allah. Perjalanan kehidupannya selepas ini adalah lebih mencabar. Kami perlu mendidiknya dengan tauhid, keimanan dan perjuangan, agar dia membesar sebagai seorang muslimah solehah yang bermanfaat untuk ummah.

Sesuai dengan namanya, moga Insyirah nanti akan menjadi muslimah yang sentiasa lapang dadanya dengan cahaya Al Quran dan Sunnah, lapang kehidupannya di bawah perlindungan Allah, dan menjadi penyejuk mata buat ayah dan ibunya seumpama Fatimah Binti Rasulullah.

Teruslah membesar anakku Fatimah Insyirah, moga Al Quran akan menjadi panduan kehidupanmu.

1 comment:

  1. done follow sini.. jom follow n singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

    klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete