KASIH AYAH MEMBAWA KE NERAKA: IKTIBAR DARI PESAWAT MALANG AEROFLOT 593

Pada 23 Mac 1994, sebuah pesawat Airbus A310 syarikat Aeroflot yang dalam perjalanan dari Moscow ke Hongkong terhempas di kawasan pergunungan Russia, mengorbankan semua 73 penumpang dan anak kapal.

Kredit Foto: Airdisaster.com
Airbus A310 adalah sebuah pesawat yang canggih, dan digunakan oleh banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia. Kemalangan pesawat ini menimbulkan rasa cemas banyak pihak kerana jika berlaku kerosakan mekanikal atau terdapat kesilapan pada rekabentuk yang menjadi punca kemalangan, ia perlu ditangani segera, kerana jika tidak, banyak lagi pesawat Airbus A310 yang mungkin bakal mengalami nasib yang sama.

Namun hasil siasatan membuktikan sebaliknya, tiada kerosakan mekanikal yang berlaku, bahkan bukti-bukti yang ditemui dari kotak hitam dan kedudukan mayat di kokpit membawa kepada penemuan yang amat mengejutkan.

Terdapat dua kanak-kanak di dalam kokpit, dan data dari kotak hitam membuktikan bahawa dua kanak-kanak ini dibenarkan oleh juruterbang untuk memandu pesawat dan mengakibatkan pesawat terhempas!

Apa yang berlaku sebenarnya?


Dua kanak-kanak tersebut adalah Yana dan Eldar, anak kepada juruterbang yang bertugas, Yaroslav Kudrinsky. Untuk meraikan anaknya, Kudrinsky telah menjemput dua anaknya kek kokpit untuk melihat ‘pejabatnya’. Ketika pesawat tersebut dalam mode autopilot, Kudrinsky telah membenarkan kedua anaknya untuk merasai pengalaman sebagai juruterbang dengan membenarkan mereka duduk di tempat duduk juruterbang utama.

Tidak ada krew di kokpit yang membantah walaupun jelas mereka telah menyalahi peraturan yang amat besar dalam displin keselamatan penerbangan, iaitu membenarkan orang asing untuk berada di kokpit.

Tanpa diketahui oleh semua krew yang sedang bertugas, ketika Eldar dibenarkan oleh ayahnya duduk di kerusi juruterbang utama dan memegang alat pengawal kapalterbang, secara tidak sengaja dia telah menyahaktifkan mode autopilot dan menyebabkan pesawat tersebut menjunam ke bawah secara tiba-tiba kerana tiada siapa yang mengawal pesawat tersebut ketika berada dalam mode manual.

Panik dengan situasi tersebut, ditambah dengan kekurangan pengalaman semua krew dalam mengawal pesawat Airbus A310 yang agak baru bagi mereka, juga dengan kuasa G melampau akibat junaman pesawat secara tiba-tiba, pesawat tersebut berpusing-pusing seperti pemutar skru dan terus menjunam mengakibatkannya terhempas dan langsung tiada mangsa yang terselamat dari nahas.

Pegawai penyiasat mengetahui perkara ini setelah meneliti rakaman perbualan di kokpit yang diperolehi melalui kotak hitam dan berdasarkan kepada mayat kedua kanak-kanak tersebut yang masih berada di kokpit.

Pengawai penyiasat amat terkejut dan dukacita dengan penemuan ini dan menyifatkannya sebagai kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku.

Amat menyedihkan. Hasrat seorang ayah untuk menggembirakan anak-anaknya, bertukar menjadi tragedi hitam dan antara yang terburuk dalam sejarah penerbangan Russia.

Banyak yang dipelajari oleh industri penerbangan dari tragedi ini, antaranya kawalan yang lebih ketat di dalam kokpit dan beberapa perubahan mekanikal pada instrument, tapi apa yang pasti, kita sebagai ibu bapa juga boleh mengambil iktibar.

Menggembirakan anak-anak, jangan hingga memusnahkan mereka. Bahkan tidak mustahil, jika tiada batasan dalam pemberian, apa yang kita beri untuk menggembirakan anak-anak, bakal memusnahkan masa depan ibu bapa sendiri di akhirat nanti.

Menggembirakan anak dengan memberikan mereka keizinan untuk bermain permainan video PS yang ganas dan melalaikan seperti DOTA, memberikan segala gajet seperti iPod, iPhone, iPad tanpa kawalan dan akses kepada games dan Internet ‘unlimited kepada anak-anak di dalam bilik sendiri, berlebih-lebih dalam memberi kebebasan untuk anak keluar malam dan bergaul bebas antara jantina, tidak tegas dalam mendidik anak-anak solat fardhu sejak awal usia, tidak mengejutkan anak untuk solat kerana ingin memberinya waktu tidur berlebihan di hujung minggu dan bermacam lagi ‘pemberian’ oleh ibu bapa yang disangka akan membuatkan anak-anak gembira, tapi hakikatnya, anak-anak sedang dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh ibu bapa sendiri!

Lebih malang jika anak-anak ini membesar, membina pengaruh dan merosakkan orang lain di sekelilingnya. Seumpama juruterbang yang ingin menggembirakan anaknya di dalam penerbangan Aeroflot 593, tapi berakhir dengan tragedi di mana kecuaian ayah dalam melayani anaknya di kokpit menjadi penyebab kepada terhempasnya penerbangan tersebut dan mengorbankan puluhan nyawa.

Sama seperti penerbangan Aeroflot 593 di mana kecuaian tersebut hanya disedari bila keadaan tidak lagi mampu dibaiki, mendidik anak-anak juga begitu, jika cuai di peringkat awal mendidik anak-anak, besar kemungkinan, ia adalah kesilapan yang tidak lagi dapat ditebus ganti.

Moga kita semua menjadi ibu bapa yang sedar dan tidak memberikan ‘kegembiraan’ berlebihan dalam meraikan anak-anak sebelum semuanya terlambat.

Ada satu lagi pelajaran penting bukan sahaja buat ibu bapa dan pendakwah dalam tragedi ini, tapi buat semua kita, iaitu betapa pentingnya elemen nahi munkar dalam kehidupan kita sehari-harian.

Dalam penerbangan tersebut, walaupun juruterbang Kudrinsky telah melakukan kesalahan besar, tapi tidak ada krew lain yang menegur, walau apa jua sebabnya mereka tidak menegur, tapi kesemua mereka walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan teknikal, tetap menerima hukuman akibat kecuaian mereka dalam melakukan nahi munkar untuk menegur Kudrinsky yang melakukan kesalahan.

Perkara ini pernah diceritakan oleh baginda dalam sebuah hadis yang amat jelas maksudnya:

"Perumpamaan orang menjaga hudud Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti suatu kaum yang sama-sama menaiki kapal. Lalu sebhagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagiannya duduk di bahagian bawah. Apabila orang-orang yang duduk di bahagian bawah hendak mendapatkan air mereka meminta tolong dari orang yang duduk di atas. Maka mereka berkata "Alangkah baiknya sekiranya kita tebuk satu lubang di bahagian kita ini, maka kita tidak menyusahkan orang yang duduk di atas." Sekiranya orang-orang yang duduk di atas membiarkan mereka melakukan apa yang mereka mahu, maka mereka semua akan binasa dan sekiranya mereka melarangnya maka mereka semua akan terselamat.(HR Bukhari)

Selagi mana umat Islam membudayakan amar maaruf nahi munkar, dalam apa jua sudut kehidupan, termasuklah pendidikan anak-anak, ekonomi dan politik, maka selama itulah umat akan berada dalam kebaikan, tapi bila aspek ini diabaikan, setiap individu dalam masyarakat hanya berfikir tentang diri sendiri dan tidak peduli akan kerosakan yang sedang berlaku, maka azab Allah dalam apa jua bentuk pasti akan datang menimpa.

Cukuplah ayat ini sebagai peringatan buat kita semua dan sebagai penutup kepada kisah Aeroflot 593 yang malang.

Kredit foto: The Muslim Show
Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya. (Al Anfal:25)


1 comment:

  1. Terima kasih. Sangat tersentuh dengan catatan ini. Kadang-kadang saya juga terbabas kononnya untuk `menggembirakan / membahagiakan' anak-anak. Apabila membaca catatan ini, alhamdulillah `terbangun` dari ``lena``...

    ReplyDelete