Ibarat Menjaga Pohon Mangga.

Ya Allah, jadikanlah mereka penyejuk mata bagiku dan peliharakanlah mereka dalam hidayah dan iman sehingga ke akhir hayat mereka. Berilah kekuatan kepadaku untuk menjadi seorang ayah yang mampu untuk membimbing anak-anakku ke arah jalanmu yang diredhai.


“Pakai kasut kaki kanan dan keluar rumah baca “Bismillah Tawakkal Alallah”,”saya berpesan sebelum van untuk menghantarnya ke sekolah tiba di rumah. “Bismillah tawakkal alallah, ” perlahan sahaja dibacanya kalimah tawakkal yang besar maknanya itu, dengan wajah yang kelat. Kelat menahan sejuk angin pagi musim luruh yang mencengkam hingga ke tulang. Tika musim sejuk nanti, entah bagaimanalah kisahnya.

“Humaira, dah naik van nanti jangan lupa baca doa ye,” saya mengingatkan lagi ketika pintu van telah saya buka. 

Setiap pagi saya akan mengingatkannya untuk membiasakan diri dengan berdoa sebelum keluar rumah dan ketika menaiki van untuk ke sekolah.

Bukan hanya ketika keluar rumah atau menaiki van, malah saya juga berpesan agar dia tidak lupa untuk berdoa ketika masuk ke tandas di sekolah, ketika hendak makan dan ketika hendak memulakan pelajaran. Juga membaca ‘Bismillah’ pada setiap perkara yang ingin dilakukannya.

“Baik ayah,” perlahan dia berbisik saat saya memeluknya erat di pintu van.

“Jangan lupa tau!” sekali lagi saya mengingatkan, dan ketika pintu van telah ditutup saya akan melambai-lambai dan mengangkat tangan seperti orang berdoa agar dia juga berdoa setelah duduk dan memakai tali pinggang keledar van. Adakalanya dia berdoa, adakalanya dia terlupa. Tapi setiap hari sebelum pergi dan kadang-kadang setelah saya pulang dari universiti saya akan bertanya kepadanya agar dia merasakan bahawa zikir dan doa adalah perkara yang penting dalam hidupnya.

“Alaa, malu lah ayah,” pernah juga suatu ketika dia menyatakan bahawa dia malu untuk berdoa kerana rakan-rakannya yang lain semuanya tidak berdoa.

“Apa yang hendak dimalukan, bukannya Humaira’ buat kesalahan, malah Humaira’ berdoa memohon kepada Allah. Kalau tak hendak  berdoa dengan kuat, berdoalah dengan suara yang perlahan, Allah tetap mendengarnya.” Saya menjelaskan hakikat doa, yang telah saya jelaskan berkali-kali sebelum ini kepadanya dan tetap akan saya jelaskan kepadanya lagi selepas ini sebagai peringatan.

“Sepatutnya Humaira’ lebih malu bila syaitan jantan dan syaitan betina akan tengok Humaira’ semasa dalam tandas nanti kalau tak baca doa, eeeeee malu nanti” Saya menambah lagi, agar mengapa doa masuk ke tandas itu tidak boleh dilupakannya.

Menghantarnya ke sekolah yang tidak ada di dalamnya zikir-zikir dan doa yang dialunkan beramai-ramai sebelum bermula waktu kelas dan sebelum makan, tiada suasana solat dhuha dan asar bersama-sama seperti di tadika lamanya memerlukan saya dan isteri berusaha keras untuk mengekalkan jati dirinya sebagai seorang muslim yang basah hatinya dengan zikir, doa dan solat.

Menjadikan hatinya tetap kekal pergantungannya kepada tuhan yang maha esa melalui zikir dan ibadah.
Setiap pagi, selepas selesai mandi, sambil menyikat rambutnya saya akan membacakan pelbagai doa dalam bahasa melayu dengan perlahan di tepi telinganya. Antaranya:

“Ya Allah, jadikanlah Humaira’ seorang anak yang solehah, rajin solat setiap waktu, rajin membaca Quran, selalu berbuat baik kepada ibu bapa, adik Khadijah, kawan-kawan dan guru di sekolah.”

“Ya Allah, jadikanlah Humaira’ seorang yang sabar, mudah bangun pagi dan kuat tahan sejuk, seorang yang baik hatinya dan seorang muslim yang sentiasa cinta akan syurga. Wahai tuhan, masukkanlah anakku ini ke dalam syurga bersama ayah dan ibunya.”

Kemudian saya akan memeluk dan mengusap ubun-ubunnya dengan lembut. Menurut seorang pakar motivasi,  berpesan kepada anak ketika baru selesai mandi adalah antara waktu yang baik untuk pesanan itu tertanam di dalam hatinya.

Begitu juga jika saya berkesempatan untuk menidurkannya, saya tidak akan melepaskan kesempatan untuk menyambung hafazan surah Al Mulk atau apa jua surah yang telah dihafalnya semasa di Malaysia, juga kadang-kadang saya menceritakan kepadanya beberapa kisah yang baik dari Al Quran dan hadis agar lena dan mimpinya ditemani keberkatan Qur’an serta pesanan-pesanan dari baginda Rasulullah s.a.w.

Mendidik anak-anak adalah suatu mujahadah, ia bukan perkara mudah yang akan terbentuk tanpa perancangan dan perlaksanaan yang teliti. Kerana jiwa anak-anak adalah ibarat tanah yang subur, jika tidak sentiasa digembur dan ditanam dengan pohon-pohon yang baik dan berbuah, maka yang akan tumbuh hanyalah lalang dan rumput liar yang menyesakkan pandangan dan menjadi tempat bersembunyinya segala ular dan lipan yang bisa.

Jika kita menanam pokok mangga, dan ingin agar pohon itu mengeluarkan buah mangga yang manis maka tentu kita akan menjaganya dengan sempurna. Membajai dan menyirami pohon mangga itu secara berkala dan dengan kadar yang sepatutnya. Manakala lalang dan rumput yang tumbuh di sekeliling pohon itu juga harus dibersihkan dengan teliti agar tidak mengganggu pertumbuhannya.

Baja juga bukan sebarang baja, ketika kecil diberikan baja untuk menggalakkan pertumbuhannya, setelah agak besar maka diberikan pula baja bunga agar tumbuh pucuk-pucuk yang kemudian akan mengeluarkan bunga. Kemudian tika berbuah, buah itu dibalut dan dijaga rapi agar buah itu selamat dari serangan burung dan serangga yang merosakkan.

Setelah berusaha menjaga pohon mangga itu dengan sempurna, maka kita meletakkan tawakkal kita kepada Allah kerana hakikatnya kita hanya mampu berikhtiar, namun yang berkuasa sepenuhnya ke atas pokok itu adalah pemilik alam yang maha berkuasa atas segalanya.

Namun begitu, anak pohon mangga tadi dengan harapan yang sama untuk mendapatkan buah yang manis, tetap akan membesar jika tidak dijaga. Tetapi dengan membiarkannya tanpa air dan baja, mungkin sahaja ia akan membesar menjadi pohon mangga yang menyesakkan pandangan jika tidak mati di peringkat awal pertumbuhan atau mungkin juga bantut di pertengahan tumbesaran. Sementara buahnya juga mungkin tidak akan semanis dan sebanyak pohon mangga yang dijaga rapi.

Untuk merosakkan anak pohon mangga, kita boleh mengambil parang untuk mencantas atau meletakkan racun rumput disekelilingnya, akan tetapi dengan membiarkannya tidak berjaga atau memberinya baja dan air yang berlebihan juga akan merosakkannya.

Begitulah juga dengan anak-anak, memberikan mereka lebih perhatian, kurang perhatian atau langsung tidak memberi perhatian, akan merosakkan mereka. Kasih sayang dan perhatian ada kadarnya yang tersendiri. Ada ketikanya kita perlu berlembut, ada ketikanya kita perlu tegas dengan mereka.

Sebagai ibu bapa, kita pasti tidak akan lepas dari melakukan kesalahan dalam mendidik, ada masa-masanya dimana kita akan hilang sabar dan berlaku tidak adil kepada mereka. Namun ia adalah satu proses panjang yang memerlukan kita sentiasa perlu kepada pelajaran dan kesabaran. Janganlah malu dan segan untuk meminta maaf kepada anak-anak jika kita melakukan kesalahan dan jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang telah berjaya membesarkan anak-anak menjadi insan berguna.

Jika kita mahu anak kita membesar seperti pohon mangga yang manis yang mampu untuk memberi manfaat kepada umat, maka jagailah ia dengan rapi dan teliti, mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberikan petunjuk untuk kita membesarkan anak-anak menjadi manusia yang soleh dan musleh.

No comments:

Post a Comment