Ramadhan Bulan Kemenangan


Ahlan Wa Sahlan Ramadhan, hati mukmin tidak sabar lagi untuk meraih keberkatan dan kebaikan-kebaikan bulan istimewa ini. Bagi jiwa yang beriman, Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melihat kembali susur kehidupan dan mengumpul kembali kekuatan untuk perjuangan panjang yang tiada hentinya.

Ibarat seorang tukang kayu yang berehat seketika dan menajamkan gergajinya yang tumpul, Ramadhan adalah bulan untuk setiap mu’min menajamkan kembali mata hatinya, membersihkannya dari kelam dosa yang terhimpun.

Ramadhan adalah bulan berlapar bagi nafsu tetapi adalah bulan dimana roh akan menjadi kenyang dengan hidangan dari Al-Quran, terawih, sedekah dan amal ibadah yang lain. Jamulah roh sebanyak-banyaknya pada bulan ini.

Amat malang jika Ramadhan hanya menjadi bulan pesta makanan buat nafsu ketika berbuka, ketika itu tertawalah syaitan yang dirantai kerana tarbiahnya telah berjaya. Usahlah sibuk memikirkan makanan untuk berbuka sedangkan tilawah al quran entah ke mana.

Marilah sama-sama kita menyemarakkan amal ibadah di bulan Ramadhan kali ini, Ramadhan adalah bulan kemenangan untuk mu’min, bukan bulan lemah longlai dan untuk tidur sebanyak-banyaknya.

Moga Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment