Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Teman Dunia Teman Akhirat
Setiap manusia dalam kehidupannya perlukan teman dan sahabat. Namun, di kalangan banyaknya perkumpulan teman-teman, ada teman yang berteman sekadar di dunia sahaja. Ada perkumpulan teman yang akan mengheret kita ke neraka tetapi yang terbaik adalah teman yang akan menyelamatkan kita dari azab siksa.
Dalam berteman, kita dianjurkan untuk berhati-hati membuat pemilihan, kerana kesilapan dalam memilih perkumpulan teman-teman, padah akan menanti di akhirat.
Ada perkumpulan teman-teman yang hanya berasaskan kepada hobi semata-mata. Sebagai contoh, kumpulan bermotosikal besar dan kelab jenama kereta tertentu. Aktivitinya hanya berkisar kepada perkara-perkara dunia yang tidak membawa apa-apa makna kepada akhirat.
Paling malang adalah, perkumpulan teman-teman yang akan mengheret ke neraka setiap dari ahlinya. Perkumpulan teman-teman ini bersatu atas asas kemaksiatan dan jenayah terhadap Allah. Inilah perkumpulan yang mengajak manusia kepada dosa dan kelalaian dengan aktiviti-aktiviti yang menjauhkan manusia dari mengingati Allah.
Namun, perkumpulan teman-teman yang terbaik adalah perkumpulan teman sejati hingga akhirat yang sanggup untuk menyelamatkan ahli-ahlinya dari siksaan api neraka di akhirat nanti.
Pada hari akhirat nanti, akan tiba suatu masa dimana Allah s.w.t atas perkenan dan keluasan rahmatnya akan memberi peluang kepada jiwa-jiwa mu’min yang terpilih untuk memberi syafaat kepada teman-temannya yang lain.
Dalam sebuah hadis riwayat muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Setelah kaum mukminin selamat dari api neraka, maka demi zat yang jiwaku ditangannya, setiap orang dari mereka meminta kepada Allah dengan memaksa agar dikeluarkan rakan-rakan mereka di dalam neraka. Mereka berkata: “Ya Allah, mereka dahulu pernah bersolat, berpuasa dan mengerjakan haji bersama-sama kami”. Lalu dikatakan kepada mereka: “Keluarkanlah orang yang kami kenal dari neraka itu.”
Dalam hadis ini jelas dinyatakan bahawa pada hari akhirat nanti, ketika jiwa-jiwa manusia ketika itu tercari-cari penyelamat yang boleh menyelamatkan mereka dari azab api neraka, ternyata rahmat Allah begitu luas apabila diizinkan sebahagian orang-orang mu’min untuk menyelamatkan teman-teman mereka di dunia dahulu dari azab api neraka.
Mereka ini akan berhujah dihadapan Allah bahawa teman-teman mereka ini adalah teman-teman yang satu ketika dahulu mereka pernah solat, puasa dan mungkin mengerjakan haji bersama, dan akhirnya dengan rahmat Allah, mereka dibebaskan dari azab api neraka.
Sungguh beruntung jika kita dikurniakan teman-teman sebegini, teman yang akan sentiasa setia hingga sanggup menyelamatkan kita diakhirat.
Oleh sebab inilah, kita sentiasa dituntut untuk mencari dan bersahabat dengan perkumpulan teman-teman yang soleh dengan bersungguh-sungguh. Kerana teman-teman akhirat ini ketika di dunia akan sentiasa mengingatkan kita akan tanggungjawab akhirat ketika kita di dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment