Pengubat Duka



Dalam kehidupan yang singkat ini, manusia akan menghadapi pelbagai warna-warna kehidupan, ada warna yang ceria, ada warna yang suram dan pastinya setiap dari kita akan menghadapi warna-warna kelam dalam kehidupan.

Realiti kehidupan tidak selalunya indah, kadang-kadang mentari bersinar indah, kadang-kadang awan mendung datang menyelimuti cahaya membuat hati menjadi duka.
Kita berduka atas 1001 sebab, ada yang berduka kerana diuji dengan ujian kesakitan dan kehilangan kawan dan keluarga, ada yang berduka kerana kekurangan wang, ada yang berduka kerana masih belum dikurniakan jodoh, ada yang berduka kerana gagal dalam peperiksaan, ada juga kerana gagal dalam kerjaya, ada yang kerana putus cinta bahkan mungkin ada yang berduka hanya kerana keretanya tercalar atau kucing kesayangannya hilang.

Ketika kita sedang berduka, mungkin ada yang memujuk, mungkin juga tiada dan selalunya tiada, kadang-kadang kedukaan itu disimpan di dalam hati menjadi luka yang bernanah, membusuk dan akhirnya pecah dengan rupa yang sangat hodoh dipandang mata.
Ada yang mengubat dukanya dengan tidur seharian, ada yang makan dengan banyaknya, ada yang melepaskan geram di gelanggang sukan, ada yang meluahkan perasaan pada steering kereta, kerap juga yang menulis di dalam blog, ada yang menyanyi, menari, memaki hamun dan pelbagai tindakan yang kadang-kadang diluar kewarasan bahkan lebih malang lagi, mungkin ada yang memilih untuk mengakhiri kehidupan.

Namun ubat duka pastinya bukan dengan melampiaskan nafsu, mengamarahkan dendam dan menurut apa sahaja bisikan perasaan.

Ubat duka yang paling mujarab adalah dengan terapi solat dan al quran. Bacalah al-quran sebanyak-banyaknya, solat dan mengadulah pada tuhan.

Allah itu sangat sayang pada hambanya, ketika dia melihat hambanya terbabas dan tidak mengingatinya, didatangkan ujian moga-moga kita kembali ingat kepadanya.
Kerap kali kita mendengar, mereka yang mengalami kecelaruan perasaan akhirnya menemui kedamaian pada hidangan Al-Quran, pada indahnya mengamalkan Islam sebagai sistem kehidupan.

Pada Islam ada kedamaian, keselamatan dan keindahan buat mereka yang bersepadu dengannya. Pada Islam ada redha dan sabar, ada kasih sayang dan ada kegembiraan perasaan.

Kenalilah islam, nescaya kamu akan ketemu di dalamnya sejahtera.

No comments:

Post a Comment