Membina Arus Baru Politik Muslim di Malaysia


“Kalau dah melangkah ke gelanggang politik, maka bersedialah untuk menerima kutukan dan caci maki, malah mungkin hingga ke tahap dilondehkan segala keaiban peribadi, inilah sepak terajang politik Malaysia. Kena tebalkan telinga dan tebalkan muka. Kalau tak berani, duduk diam-diam dan undi sahaja waktu pilihanraya.”

Tulis seseorang di ruangan komen dalam ‘thread’ facebook yang saya lupa berkisar tentang apa. Sekali saya membacanya, cadangan tersebut kelihatan benar dan praktikal, namun setelah saya berfikir beberapa kali, jelas ada kecelaruan pemikiran yang perlu diperbetulkan.

Bagi saya, nasihat supaya bersabar itu memang benar, kerana itulah hakikat semasa politik Malaysia, namun, membiarkannya terus menerus dalam keadaan begitu adalah satu kezaliman besar. Uruf (suasana semasa) yang rosak tidak boleh menjadi hujah untuk kita meninggalkan seruan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memperbetulkan mana yang salah.

Siapa kata politik mesti dengan musuh memusuhi, mesti dengan kata nista dan caci maki, mesti dengan londeh melondeh keaiban peribadi, dendam, tuduh menuduh, korupsi tanpa henti dan mesti dengan fitnah memfitnah?

Tidak kira di alam maya atau alam nyata, ia amat menyedihkan untuk dilihat, apatah lagi jika ia dilakukan antara dua kelompok Muslim yang bersaudara.

Kita mesti berusaha untuk mengubah kebiasaan yang buruk ini. Arus baru politik Malaysia mesti diusahakan oleh anak-anak muda hari ini. Kita mesti menjadi batu-bata generasi yang mengasaskan arus baru politik matang, penuh kasih sayang, berakhlaq tinggi, bersih dan bertanggungjawab.

Kita boleh bermula dengan diri kita dan rakan-rakan terdekat. Elakkan mencaci ‘musuh’ politik kita di alam nyata dan alam maya dengan gelaran-gelaran seperti ‘monyet’, ‘bebal’, ‘pencacai’, ‘munafiq’, ‘sesat’ dan apa jua label-label buruk yang boleh merosakkan ukhuwwah.

Biar kita berbeza parti atau pendirian politik, tapi jangan kita berbeza pada akhlaq. Amalkan nasihat menasihati dengan cara yang baik. Caci maki dan label melabel bukan budaya orang-orang yang beriman.


Andai ada isu yang ingin diketengahkan atau didebatkan, lakukan dengan cara yang paling cantik. Pastikan setiap hujah datang dari sumber yang sahih dan dibawa dengan akhlaq yang tinggi. Jika ingin berdebat dan berbeza pendapat, lakukan juga dengan cara yang bermaruah.

Calon Muslim yang dipilih untuk menjadi wakil di Parlimen dan DUN mesti dipastikan bersih dari aqidah songsang, tinggi akhlaq dan jati diri, bebas dari salah guna kuasa dan rasuah, dan lebih penting, mampu untuk membawa aspirasi kedaulatan Islam dalam undang-undang dan keadilan sosial di parlimen. Ahli  politik yang korup aqidah, korup dari segi moral, korup dalam pentadbiran dan pengurusan mesti ditolak.

Kita boleh berperanan dengan memberi tekanan kepada parti agar hanya calon Muslim yang berwibawa sahaja yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Kepentingan ummah mesti menjadi tonggak utama mana-mana paksi Muslim yang berpolitik. Islam mesti memimpin dan menjadi teras perjuangan, bukan dipimpin, dicairkan atau dikosmetikkan untuk mencapai kekuasaan. Agenda memelihara agama Islam dan membina generasi harapan mesti diberi perhatian serius oleh mana-mana parti atau individu Muslim yang bertanding.

Inilah arus baru yang mesti kita bawa. Biarpun lambat, biar apa orang kata, biarpun sukar, biarpun nampak terlalu ideal, kita mesti berusaha.

Moga Allah menunjukkan jalan-jalannya.

InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment