Cinta kepada baginda bukan sekadar menulis status 'Salam Maulid Nabi' di wall facebook, berselawat, bernasyid dan berzanji pada hari-hari tertentu dalam bulan Rabi'ul Awwal semata-mata.
Cinta kepada baginda juga bukan sekadar berarak dan berselawat dengan pakaian dan sepanduk yang berwarna warni pada 9 Rabi'ul Awwal.
Jadi apa sebenarnya makna cinta kepada baginda?
Cinta kepada baginda bukanlah cinta buta. Sekadar lafaz kosong tiada makna.
Tapi cinta kepada baginda itu adalah cinta yang hidup, penuh dengan hakikat dan tanggungjawab.
Kita dituntut untuk mengenali keperibadian agung baginda bukan sekadar untuk tahu dan merasa kagum dengannya.
Kita dituntut untuk mengenali keindahan akhlaq baginda bukan sekadar untuk menjadi orang baik yang menuruti sunnah-sunnah tertentu sahaja.
Tapi kita dituntut untuk cinta kepada baginda kerana ia adalah sebahagian dari keimanan. Tidak akan lengkap iman kita selagi kita tidak punya cinta yang mendalam kepada baginda.
Keimanan ini harus diterjemahkan kepada perjuangan. Perjuangan untuk memartabatkan Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara hingga Islam itu menjadi rahmat kepada sekalian alam.
Lihatlah para sahabat, kecintaan mereka kepada susuk tubuh yang agung itu bukan cinta palsu, tapi cinta yang mendorong mereka untuk hidup dalam perjuangan, bertebaran di serata pelusuk bumi, menurun lurah dan lembah buat menyampaikan Islam kepada manusia seluruhnya.
Dari 10000 orang para sahabat, hanya sebahagian kecil yang di maqamkan di Baqi', yang lainnya bertebaran bagai bintang menyampaikan cahaya Islam agar ia menjadi petunjuk buat manusia untuk mengenal kebenaran.
Itulah cinta yang sebenar. Tidak ada makna cinta tanpa tanggungjawab dan pengorbanan.
Kerana cinta pada Rasulullah itu adalah sebuah perjuangan.
Mencintai Rasulullah itu adalah sebahagian dari keimanan.
Allahumma Salli 'Ala Muhammad, Ya Rabbi Salli 'Ala Muhammad.
No comments:
Post a Comment