Selamat Hari Jadi Humaira’ Sayang!







Hari kelahirannya dikongsi bersama atuk dan mama (mak ciknya) yang amat dikasihi dan dirinduinya, lebih istimewa, hari lahirnya disambut dengan penuh meriah di seluruh Malaysia.

6 tahun telah berlalu sejak dirimu dilahirkan di dunia, menghiburkan kami dengan telatah dan keletah yang tidak pernah gagal untuk mencuit hati ibu dan ayah dan juga Khadijah. Semoga dirimu membesar sebijak dan sesolehah Saidatina Aisyah yang kami ambil nama manjanya sebagai namamu.

Selamat Hari Lahir Anakanda Humaira’, jika suatu hari nanti dirimu membaca coretan ini, ketahuilah bahawa cinta ayah dan ibu kepada dirimu adalah cinta tanpa syarat yang akan terus mekar selamanya,insyaallah.

Semoga kita semua akan berkumpul di syurga yang dirimu sentiasa ingin untuk ke sana dengan penuh gembira.

Terimalah lagu khas ini dari ayah buat Humaira’!

Mengapa Ibu Muntah?


“Kenapa hitam ikan bilis ni ayah?” isteri saya bertanya dengan suara yang lemah ketika saya sedang menceduk nasi dan lauk untuk dihidangkan ke dalam pinggan untuk berbuka puasa.

“Hmm, ada dua peraturan dalam dapur ayah ni, yang pertama jangan banyak tanya dan makan sahaja apa yang tersedia, kemudian peraturan kedua, jangan lupa peraturan pertama!” saya menjawab selamba. Mengenangkan kekalutan di dapur tadi saya jadi malas untuk menjawab. 

Hari yang serba tidak menjadi.

Biasanya tugas-tugas di dapur dibereskan oleh isteri saya, namun sejak dia berbadan dua, alahan yang dialami menyebabkan dia hanya terbaring keletihan ditambah dengan alahan kepada bau masakan yang datang dari dapur.

Isteri saya tersenyum mengejek. Lemah.

Saya menuangkan kicap ke pinggan sebagai kuah. Sudah lama tidak makan kicap, telur rebus dan ikan bilis goreng hangit begini. Kali terakhir rasanya ketika bergelar pelajar berbelas tahun dahulu.

Tiba-tiba isteri saya bingkas bangun dari kerusi sambil menekup mulut dan berlari ke bilik air sejurus azan berkumandang dari telefon bimbit menandakan masuk waktu berbuka puasa.

Dan kemudian, kedengaran bunyi muntah dari bilik air. Saya, Humaira dan Khadijah saling pandang memandang, membiarkan segalanya selesai dahulu.

“Humaira’ tengok adik sebentar, ayah nak tengok ibu sekejap.” Saya memberi arahan.

Saya menyudahkan beberapa suapan dan kemudian bergegas ke bilik air. Muntahnya telah berhenti, namun isteri saya masih berdiri di hadapan sinki. Saya mengurut-urut belakang badannya.

Humaira’ dan Khadijah yang menurut langkah saya ke bilik air juga turut sama melihat dengan wajah simpati.

“Ayah, kenapa ibu muntah?” Tanya Humaira’ ketika saya sedang membersihkan sinki. Isteri saya kembali baring di bilik dengan wajah yang pucat.

“Hmmm, sebab ibu mengandung la.” Jawab saya ringkas.

“Kenapa orang mengandung kena muntah ayah?” Satu lagi soalan dilemparkan. Allah, sudahlah dalam keadaan begini, datang pula soalan-soalan yang mencabar minda.

Tidak pula saya ketahui secara spesifik tentang punca alahan dan muntah-muntah ketika mengandung, kalau tidak silap saya ia disebabkan oleh peningkatan hormon estrogen secara mendadak dalam tubuh yang menyebabkan deria bau menjadi sangat sensitif.

Ada juga kajian yang agak menarik dari sebuah universiti di Amerika yang saya pernah terbaca yang menyatakan bahawa muntah-muntah itu adalah satu tindakbalas tubuh bagi menyelamatkan bayi dari terdedah kepada bahan-bahan berbahaya yang datangnya dari makanan yang dimakan oleh ibu yang sedang mengandung.

Yang mana satu betul, wallahua’lam. Namun untuk menerangkan secara saintifik kepada Humaira’ dalam keadaan begini, mungkin di lain masa.

“Hmm, masa ibu mengandungkan Humaira’, ibu muntah lagi teruk.” Saya memberi jawapan yang tidak menjawab soalannya. “Ibu banyak kali masuk hospital masa mengandungkan Humaira’, masa mengandungkan Khadijah pun ibu muntah-muntah juga.” Jelas saya lagi.

“Kemudian masa nak melahirkan Humaira’ dan Khadijah, perut ibu kena potong dengan pisau untuk keluarkan kamu berdua. Sakit.” Saya menerangkan, merujuk kepada pembedahan ceaserean yang dilalui oleh isteri saya pada kedua-dua kelahiran.

“Lepas bersalin, ibu kena beri susu pula, masak dan suapkan makanan, berjaga malam bila kamu berdua menangis tak henti-henti, basuh kencing dan tukar lampin setiap hari sampailah Humaira’ dah tak pakai lampin lagi sekarang.”

“Banyak tak kerja bila jadi ibu, dan susah tak rasanya ibu kena lalui semua tu?” saya bertanya.
Humaira’ mengangguk perlahan dan menjawab, “susah”.

“Haa, sebab itulah, Humaira’ kena sentiasa dengar cakap ibu, kena sentiasa doakan yang baik-baik buat ibu, sentiasa buat baik pada dia dan kena jaga ibu bila ibu dah tua nanti. Sebab ibu dah bersusah payah mengandung, melahirkan dan menjaga Humaira’ sampai besar.”

“Tambahan pula, Allah cukup suka pada anak yang sayang dan buat baik pada ibu malahan 
Allah perintahkan supaya anak-anak sentiasa berbuat baik kepada ibunya.” Dalam Al Quran, banyak ayat-ayat yang memerintahkan agar anak-anak berbuat baik kepada kedua orang tuanya terutama kepada ibunya kerana proses membesarkan anak yang sangat berat.
Antaranya adalah ayat dalam surah Luqman ayat 31,

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”


“Tak guna kita buat amal kebaikan, banyak solat, rajin puasa dan pandai di sekolah kalau kita tak sayang dan jaga ibu kita dengan baik.” Jelas saya lagi.

Teringat saya pada kisah Al Qamah yang menderita ketika sakaratul maut kerana melukakan hati ibunya. Masyaallah. Amal solehnya tidak kurang, bahkan terpilih untuk hidup pula di zaman sahabat, namun kerana segaris luka di hati ibunya, maka hampir tertutup pintu syurga buatnya. 

Mujurlah ketika itu ada Rasulullah yang menyelesaikan urusannya dengan ibunya.

Cukup menakutkan. Moga Allah akan melindungi kita dari menjadi anak derhaka yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Tidak guna amal kebaikan yang bertimbun, harta yang melimpah ruah jika hati ibu tidak kita jaga dengan kemas.

Moga-moga Allah memberikan ilham kepada kami untuk menjadi anak-anak yang baik buat kedua ibu bapa kami dan semoga anak-anak yang kami ada ini juga akan menjadi anak-anak yang baik buat kami berdua. Insyaallah.



Rahsia Tarikh Mati


“Ayah, hari Kiamat bila?” Tanya Humaira’ pada suatu petang selepas kami berdua pulang dari membeli belah barang keperluan rumah dari K-Mart di Firle Plaza.

Entah apa yang bermain difikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan sebegitu.

“Ayah tak tahu sayang, bahkan tiada siapa yang tahu, Rasulullah pun tak tahu, tarikh hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah sahaja. Tidak ada yang lain yang mengetahuinya kecuali Allah sahaja.” Jelas saya berdasarkan kepada makna dari sebuah hadis.

Dalam sebuah hadis sahih yang saya baca dari kitab hadis 40 susunan Imam Nawawi, diriwayatkan bahawa Jibril pernah datang berjumpa dengan Nabi dan bertanya tentang tarikh hari kiamat. Lalu jawab Rasulullah.

“Tidaklah yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya.”

Bermaksud, keduanya iaitu Rasulullah dan malaikat Jibril penghulu segala malaikat pun tidak mengetahui akan tarikh kedatangan hari agung tersebut.

“Kenapa ayah? Kenapa Rasulullah tak tahu? Kenapa Allah tak beritahu dia?” Tanya Humaira’ lagi membuatkan saya berdehem-dehem beberapa kali mencari idea untuk menjawab.

