"Segala perkara yang telah Allah tetapkan, pasti akan ada rahsianya yang tersembunyi. Apatah lagi buat kita yang menjadi barisan hadapan dalam berhadapan dengan musuh Allah zaman ini."
"Kemenangan pasti akan tiba tidak lama lagi, jika tidak di sana, pasti kita akan bergembira di syurga nanti, jangan pernah jemu belajar, jangan mengeluh dengan sedikit kesukaran yang kita hadapi kerana kita adalah umat yang paling mulia kerana kita berjihad di jalan Allah."
Muallimah Husna mengakhiri ayatnya dalam kelas Aqidah petang itu dengan penuh semangat.
Semua pelajar kelihatan menumpukan sepenuh perhatian walaupun suasana agak panas.
Tiada kipas buat menyejukkan hawa, hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang setia menemani segala lamunan dan perasaan yang dialami.
"Ada soalan?"
Tanya Muallimah Husna kepada pelajar-pelajar yang disayanginya.
Khadijah memandang wajah Muallimah Husna dan kemudian tunduk sambil menatap buku teks lusuh yang telah diulang pakai generasi demi generasi.
"Tuntas, tiada soalan, segalanya sempurna hari ini," bisik Khadijah di dalam hati sambil menutup bukunya.
Buku usang itu ditatap lama, pandangannya kemudian dialihkan ke luar, kelihatan sebuah masjid yang uzur dengan dindingnya yang berlubang-lubang akibat kesan tembakan peluru Zionis.
"Biarlah buku usang ini nanti menjadi saksi di hadapan Allah akan azam dan cita-cita kami yang tidak pernah padam untuk membebaskan bumi al Aqsa." Bisiknya lagi di dalam hati.
Khadijah tenggelam seketika dalam lamunan, teringat pesan ayahnya yang telah gugur syahid tidak lama dulu dalam satu operasi di sempadan.
Menurut khabar, ayahnya syahid bersama tiga rakannya yang lain akibat ditembak peluru berpandu dari pesawat tanpa juruterbang tentera Israel ketika sedang mengawal sebuah kampung di sempadan berhampiran Sderot.
“Khadijah, belajarlah bersungguh-sungguh, Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman akan menjadi saksi akan kesungguhan dan tawakkal kita. Dengan iman, dengan ilmu, bahkan dengan darah kita akan bebaskan tanahair kita,” Khadijah seakan tergambar wajah ayahnya yang lembut sedang berkata-kata dengan nada tegas sambil mengenggam penumbuk keras.
Sejak kecil, kalimah itulah yang sering diulang-ulang oleh ayahnya kepada dirinya. Sinar mata ayahnya melambangkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah semakin hampir.
“Khadijah, darah ibu dan adik akan kita tuntut bela, keadilan Allah pasti akan tiba, terus berkorban dan berjihad, masanya pasti akan tiba” kata-kata keramat dari ayahnya sentiasa membakar semangat Khadijah, masih basah kenangan pedih melihat ibu dan adiknya Insyirah yang baru berusia 7 bulan terkorban dalam tragedi pengeboman pasar Gaza oleh tentera Israel tidak lama dulu.
Tangisan ayah dan tubuh ibu dan adiknya yang hancur masih jelas terbayang di hadapan mata.
Mengingat kenangan itu, Khadijah mengenggamkan tangan mengingat janji dirinya kepada Allah untuk mencari pembelaan dan keadilan buat keluarganya yang telah terkorban syahid.
“Khadijah, segalanya baik?” Tanpa disedari Khadijah, Muallimah Husna dan seisi kelas sedang memandangnya.
“Insyaallah, baik semuanya” jawab Khadijah dengan penuh adab walaupun sedikit malu.
Muallimah Husna adalah susuk yang amat dihormati oleh Khadijah dan semua pelajar Sekolah Anak Yatim Nursyifa.
Beliau dihormati bukan hanya kerana sifat keibuannya yang penyayang dan pengorbanannya yang tinggi, namun juga atas kesungguhannya dalam mendidik dan menanamkan semangat jihad kepada anak-anak yatim ini.
Beliau mendidik dengan qudwah dan kasih sayang. Tidak pernah walau sekali, anak-anak yatim itu dikasari dan diherdiknya. Bagi beliau, sekolah ini adalah segala-gala bagi dirinya.
Sejak kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam penyembelihan di kem Jenin yang telah berlaku lebih 10 tahun lalu, Muallimah Husna mewaqafkan seluruh hidupnya kini untuk mendidik bagi membina kembali kekuatan jati diri dan kemuliaan anak-anak yatim Gaza agar mereka membesar menjadi muslim pejuang.
"Baik, kita tangguhkan kelas hari ini dengan ...... "
Sebelum sempat Muallimah Husna menghabiskan ayatnya, kedengaran bunyi yang amat menggerunkankan.
“Khadijah, itu bunyi Apache kan?” Humaira, sahabat karib dan teman sepermainan Khadijah yang duduk di sebelah mejanya bertanya dengan perasaan takut.
Khadijah tidak menjawab, wajahnya kelihatan amat bimbang, dan perasaan itu juga jelas kelihatan di wajah Muallimah Husna.
Dalam suasana begini, apa jua perkara boleh berlaku. Paling ditakutinya adalah apabila peluru perpandu dari helikopter Apache dilancarkan ke bangunan sekolah yang usang kerana dikatakan markas tentera Al Qassam berlindung.
Muallimah Husna, tidak bimbangkan dirinya kerana beliau memang bercita-cita untuk gugur sebagai syuhada, tetapi beliau bimbang nasib 40 anak-anak muridnya.
Bunyi itu semakin hampir, suasana di dalam kelas bertukar kelam kabut. Ada yang menangis dan tidak kurang ramai yang bertakbir.
“Anak-anak, cepat masuk ke bawah meja!” Muallimah Husna menjerit, wajahnya juga kelihatan cemas.
Hanya itu ikhtiar yang sempat difikirkannya buat masa ini.
Khadijah dan Humaira beserta pelajar lain cepat-cepat menyusup ke bawah meja, namun ada beberapa pelajar lelaki yang meluru ke tingkap dengan wajah yang menyinga sambil tangan mereka menggengam serpihan batu daripada pecahan dinding bilik darjah.
Batu-batu itu dilontarkan ke arah Apache yang kian mengampiri.
Satu letusan kuat kedengaran
------------------------------------------------------------------------------
Khadijah membuka matanya perlahan-lahan, suasana sunyi sepi, esak tangis juga telah terhenti, suara takbir telah tiada, Muallimah Husna juga tidak kelihatan di mana-mana, hanya kelihatan debu-debu dan runtuhan yang amat dahsyat.
Walaupun ketakutan, Khadijah memberanikan diri untuk bangun dari celah puing runtuhan.
Syukur, hanya sedikit luka kecil. Allah masih memanjangkan usianya.
Khadijah melihat kiri kanan, suasana sungguh mengerikan, ada rakannya yang telah terkulai, ada yang hilang kaki dan tangan, ada yang darah memenuhi wajah dan seluruh tubuh. Darah merah pekat mengalir memenuhi lantai.
Dia tergamam.
Khadijah menoleh noleh mencari Muallimah Husna, kelihatan jasadnya terbujur kaku di celah-celah runtuhan di hadapan kelas, Khadijah terdengkot dengkot berlari kepadanya, dan kemudian cuba menggerak-gerakkan tubuhnya, namun tiada respon.
Muallimah Husna telah mencapai cita-citanya yang tertinggi.
Khadijah menangis di sisi tubuh Muallimah Husna yang kaku, darah merah mengalir hangat tanpa henti dari tubuhnya.
Dalam kegetiran itu, mula kedengaran esak tangis perlahan-lahan dari pelajar yang masih bernyawa.
Khadijah teringatkan rakan karibnya di sebelah meja, Humaira. “Ya Allah, selamatkanlah Humaira”, doanya di dalam hati.
Khadijah sekali lagi berlari dalam suasana samar-samar, esak tangis semakin kuat kedengaran, tidak pasti dari siapa dan dari arah mana, kelihatan beberapa rakan sekelasnya telah mula bangkit, masing-masing ketakutan dan keliru.
Khadijah terkejut melihat Humaira yang telah terbujur kaku, seketul batu besar menghempap kepalanya.
“Humaira, Humairaaaaa....!!!” Khadijah menangis sambil memeluk tubuh rakan rapatnya itu setelah batu besar yang menindih dialihkan dengan bantuan beberapa rakan.
“Humaira, berjanjilah kita akan bertemu kembali di syurga, kita akan bermain sepuas-puasnya di sana.”
Khadijah berbisik perlahan-lahan di tepi telinga rakan karibnya yang telah tidak bernyawa, air matanya tidak dapat ditahan lagi kali ini.
Khadijah keliru dan buntu, esak tangisnya tidak ada yang datang membela.
Dia berlari ke luar, berlari dan terus berlari, tidak pasti ke mana harus dituju, dia berlari di celah-celah runtuhan bangunan tanpa arah, diturutkan sahaja ke mana kakinya melangkah pergi.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Khadijah berhenti seketika berlari untuk menarik nafas panjang akibat kelelahan di celah-celah lorong bangunan, kedengaran bunyi dentuman peluru dan ledakan bom tanpa henti.
Saat-saat begini, dia teringatkan nasihat-nasihat dan kata-kata ayahnya yang tidak pernah gagal dalam mendidik dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
“Ayah, kenapa kita harus begini? Dimanakah umat Islam yang lain, bukankah tanggungjawab mereka untuk membantu kita?
Khadijah teringat dialog dipagi yang hening di tepi pantai. Kelihatan nelayan-nelayan tetap cekal walaupun hanya dibenarkan menangkap ikan dalam kawasan yang terhad.
Walaupun baru berusia 8 tahun, namun ayah selalu mendidiknya agar menjadi matang dan berani. Titipan kata-kata semangat dan nasihat sentiasa diungkapkan. Khadijah belajar erti perjuangan walaupun dalam usianya yang masih hijau.
“Khadijah jangan sekali-kali menyesali nasib kita, kita harus berbangga kerana kitalah yang dipilih Allah untuk menjadi barisan hadapan umat ini dalam berdepan dengan kekejaman musuh-musuh Allah” tenang ayahnya menjawab persoalan, sinar di anak matanya menggambarkan harapan dan keazamannya yang cekal.
“Walaupun kita lemah, tapi Allah sentiasa bersama-sama dengan kita, itu adalah kemenangan yang sebenar,”
ayahnya menjelaskan lagi sambil wajahnya merenung jauh ke lautan yang luas terbentang.
“Khadijah , dunia ini hanya sebentar, akhirat itulah yang lebih kekal, kita hanya akan menderita di sini tidak lama, syurga akan menunggu jika kita terus teguh dan istiqamah dalam perjuangan ini.”
“Tapi ayah, bukankah tanggungjawab setiap Muslim di mana sahaja untuk membebaskan kita dari kepungan penjara besar ini? Mengapa mereka tidak membantu kita ayah?” Khadijah masih tidak puas hati kerana ayahnya masih tidak menjawab persoalan.
“Khadijah, ada atau tidak bantuan, kita tidak perlu risau akan tanggungjawab mereka, apa yang perlu kita risau adalah tanggungjawab kita, kerana kita yang akan ditanya nanti." Jawab ayahnya.
“Khadijah, jika ayah telah tiada nanti, teruskan perjuangan ini, jangan lemah dan jangan putus asa, kerana kitalah yang paling mulia jika kita beriman dan berazam, Allah tidak akan bersama-sama dengan mereka yang berputus asa.”
Kata-kata keramat ayahnya, terngiang-ngiang di telinga Khadijah. Dari celah-celah lorong kelihatan pejuang Briged Al Qassam sedang mengambil kedudukan. Khadijah teringat bahawa dulu, ayahnya adalah sebahagian dari mereka, tapi ayah telah menunaikan janjinya dengan Allah dan rakan-rakannya pula sedang menanti giliran mereka dengan sabar untuk syahid.
Bunyi deruman enjin yang kasar dan batu yang dihenyak mengejutkan Khadijah dari lamunan, dari tepi lorong kelihatan sebuah kereta kebal tentera Zionis sedang menuju ke arah tempat persembunyian tentera-tentera Al Qassam.
“Aku harus pertahankan mereka, inilah peluangku untuk syahid." Bisik Khadijah di dalam hati.
Semangat baru mengalir dalam pembuluh ruhaninya. Seolah-olah terbayang wajah ayah, ibu, adik, Muallimah Husna dan Humaira sedang melambai-lambai.
Khadijah mengutip seketul batu yang agak besar di tepi jalan dan terus berlari ke arah hadapan kereta kebal tentera Israel yang sedang berjalan.
Khadijah mengenggam batu itu seerat-eratnya, dia nekad kali ini untuk syahid.
Merah semangat juangnya semerah dan sehangat darah sahabatnya Humaira' yang telah gugur.
Saat yang sesuai untuk melempar dinanti sabar. Kereta kebal itu terus maju, Khadijah tidak lagi gentar, dia nekad, dia ingin syahid.
Kereta kebal itu akhirnya berhenti betul-betul di hadapannya. Muncung meriam di hala tepat ke tubuhnya. Tidak sekelumit pun Khadijah kelihatan gentar, batu itu dilemparkan sekuat hati.
Khadijah menutup mata, menanti saat rohnya bebas untuk menyanyi di syurga.
Suasana sepi seketika.
Tiada ledakan, tiada letusan, Khadijah masih berdiri, kereta kebal itu masih tidak berganjak. Pejuang-pejuang Al Qassam telah bersedia dengan senjata masing-masing, namun mereka masih tidak melepaskan tembakan kerana khuatir akan terkena pada anak kecil yang berani itu.
Kereta kebal itu mengundur, Khadijah memberanikan dirinya lagi, dikutip batu-batu dan terus dilemparkannya ke arah kereta kebal tentera penjajah Zionis itu.
Kereta kebal itu mengundur lagi, bergerak ke arah lain dan akhirnya hilang dari pandangan mata.
Khadijah duduk melutut, wajahnya yang penuh debu dibiarkan.
“Khadijah, syahid itu adalah anugerah Allah, berjuanglah bersungguh-sungguh, Allah akan menunaikan janjinya kepada kita, sama ada menang atau syahid”
Itu pesanan terakhir ayah ketika dia keluar dari rumah dan akhirnya syahid.
Wajah ayah yang tersenyum terbayang di mata, masih terasa hangat pelukan dan belaian ayahnya hari itu.
“Khadijah rindu pada ayah, rindu pada ibu, rindu pada adik” bisiknya sendiri.
Air matanya ditahan dari tumpah, kerana tiada siapa yang akan menyeka air mata ini lagi selepas ini.
Khadijah pasrah, namun langkah ini harus dikuatkan kerana perjuangan ini masih panjang.
Perlahan-lahan Khadijah bangun, digenggamnya tanah dan dilafazkan sumpah,
“Palestin akan bebas suatu hari nanti, dengan izin Allah aku tidak akan berhenti berjuang sehingga aku syahid”
No comments:
Post a Comment