Anak-Anak Adalah Cermin

Humaira' berjaya menghafaz 5 muka dalam masa 4 minggu ketika Hifz School. Tinggal lagi beberapa surah sebelum  berjaya menghabiskan Juz Amma. Malu juga ayah dan ibunya yang masih tersangkut juz 30 bila melihat kesungguhan anak. Motivasi untuk ayah dan ibunya yang dah berkarat.
“Humaira’ berjaya hafaz berapa muka hari ini?” Tanya saya ketika kami sama-sama menunggu bas setelah selesai kelas hafazan sempena musim panas anjuran Islamic Information Center of SA (IICSA).

“Hari ini dapat 5 ayat, ayah nak bagi apa kat Humaira’ hari ini?” Terang Humaira’ dengan gembira sambil bertanya tentang hadiah seperti biasa.

“Alhamdulillah, bagus bagus…nanti kita singgah beli aiskrim di Woolworths nanti.” Gembira saya mendengarnya. Sejak menghadiri kelas hafazan tersebut, hafazan hariannya meningkat berkali ganda. Jika di rumah, sukar sekali hendak memastikan agar dia dapat duduk dan fokus pada hafazan. Banyak sungguh gangguan, terutamanya dari adik-adiknya yang sentiasa ‘ramah mesra’ dan mengajaknya bermain.

“Ayah dah hafaz sampai mana dah?” Tanya Humaira’ pada saya ketika kami telah menaiki bas, soalan jujur, tapi bernilai secepu emas yang tiada tolok banding.

“Errmmm…surah Al Mumtahanah….” Jawab saya teragak-agak. Teringat kepada surah yang sepatutnya saya hafaz sebagai salah satu tugasan usrah.

“Oooo, ayat berapa dah?” Tanya Humaira’ lagi, membuatkan saya berpeluh.

“Emmm…..ayat 5….” Jawab saya perlahan. Penuh rasa bersalah.

“Eh, bukan haritu ayat 5 juga ke? Kenapa tak tambah lagi….”


Kali ini saya hilang jawapan. Hanya diam memerhati tingkap luar bas yang sedang melalui King William St yang penuh sesak dengan manusia. Kesal dengan qudwah ketam senget yang saya tunjukkan kepadanya.

Sepanjang perjalanan pulang saya berfikir dan muhasabah diri. Mengingat kembali perkara-perkara asas yang saya ketahui, namun tidak diamalkan.

Benarlah, anak-anak adalah cerminan kepada qudwah yang kita tunjukkan di rumah. Jika kita ingin anak kita rajin membaca, rajin mengaji, solat di awal waktu, ringan tulang dan sebagainya, maka kita sebagai ibu bapa mesti menunjukkan contoh terlebih dahulu.

Ibu bapa adalah murabbi pertama bagi anak-anak, bagaimana mungkin anak-anak akan mencontohi teladan baik dari ibu bapa jika ibu bapa tidak menunjukkan contoh terlebih dahulu.

Ye, kita mungkin boleh bersyarah, berleter, memberi nasihat dengan lembut atau keras, menghantarnya ke kem motivasi, namun akhirnya anak-anak, terutamanya yang berusia di bawah 10 tahun, lebih memahami bahasa perbuatan ayah dan ibunya berbanding bahasa kata-kata.

Jika di rumah anak – anak sering melihat ibu bapa leka dengan smartphone, televisyen dan komputer, suka berehat dan membuang masa, solat dihujung waktu, jarang-jarang membaca Al Quran, mendengar lagu-lagu lagha, lebih suka membeli belah berbanding ke majlis ilmu, tidak menghormati orang tua dan banyak lagi sifat-sifat mazmumah, maka bagaimana ingin kita harapkan anak-anak kita akan menjadi mewarisi sifat-sifat mahmudah yang akan menjadikannya manusia yang berguna kepada agama bangsa dan negara?



Nah, jika kita ingin mengubah, maka ubahlah diri kita terlebih dahulu. Jika kita ingin anak kita menjadi anak yang soleh, maka kitalah yang terlebih dahulu perlu menjadi soleh di mata anak-anak.

Jangan jadi ibu bapa derhaka yang membesarkan anak yang derhaka kepada Allah dan Rasul.

Moga Allah memberi kita kekuatan dan mengurniakan kita petunjuk menuju jalan yang lurus.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment