Bila Hendak Marah Pada Anak

“Humairaaaaaaaa!!! Khadijahhhh!!! Kenapa tak pergi tukar baju lagi dan masih menghadap iPad tu! Dari tadi ayah dah suruh, kenapa nak kena buat ayah marah! Pergi tukar baju sekarang!” Marah saya dengan suara yang agak tinggi. Bukan beberapa kali, bukan beberapa hari, tapi berpuluh kali dan hampir setiap hari akan diingatkan tentang displin selepas pulang dari sekolah, tapi masih gagal untuk dipatuhi.

Ada masanya saya mengingatkan dengan lembut, ada masanya saya berlawak-lawak sahaja, tapi hari ini, setelah berulang-ulang kali diingatkan, apatah lagi bila fokus displinnya hilang setelah menatap iPad yang sedang dicaj di atas meja, naik juga suara seperti Sarjan tentera.

Dengan anak-anak, tidak setiap waktu kita berlembut. Ada masanya kita perlu tegas, ada masanya kita perlu keras, ada masanya memang kita perlu marah dan ada masanya, sebagai manusia biasa kita akan merasa amat marah.

Bohonglah kalau saya katakan, saya tidak pernah hilang sabar dan tidak pernah marah pada anak-anak, dan saya yakin perasaan ini pasti dikongsi oleh setiap ibu bapa terutamanya yang mempunyai beberapa anak yang masih kecil.

Nota Untuk Murabbi: Ukhuwwah Geli Geli


“Aku tak boleh pi la dengan anak usrah aku yang seorang ini” Husni meluahkan perasaannya kepada saya selepas Solat Isya’ ketika kami berdua hendak berjalan pulang ke kampus penginapan.

“Aik, kenapa pula, tak ada angin, tak ada ribut, apa kes?” Saya bertanya kehairanan. Jarang Husni mengadu dalam keadaan begini, kesungguhannya dalam dakwah dan tarbiah serta keupayaannya untuk menyelesaikan banyak masalah-masalah kehidupan dan pada masa yang sama mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran akademik membuat ramai yang cemburu, termasuk saya sendiri yang tua setahun darinya.

Bila Husni mengadu begini, pasti ada sesuatu yang luar biasa.

“Entahlah, ada anak usrah aku yang seorang ni, dia jadi terlalu rapat dengan aku, rimas aku dibuatnya.” Jelas Husni, lemah.

Saya ber’aku’-‘hang’ sahaja dengan Husni, tidak ber’ana’-‘anta’ seperti dengan rakan-rakan lain dalam usrah.

“Apa masalahnya kalau rapat, baguslah begitu.” Balas saya kembali.

“Masalahnya terlalu rapat, asyik nak mengendeng dengan aku, ber ‘sms’ benda-benda remeh, nak berteman, asyik ajak aku makan, asyik ajak aku belajar sekali, macam makwe pulak.” Tambah Husni.
Saya hampir tergelak mendengarnya, pecah perut juga menahan, tapi sedaya upaya cuba menahan kerana melihat wajah Husni yang serius.

“Baru ni masa Qiam, masa tidur pun nak datang tidur sebelah aku, argghhhh….tertekan ko tahu tak…..geli pun ada.” Terang Husni hingga akhirnya saya tidak dapat menahan tawa yang pecah berderai di tangga masjid. Mengekek-ngekek saya tertawa terbahak-bahak.

Tentera Mesir Pengganas Sebenar

Bapa propaganda dunia
Dalam perang dunia kedua, jentera media Nazi di bawah seliaan Dr. Joseph Goebbles, seorang pakar dalam bidang komunikasi massa telah ditugaskan untuk mencipta propaganda bagi menaikkan semangat rakyat Jerman dan mendorong rakyat Jerman untuk mendokong tindakan parti Nazi dalam peperangan dan penjajahan Eropah.

Propaganda di bawah seliaan Dr Joseph Goebbles ini dikatakan begitu berjaya dan antara teknik yang digunakan adalah teknik pengulangan idea melalui semua jenis rangkaian media bagi memastikan propaganda dapat disampaikan dan difahami oleh semua rakyat hingga ke seluruh pelusuk German.

Teknik sama juga didapati digunakan oleh jentera media Zionis dalam konflik Palestin dan negara haram Zionis Israel seperti yang dinyatakan oleh James Zogby, pengasas dan pengarah Institut Arab Amerika dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh Huffington Post pada tahun 2009 dengan mendefinisikan penentangan HAMAS terhadap pembunuhan dan pencerobohan sebagai tindakan pengganas.

Definisi ini akhirnya diterima oleh banyak negara dunia dan hingga kini, ramai yang buta mata fikirnya melupakan isu asas pencerobohan, penjajahan tidak sah dan pengepungan penjara terbesar dunia oleh rejim Zionis dan menganggap HAMAS sebagai sebuah badan pengganas akibat dari propaganda dan penipuan media massa yang dilakukan secara berterusan.