“Humaira’, ada perkara-perkara yang memang Allah sengaja tidak beritahu untuk menguji kita.” Saya menjelaskan dengan perlahan-lahan.

“Sebagai contoh, semua manusia akan mati, tapi tiada siapa pun yang tahu bila tarikh dia akan mati.” Saya memberi contoh yang lebih dekat dan relevan dengannya berbanding mengisahkan tentang rahsia tarikh hari kiamat, kerana ia satu misteri besar yang hanya diketahui oleh pencipta alam ini.

Dengan kemajuan teknologi, para Doktor boleh menduga bila tarikh seorang bayi itu akan dilahirkan berdasarkan kepada gambaran-gambaran tertentu melalui teknologi ultrasound yang canggih, tapi secanggih mana teknologi manusia, tidak akan ada yang mampu meneka atau menunda tarikh kematian walau seorang manusia sekalipun di atas muka bumi ini.

Betapa lemahnya kita sebagai hamba Allah yang maha perkasa urusannya atas segala sesuatu.

“Kematian ini, Allah rahsiakan dari kita supaya kita boleh buat banyak amal kebaikan sepanjang hidup sampai kita mati, bukan bila kita tahu yang kita hampir mati.” Saya menyambung penjelasan.

“Allah nak supaya kita semua bersedia untuk mati pada bila-bila masa sahaja.”

Menjelaskan perkara ini, berdebar-debar juga hati saya dibuatnya kerana teringat akan tarikh kematian sendiri yang tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat bila telah tiba masanya.

Tua, muda, miskin atau kaya, terkenal atau tidak terkenal, berjawatan penting atau tidak penting, bila tiba masa ajal menjemput, maka kita semua pasti akan pergi.

“Sebab itu, kita kena buat baik sepanjang masa sayang, supaya bila kita mati, kita akan mati dalam keadaan kita berbuat kebaikan.”

Sesekali berbicara tentang perkara sebegini, membuatkan diri terasa begitu hampir dengan kematian. Rasa gerun kerana sememangnya diri ini belum cukup bersedia untuk menghadapinya. Benarlah sabda Rasulullah bahawa mereka yang paling bijak adalah mereka yang banyak mengingat mati.

Orang yang sentiasa ingat kepada hari kematian akan sentiasa menghisab setiap amalan dirinya dan cuba menjadikan setiap pekerjaannya sebagai yang terbaik kerana baginya hari esok mungkin tiada lagi dan akan ada perhitungan besar yang bakal menanti.

Tapi orang yang jauh dari ingatan kepada kuburan, biasanya mereka ini akan hidup bagai tiada hari esok, menikmati kehidupan bagai binatang yang tiada tanggungjawab. Hidup hanya untuk memenuhkan tembolok sendiri tanpa pernah runsing akan destinasi pasti bernama mati.

“Sebenarnya Humaira’, kita tak perlu tahu tentang bilakah akan tibanya hari kiamat atau bilakah kita akan mati, tapi apa yang kita perlu tahu ialah apa yang kita sediakan untuk menghadapi keduanya.” Saya menjelaskan lagi dengan bahasa yang agak tinggi, juga sebagai peringatan kepada diri ini yang sering lalai dalam menghadapi kehidupan.

Ketika kita runsing dengan pelbagai urusan dunia yang tidak akan pernah selesai dan ketika ramai juga para konspirator yang berkira-kira tentang tarikh kiamat bagi bumi dan bilakah Dajjal akan tiba, pernahkah kita runsing dengan persediaan untuk menghadapi kiamat kecil yang akan datang pada bila-bila masa. 

Telah bebaskah kita dari dosa yang bersarang selama ini?, 

Telah banyakkah sedekah jariah yang kita hulurkan? 

Jika yang mempunyai anak, sudahkah anak itu dididik untuk menjadi benteng kepada kita buat menahan dari siksaan yang tidak terperi sakitnya?

Masyaallah, Masyaallah...benarlah ingatan terhadap kematian itu akan menghapuskan segala kelazatan.

“Ya Allah, akhirkanlah kehidupan kami dengan sebaik-baik pengakhiran dan jauhkanlah kami dari siksa kubur yang menyakitkan.”

Makin Berisi Makin Berbudi Pekerti


“Ayah, sikit lagi Humaira’ akan masuk Iqra’ 6, dan kemudian boleh baca Quran dah!” Humaira’ berkata dengan bangga sambil mengangkat-angkat kening sebelum memulakan sesi pengajian petang itu.

