Siri 7 : Malam Pertama



Malam pertama ku di Madinah amat mengujakan, ibarat malam pertama di alam perkahwinan. Setelah berpeluang menziarah Rasul di pagi harinya, bertamu di Raudhah dan berziarah ke Baqi pada petangnya, malam itu malam yang luarbiasa, luarbiasa suasananya, masjid dipenuhi dengan manusia yang berbondong-bondong untuk mendekatkan hati kepada tuhannya.

Aku duduk di suatu sudut berhampiran Raudhah, terbayang para sahabat yang mulia sedang sibuk dengan zikir dan tahmid sementara menunggu waktu solat. Terbayang kelibat saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan seluruh sahabat yang utama di saf pertama, oh alangkah mulianya mereka

“Allahuakbar, Allahuakbar…..” Azan maghrib mengejutkan aku dari lamunan, terasa begitu merdu suara muazzin melaungkan azan, seolah Saidina Bilal sedang khusyuk melaungkan kalimah kebesaran mengajak manusia kearah kejayaan.
Solat Maghrib dan Isya pertamaku di Madinah cukup indah, walau dihimpit keletihan dek perjalanan yang panjang dan melelahkan tapi kemuliaan masjid nabi dan penghuni-penghuninya mengubat kelelahan, memberiku kekuatan.

Malam itu, aku tertidur dalam senyuman dan hatiku berbunga-bunga, kerana disempatkan aku ke sini, setiap kali teringatkan suasana itu, pasti hati ini akan menangis, mengenangkan betapa hebatnya nabi, mengenangkan betapa mulianya sahabat dan betapa kerdilnya aku.

No comments:

Post a Comment