Kini serangan pembohongan yang sama mula dilancarkan terhadap Ikhwan Muslimin pasca tragedi berdarah Dataran Nahdah dan Raba’ah. Setelah menjatuhkan Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihanraya yang bersih, memenjarakan Morsi dan ribuan pimpinan Ikhwan, membunuh ribuan jiwa orang yang beriman yang tidak bersenjata, membakar masjid, membakar hospital yang masih penuh dengan pesakit yang masih hidup, membakar khemah-khemah yang di sana ada anak-anak yang sedang tidur, menembak wanita dan menyerang dataran dengan kereta kebal dan bulldozer, kini pihak kerajaan Interim dan Tentera di bawah General As Sisi dan Hazem Beblawi cuba untuk menyalahkan Ikhwan dan melabelkan Ikhwan pula sebagai pengganas dan pemecah belah negara Mesir! Sungguh ironi!

Inilah Hazem Beblawi, Perdana Menteri Mesir (bukan Israel) dan antara yang terlibat dalam mengarahkan pembunuhan
Akhbar-akhbar dan rangkaian berita di Mesir mula memainkan peranannya dengan cara yang cukup jijik dan memualkan, gambar-gambar beberapa lelaki bersenjata yang tidak diketahui identitinya dicop sebagai pengganas Ikhwan, mereka yang terperangkap dalam masjid Al Fath dalam keadaan dikepung dan tidak bersenjata juga dianggap pengganas, bahkan hari ini dikhabarkan Ikhwan akan diisythiharkan sebagai pertubuhan pengganas secara rasmi oleh kerajaan kudeta Mesir. Lebih malang bila media-media antarabangsa, termasuklah media arus perdana di Malaysia yang menari dengan lenggok yang sama.

Hati-hati dengan propaganda ciptaan Dr Joseph Goebbles ini, kerana kepalsuan yang diulang-ulang, walaupun tidak logik akhirnya akan dianggap sebagai sebuah kebenaran. Jangan lupakan isu asas yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini, iaitu isu perampasan legitimasi Presiden yang sah, kepentingan agenda Islam yang dibawa oleh Morsi, sempadan Rafah dan nasib Gaza dan pembunuhan besar-besaran yang berlaku dengan cara paling kejam terhadap rakyat yang tidak bersenjata.

Sangat benar kata-kata Sheikh Ahmad At Tarefe dalam tweetnya pagi tadi:


“Distinguishing between the oppressor and the oppressed in Egypt is not a mystery except for an ignorant whose ignorance has become ingrained, or a person of hawā (vain desire) who is drowning in his hawā.

MENGAPA RASULULLAH BERPOLIGAMI? Jawapan Ayah Kepada Humaira’


“Ayah, mengapa Rasulullah ada banyak isteri?” Tanya Humaira pada suatu malam setelah saya bercerita kepadanya tentang kisah hidup Rasulullah. Khadijah yang turut sama mendengar awalnya, telah lama hanyut dibuai mimpi.

Sejak televisyen dikuarantin sementara untuk mengelakkan anak-anak terlalu ketagih dengan skrin, saya terpaksa meluangkan masa lebih untuk bercerita sebagai alternatif, kadang-kadang habis juga modal dan banyak yang perlu dibaca, tapi itulah harga yang perlu dibayar.

Saya bungkam seketika mendengar soalan tersebut, tidak pernah terlintas dan tidak pernah bersedia untuk menjawabnya. Walaupun saya banyak membaca juga tentang poligami, terutamanya poligami dalam kehidupan Rasulullah, tapi untuk menerangkannya kepada anak-anak, adalah sesuatu yang tidak pernah saya gambarkan.

Seperti biasa, saya memohon agar jawapan kepada soalan tersebut ditangguhkan untuk saya membaca dan berfikir dengan lebih panjang, Humaira bersetuju dan terus tidur selepasnya.

Lama saya berfikir dan meneliti pelbagai jawapan, pendapat rakan facebook juga saya pinta untuk meluaskan ufuk pemikiran. Persoalan ini perlu dirungkai penuh hati-hati, agar tidak menjadi fitnah di kemudian hari.

“Humaira’ ingat tak soalan Humaira’ tentang mengapa Rasulullah ada banyak isteri?” Tanya saya kepada Humaira pada satu hari setelah saya bersedia untuk memberikan jawapan.

“Ingat-ingat, ayah dah tahu ke jawapannya?” Balas Humaira’.

Ibu Bapa Interaktif

“Asmah, sudah-sudahlah dengan iPad tu, pergilah bermain dengan rakan-rakan di luar sana” Jerit Izzati, ibu kepada Asmah, kanak-kanak berusia lapan tahun yang obses dengan skrin tabletnya.

Asmah mendengar acuh tak acuh, jeritan ibunya tidak diendahkan, dia terus menatap skrin dengan khusyuk, entah apa yang ditatapnya.

Dalam satu lagi situasi.

“Azmi, marilah makan, nasi dah nak sejuk ni.” Laung Aisyah dari dapur, memanggil anak sulungnya yang berusia 6 tahun untuk makan tengahari. Azmi tidak berganjak, bagaikan telah dipukau oleh skrin televisyen Samsung HD bersaiz 60 inci dengan pelbagai rancangan yang menarik perhatiannya.

Saya yakin, sedikit sebanyak, situasi di atas pasti pernah atau sedang dialami oleh ibu bapa yang mempunyai anak dari generasi Z. Generasi skrin sentuh dan interaktif di mana segalanya pantas dan berwarna-warni. Tidak cukup dengan plasma dan LCD, kini muncul teknologi retina display dan skrin LED yang cukup mengasyikkan.