Usaha Dulu Baru Tawakkal

Tawakkal kita kepada Allah di jalan raya tidak cukup dengan membaca doa naik kenderaan dan berzikir di dalam kereta sebelum memulakan perjalanan.

Tidak juga cukup dengan menampal pelekat-pelekat doa, memasang cd ayat-ayat Al Quran atau zikir-zikir yang ma’thur di sepanjang perjalanan.

Tidak juga cukup dengan berulang-ulang membaca kalimah

“Hasbunallah wa ni’mal wakil” atau "Bismillah tawakkal alallah"

Sedangkan tali pinggang keledar tidak dipakai, tayar hadapan dan belakang tiada lagi bunga hingga menyebabkan kenderaan mudah hilang kawalan. Kereta juga dipandu bagaikan pelesit, mencelah di sana sini seperti aksi filem Fast and Furious.

Tawakkal bukan begitu.


Tawakkal mesti disertai dengan usaha dan ikhtiar.

Tali pinggang keledar mesti dipakai bukan sahaja oleh pemandu kereta, tetapi juga penumpang di sebelah dan penumpang di belakang. Terutamanya jika yang berada di belakang adalah anak-anak.

Keadaan kereta juga mesti diperiksa dengan baik.

Bunga tayar, minyak brek, minyak enjin, lampu signal, lampu hadapan dan belakang dan semua komponen kenderaan yang berpotensi untuk menyebabkan kemalangan jika berlaku kerosakan mesti dipastikan dalam keadaan baik dan sempurna.

Had laju dan peraturan-peraturan jalan raya mesti sedaya upaya dipatuhi. Corak pemanduan juga harus berhemah dan cermat.

Bukan sedikit berita kemalangan jalan raya yang meyayat hati dipaparkan di dada-dada akhbar berlaku akibat kecuaian pemandu.

Memandu laju.

Mengantuk ketika memandu.

Memotong di selekoh atau garisan berkembar hingga bertembung dengan kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Anak-anak yang duduk di belakang tercampak keluar dari kereta akibat tidak memakai tali pinggang keledar hingga menyebabkan kematian yang meyayat hati.

Tidak memakai topi keledar dan jika memakainya tidak mengikatnya dengan sempurna.

Risiko semua ini boleh dikurangkan jika kita mengamalkan tawakkal yang benar.

Iaitu selepas berikhtiar dengan segala upaya, kita meletakkan Allah sebagai pelindung dan wakil kita. Lihat hadis ini.

Dari Anas bin Malik ra, ada seseorang berkata kepada Rasulullah SAW. ‘Wahai Rasulullah SAW, aku ikat kendaraanku lalu aku bertawakal, atau aku lepas ia dan aku bertawakal?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Ikatlah kendaraanmu lalu bertawakallah.” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah menyuruh agar sahabat itu mengikat kenderaannya, baru menyerahkan tawakkalnya kepada Allah.

Bukan bertawakkal kemudian terus membiarkan nasib kenderaannya kepada Allah.

Sebenarnya, Allah mampu untuk menjaga kita,

Namun sunnatullah untuk manusia bukan begitu mekanismanya.

Allah mahu agar kita berusaha.

Kerana Allah ingin menguji dan menilai, siapa antara kita yang lebih baik amal usahanya.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (67:2)

Islam bukan agama yang ajaib dan akan berfungsi dengan cara-cara yang ajaib.

Islam bukan agama ‘karamah’ buta.

Lihat bagaimana Rasulullah berusaha dan berikhtiar untuk berhijrah, sedangkan baginda adalah hambanya yang paling mulia.

Jika setelah kita berikhtiar dengan segala upaya dan masih berlaku kemalangan, maka terimalah ia sebagai taqdir dan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah.

Ketika itu seorang mu’min hendaklah bersabar seperti yang disabdakan oleh baginda dalam hadis berikut:

“Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu’min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya.” (HR. Muslim)

Begitu juga dengan tawakkal kita dalam pengajian.

Tidak cukup dengan solat tahajjud.

Tidak cukup dengan doa-doa yang diamalkan setiap hari.

Tidak juga cukup dengan makan kismis minda dan tujuh biji kurma setiap hari.

Tapi harus disertai dengan usaha yang jitu, teknik yang terbaru dan kesungguhan yang padu.

Itu baru tawakkal yang sebenar.

Tawakkal yang dimulakan dengan azam dan tekad yang membara.

Diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Tawakkal beginilah yang dicintai oleh Allah.

Bukan tawakkal kosong tanpa usaha.

Hanya mengharap bulan jatuh ke riba.

Jangan salahkan Allah jika kita memilih untuk tidak berusaha.

Jangan salahkan taqdir jika berlaku kemalangan akibat kecuaian kita.

Kerana orang yang tidak berusaha, kegagalan pasti akan menjadi miliknya.

Kerana orang yang cuai, musibah pasti akan sentiasa mengintai dirinya.

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (3:159)”

Peringatan buat diriku yang sering lupa :(

No comments:

Post a Comment