Buku Iqra’ kemudian diselak-selaknya untuk membuktikan apa yang dikatanya.

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memandaikan Humaira’” Saya membalas, memulangkan puji-pujian itu kepada yang paling layak untuk dipuji.

“Ayah, ayah, Humaira’ dah menang dengan Najlah dah, Najlah baru Iqra’ 4, Humaira’ dah Iqra’ 6, ‘tera’ tak Humaira’” Bicaranya bersambung lagi dengan nada bangga dan kali ini sedikit ralat saya mendengarnya.

Kepandaian membaca Al Quran bukan suatu yang harus dibanggakan sesama manusia, begitu juga dengan kepandaian dalam penguasaan apa jua jenis ilmu,  tidak kira dalam ilmu agama atau ilmu mengurus dunia.

Kerana hakikatnya kita hanyalah hamba yang dipinjamkan tidak sampai setitis pun dari lautan ilmu Allah yang luas tidak terkira.

Menjadi orang berilmu seharusnya kita beriltizam dengan akhlak mulia dan sifat terbaik bagi orang berilmu adalah seperti padi, makin berisi, makin menundukkan diri dan istiqamah dengan budi pekerti yang tinggi.

Orang berilmu tanpa akhlak yang baik dengan Allah dan orang lain, ibarat pohon yang mengeluarkan buah yang busuk dan berulat. Tidak akan ada manfaat pada orang yang menjamahnya.

“Alhamdulillah, pandai anak ayah, bagus!” saya tersenyum membalas bicaranya, seperti biasa ayat ayat tarbiah mula disusun di kepala.

“Sebelum Humaira’ baca hari ini, biar ayah cerita sedikit ye.”

“Cerita apa ayah? Nak dengar!” Humaira’ menutup seketika buku Iqra’nya yang berwarna merah dan menumpukan perhatian untuk mendengar kisah.

“Baik, begini ceritanya.”

“Cerita ini berlaku di Padang Mahsyar, ketika semua manusia dikumpulkan oleh Allah untuk diperiksa amal kebaikannya.” Saya memulakan kisah dengan mengungkap kembali hadis sahih riwayat muslim dalam kitab Riyadhus Solihin yang dipetik dari bab ikhlas.

Hadis ini menceritakan tentang nasib 3 orang lelaki (syuhada’ di medan jihad, orang alim yang membaca al quran, hartawan yang dermawan) yang akhirnya terjerumus ke jurang neraka walaupun kelihatan hebat ketika beramal di dunia. Na’uzubillahiminzalik...

“Lalu seorang demi seorang dipanggil untuk diperiksa buku catatan amalnya, sama dia banyak berbuat kebaikan atau kejahatan.”

“Kemudian, sampailah giliran seorang lelaki yang pandai membaca Al Quran dan ditunjukkan kepadanya balasan baik yang akan dia dapat nanti.”

“Kemudian, Allah tanya pada lelaki tersebut apa yang dibuatnya di dunia, lalu lelaki tersebut menjawab bahawa dia rajin membaca Al Quran dan mengajarkan orang ramai kerana mu ya Allah.”

“Tapi, Allah kata balik pada lelaki tersebut, “Engkau pembohong, engkau baca Quran supaya orang lain mengatakan yang engkau pandai membacanya, dan engkau telah mendapatkannya!”

“Lalu kemudian Allah perintahkan supaya orang tersebut dimasukkan dalam neraka.”

“Rupanya Humaira’, lelaki tadi tidak ikhlas membaca dan mengajarkan Al Quran. Dia baca supaya dipuji oleh manusia, bukan supaya Allah suka.”

“Allah tidak suka orang yang buat baik supaya ingin dipuji oleh manusia, Allah mahu kita buat baik hanya kerana dia sahaja.”

“Jadinya, apa jua kebaikan yang kita buat, samada solat, puasa, membaca al quran, menolong ibu bapa dan apa sahaja, mestilah kita buat supaya Allah suka. Bukan kerana manusia suka dan bukan juga untuk dipuji oleh sesiapa.”

“Begitu juga dengan baca Iqra’, Alhamdulillah, ayah sangat bangga dan gembira Humaira’ dapat baca dengan baik, cuma, Humaira’ tanamkan dalam hati setiap kali ingin membaca Iqra’ yang Humaira’ membaca kerana ingin Allah suka (redha), bila Allah suka, insyaallah Allah akan beri banyak hadiah-hadiah yang istimewa untuk kita!”

