Doa yang tulus dari hati yang mulus



“Cuba maira baca surah Zalzalah ayah nak dengar”, aku memulakan sesi usrah selepas solat maghrib bersama anakku di surau semalam dengan menguji hafazannya…

“Ok, tapi lepas tu maira nak ayah cerita pasal surah Zalzalah tau” Humaira meletakkan syaratnya sebelum dia membaca surah tersebut.

“Ok” aku menjawab ringkas tanda bersetuju, memandangkan telah lama aku berjanji untuk menceritakan kisah surah Zalzalah kepadanya, namun sehingga kini belum tertunai janji itu.

Humaira memulakan bacaannya, “Bismillahirrahmanirrahim…..izazulzilatilardhuzilzaalahaaa....”
Alhamdulillah, kualiti bacaan hafazan anak sulungku ini kian lama kian baik, moga berterusan hingga dapat menghafaz keseluruhan Qur’an.

“Dalam surah Zalzalah, Allah cerita pasal hari kiamat” aku memulakan kisah setelah sesi hafazan selesai sambil Humaira duduk bertemu lutut denganku menumpu sepenuh perhatian. Wajah kecilnya begitu fokus merangsangkan lagi untuk aku bercerita dengan penuh semangat.

“Masa hari kiamat, semua manusia yang dah mati, Allah hidupkan diaorang semula, pastu semua orang akan pergi ke Padang Mahsyar...” aku bercerita siap dengan mimik muka dan gaya tangan

“Dekat Mahsyar, Allah akan balas semua perbuatan kita kat dunia ni, kalau kita buat baik sikit pun Allah akan balas, kalau Humaira kutip sampah sekecil ni pun (sambil aku mengutip sisa kertas halus dilantai surau) Allah akan kira sebagai pahala...”

“Yeke Ayah?”, kemudian dia terus melihat ke kiri dan ke kanan, dan ditemukannya sisa tahi cicak yang kecil...

“Ayah, tong sampah mana, maira nak pergi buang sampah kat dalam tong sampah la” begitu pantas dia mengaplikasikan ajaran dari surah Zalzalah.

“Nanti la dulu, ayah tak habis cerita lagi ni” aku menyuruhnya kembali duduk supaya aku boleh menghabiskan ceritaku.

“Semua kebaikan tak kira kecil atau besar, maira senyum kat ibu dengan ayah ke, tolong kawan-kawan ke, salam dengan cikgu ke, semuanya akan dapat pahala, bila kita dapat banyak pahala harapnya Allah akan masukkan kita akan masuk dalam syurga” aku menerangkan hakikat balasan kebaikan kepadanya.

“Haaa, dalam syurga boleh mintak aiskrim kan ayah, ada sungai best yang kita boleh mandi kan” wajahnya kelihatan ceria apabila disebut tentang syurga

“Iye, semua ada, semua maira boleh dapat” aku merangsangkan lagi kecintaan dan kerinduannya kepada syurga.

Kemudian aku menambah lagi, “Kalau maira nak masuk syurga, maira kena selalu minta maaf dengan Allah, maira kena selalu minta dengan Allah supaya Allah bagi maira masuk syurga”

“Macamana nak minta maaf dengan Allah ayah?” dia bertanya dengan wajah yang ikhlas, kasihan pula aku melihat wajah yang sebegitu.

“Ok, kalau maira nak minta aiskrim atau mainan dengan ayah macamana maira minta?” aku cuba membuat kiasan logik.

Dia tersengih-sengih sambil malu-malu mengucapkan dengan perlahan “Ayaaaah, maira nak aiskrim boleh tak?”

“Haa samalah kalau maira nak minta dengan Allah, sekarang cuba maira minta maaf dan minta masuk syurga dengan Allah pula” aku cuba mengajarkannya konsep doa yang sebenar iaitu doa dari hati yang penuh sedar dan permintaan yang penuh dengan pengharapan.

Mulanya dia kelihatan tersipu-sipu, tetapi setelah aku 3 kali aku menyuruhnya akhirnya diungkapkan doanya kepada Allah.

“Allah, maira minta maaf banyak-banyak, maira nak masuk syurga, maira takut masuk neraka nanti kena bakar dalam api, tolonglah” ucap Humaira dengan suara yang halus tapi penuh dengan harapan dari hati yang jernih dari dosa.

Aku hampir menangis mendengar doa yang diungkapkan dengan bersungguh-sungguh dan penuh mengharap, wajahnya penuh dengan tanda-tanda keikhlasan.

Tatkala Humaira berdoa, aku teringatkan diri yang bila berdoa selalu dengan hati yang lalai dan kadang-kadang tidak faham pun apa yang dipinta. Lebih buruk lagi apabila berdoa sambil menggaru sana sini atau kadang-kadang sambil membalas sms. Begitu buruk sikapku dihadapan Allah.

Apakah Allah akan mengkabulkan doa yang apabila diungkapkan, tidak difahami maknanya, kosong dari pengharapan dan rasa takut, serta dilakukan pula dengan cara yang sambil lewa. Marilah kita sama-sama melakukan reformasi dalam doa kita kepada Allah, belajarlah doa yang baik dari para nabi-nabi dan orang yang soleh serta berdoalah dengan hati yang penuh sedar.

“Allah, maira nak masuk syurga sangat, tolonglah maira...” Begitu tulus doa yang keluar dari hati yang mulus.

5 comments:

  1. Membaca entry ini membuatkan aku memandang sedalam-dalamnya lubuk hati ini Sham. Lama sungguh hati ini untuk begitu dengkil memdapatkan seikhlas dan semulus doa seperti si kecilmu itu. Mungkin aku yang selalu lalai dengan hal dunia, Astaqfir'rullah Al-azim ... Namun akan aku cuba untuk mengikhlaskan semua yang kulakukan hanya demi yang HAQ ... Yang berkuasa .. yang akan membalas semua perkara di hari pembalasan. Shm ... teruslah menulis... kerana aku akan menjadi pembacamu ...

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas inspirasi sahabatku...moga Allah memberikan rahmatnya kepada kita semua

    ReplyDelete
  3. masyaAllah hebat didikan encik sham pd maira..semoga sy pun berjaya didik anak mcm tu juga.insyaAllah...ameen

    ReplyDelete
  4. hmm...nak kata hebat tu mungkin saya tak sampai level tu, sbb belum terbukti, tapi saya dan isteri cuba berusaha dan sepanjang perjalanan itu, banyak gunung yang perlu kami daki

    ReplyDelete
  5. Subhanallah. Moga anta beroleh apa yg dicitakan.

    Teruskan perjuangan.

    Ana baru berpeluang menjengah blog (hampir 4 bulan x jamah internet)

    ReplyDelete