“Kalau dah melangkah ke
gelanggang politik, maka bersedialah untuk menerima kutukan dan caci maki,
malah mungkin hingga ke tahap dilondehkan segala keaiban peribadi, inilah sepak
terajang politik Malaysia. Kena tebalkan telinga dan tebalkan muka. Kalau tak
berani, duduk diam-diam dan undi sahaja waktu pilihanraya.”
Tulis seseorang di ruangan komen
dalam ‘thread’ facebook yang saya lupa berkisar tentang apa. Sekali saya
membacanya, cadangan tersebut kelihatan benar dan praktikal, namun setelah saya
berfikir beberapa kali, jelas ada kecelaruan pemikiran yang perlu
diperbetulkan.
Bagi saya, nasihat supaya
bersabar itu memang benar, kerana itulah hakikat semasa politik Malaysia,
namun, membiarkannya terus menerus dalam keadaan begitu adalah satu kezaliman
besar. Uruf (suasana semasa) yang rosak tidak boleh menjadi hujah untuk kita
meninggalkan seruan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memperbetulkan mana yang
salah.
Siapa kata politik mesti dengan
musuh memusuhi, mesti dengan kata nista dan caci maki, mesti dengan londeh
melondeh keaiban peribadi, dendam, tuduh menuduh, korupsi tanpa henti dan mesti
dengan fitnah memfitnah?
Tidak kira di alam maya atau alam
nyata, ia amat menyedihkan untuk dilihat, apatah lagi jika ia dilakukan antara
dua kelompok Muslim yang bersaudara.
Kita mesti berusaha untuk
mengubah kebiasaan yang buruk ini. Arus baru politik Malaysia mesti diusahakan
oleh anak-anak muda hari ini. Kita mesti menjadi batu-bata generasi yang
mengasaskan arus baru politik matang, penuh kasih sayang, berakhlaq tinggi,
bersih dan bertanggungjawab.
Kita boleh bermula dengan diri
kita dan rakan-rakan terdekat. Elakkan mencaci ‘musuh’ politik kita di alam
nyata dan alam maya dengan gelaran-gelaran seperti ‘monyet’, ‘bebal’,
‘pencacai’, ‘munafiq’, ‘sesat’ dan apa jua label-label buruk yang boleh merosakkan ukhuwwah.
Biar kita berbeza parti atau
pendirian politik, tapi jangan kita berbeza pada akhlaq. Amalkan nasihat
menasihati dengan cara yang baik. Caci maki dan label melabel bukan budaya
orang-orang yang beriman.