“Lagi satu, jika ada kawan-kawan yang masih belum pandai, Humaira’ kenalah ajar mereka supaya jadi pandai. Dalam membaca Al Quran, kita kena bantu membantu, cara begitu lebih Allah suka lagi.”

“Tak perlulah rasa bangga bila kita pandai sikit berbanding dengan orang lain.” Humaira’ mendengar penuh khusyuk, harap-harap kisah ini akan berbekas dihatinya walaupun saya yakin saya akan perlu untuk mengingatkannya berkali-kali lagi tentang perkara ini selepas ini. Manusia itu kan sentiasa perlu pada peringatan.

“Baik, habis dah cerita ayah, jom kita baca, mula dengan al fatihah seperti biasa.” Saya menyudahkan tazkirah ringkas dan kemudian mengajaknya untuk memulakan pengajian.

“Al Faaatihah!” kami membaca bersama-sama.

Kenapa Nama Humaira’, Humaira’?


Hujan turun dengan lebat diluar. Bumi Adelaide basah bermandikan rahmat tuhan yang tidak membezakan antara mereka yang beriman dan mereka yang kufur.

Jalan yang basah dan licin akibat hujan yang turun tanpa henti sejak pagi ditambah dengan brek kereta Hyundai Lantra saya yang masih belum diperbaiki menyebabkan saya memandu dengan perlahan dan berhati-hati untuk menuju ke Masjid Khalil di Torrens Road bagi menunaikan Solat Isya’ dan Terawih.

Walaupun sedikit jauh, tapi bacaan Imam Amin dari Mesir yang cukup lunak membuatkan saya tidak kisah untuk memandu ke sana.

Malam ini, hanya saya dan Humaira’ sahaja yang pergi ke masjid. Isteri saya yang dimarahi oleh wanita Arab semalam kerana Khadijah bising di masjid ketika solat Terawih, telah serik untuk ikut bersama.

“Ayah, kenapa ayah bagi nama Humaira’, Humaira?” Humaira’ memulakan perbualan memecah kesunyian di dalam kereta.

Mendengar Humaira’ bertanyakan soalan, saya memperlahankan radio yang sedang mendendangkan lagu-lagu Ramadhan daripada pemain CD.

Banyak perbualan menarik antara kami berdua berlangsung ketika berdua di dalam kereta. Walaupun kadangkala ringkas, tetapi cukup bermanfaat. Alhamdulillah.

“Sebab, Humaira’ itu adalah nama panggilan kepada Aisyah, isteri Rasulullah yang sangat cantik dan cerdik.” Jawab saya, mengingatkan saya kepada perbualan antara saya dan isteri 7 tahun yang lampau ketika hendak memilih nama bagi anak pertama kami. Terasa seperti baru semalam ia berlalu.

“Ayah ingin, agar Humaira’ akan menjadi solehah dan cerdik seperti Aisyah. Lagipun Humaira’ kan cantik, Saidatina Aisyah pun cantik juga.” Sambung saya lagi sambil menyelitkan sedikit pujian. Anak perempuan memang sentiasa perlu kepada pujian, terutama dari ayahnya.

Teringat juga saya kepada perbincangan dengan Ustaz Fisol ketika hendak memilih namanya, selepas selesai urusan tahnik. Ustaz menyatakan bahawa saya hendaklah memilih nama dan memasang niat yang baik untuk anak tersebut.

Pesan Ustaz lagi, nama yang baik bukanlah nama yang hanya sedap disebut atau nama yang semata-mata popular apatah lagi jika gabungan nama antara ibu bapa yang tidak punya sebarang makna, tapi nama yang baik adalah nama yang punya makna yang baik.

Tapi tidak cukup sekadar itu, nama yang lebih baik adalah nama yang boleh kita sandarkan kepada peribadi-peribadi soleh yang dicintai oleh Allah seperti nama-nama Nabi, nama para sahabat baginda junjungan, nama orang-orang soleh seperti Imam Hadis dan mazhab dan juga pejuang-pejuang Islam seperti Hassan Al Banna, Ahmad Yassin dan Zainab Al Ghazali.

Kami sepakat memilih Humaira’ dan menyandarkan nama itu pada kesolehan Saidatina Aisyah, isteri baginda yang cukup disayanginya. Setelah wafatnya baginda, kecerdikan dan keberaniannya terserlah menjadi teladan buat ummah.

