Cerpen: Bayi Tiga Jahiliah (Bahagian 1)

Satu:


Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan. Al Qasas:4
Uwaaa, uwaaaa, uwaaaaaaaaaaaa

Keheningan pagi itu yang di basahi dengan zikir oleh burung-burung diceriakan dengan suara kecil bayi yang baru lahir ke dunia. Maria, ibu saudara kepada Ulfa yang baru melahirkan bayi lelaki pertamanya menyambut bayi itu dengan penuh kesyukuran.

Lantas bayi itu dibersihkan dan kemudian dibalut dengan kain tebal agar tidak kesejukan. Kemudian Maria membawa bayi itu ke jendela rumah, agar sang mentari yang baru menampakkan sinarnya memberikan sedikit kehangatan kepada ahli baru alam dunia ini.

Ulfa yang masih keletihan akibat sakit bersalin yang dideritainya sejak 8 jam yang lalu, tersenyum gembira. Hilang segala kesakitan dan derita tatkala dia mendengar esak tangis dan melihat zuriat pertama yang dilahirkannya.

“Maria, ke sini bayi itu, pasti dia lapar setelah menempuh perjalanan panjang dan sukar dari alam rahim ke dunia ini”

Maria tidak berkata apa-apa, terus sahaja dia menghulurkan bayi itu yang mulai telah reda tangisannya kepada si ibu yang baharu sahaja melalui sebuah pertarungan getir antara hidup dan mati.

Walaupun pertarungan hidup mati 2 insan itu telah berakhir dengan keselamatan, namun hatinya tetap diselimuti rasa bimbang. Kebimbangan tentang hidup mati anak kecil yang baru singgah ke alam dunia setelah meninggalkan alam rahim yang dihuninya selama 9 bulan.

Maria hanya memerhatikan bayi itu menggesel-gesel kepalanya ke tubuh ibunya, mencari kasih sayang melalui titisan-titisan susu yang mengalir perlahan, membuktikan keajaiban ciptaan yang maha penyayang.

Maria mencari satu sudut untuk berehat, kerana dia sendiri hampir tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam kerana menemani Ulfa bersalin. Suaminya telah tiada disisi, terbunuh dalam satu pergaduhan dengan pegawai istana maharaja.

Hanya dia sahaja saudara Ulfa yang masih tinggal berdekatan. Saudara-saudara yang lain samada dibunuh, diculik dan dipenjarakan entah dimana atau telah berpindah kerana tidak tahan dengan kerajaan Maharaja Firaun yang menindas bangsanya.

Maria melabuhkan punggungnya ke suatu sudut di ruang tamu. Dia menghela nafas panjang. Hatinya mula resah tatkala teringat kepada arahan terbaru maharaja negeri Mesir.

“Bayi-bayi lelaki yang lahir akan dibunuh! Ini arahan terus dari maharaja untuk keselamatan dan ketenteraman negeri kita!” laung tentera berkumis tebal dengan suara parau dan lantang membacakan arahan terbaru Maharaja di pasar. Suaranya bagai halilintar memecah hiruk pikuk jual beli di pasar Ukaz.

Wajahnya yang bengis tidak menampakkan sebarang belas kasihan. Orang ramai berbisik yang mengelilinginya berbisik sesama sendiri. Tidak ada yang berani membantah atau memberikan cadangan.

Bantahan terhadap arahan maharaja, bererti hukuman mati.

Maria sendiri tidak pasti atas alasan apa atau entah bagaimana arahan gila ini dikeluarkan. Cuma dia mendengar desas desus bahawa maharaja telah bermimpi kerajaannya akan ditumbangkan oleh seorang lelaki dari bangsanya.

Apa kaitan mimpinya dan arahan pembunuhan bayi lelaki, Maria sendiri tidak dapat meneka. Cuma ketika itu dia teringatkan anak saudaranya Maria yang sedang sarat mengandung bulan yang ke lapan.

Lamunannya terhenti tatkala mendengar bunyi derapan tapak kaki kuda menghampiri rumahnya. Jantungnya yang tadi berdegup kencang, kini hampir terhenti. Tanpa disedari, peluh dingin mengalir dari ubun-ubun kepalanya.

“Ulfa!, ayuh sorokkan bayi mu, aku tidak menjangka sepantas ini berita tentang kelahiran bayi mu akan sampai ke pengetahuan mereka!” Maria menjerit cemas, air matanya hampir tumpah, tapi ditahannya untuk mengelakkan Ulfa menjadi hilang pedoman.

Sebelum ini dia telah merancang untuk menguruskan kelahiran cucu saudaranya tersebut di sebuah rumah usang ditepi sungai Nil agar bebas dari intipan mata-mata maharaja, namun kelahiran awal bayi tersebut telah merenjatkan segala perancangannya.

Ulfa yang tadinya masih lagi menyusukan bayi lelaki yang masih tidak bernama terkejut besar. Dirinya yang lemah seakan mendapat kekuatan luarbiasa. Terus sahaja dia bingkas bangun dengan cemas. Dia turun dari perbaringan dengan tergesa-gesa dan menyorokkan dirinya dan anaknya di salah satu penjuru rumah.

“Dummmm” bunyi pintu ditendang

Bersambung.....

2 comments:

  1. salam, bila nak sambung nih? lama dah x baca kisah nabi2..

    ReplyDelete
  2. salam zai, insyaallah sambungannya akan tiba sedikit masa lagi...

    ReplyDelete