Kenangan Ramadhan

Sedar tak sedar Ramadhan telah masuk hari kelima, masa berlalu begitu pantas, Khadijah juga telah menjejak sebulan usianya, Humaira pula hampir mencecah 4 tahun 31 Ogos ni, ummuhumaira pun begitu, 28 Ogos ni genaplah 30 tahun umurnya.

Kalau dihitung sejak akil baligh, ini adalah kali ke 15 aku berpuasa Ramadhan, entah berapa kali lagi Allah akan memberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan lagi. Justeru itu, setiap saat dalam Ramadhan ini harus kita gunakan sebaik mungkin untuk amal kebaikan, tilawahlah sebanyak-banyaknya, bersedekahlah laksana angin yang bertiup, maafkanlah kesalahan orang lain, berubahlah menjadi lebih baik, tiada masa yang lebih baik berbanding Ramadhan untuk kita mengubah diri kita.

Teringat ketika zaman kanak-kanak dulu, Ramadhan adalah bulan yang paling menyeronokkan, apa tidaknya, bulan ini lesen keluar malam akan diberi oleh ma aku, kalau bulan-bulan lain jangan harap le. Kesempatan itu aku dan kawan-kawan gunakan sepenuhnya untuk bermain, dengan pistol air yang tersisip kemas dalam lipatan kain sarung, aku keluar dengan wajah yang penuh tawadhuk untuk bersembahyang terawih, tapi lepas lapan rakaat, bermulalah aktiviti.
Main selipar tiga waktu malam buta, lumba lari 100 meter pakai kain, main perang-perang pistol air, bola chap malam dan entah apa-apa lagi permainan aku waktu kecil dulu, kenangan-kenangan itu rasanya baru semalam berlalu.

Teringat juga aku kepada saat-saat Ramadhan ku di UUM sebagai pelajar, kenangan berjalan kaki beramai-ramai ke masjid dari kolej Guthrie untuk berbuka di masjid, mendengar tazkirah selepas terawih, bertadarus bersama, bersahur dengan maggi, iktikaf bersama rakan-rakan dan yang paling istimewa tentulah bubur lambuknya, terbaik di dunia…
Sedar tak sedar sudah hampir separuh umur kini,

Ramadhan kali ini aku menyambutnya dengan perasaan yang berbeza, ahli keluarga telah bertambah, tanggungjawab juga
makin berat, Humaira juga telah makin membesar, celotehnya, ragamnya bukan seperti setahun yang lalu, kadang-kadang teruji juga kesabaran dengan karenahnya.

Moga Ramadhan kali ini menjadi batu loncatan dalam kehidupan kita untuk menjadi manusia yang lebih baik, gunalah saat-saat berharga yang dikurniakan ini untuk kita mencapai darjat taqwa dan memperoleh pembebasan dari api neraka.

No comments:

Post a Comment