Tapi memang benar, Humaira’ memang mempunyai sedikit karakter-karakter Saidatina Aisyah seperti kuat cemburunya, tajam pemikiran dan pemerhatiannya, manja dan penyayang juga kuat ingatan dalam hafalan.

“Tapi, nama dia Aisyah, bukan Humaira’, kenapa ayah tak bagi nama Humaira’, Aisyah?” Saya tersenyum sendiri mendengar soalan itu. Telah saya jangka bahawa soalan ini akan ditanya, dan jawapannya telah lama tersedia.

“Begini, kan nama ayah Hisham, nama ibu Hasifah, kedua-duanya bermula dengan huruf H, jadi ayah nak nama yang bermula dengan huruf H juga. Sebab itu ayah bagi nama Humaira’, Humaira’. Jelas saya, jujur.

“Tapi Khadijah, nama dia tak mula dengan huruf H pun?” Balas Humaira’, juga dengan jujur tapi tidak puas hati.

“Khadijah kan nama dia Khadijah Hanan, ada H pada Hanan tu.” Saya ketawa kecil ketika memberikan jawapan.

Sejujurnya, padanan H bukan lagi motivasi utama ketika memberi nama anak kedua kami.

Ketika memilih namanya, saya amat inginkan semangat, kebijaksanaan, pengorbanan dan kesetiaan Khadijah Isteri Rasulullah pada suami dan juga dakwah tumpah pada anak kedua kami ini.

Seperti Humaira’, karakter Khadijah terserlah dengan jelas sejak kecil. Kehendaknya cukup kuat dan semangat explorasinya cukup terserlah. Mungkin sesuai dengan peribadi Saidatina Khadijah sebagai usahawan berjaya.

“Tapi namanya bermula dengan huruf K, bukan H.” Humaira’ mempersoalkan lagi. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Tak mengapalah Humaira’, K atau H, semuanya anak ayah dan semuanya ayah sayang. Ayah ingin supaya semua anak ayah jadi solehah seperti solehnya isteri Rasulullah. Sebab itu ayah bagi nama yang sama seperti nama mereka semua.”

Saya tidak lagi menjawab tentang H atau K, tetapi kali ini saya lebih fokus kepada maksud di sebalik nama tersebut agar dia juga faham bahawa namanya bukan sebarang nama, tapi nama yang mempunyai makna yang besar disebaliknya.

Semoga nama yang kami beri kepadanya akan mendorong dirinya untuk beramal dan berbakti seperti berbaktinya Saidatina Aisyah kepada ummah seluruhnya. Insyaallah.


Nanti Allah Nampak


Masuk hari ke 5 Ramadhan.

Humaira’ sedang melalui saat-saat mencabar untuk cuba berpuasa penuh buat pertama kalinya Ramadhan tahun ini.

“Bila nak berbuka ayah? Lambat lagi ke?” Humaira’ bertanya buat kali yang entah ke berapa. 

Soalan yang sama yang ditanyanya sejak jam 10 pagi.

“Ada 2 jam lagi.” Saya menjawab ringkas. hilang punca untuk memujuk dan kata-kata yang positif.

Jam menunjukkan pukul 3 petang, di Australia, waktu berbuka pada musim sejuk begini adalah sekitar jam 5.30 petang. Cukup melegakan berbanding rakan-rakan di hemisfera utara seperti di Scotland dan Ireland yang berpuasa pada musim panas dan khabarnya mereka berpuasa sekitar 18 ke 20 jam sehari.

Saya berfikir seketika, memikirkan kaedah lain untuk memujuknya agar bersabar.

“Ayah, ibu letihlah, ibu nak masuk bilik sebentar untuk berehat ye.” Laung isteri saya dari dapur. Memang sejak pagi dia tidak berhenti mengemas dan membersihkan rumah. Dengan keadaannya yang berbadan dua, mungkin keletihannya berganda-ganda.

Saya melihat Humaira’ yang sedang merengek-rengek sejak tadi. Laungan isteri saya tadi mencetuskan sedikit idea.

“Ibu dah masuk bilik untuk berehat Humaira’. Apa kata kita berbuka sekarang.” Saya mencadangkan kepada Humaira’ yang sedang merengek.

Rengekannya berhenti seketika. Mungkin tergamam dengan cadangan saya yang agak luarbiasa.

“Tak mengapa, ayah tak akan beritahu ibu yang Humaira’ minum dan makan sedikit. Kita buat senyap-senyap sahajalah.” Saya memprovokasi lagi. Lebih ekstrem.

