Tahniah, Perjalanan Anda Baru Sahaja Bermula

Salam Tahniah untuk semua warga UUM yang berkonvokesyen hari ini dan secara khusus kepada pelajar-pelajar Perakaunan Sistem Maklumat, ucapan tahniah dan salam penuh kebanggaan dari saya untuk anda semua.

Melihat anda semua tamat pengajian adalah satu kepuasan bagi saya, gunalah ilmu di dada sebaik-baiknya, perjalanan kehidupan anda baru sahaja bermula.

Ingatlah, dunia ini hanyalah permainan dan hanya akhirat kampung yang akan kekal abadi. Jadikanlah dunia ini sebagai ladang akhirat untuk anda semua menuai hasilnya di sana. Walau sehebat mana kita di dunia, tapi jika disisi Allah nilaiannya hampa, sengsaralah kesudahan kita di kampung yang kekal disana.

Jadilah warga dunia yang bertanggungjawab, khalifah yang mentadbir alam ini membawa kemakmuran dan menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik untuk didiami.

Bilik 2.57 sentiasa terbuka untuk anda semua.

Menggapai Bahagia

Manusia adalah satu makhluk unik ciptaan Allah yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Manusia dikurniakan akal dan nafsu serta kemampuan untuk membuat pilihan, antara jalan yang benar dan jalan yang lurus.

Penciptaan manusia adalah suatu keajaiban, bermula dari proses persenyawaan yang penuh dengan rahsia-rahsia keagungan dan kebesaran, hingga kepada anatomi tubuh badan manusia yang begitu kompleks, menunjukkan kebesaran dan keagungan pencipta manusia.

Jika diklasifikasikan manusia kepada perkakasan dan perisian, seperti mana komputer, maka tubuh badan kita adalah umpama perkakasan (Hardware) dan roh kita adalah perisian (Software) yang mengoperasikan tubuh badan kita.

Untuk mencari kebahagiaan, manusia harus memperkuatkan roh, memberinya makanan - makanan kerohanian yang akan mengenyangkannya. Roh yang kenyang dengan pematuhan kepada Islam, akan membuahkan ketenangan yang diidam-idamkan.

Namun, ramai yang tersilap langkah, sangka mereka, kebahagiaan dapat dicapai dengan mengenyangkan tubuh badan, memuaskan nafsu dengan kebendaan, harta, pangkat, jawatan dan makanan yang enak-enak.

Nafsu tidak akan pernah puas, mengenyangkan nafsu hanya akan membuatnya lebih dahaga. Dahaga akan dunia yang tidak berkesudahan. Oleh sebab itulah ramai yang nampak kaya tetapi bahagia jauh dari mereka. Ada yang mempunyai rumah yang besar bak istana, tetapi bahagia tidak bertandang ke rumah mereka. Ada yang beristerikan isteri yang rupawan, tetapi bahagia tidak juga kesampaian, bahkan berakhir dengan perceraian.

Untuk menggapai kebahagiaan yang sebenar, manusia harus kembali kepada fitrah, melihat kembali hakikat dan tujuan penciptaannnya. Untuk mencapai bahagia, manusia harus kembali ke punca bahagia itu, iaitulah menjadi hamba kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Menjadi hamba kepada Allah bermakna merdeka dari segala tujuan-tujuan hidup yang rendah, bahkan merdeka dari menjadi hamba kepada sesama manusia. Menjadi hamba Allah yang setia adalah kunci kepada kebahagiaan yang dicari-cari oleh ramai manusia.

Tabiat Buang Sampah yang Menjijikkan



Rakyat Malaysia cukup terkenal seantero dunia dengan hospitaliti dan budi bahasa yang memikat hati. Rata-rata pelancong memuji sopan santun dan budi bahasa masyarakat Malaysia.

Syed Hussin Ali dalam bukunya Melayu, Masalah dan Masa Depan juga menyebut perihal masyarakat Melayu yang cukup terkenal sejak dahulu lagi dengan adat kesopanan dan kesantunan dan pembawaan inilah yang mencorakkan masyarakat Malaysia pada hari ini.

Tetapi, sepanjang kelana ku ke banyak negeri - negeri di Semenanjung Malaysia pada minggu lepas, menemukan aku dengan satu tabiat buruk masyarakat Malaysia yang amat menjijikkan. Tabiat yang aku maksudkan adalah tabiat buang sampah merata-rata.

Pemandu-pemandu kereta yang selamba mencampakkan puntung, kotak rokok, plastik air minuman dan pelbagai lagi sampah ke luar tingkap kereta semasa pemanduan, kulit durian yang dicampakkan di tengah-tengah lebuh raya yang hampir menyebabkan aku kemalangan, tabiat meludah merata-rata, membuang sampah di tempat-tempat awam terutama di kawasan-kawasan rekreasi adalah antara tabiat-tabiat buruk yang aku lihat dengan mata kepala ku sendiri.

Bagi mereka ini, biar halaman rumah mereka bersih, biar kereta mereka bebas sampah tetapi di jalanan biarkan saja.

"Ah, aku bayar tol, nanti ada le yang memungutnya" itu alasan yang sering kedengaran.

Ada juga yang berpendapat :
"Alaa, setakat satu dua sampah, takde kesan apanye"

"Takpe, nanti pekerja Majlis Bandaran pungut le"

"Aku bayar cukai, nanti pekerja Majlis takde kerja pula"

Alasan-alasan yang tidak masuk akal inilah yang sering dijadikan rasional bagi penjenayah sampah jalanan yang sering mencemarkan pandangan.

Pernah aku ke suatu tempat rekreasi di Yan Kedah dimana pembuangan sampah merata-rata dilakukan dengan melampau oleh pengunjung sehingga tempat rekreasi itu tidak sesuai untuk menjadi tempat perkelahan dek kerana kotornya dengan sisa makanan yang di buang merata-rata.

Masalah ini, tidak boleh dipandang enteng, kerana menjaga kebersihan adalah sebahagian dari iman.

Bagi seorang muslim, membuang sampah merata-rata adalah satu dosa, walau secebis kertas gula-gula. Setiap muslim yang sedar tidak sepatutnya terlibat dalam jenayah alam sekitar seperti ini.

Tabiat membuang sampah ini harus di didik sejak dari kecil lagi. Ajarlah anak-anak agar membuang sampah di tempat yang betul, walau hanya secebis kertas. Ajarlah anak-anak untuk menghargai alam sekitar dan menjaganya dengan amanah.

Dunia ini akan menjadi lebih bersih jika setiap individu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam.

Cukuplah agar masing-masing memungut sampah masing-masing dan di buang ke tempat yang sepatutnya.

Minggu yang sungguh melelahkan...

Minggu ini kudratku teruji, teruji dengan perjalanan jauh dan bebanan tugas yang bertimbun - timbun.

14 & 15 Mac 2009

Bermula dari seminar ERP Sabtu lepas, petangnya aku terus bergegas ke Kelantan untuk menyelesaikan beberapa urusan, selepas singgah bermalam di Tanah Merah dan menikmati nasi berlauk dan akok kegemaranku, seawal pagi aku terus bergegas pula ke Kuala Terengganu untuk menyelesaikan beberapa urusan lagi. Tengahari aku tiba di Kuala Terengganu, angin pantai yang ganas dan gelora ombak yang menggerunkan menyambut kedatangan kami di Terengganu.

Pekan, Pahang destinasi seterusnya, lewat malam Ahad, aku tiba di Pekan untuk urusan kenduri-kendara sebelah keluarga Isteriku.

16 Mac 2009

Peluang untuk berehat pagi itu ingin aku gunakan sepenuhnya, namun melihat keadaan rumah yang bagaikan tongkang pecah (baru siap renovation) menyebabkan aku tidak boleh duduk diam. Memunggah, membersih dan segalanya yang terdaya aku lakukan untuk menyedapkan mata memandang.

17 Mac 2009

Petang 16 Mac setelah tugasan Rambo di sebelah pagi, aku bertolak ke Hulu Klang, destinasi seterusnya, rumah ibu dan ayah ku. Perjalanan 3 jam berseorangan terasa amat sepi tanpa teman berbual disisi. Redup wajah ibu dan tenang wajah ayah yang menyambutku di muka pintu menghilangkan segala kesepian dan kelenguhan hari itu. Aku terlena dalam damai di bawah teduhan kasih sayang ibu dan ayahku malam itu.

18 Mac 2009

Seawal pagi aku keluar rumah untuk melaksanakan tanggungjawab penyeliaan praktikum, Gombak, Batu Cave, Selayang dan Kepong destinasi ku hari itu. Sungguh Lembah Klang ini bukan metropolitan untukku. Keserabutan dan kesesakan bagaikan permainan warga kota. Sehari di Lembah Klang, menempuh kesesakan yang sungguh menyesakkan dada.

19 Mac 2009

Pagi itu Sungai Buloh destinasi seterusnya, Massa Consulting House benar-benar mendamaikan perasaan ku, dari situ aku ke Batang Kali suatu destinasi mencabar yang perlu kesabaran pemanduan yang tinggi, kemudian bergegas pula ke Kuala Selangor dan seterusnya ke Sungai Besar. Selesai tugasan di Sungai Besar, jam menunjukkan hampir 3.30 pm.

Seterusnya untuk ke lebuh raya, aku harus melalui jalan lama Teluk Intan-Kampar-Gopeng sebelum dapat keluar ke lebuh raya utara selatan, 2 jam aku melalui jalan kampung tanpa sebarang tanda langsung ke lebuh raya. Aku merungut sendirian, betapa jauh dan letihnya perjalanan kali ini.

Akhirnya dapat juga aku keluar ke lebuh raya hampir jam 6 pm, dikejutkan pula dengan kesesakan di lebuh raya utara selatan, aku hampir hilang sabar. Mujur Alunan Ma'thurat dari radio keretaku yang dialunkan oleh Fahmi AQ 1 menyejukkan kembali perasaanku.

Jam menunjukkan hampir 9 pm setibanya aku di rumah. Setelah mandi aku tidak boleh terus berehat, harus aku bersedia untuk kelas keesokan paginya di UUM. Aku tidak sedar bila aku tertidur, hanya terjaga apabila Alarm Asma Ul Husna mengejutkan aku jam 530 am.

20 Mac 2009

Subuh pagi itu, aku di Masjid Darulaman, gamitan suara lembut Ustaz Khudri membaca surah Sajadah dan Al Insan sungguh mendamaikan rasa, namun selepas solat aku berzikir seketika dan terus pulang ke rumah tanpa menunggu kuliah Subuh pembasah jiwa oleh Ustaz Ahmad Abdullah, keletihanku masih belum hilang sebelum aku harus menyambung perjalananku ke UUM.

21 Mac 2009

Paginya aku harus ke UUM untuk pengajaran kelas UBS dan petangnya ke Pulau Pinang untuk kelas IT For Managers. Malam itu juga aku harus bertolak kembali ke Pahang untuk menghadiri kenduri adik iparku. Kalau diikutkan rasa, harus sahaja aku menguzurkan diri, namun ku gagahi juga untuk meraikan semangat ikatan ukhuwwah sesama keluarga.

22 Mac 2009 - ...

Selesai sahaja kenduri aku harus kembali ke Kedah secepat yang mungkin, kerana tugas dan tanggungjawab yang menghimpit-himpit, moga aku di beri kekuatan untuk terus meneruskan perjalanan.

Syukur pada Allah, kerana dikurniakan kenderaan yang gagah untuk membawaku ke sana dan ke sini.

Syukur juga pada Allah, atas kesihatan tubuh badan dan nikmat akal yang kau kurniakan kepada ku.

Syukur pada mu Allah, kerana masih mengizinkan aku berada dalam limpahan hidayahmu.

Petang Maghrib Itu : Derita Ibu Tua



Petang maghrib Rabu itu telah mengejutkan aku, merobek-robek perasaanku akan betapa biadapnya manusia akhir zaman ini terhadap ibu mereka.

Petang itu, aku tiba agak lewat di rumah, hampir Maghrib, tidak lama selepas aku sampai, azan berkumandang, rumahku sememangnya hanya 200 meter dari masjid Sabirin di Taman Permata.

