Belajar dari Jennie dan Ibunya di West Lakes

Inilah menara yang saya sedang panjat. Gambar di ambil oleh En. Isteri yang setia menunggu di bawah.

“Cepatlah Humaira’, panjat tiang tu, jangan takut.” Saya mendesak setelah melihat dia hanya memandang sahaja menara palang tersebut.

Menara di Taman Permainan West Lakes itu memang tinggi, antara yang paling tinggi pernah saya lihat. Cukup menarik untuk dipanjat, namun pastinya memerlukan sedikit keberanian pada anak-anak yang mempunyai sifat gayat.

“Tak mau, Humaira’ takut.” Dia masih lagi enggan dan hanya melihat beberapa kanak-kanak lelaki memanjat tiang itu dengan cukup pantas dan bertenaga.

“Laa, tadi kata nak main, ni takut pula, macamana ni?” Saya mendesaknya lagi namun dia tetap tidak berganjak.

“Tinggi sangat, takut.”

“Tak mengapa, peganglah kuat-kuat, Insyaallah tak jatuh.”

“Tak nak, takuttt.” Namun dia tetap enggan membuatkan saya hilang idea untuk memujuknya dengan kata-kata.

“Aduhai, cuba tengok ayah panjat macamana.” Melihat keengganannya, saya menunjukkan contoh untuk memanjat menara tersebut, namun tiba di puncak, baru saya sedar yang saya juga gayat!

“Ha, ayah boleh pun panjat, cuba panjat macam ayah tadi.” Saya menjerit dari puncak menara tersebut. Namun Humaira’ tidak memperdulikan saya lagi, dia telah berlari ke permainan buaian meninggalkan saya di atas menara bersama anak-anak kecil lain yang sedang memanjat dengan berani. Isteri saya hanya tertawa dengan wajah yang mengejek.

Dalam perjalanan turun ke bawah, saya tertarik melihat seorang kanak-kanak perempuan sekitar usia 4 tahun yang juga kelihatan takut, tapi sedang memanjat dengan perhatian penuh dari ibunya.

“Ok, Jennie, pijak di atas tiang kiri, kemudian pegang tiang yang di atas.” Ibunya melaung memberikan arahan sementara anak itu mengikut dengan patuh. Menariknya, ibunya langsung tidak memegang atau cuba membantunya secara fizikal.

“Ok, sekarang angkat kaki kiri dan letakkan di atas palang kanan!” Laung ibunya lagi, tapi kali ini Jennie tidak bergerak, kelihatan seperti takut. Saya berhenti seketika di atas palang di tengah-tengah menara memerhati kaedah ibu itu mendidik anaknya berani mencuba.

“Jennie, jangan takut, kamu boleh lakukannya, ibu percaya pada kamu, sekarang, angkat kaki kiri perlahan-lahan.” Anak itu mengikut dengan perlahan sementara ibunya tidak putus-putus memberikan arahan dan kata semangat hingga akhirnya anak itu berjaya sampai ke puncak kedua tinggi.

Saya melihat dengan penuh khusyuk. Menarik melihat bagaimana anak itu dipandu dan diberi semangat oleh ibunya untuk memanjat menara itu dengan jayanya. Sampai di bawah, kanak-kanak itu diraikan oleh ibunya seperti baru menang satu perlumbaan.

Positif, cukup positif.

Saya turun dari menara itu dan duduk di atas kerusi di tepi tasik sambil memerhatikan Humaira’, Khadijah dan ibunya sedang bermain buaian. Saya mencari kelibat ibu dan anaknya tadi, namun telah tidak kelihatan.

Sambil menghirup udara petang yang segar, saya berfikir-fikir tentang apa yang saya lihat tadi dan membandingkannya dengan beberapa pengalaman saya yang lepas.

Dalam mendidik anak-anak, kadang-kadang ada ibu bapa yang terlalu ingin melihat hasilnya dengan segera tanpa memperincikan kaedah pendidikan dengan teknik yang betul. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang ingin anaknya cepat membaca, tapi tidak pernah mengajar anak itu di rumah dan hanya bergantung kepada tadika atau sekolah untuk mengajar anaknya cepat membaca.

Bila anak itu gagal, maka yang disalahkan adalah sekolah dan guru yang mengajar sedang kealpaan diri dalam mendidik tidak pula dijadikan punca.

Mendidik anak-anak tanpa ilmu ibarat membina rumah tanpa pelan yang dihasilkan oleh jurutera.

Haru biru jadinya.

Itu satu ekstrem.

Ada juga ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengawal anaknya. Segala-galanya ditentukan oleh ibu bapa, dari sekolahnya ketika kecil hingga tamat persekolahan, kursus yang harus diambil anaknya di universiti, pekerjaan anaknya juga ditentukan malah calon pasangan juga telah ditentukan sejak awal lagi.

Ekstrem yang sebegini menjadikan anak umpama robot untuk memuaskan nafsu ibu bapa. 

Cukup menyedihkan, namun usah terperanjat kerana ia memang benar-benar berlaku.

Hasilnya nanti, anak itu mungkin akan membesar menjadi manusia yang tidak pandai berdikari dan menentukan hala kehidupannya sendiri. Bila ibu bapanya telah tiada, besar kemungkinan anak ini akan hilang punca.

Mendidik anak-anak, kita perlu pendidikan yang sederhana. Umpama ibu yang mendidik anaknya memanjat menara. Dia membimbing dan memberikan semangat bukan mengarahkan dan marah-marah bila anaknya gagal.

Dia menunjukkan laluan bukan menentukan jalan yang harus diikuti.

Namun, dalam mendidik anak-anak menjadi manusia yang cinta pada agama, sesekali kita harus memaksa. Dalam mengajar anak untuk bersolat umpamanya.

Namun ia harus diawali dengan pendidikan berterusan sebelumnya diiringi dengan teknik-teknik yang lain yang positif. Rotan dan paksaan harus menjadi kaedah terakhir untuk memberi amaran kepada anak-anak bahawa dalam Islam, ada perkara yang tidak boleh bertoleransi.

“Ayah, jom main jongkang jongket kat sana tu!” Laungan Humaira’ memecahkan angan pemikiran saya petang itu. Saya bangkit dengan semangat baru, dengan kaedah baru.

Terima kasih ibu muda dan anaknya. Ada sesuatu yang saya belajar dari kamu berdua.





No comments:

Post a Comment