Asyik balik kampung je!

Ketika ini rata-rata pelajar-pelajar IPT seluruh Malaysia pastinya sedang menumpukan perhatian terhadap peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kebanyakan kuliah telah tamat minggu lepas, Cuma mungkin ada beberapa tugasan dan projek yang perlu dihantar dalam minggu persediaan ini, itupun tidak banyak.

Tidak terkecuali di UUM, suasana di kawasan akademik yang dahulunya meriah, kini agak sunyi, hanya kelihatan kelibat beberapa orang sahaja yang sedang mengulangkaji ataupun bersama laptopnya mendengar lagu-lagu sambil melayan aplikasi facebook.

Ramai juga pelajar yang memilih untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, walaupun selepas peperiksaan akhir akan ada lagi cuti panjang. Ini adalah suatu budaya yang tidak sihat. Kesempatan minggu persediaan tidak harus dibazirkan dengan pulang ke rumah masing-masing. Lebih malang lagi, seminggu sebelum kuliah tamat, ada yang telah tidak hadir kerana awal-awal lagi telah pulang ke kampung.

Sebaiknya masa tersebut harus digunakan untuk melakukan diskusi sesama rakan sekuliah, merujuk buku-buku dan menggunakan kemudahan di perpustakaan UUM yang canggih itu, berbincang dengan pensyarah tentang topik-topik yang masih belum dikuasai dengan baik, cuba sukan-sukan baru seperti berenang, memanah, wall climbing, go-kart jika ada masa terluang selepas penat mengulangkaji malahan pelbagai lagi alternatif aktiviti yang boleh dilakukan jika pelajar tidak pulang ke kampung.

Bukanlah dikatakan pulang ke kampung itu tidak baik, memang bagus menziarahi dan menggembirakan hati kedua orang tua, tetapi optimakanlah masa yang singkat di kampus untuk menambah ilmu dan menggunakan segala kemudahan universiti untuk meningkatkan kualiti diri dan menambah pengalaman. Lagipula selepas peperiksaan akan balik ke kampung semula, tidakkah hanya membazir wang tiket bas sahaja.

Pulang ke kampung pastinya akan melibatkan masa perjalanan, paling kurang 10 jam telah dibazirkan di atas bas ketika perjalanan pergi dan balik. Begitu juga jika suasana rumah yang terdapat pelbagai godaan-godaan seperti Astro atau televisyen, katil yang enak, suasana yang terlalu santai hingga lebih banyak rehat atau sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain berbanding ulangkaji.

Berada di rumah juga, pastinya akan menghadapi masalah jika ada topik yang tidak difahami, akhirnya perbincangan tidak dapat dilakukan. Jika di kampus mungkin boleh buat temujanji dengan pensyarah atau bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif.

Mungkin ada yang merasakan bahawa dia lebih tenang dan selesa belajar dirumah, tapi hakikatnya suasana kampus walaupun tidak seselesa seperti di rumah, ada kelebihannya yang tersendiri seperti yang saya nyatakan tadi.

Apakah terlalu banyak cuti bagi pelajar-pelajar IPT di Malaysia? cuti mid sem, cuti raya, cuti kelepasan am, cuti minggu persediaan dan cuti isytihar sendiri. Setiap kali cuti walaupun singkat, pastinya berbondong-bondonglah pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing, walaupun tidak semua, tapi boleh dikatakan sebahagian besar akan “hilang” dari kampus.

Mari kita sama-sama fikirkan...

4 comments:

  1. Betul..betul..betul..
    saya mmg setuju..kadang2, dorg x sedar, dgn kepulangan mereka ke kg, byk tugasan y tertangguh hingga menyusahkan teman2 seperjuangan y lain..siapa x rindukan keluarga, tp ada masanya, kite perlu memanfaatkan masa y terhad dgn sesuatu y berfaedah..hasilnya, pasti mmp mbuatkan kluarga kita turut tersenyum...

    ReplyDelete
  2. Masa duduk UUM dulu balik kampung setahun sekali je.. jauh sangat

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete