Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Kembara Pantai Timur 2010
Dari sekian banyak daerah yang aku kunjungi di Malaysia, daerah Pantai Timur adalah destinasi yang aku cukup cintai. Setiap daerah yang dilalui, ada nostalgianya yang tersendiri. Bermula dari Kelantan, Terengganu, hingga ke Pahang, dalam hembusan angin pantai timur ada memori manis yang akan membangkitkan pelbagai kenangan pahit manis.
Sempena cuti sekolah kali ini dan juga sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke 6, aku sekali lagi membawa isteri dan anak-anak mengembara di negeri-negeri di pantai timur. Kembara yang telah kami lalui hampir setiap ulangtahun perkahwinan kami. Terasa seperti baru semalam berbulan madu di Pantai Merang, betapa pantas masa berlalu.
Setiap kali kembara, bukan hanya kembara biasa, tapi kembara yang di dalamnya kami cuba mengenali isi hati sesama kami dengan lebih rapat di samping menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran yang kelihatan di sepanjang perjalanan kepada Humaira.
Perjalanan bermula jam 6 pm (terlewat 3 jam dari jadual asal sebenarnya), setelah menikmati santapan malam di restoran Mama di Alor Setar, kami kemudiannya solat Maghrib di R&R Gurun. Seterusnya kami keluar ke susur Sungai Petani Utara untuk ke Grik dan kemudiannya Jeli.
Jalan yang biasanya cukup indah jika dilalui sewaktu siang, kelihatan suram dan menggerunkan sepanjang malam. Namun suasana tetap ceria dengan perbualan asal bulan bintang yang membina iman.
Kami tiba di Jeli lebih kurang jam 1230 pagi, banyaknya kenderaan berat di sepanjang jalan melambatkan perjalanan kami, ketika itu aku sudah tidak mampu lagi untuk memandu kerana di hambat perasaan mengantuk yang bersangatan. Tambahan pula suasana dalam kereta yang sunyi sepi kerana semua ahlinya telah lena diulit mimpi sejak jam 1130 malam lagi.
Aku berhenti di satu hentian, tertulis di situ Jeli Inn. Kami berhenti disitu dan bercadang untuk menyewa bilik bagi melepaskan lelah. Namun agak menghairankan, tidak ada seorang pun kakitangan yang menunggu di lobi. Oleh kerana terlalu letih, aku mengajak isteri dan anak-anakku untuk menunggu di lobi sementara kakitangannya datang semula.
Tunggu punya tunggu, tidak seorang pun yang kelihatan, hingga akhirnya kami terlena di atas sofa di lobi hingga waktu subuh. Subuh menjelang, kami terus sahaja solat di musolla bersebelahan. Selesai solat, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Tanah Merah untuk mandi dan bersarapan nasi berlauk istimewa di tepi sungai kecil berhampiran “market” Tanah Merah.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu bagi membeli beberapa buah tangan yang sukar kedapatan di utara. Antaranya keropok cap ikan emas yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan pastinya budu kampung yang istimewa.
Tidak dilupakan akok dan puding Kelantan yang pastinya tidak akan sama di negeri-negeri lain.
Menikmati perjalanan di sekitar kampung-kampung di Kelantan sambil menikmati etok Pasir Mas original memang cukup membahagiakan, bertemankan pula dendangan Maher Zain(beli yang original ye) yang tidak pernah mengecewakan.
Teringat pula satu buku yang pernah aku baca lama dahulu tentang Kelantan iaitu “Kelantan, sesejuk wajah tuan guru”. Suasana di Kelantan walaupun tanpa pembangunan, ada damai pada lintuk liuk pokok kelapa dan budi bahasa masyarakatnya.
Cuma sedikit kesal, kerana tabiat segelintir rakyat Kelantan yang kurang menjaga kebersihan, merosakkan pemandangan. Serta kelihatan banyak tanah-tanah terbiar yang tidak diusahakan. Islam adalah agama yang amat mementingkan kebersihan, seharusnya kerajaan PAS menjadikan kebersihan sebagai salah satu agenda utama dalam pembangunan negeri Kelantan.
Dari Kota Bharu, kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Terengganu melalui jalan Kota Bharu-Pasir Putih. Destinasi utama, tentunya Kg. Losong yang menyediakan rasa asli keropok lekor pantai timur yang tiada tandingan. Rasa yang ingin kami kongsi bersama dengan jiran-jiran di Felda Chini Timur 3.
Jam menunjukkan angka 8 ketika kami tiba di Marang. Mata terasa berat dan letih, dengan telefon yang telah lama kehabisan tenaganya, bukan hanya telefon, tapi tuan telefon juga perlu berhenti sejenak untuk mengecas tenaga bagi menyambung perjalanan yang masih 240 km berbaki.
Kami memilih sebuah chalet kecil di tepi pantai yang murah dan comel. Dengan RM70 dan kelengkapan yang bagiku lebih baik dari hotel 3 bintang, selain kedudukan yang betul-betul menghadap pantai, aku tidak berfikir panjang, letak sahaja kepala di bantal, terus sahaja hilang. Oppss lupa baca doa tidur, jangan marah ye Humaira...hehehe
Perjalanan disambung kembali keesokan paginya, tapi tidak sehingga kami membasahkan diri dengan air laut di pantai Marang yang jernih dan pasirnya yang putih seawal jam 645 pagi. Nikmat mandi laut diwaktu pagi sambil menyaksikan matahari terbit, menambahkan rasa takjub kepada pencipta segala kejadian. Semoga pepasir dan ombak di pantai Marang menjadi saksi kepada alunan Ma’thurat yang kami baca bersama pagi itu.
Bermusafir di Terengganu, tidak lengkap rasanya jika tidak bersarapan nasi dagang, gerai yang dipilih tentunya gerai kecil kepunyaan kakak kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhadapan Masjid Rusila. Seusai beramah mesra dan solat dhuha di Masjid Rusila, kami menyambung kembali perjalanan.
Perjalanan dari Marang ke Kuantan cukup mendamaikan, pemandangan pantai yang saujana mengilhamkan ketenangan walaupun tubuh dihimpit rasa letih setelah perjalanan 2 hari menaiki Saga IAFM yang tidak mengecewakan. Beberapa kali kami berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar, kerana tertarik dengan keindahan pantai yang unik dan berbeza di setiap daerah.
Berbanding Kelantan, Terengganu kelihatan lebih bersih dan agak tersusun, ditambah dengan kawasan pesisir pantai yang luas, perjalanan yang jauh tidak dirasakan lamanya. Cuma apa yang menimbulkan tanda tanya, masjid-masjid di Terengganu dibina agak banyak dan berdekatan pula antara satu sama lain.Masjid yang dibina sememangnya besar dan cantik, tapi apakah usaha mengimarahkannya sehebat usaha memperbanyakkan masjid? Wallahua'lam
Akhirnya, 9 hb Jun tepat jam 8 malam, kami tiba di Felda Chini Timur, kampung isteriku. Segala puji bagi Allah yang telah menjaga kami sepanjang perjalanan dan menyampaikan kami ke destinasi dengan selamat dan sejahtera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment