Lamunan Jumaat : Suatu Monolog Kegawatan

Semalam, dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat, aku terlihat 2 pekerja kontrak taman baru berdekatan dengan rumahku sedang berjalan kaki, berpakaian seperti hendak ke masjid juga untuk ke solat Jumaat.

Aku memberhentikan kereta dan menumpangkan mereka ke masjid Darulaman yang jaraknya lebih 10 minit perjalanan dengan menaiki kereta. Dalam perjalanan, aku berbual-bual dengan mereka.

Aku : Assalamualaikum, dari mana saudara berdua

Mereka : Waalaikumussalam, kami dari Sulawesi, Indonesia, bekerja buruh binaan di sana (sambil menunjuk kepada taman baru yang belum siap dibina berdekatan rumahku)

Aku : Lama dah tinggal di sini?

Mereka : Hampir setahun lebih dah bang (dengan loghat Indonesia yang pekat)

Aku : Kerja macamana? Berapa gaji yang dibayar?

Mereka : “Kerja ok la bang, mula pukul 8, habis pukul 5, kerja setiap hari kecuali hari Jumaat setengah hari je, mereka bayar RM 36 sehari, makan tidur semuanya di rumah kongsi, Alhamdulillah, boleh la bang nak simpan sikit-sikit, kalau di Indonesia susah nak cari makan bang.”

Dialog itu menyebabkan terdiam, kepala ku mula mencongak, RM 36 x 30, maka gaji mereka lebih kurang RM 1080. Tinggal di rumah kongsi tanpa bayaran sewa atau bayaran sewa yang sangat minimum, kos makan-minum yang dikongsi bersama dan ala kadar sahaja dan sudah tentu mereka ini tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya dan tidak akan berjalan-jalan tanpa tujuan. Jika mereka hanya berbelanja lebih kurang RM 400 sebulan, maka mereka boleh menyimpan lebih kurang RM 600 sebulan. Jika setahun maka 600 x 12, simpanan mereka lebih kurang 7200 setahun, jika 2 tahun maka 14400, 3 tahun, hah, kira lah sendiri.

Aku yang gaji 4000 sebulan pun tak dapat menyimpan sebanyak itu, bahkan setelah bekerja selama 6 tahun, simpanan ku tidaklah sebanyak mana. Hutang jauh lebih banyak dari simpanan. Secara relatifnya, pekerja buruh Indonesia di Malaysia ni, mungkin jauh lebih kaya dari kebanyakan rakyat Malaysia, kalau mereka lebih kaya dari aku yang kononnya kumpulan professional dan pengurusan, maka tentu mereka lebih kaya dari rakyat Malaysia yang berkerja sebagai kerani, penolong pegawai dan sebagainya.
Aku berfikir sendirian, membiarkan situasi dalam kereta kesunyian, kedua-duanya ku lihat amat selesa dalam kedinginan pendingin hawa kereta ku setelah berpeluh-peluh berjalan kaki sebentar tadi.

Aku mengelamun dan dalam lamunan itu aku terbayang keadaan kegawatan ekonomi yang seolah-olahnya tiada kesudahan. Pada fikiranku, sudah tiba masanya untuk setiap dari kita mempunyai multiple stream income atau pendapatan dari pelbagai sumber, supaya lebihan pendapatan kita dapat dijadikan tabungan di masa-masa susah, setiap dari kita harus berusaha untuk bekerja dengan tangan sendiri atau lebih tepatnya berniaga walaupun secara kecil-kecilan. Binalah kemahiran-kemahiran baru, jangan hanya terhad kepada satu kemahiran sahaja. Usah malu walau hanya menjual goreng pisang di tepi jalan.

Begitu juga pelaburan, sudah tiba masanya untuk kita mula melabur, tapi bukan dalam pelaburan berbentuk bon, debenture, saham dan produk-produk yang penuh dengan 1001 kesangsian, tetapi melaburlah dalam pembelian aset seperti tanah yang memungkinkan kita untuk bercucuk tanam ketika keadaan terburuk mungkin menimpa. Belajarlah untuk berbudi kepada tanah, nescaya anda tidak akan rugi.

Begitu juga dengan persediaan mental dan fizikal, latihlah diri dengan sedikit kepayahan untuk persediaan jika hari-hari mendatang penuh dengan kesukaran. Belajarlah untuk berpuasa dan ajarlah anak-anak dengan sedikit kesusahan. Aku kagum dengan kisah Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008 yang hanya tinggal di pondok buruk, tapi masih mampu mencapai kecemerlangan, beliau berpuasa ketika tiada makanan di rumahnya, tapi rupanya kelaparan itu mendidik dirinya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

“Allahuakbar, Allahuakbaaaaaar….” Laungan azan pertama setibanya aku di pintu pagar masjid mematikan lamunanku, menandakan aku harus fokus menafikan kebesaran-kebesaran yang lain fokus pada kebesaran Allah semata-mata, supaya hati ini kembali tunduk, kembali khusyuk dalam laungan ketaqwaan oleh khatib di atas mimbar.

No comments:

Post a Comment