Selesai solat Maghrib di masjid Sabirin, aku terus bergegas pulang, kerana ada tetamu yang akan bertandang, kerana jarak yang agak dekat, aku memilih untuk berjalan kaki sahaja, walaupun masih lagi kepenatan setelah perjalanan jauh ribuan kilometer.

Dalam kesamaran Maghrib itu, aku terlihat suatu susuk tubuh yang sedang berjalan meraba-raba, perlahan-lahan dan seolahnya tiada arah tujuan. Lantas aku mendekati susuk tubuh itu, ternyata seorang nenek yang sepertinya sedang kehilangan arah dalam kesamaran Maghrib.

Aku bertanya kepadanya "Nek nak kemana ni?", Ibu tua itu menjawab "Nenek nak pergi masjid, tapi nenek tak nampak jalan, dah habis sembahyang ke nak?"

Sambil memimpinnya ke tepi jalan aku bertanya lagi "Dah habis dah nek, Nenek dok jalan mana? Kenapa nek seorang aje ni?"

Dalam riak-riak kesedihan nenek itu menjawab, "Nek dok jalan 20 (bersebelahan Jalan 21 berhampiran rumahku) Nek nak pergi masjid, nak sembahyang, anak-anak Nek ramai, tapi semuanya entah ke mana, mereka nak hantar Nek ke rumah orang tua, tapi nek tak nak, nek nak dok rumah"

Tanpa banyak bicara, aku berlari mengambil keretaku yang kebetulan berdekatan aje, dan aku menumpangkan ibu tua malang itu ke masjid. Dalam kereta, ibu tua itu bercerita lagi. "Depa (anak-anak) nak berebut pencen, tapi nek tak mahu bagi, mereka nak bawa ke mahkamah, tapi setiap kali mereka datang, nek akan kunci pintu, nek tak mau jumpa depa"

Dalam hati aku menjawab "Masyaallah, anak jenis apakah mereka ini, sudahlah harta ibu nak diambil, nak dihantar lagi ke rumah orang tua-tua, sungguh biadap". Tapi bicaraku hanya di dalam hati.

Aku hanya membatukan diri, tidak mampu untuk berkata apa-apa, kelu seribu bahasa. Tanpa banyak bicara, aku terus memimpin ibu malang itu ke tempat solat perempuan dan terus aku pulang ke rumah tanpa memikirkan nasibnya selepas itu, harapanku agar jemaah muslimah di masjid yang agak ramai malam itu, dapat membantunya untuk pulang ke rumah. Moga nenek itu akan dipermudahkan Allah segala urusannya.

Wahai anak, cukuplah firman Allah ini sebagai peringatan :

"Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau keduanya sampai ke umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia"

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya dengan penuh belas dan kasih sayang, dan doakanlah : Wahai Tuhanku, Cucurilah rahmat kepada mereka, sebagaimana mereka telah mengasihaniku, memelihara dan mendidikku semasa aku kecil"

Al Isra : 23-24

Dosa derhaka adalah antara dosa-dosa besar, dan biasanya akan dibayar tunai diatas dunia lagi, jika tidak bertaubat, pembalasan di akhirat pasti lebih pedih. Wahai anak, usahlah derhaka, usahlah melihat kelemahan kedua ibu bapamu kerana kelak satu hari nanti kita juga akan menjadi tua.

Berbaktilah kepada kedua ibu bapa selagi mana mereka masih ada, jika mereka telah pergi, menangis air mata darah pun mereka tidak akan kembali.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Mac 2009

Berwajah Baru

Setelah mendapat "pujian" dari beberapa pengunjung blog berkenaan theme cofee yang sebelum ini menghiasi laman blog aku terutamanya ummuhumaira, maka malam ni aku telah berusaha dengan gigih untuk mencari template-template tercantik (pada perasaan aku je le).

Antara yang aku jumpa adalah template langit ni. Puas aku menggodek menggodam sampai jam 1 am, sekarang dipersembahkan, jeng jeng jeng...Blog ini telah berwajah baru!

Hah, amacam...?

huh, kalau tak cantik jugak lepas ni aku tak peduli, malas dah nak tukar-tukar template, asal cantik pada mata aku dah le...

Lepas ni blog Pembina Kedah pulak akan aku godek

Lamunan Jumaat : Suatu Monolog Kegawatan

Semalam, dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat, aku terlihat 2 pekerja kontrak taman baru berdekatan dengan rumahku sedang berjalan kaki, berpakaian seperti hendak ke masjid juga untuk ke solat Jumaat.

Aku memberhentikan kereta dan menumpangkan mereka ke masjid Darulaman yang jaraknya lebih 10 minit perjalanan dengan menaiki kereta. Dalam perjalanan, aku berbual-bual dengan mereka.

Aku : Assalamualaikum, dari mana saudara berdua

Mereka : Waalaikumussalam, kami dari Sulawesi, Indonesia, bekerja buruh binaan di sana (sambil menunjuk kepada taman baru yang belum siap dibina berdekatan rumahku)

Aku : Lama dah tinggal di sini?

Mereka : Hampir setahun lebih dah bang (dengan loghat Indonesia yang pekat)

Aku : Kerja macamana? Berapa gaji yang dibayar?

Mereka : “Kerja ok la bang, mula pukul 8, habis pukul 5, kerja setiap hari kecuali hari Jumaat setengah hari je, mereka bayar RM 36 sehari, makan tidur semuanya di rumah kongsi, Alhamdulillah, boleh la bang nak simpan sikit-sikit, kalau di Indonesia susah nak cari makan bang.”

Dialog itu menyebabkan terdiam, kepala ku mula mencongak, RM 36 x 30, maka gaji mereka lebih kurang RM 1080. Tinggal di rumah kongsi tanpa bayaran sewa atau bayaran sewa yang sangat minimum, kos makan-minum yang dikongsi bersama dan ala kadar sahaja dan sudah tentu mereka ini tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya dan tidak akan berjalan-jalan tanpa tujuan. Jika mereka hanya berbelanja lebih kurang RM 400 sebulan, maka mereka boleh menyimpan lebih kurang RM 600 sebulan. Jika setahun maka 600 x 12, simpanan mereka lebih kurang 7200 setahun, jika 2 tahun maka 14400, 3 tahun, hah, kira lah sendiri.

Aku yang gaji 4000 sebulan pun tak dapat menyimpan sebanyak itu, bahkan setelah bekerja selama 6 tahun, simpanan ku tidaklah sebanyak mana. Hutang jauh lebih banyak dari simpanan. Secara relatifnya, pekerja buruh Indonesia di Malaysia ni, mungkin jauh lebih kaya dari kebanyakan rakyat Malaysia, kalau mereka lebih kaya dari aku yang kononnya kumpulan professional dan pengurusan, maka tentu mereka lebih kaya dari rakyat Malaysia yang berkerja sebagai kerani, penolong pegawai dan sebagainya.
Aku berfikir sendirian, membiarkan situasi dalam kereta kesunyian, kedua-duanya ku lihat amat selesa dalam kedinginan pendingin hawa kereta ku setelah berpeluh-peluh berjalan kaki sebentar tadi.

Aku mengelamun dan dalam lamunan itu aku terbayang keadaan kegawatan ekonomi yang seolah-olahnya tiada kesudahan. Pada fikiranku, sudah tiba masanya untuk setiap dari kita mempunyai multiple stream income atau pendapatan dari pelbagai sumber, supaya lebihan pendapatan kita dapat dijadikan tabungan di masa-masa susah, setiap dari kita harus berusaha untuk bekerja dengan tangan sendiri atau lebih tepatnya berniaga walaupun secara kecil-kecilan. Binalah kemahiran-kemahiran baru, jangan hanya terhad kepada satu kemahiran sahaja. Usah malu walau hanya menjual goreng pisang di tepi jalan.

Begitu juga pelaburan, sudah tiba masanya untuk kita mula melabur, tapi bukan dalam pelaburan berbentuk bon, debenture, saham dan produk-produk yang penuh dengan 1001 kesangsian, tetapi melaburlah dalam pembelian aset seperti tanah yang memungkinkan kita untuk bercucuk tanam ketika keadaan terburuk mungkin menimpa. Belajarlah untuk berbudi kepada tanah, nescaya anda tidak akan rugi.