Humaira’ merenung wajah saya kehairanan dan kemudian berkata sambil mencekak pinggang.

“Tak boleh, kan Humaira’ puasa.”

Alhamdulillah, taktik hampir menjadi.

“Alaa, tak mengapa, tiada siapa pun yang akan nampak dan tahu. Ayah tak akan beritahu ibu pun.” Saya memprovokasi lagi, kali ini dengan justifikasi. ingin menguji sejauh mana sifat ihsan yang ada pada dirinya.

Tapi nanti Allah nampak macamana?” Humaira’ menjawab tegas. Jawapannya mengingatkan saya kepada dialog yang berlaku antara seorang ibu dan anaknya pada zaman Saidina Umar.

Ketegasan dan sifat amanah wanita tersebut dalam berniaga telah menarik minat Saidina Umar untuk menjadikannya menantu dan akhirnya dari zuriat wanita solehah itu, lahir mujaddid Islam yang terkenal sepanjang zaman. Itulah Umar Bin Abdul Aziz.

Alhamdulillah. Moga sifat amanah dengan ibadah akan terus kekal dalam dirinya hingga ke penghujung hayatnya.

Tips Pendidikan Anak-Anak:

Mendidik anak-anak dengan sifat ihsan, cukup penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa amanah dengan ibadah iaitu merasai bahawa diri mereka sentiasa dibawah pemerhatian Allah ketika beribadah.

Bulan Ramadhan dan latihan berpuasa adalah medan terbaik untuk melahirkan sifat ihsan ini kerana puasa adalah ibadah yang hanya diketahui oleh Allah akan perlaksanaannya oleh setiap individu. Jangan lepaskan peluang dalam bulan Ramadhan untuk mendidik anak-anak dengan sifat ihsan dan taqwa kepada Allah.

Bahasa Jiwa Bangsa, Taqwa Jiwa Agama

Suasana di Pasar Gepps Cross sibuk seperti biasa.

Cuaca yang cerah dan agak suam dipenghujung musim sejuk ini menambah kemeriahan pasar pagi yang boleh dikatakan antara yang terbesar di Adelaide dan menjual pelbagai barangan dari buah-buahan dan sayur-sayuran segar, buku-buku, aneka jenis makanan, barangan antik hinggalah kepada kereta, basikal dan motosikal juga kadangkala boleh dijumpai dengan harga yang amat murah di sini.

Seperti biasa, kami sekeluarga akan mengambil kesempatan untuk mejenguk dan mencari bahan-bahan bekalan dan keperluan rumah kerana harga barangan disini  yang amat murah berbanding di tempat lain.

Biasanya isteri saya yang akan mengetuai ‘kontinjen’ sementara saya dan anak-anak hanya mengekor dan mengikut dari belakang sambil menyorong troli barangan.

“Ramainya Muslim kat sini kan ayah,” Humaira mengeluarkan kenyataan ketika kami berhenti di sebuah gerai menjual sayur. Kami bertiga setia menunggu sementara ketua ‘kontinjen’ memilih sayur yang ingin dibeli.

“Iye, ramai nampaknya.” Saya mengiyakan kenyataannya sambil mata saya juga melihat-lihat ramainya bilangan muslim yang bertandang ke pasar pagi ini. Mungkin Humaira’ mengenalinya dengan melihat lilitan tudung di kepala.

Memang benar, pagi ini kelihatan bilangan muslim yang bertandang lebih ramai dari biasa. Mencari kelengkapan dan bekalan untuk Ramadhan yang akan bermula esok agaknya.

Sedang kami menunggu di tepi gerai sayur, seorang lelaki melayu yang agak saya adalah dari kalangan pelajar ijazah pertama dari Malaysia melintas di hadapan kami. Kelibatnya biasa saya lihat di kampus, tapi tidak pernah berkesempatan untuk menegur.

Ketika melintas, pelajar itu masih dalam keadaan berbual melalui telefon bimbit menyebabkan dia tidak perasankan kami yang berada berhampiran. Saya melihat sahaja dia berlalu pergi.

“Tadi tu orang Islam juga kan?” Tanya Humaira’ setelah pelajar lelaki melayu tadi berlalu pergi.

“Iye, mana Humaira’ tahu?” Saya bertanya kembali.

“Sebab dia cakap Bahasa Melayu.” Jawab Humaira’.

