They shall grow not old, as we that are left grow old;
Age shall not weary them nor the years condemn.
At the going down of the sun and in the morning
We will remember them.
“Ayah,
tahu tak hari Rabu ni cuti?” Tanya Humaira’ ketika saya baru mengambilnya dari
sekolah.
“Cuti?
Bukan baru mula sekolah ke?” Saya bertanya kembali, hairan juga kerana penggal
baru persekolahan baru bermula hari ini.
“Cuti
Anzac Day la ayah. Ayah tahu tak Anzac Day tu adalah hari orang Australia pergi
berperang dan ramai yang mati.”
“Miss
Nari kata, dulu ‘great grandfather’ dia mati dalam perang tersebut.” Jelas
Humaira’ tanpa dipinta.
Baru
saya teringat, Rabu ini adalah cuti sempena Anzac Day. Satu hari di mana
Australia dan New Zealand meratapi kekalahan mereka dalam perang Gallipoli 98
tahun yang lalu (1914).
Anzac
Day yang disambut pada 24 April setiap tahun adalah sempena mengingati hampir
9000 tentera-tentera Australia dan New Zealand yang terkorban dalam perang tersebut. Perang
tersebut yang berlangsung antara tentera bersekutu yang disertai oleh Britain,
Perancis dan beberapa Negara Komanwel yang lain termasuklah Australia dan New
Zealand adalah untuk menyerang dan melemahkan Kerajaan Turki Uthmaniah yang
bersekutu dengan Jerman dalam perang dunia pertama.
Walaupun
Turki menang dalam perang Gallipoli yang berlangsung hampir lapan bulan, namun
rentetan daripada perang tersebut adalah amat buruk, iaitu runtuhnya sistem
Khilafah yang menaungi dan menjadi lambang kekuatan ummah sejak sekian lama.
Ironinya,
Mustafa Kamal Attaturk yang menjadi Jeneral dalam perang tersebut dilantik
untuk mengetuai Negara Turki Sekular yang ditubuhkan bagi menggantikan kerajaan
Turki Uthmaniah yang dikuburkan pada tahun 1924. Apa yang berlaku selepasnya
adalah sejarah dan sejak itu umat makin ganas diratah oleh musuh hingga hari
ini.
Anzac
Day menjadi bukti bahawa dendam musuh terhadap agama ini tidak akan pernah
padam. Umat terus dihenyak dan dirosakkan tidak hanya dengan serangan fizikal,
tetapi juga dengan serangan pemikiran, hiburan keterlaluan dan ideologi yang menyesatkan.
Anzac Day, bukan sekadar biskut dan perarakan, tapi ia adalah ratapan kepada episod malang kekalahan dalam diari panjang sejarah Islam.
Ummah yang dahulunya gagah seperti singa, kini ibarat kijang pengecut yang hanya menanti hari untuk dibaham oleh musuh yang mengelilingi.
Sejarah
telah berbicara dan binaan ummah telah runtuh binasa, tidak ada jalan pintas
untuk mengembalikan kegemilangan silam melainkan dengan mendidik semula
peribadi-peribadi muslim agar menjadi muslim yang bukan sahaja muslim pada
nama, tapi muslim juga pada pemikiran, muslim juga pada segenap tindakan dan
muslim juga pada seluruh agenda kehidupan.
Ummah
ini tidak akan kembali bangkit melainkan binaannya dibina oleh muslim yang
percaya bahawa Islam adalah rahmat pada seluruh alam dan kejayaan hanya akan
hadir dengan iman, hijrah dan perjuangan.
Perjalanan
ini adalah perjalanan dakwah dan tarbiah yang amat panjang dan kejayaan sebenar
bukanlah pada kemenangan di dunia yang gilang gemilang, tapi pada ganjaran
syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang menyegarkan.
Walaupun
Anzac Day adalah hari cuti namun syaitan dan musuh Islam tidak pernah bercuti
dari merancang dan melemahkan umat Islam. Agenda mereka jelas iaitu untuk
mengeluarkan manusia dari ubudiah kepada Allah kepada ubudiah sesama manusia
yang merosakkan.
Bila
umat tidak punya agenda sendiri, maka kita akan diagendakan oleh musuh. Mari
sama-sama kita bangunkan generasi harapan yang akan menjadi tunjang kepada umat
yang beragenda.
No comments:
Post a Comment