Begitu juga dengan persediaan mental dan fizikal, latihlah diri dengan sedikit kepayahan untuk persediaan jika hari-hari mendatang penuh dengan kesukaran. Belajarlah untuk berpuasa dan ajarlah anak-anak dengan sedikit kesusahan. Aku kagum dengan kisah Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008 yang hanya tinggal di pondok buruk, tapi masih mampu mencapai kecemerlangan, beliau berpuasa ketika tiada makanan di rumahnya, tapi rupanya kelaparan itu mendidik dirinya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

“Allahuakbar, Allahuakbaaaaaar….” Laungan azan pertama setibanya aku di pintu pagar masjid mematikan lamunanku, menandakan aku harus fokus menafikan kebesaran-kebesaran yang lain fokus pada kebesaran Allah semata-mata, supaya hati ini kembali tunduk, kembali khusyuk dalam laungan ketaqwaan oleh khatib di atas mimbar.

Sunnah ada dimana-mana



Salam Maulidurrasul untuk semua

Isnin lepas adalah hari ulangtahun kelahiran Rasulullah s.a.w yang tercinta. Cinta yang akan menyempurnakan keimanan dan membawa kita ke syurga.

Pada aku, cinta pada nabi bukanlah dengan berarak dan berselawat hanya pada hari Maulid sahaja, tetapi pada aku, cinta pada Rasulullah adalah dengan menjadi pengikutnya yang setia. Setia dengan sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan, bukan hanya sunnah yang kecil-kecil, tapi sunnah perjuangan yang membawa keadilan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Isnin lepas aku memilih untuk tidak berarak ke stadium atau ke mana-mana majlis Maulid, sebaliknya menyertai satu perlawanan bolasepak persahabatan di Pulau Pinang. Dalam bolasepak juga ada sunnah, sunnah dalam kesabaran, sunnah dalam kejujuran, sunnah dalam ketelitian, sunnah dalam kesungguhan, sunnah dalam berpasukan, ye sunnah itu ada dalam segala-galanya dari masjid hingga ke padang bola.

Mengamalkan sunnah, bermakna anda beriltizam dengan Islam, cinta pada Nabi, bererti cinta pada Islam...

Usah sempitkan Islam hanya pada ritual ibadah semata-mata, Islam itu adalah sistem kehidupan, Islam bukan sekadar nama, tapi Islam itu adalah isi dan kulit, Islam bukan hanya solat, puasa, zakat, haji dan pakaian sahaja, Islam meliputi segala-galanya, kewangan, politik, sukan, hiburan, hubungan antarabangsa, kaunseling, motivasi, penyelidikan bahkan namakan apa jua bidang, Islam pasti ada penyelesaiannya.

Marilah sempena Maulid Nabi ini, kita perkukuhkan iltizam kita dengan Islam, kerana hanya dengan Islam, kita akan beroleh kedamaian di dunia dan di akhirat.

Jangan Pandang Rendah Fitnah Dajjal



"Sejak terciptanya manusia hingga hari kiamat, tidak ada fitnah yang lebih besar selain dari fitnah dajjal"
(Riwayat Muslim)

Fitnah dajjal adalah fitnah terbesar yang akan menimpa umat manusia, tentera-tentera Dajjal yang terdiri dari kumpulan Freemasonry, Illuminati yang menyembah Lucifer (Iblis) sedang mempersiapkan dunia untuk menerima kedatangan Dajjal.

Fitnah yang akan dibawa olehnya amat dasyat dan hampir tidak mampu ditanggung oleh umat-umat yang beriman di zaman ini.

Selalulah kita mohon pertolongan dari Allah dilindungkan dari fitnah Masih Dajjal dan ajarlah anak-anak kita tentang bahana fitnahnya, kedatangannya kian hampir, bersediakah kita untuk berjuang menentangnya?

Berikut adalah Khutbah Rasulullah berkenaan Dajjal :

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal.

Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal.

Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalahumat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin.

Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya.Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu
ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku.

Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati.

Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka.
Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas.
Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
“Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti
ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata adanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula.

Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. “Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

The Choice is Yours:Scenes From The Arrivals

Salam, this is scenes taken from the documentary, The Arrivals, an exclusive documentary about the truth of an secret society that rules the world and created the foundation for the arrival of Al Masih Dajjal



Wake up!