“Oh!” Tidak sangka jawapan itu pula yang keluar dari mulutnya.

“Betullah orang tadi tu Islam, tapi Humaira’ ingat semua orang Muslim boleh cakap Melayu ke?” Saya bertanya untuk mengesahkan kefahaman. Kebetulan pula kawan-kawan muslimnya di East Torrens yang dikenali seperti Danish, Najlah dan Farah, semuanya boleh bercakap Bahasa Melayu.

“Yelah.” Jawabnya ringkas membuatkan saya menggaru kepala.

“Sebenarnya sayang, tidak semua orang Islam itu boleh berbahasa melayu. Di sini, ada juga orang Arab, India, Afrika dan orang Inggeris yang muslim, tapi tidak boleh berbahasa melayu. Macam yang Humaira’ jumpa ramai di kelas hari Sabtu itu lah.” Saya mula bercerita sementara menunggu Isteri memilih aneka jenis sayur untuk dibawa pulang. Bahasa adalah jiwa bangsa, tapi taqwa adalah jiwa agama.

“Orang Arab, dia cakaplah bahasa Arab, orang Cina dia cakap bahasa Cina, kalau orang India, dia akan bercakap dalam bahasanya. Tapi, orang apa jua mereka sekalipun, jika mereka muslim, sepatutnya mereka kena sembah Allah dan solat seperti kita solat.”

Saya menambah perkataan SEPATUTNYA, kerana muslim hari ini tidak seperti generasi awal muslim yang terdahulu.

Ada yang namanya muslim tapi cara hidupnya adalah cara hidup barat, halal dan haram dalam makanan dan transaksi kewangan tidak termasuk dalam pertimbangan. Islam padanya hanyalah ketika nikah, mati dan solat hari raya sahaja.

Menjadi muslim, punya ertinya yang tersendiri. Islam bukan hanya sekadar agama ritual tetapi adalah agama yang menyeluruh dan perlu dihayati dalam seluruh kehidupan.

Cara kita berfikir, cara kita bercinta, cara mendidik anak-anak, cara berinteraksi dengan ibu bapa, cara bergaul dengan jiran dan rakan sekerja, cara kita mencari rezqi, cara kita bertransaksi dengan orang lain yang Islam dan bukan Islam bahkan segalanya, Islam ada tatacaranya yang tersendiri yang harus difahami dan diikuti oleh setiap muslim.

“Cuma Humaira’, di sini, tidak semua orang Arab yang kita jumpa itu adalah Islam, ada juga Arab yang bukan muslim. Samalah macam orang Inggeris di sini, ada juga orang Inggeris yang Islam.” Sambung saya lagi sambil teringat kepada beberapa orang Inggeris yang saya ketahui telah kembali kepada Islam dan beberapa orang Arab yang rupanya seperti muslim tetapi hakikatnya bukan.

“Dalam Islam, tidak kira bangsa apa kita sekalipun, Arab, Cina, India, Melayu atau Inggeris, kita dengan orang Islam yang lain semuanya bersaudara. Kita mesti sayang dan tolong mereka jika mereka dalam kesusahan, macam di Palestin.”

Saya menyambung lagi, mengaitkannya pula dengan hubungan ukhuwwah sesama muslim. Hubungan yang kini semakin terhakis dalam masyarakat muslim di mana-mana. Hidup mementingkan diri dan keluarga sendiri sahaja dan tidak pernah ambil peduli akan kesengsaraan yang dialami oleh muslim di tempat-tempat lain.

Sedangkan Nabi pernah bersabda bahawa muslimin itu adalah ibarat satu tubuh. Satu bahagian badan yang mengalami kesakitan akan turut dirasai kepedihannya oleh bahagian badan yang lain.

“Jom-jom, kita ke kedai sana pula, cepat!” Jeritan ‘ketua kontinjen’ pagi itu menangguhkan seketika majlis ilmu antara kami di tepi gerai sayur. Walaupun ringkas, tapi sungguh bermanfaat. Alhamdulillah.

Hijrah kami ke sini membuka dimensi baru tentang Islam untuk kepada saya dan keluarga. Saya bersyukur dapat melihat kepelbagaian dan warna-warna walaupun ada ketikanya kami tersesat dalam rindu dan keliru.

Semoga Allah terus membimbing kami sekeluarga menuju jalan redhanya.

Salam Ramadhan Buat Semua.
Hisham, Syifa, Humaira’ & Khadijah