Mengapa Ibu Muntah?


“Kenapa hitam ikan bilis ni ayah?” isteri saya bertanya dengan suara yang lemah ketika saya sedang menceduk nasi dan lauk untuk dihidangkan ke dalam pinggan untuk berbuka puasa.

“Hmm, ada dua peraturan dalam dapur ayah ni, yang pertama jangan banyak tanya dan makan sahaja apa yang tersedia, kemudian peraturan kedua, jangan lupa peraturan pertama!” saya menjawab selamba. Mengenangkan kekalutan di dapur tadi saya jadi malas untuk menjawab. 

Hari yang serba tidak menjadi.

Biasanya tugas-tugas di dapur dibereskan oleh isteri saya, namun sejak dia berbadan dua, alahan yang dialami menyebabkan dia hanya terbaring keletihan ditambah dengan alahan kepada bau masakan yang datang dari dapur.

Isteri saya tersenyum mengejek. Lemah.

Saya menuangkan kicap ke pinggan sebagai kuah. Sudah lama tidak makan kicap, telur rebus dan ikan bilis goreng hangit begini. Kali terakhir rasanya ketika bergelar pelajar berbelas tahun dahulu.

Tiba-tiba isteri saya bingkas bangun dari kerusi sambil menekup mulut dan berlari ke bilik air sejurus azan berkumandang dari telefon bimbit menandakan masuk waktu berbuka puasa.

Dan kemudian, kedengaran bunyi muntah dari bilik air. Saya, Humaira dan Khadijah saling pandang memandang, membiarkan segalanya selesai dahulu.

“Humaira’ tengok adik sebentar, ayah nak tengok ibu sekejap.” Saya memberi arahan.

Saya menyudahkan beberapa suapan dan kemudian bergegas ke bilik air. Muntahnya telah berhenti, namun isteri saya masih berdiri di hadapan sinki. Saya mengurut-urut belakang badannya.

Humaira’ dan Khadijah yang menurut langkah saya ke bilik air juga turut sama melihat dengan wajah simpati.

“Ayah, kenapa ibu muntah?” Tanya Humaira’ ketika saya sedang membersihkan sinki. Isteri saya kembali baring di bilik dengan wajah yang pucat.

“Hmmm, sebab ibu mengandung la.” Jawab saya ringkas.

“Kenapa orang mengandung kena muntah ayah?” Satu lagi soalan dilemparkan. Allah, sudahlah dalam keadaan begini, datang pula soalan-soalan yang mencabar minda.

Tidak pula saya ketahui secara spesifik tentang punca alahan dan muntah-muntah ketika mengandung, kalau tidak silap saya ia disebabkan oleh peningkatan hormon estrogen secara mendadak dalam tubuh yang menyebabkan deria bau menjadi sangat sensitif.

Ada juga kajian yang agak menarik dari sebuah universiti di Amerika yang saya pernah terbaca yang menyatakan bahawa muntah-muntah itu adalah satu tindakbalas tubuh bagi menyelamatkan bayi dari terdedah kepada bahan-bahan berbahaya yang datangnya dari makanan yang dimakan oleh ibu yang sedang mengandung.

Yang mana satu betul, wallahua’lam. Namun untuk menerangkan secara saintifik kepada Humaira’ dalam keadaan begini, mungkin di lain masa.

“Hmm, masa ibu mengandungkan Humaira’, ibu muntah lagi teruk.” Saya memberi jawapan yang tidak menjawab soalannya. “Ibu banyak kali masuk hospital masa mengandungkan Humaira’, masa mengandungkan Khadijah pun ibu muntah-muntah juga.” Jelas saya lagi.

“Kemudian masa nak melahirkan Humaira’ dan Khadijah, perut ibu kena potong dengan pisau untuk keluarkan kamu berdua. Sakit.” Saya menerangkan, merujuk kepada pembedahan ceaserean yang dilalui oleh isteri saya pada kedua-dua kelahiran.

“Lepas bersalin, ibu kena beri susu pula, masak dan suapkan makanan, berjaga malam bila kamu berdua menangis tak henti-henti, basuh kencing dan tukar lampin setiap hari sampailah Humaira’ dah tak pakai lampin lagi sekarang.”

“Banyak tak kerja bila jadi ibu, dan susah tak rasanya ibu kena lalui semua tu?” saya bertanya.
Humaira’ mengangguk perlahan dan menjawab, “susah”.

“Haa, sebab itulah, Humaira’ kena sentiasa dengar cakap ibu, kena sentiasa doakan yang baik-baik buat ibu, sentiasa buat baik pada dia dan kena jaga ibu bila ibu dah tua nanti. Sebab ibu dah bersusah payah mengandung, melahirkan dan menjaga Humaira’ sampai besar.”

“Tambahan pula, Allah cukup suka pada anak yang sayang dan buat baik pada ibu malahan 
Allah perintahkan supaya anak-anak sentiasa berbuat baik kepada ibunya.” Dalam Al Quran, banyak ayat-ayat yang memerintahkan agar anak-anak berbuat baik kepada kedua orang tuanya terutama kepada ibunya kerana proses membesarkan anak yang sangat berat.
Antaranya adalah ayat dalam surah Luqman ayat 31,

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”


“Tak guna kita buat amal kebaikan, banyak solat, rajin puasa dan pandai di sekolah kalau kita tak sayang dan jaga ibu kita dengan baik.” Jelas saya lagi.

Teringat saya pada kisah Al Qamah yang menderita ketika sakaratul maut kerana melukakan hati ibunya. Masyaallah. Amal solehnya tidak kurang, bahkan terpilih untuk hidup pula di zaman sahabat, namun kerana segaris luka di hati ibunya, maka hampir tertutup pintu syurga buatnya. 

Mujurlah ketika itu ada Rasulullah yang menyelesaikan urusannya dengan ibunya.

Cukup menakutkan. Moga Allah akan melindungi kita dari menjadi anak derhaka yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Tidak guna amal kebaikan yang bertimbun, harta yang melimpah ruah jika hati ibu tidak kita jaga dengan kemas.

Moga-moga Allah memberikan ilham kepada kami untuk menjadi anak-anak yang baik buat kedua ibu bapa kami dan semoga anak-anak yang kami ada ini juga akan menjadi anak-anak yang baik buat kami berdua. Insyaallah.



No comments:

Post a Comment