Polemik Pakaian dan Aurat : Kefahaman yang Perlu Diperbetulkan



Sejarah menceritakan bahawa tujuan manusia berpakaian sejak dahulu lagi adalah untuk melindungi tubuh dari pelbagai ancaman luaran seperti kesejukan, gigitan serangga dan ancaman-ancaman lain. Pakaian juga satu simbol kebesaran, kemuliaan dan menunjukkan peribadi si pemakainya.

Dari ruang lingkup Islam, etika berpakaian adalah sesuatu yang cukup penting dan ada kaitannya dengan dosa dan pahala. Sah atau tidak ibadah khusus seperti solat dan haji bergantung kepada pakaian yang dipakai. Allah bahkan menyeru hamba-hambanya agar berpakaian yang indah-indah secara khusus apabila pergi ke masjid.

Perbincangan tentang pakaian dalam Islam tidak akan dapat dipisahkan dari masalah menutup aurat, kerana itu adalah antara objektif utama pemakaian dalam Islam. Bagi lelaki dan wanita, masing-masing mempunyai aurat tersendiri yang perlu ditutup kerana Allah.

Bagi lelaki, masalah menutup aurat biasanya jarang timbul, namun apabila membicarakan tentang aurat wanita yang secara teorinya cukup mudah iaitu wanita perlu memakai pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan seperti mana ketika solat, perlaksanaannya banyak yang pincang dan membawa kepada jenayah berpakaian di sisi Allah.

Wanita sememangnya telah dicipta oleh Allah fitrahnya suka kepada perhiasan, terutama dalam berpakaian. Kerana itulah, hari ini di seluruh dunia, terdapat jutaan jenis fesyen pakaian wanita pelbagai jenis dan rupa bentuk. Fesyen yang menutup aurat, kita katakan alhamdulillah, tapi masalahnya trend fesyen hari ini lebih banyak yang melonggarkan masalah menutup aurat.

Antara komponen yang paling penting dalam aurat wanita adalah rambutnya, wanita bukan sahaja perlu menutup rambut, bahkan melabuhkan tudung sehingga ke dada.
Hari ini, trend pemakaian tudung dikalangan wanita muslimah secara khusus di Malaysia amatlah cacamarba. Pelbagai jenis fesyen tudung diperkenalkan, namun amat sedikit yang mematuhi syariat. Berikut antara beberapa trend terkini yang popular di pasaran tetapi menyalahi syariat :

1. Tudung jarang hingga menampakkan sanggul dan leher.
2. Tudung jambul yang hanya menutup sebahagian sahaja dari rambut.
3. Tudung yang hanya menutup rambut sahaja, tetapi menampakkan leher.

Begitu juga dengan trend yang digambarkan dalam gambarajah diatas, semuanya pincang dalam perlaksanaannya.

Menutup aurat, secara khusus wanita muslimah adalah satu tuntutan yang sangat diberatkan, ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan dosa pahala.

Ramai yang menangguhkan pemakaian tudung dengan alasan belum sampai seru, namun sehingga bila seru itu akan tiba, adakah menunggu jemputan malaikat maut baru hendak bertaubat?

Ada juga yang berkata, “alaa, yang pakai tudung pun ramai yang buat maksiat, yang penting hati, tak pakai tudung pun kalau hati baik tak mengapa…”

Bagi yang berpendirian sedemikian, mereka perlu memahami bahawa manifestasi dari mempunyai sekeping hati yang baik akan mempunyai kesan terhadap penampilan luaran seseorang. Hati yang baik adalah hati yang takut kepada Allah dan takut juga untuk melanggar perintahnya. Bagi yang memakai tudung tapi terlibat dengan maksiat, urusan dosa mereka tidak ada kaitan dengan tudung yang dipakai, namun bagi yang enggan memakai tudung, terus terang mereka telah berbuat jenayah terhadap Allah yang sememangnya layak untuk diberi hukuman dan memberatkan timbangan dosa.

Tudung adalah lambang wanita muslimah yang taat, pemakaiannya yang sempurna akan dikurniakan ganjaran pahala dan diberikan ketenangan hati yang hakiki. Tidak salah untuk berfesyen, asalkan aurat ditutup dengan sempurna.