Mencari Sebuah Redha

Add caption

“Sakitnya perut ayang ni, Ya Allah.” Keluh isteri saya pada jam 230 pagi. Saya terkebil-kebil melihat dalam samar-samar cahaya, hanya mampu untuk mengurut-urut dan memicit-micit dengan minyak cap kapak sebelum saya tertidur semula tanpa menyedari apa yang terjadi selepas itu.

Ketika saya bangun semula untuk solat Subuh, ternyata isteri saya masih dalam keadaan kesakitan.

“Tak tidur ke semalam?” Saya bertanya sambil menggeliat, memang liat untuk keluar dari selimut ketika suhu mencecah bawah 10 darjah celcius.

“Tak boleh nak tidur, pedih sangat ulu hati. Lepas tu muntah pula lagi sekali.” Jawab isteri saya yang masih terbaring lemah. Wajahnya kelihatan amat pucat kerana setiap kali makan dan minum, dia akan memuntahkannya semula sejak 3 hari yang lalu.

Walaupun telah masuk minggu ke 13, kesan hyperemesis masih kuat. Tidak ada tanda-tanda ianya semakin berkurangan.

“Tak mengapalah, insyaallah, pagi ni kita ke hospital, dah tak boleh ditangguh lagi ni, nanti dehidrasi dan mudarat pula pada bayi.” Saya membalas bicara dan terus keluar ke bilik air.
Di hadapan sinki saya termenung panjang sementara menunggu air paip menjadi suam. 

Teringat senarai panjang tugasan yang saya buat hari ini. Terpaksa semuanya saya tangguhkan untuk membawa isteri saya ke hospital yang pastinya akan memakan masa yang amat lama.

“Ahh, biarlah...tugasan itu bukannya tak boleh ditangguh...(walaupun banyak yang telah lama tertangguh)” saya bermonolog sendiri dan terus mengagahkan diri mengambil wudhuk dan kemudiannya ke masjid Wandana seawal jam 4.30 pagi untuk solat subuh berjemaah.

8 tahun yang lalu, ketika saya mencari calon isteri (cewah!) dikalangan akhawat UUM, antara ciri yang saya lihat adalah kecergasan dan kelincahan dalam bertindak.

Ternyata ciri tersebut, termasuk beberapa ciri yang lain ada pada seorang Ukhti (siapa lagi, isteri saya sekarang la), yang menyebabkan saya cenderung untuk melamar dirinya bagi menjadi teman hidup.

Kelincahannya berbasikal dalam menyebarkan dakwah ketika di UUM, kelantangannya dalam mesyuarat dan keberaniannya untuk bertanya dan juga kemahirannya dalam sukan ping pong amat menarik hati saya.

Saya mengharapkan agar sifat-sifat tersebut akan terus kekal hingga selepas perkahwinan agar urusan dakwah dapat dilakukan dengan lebih laju dan rumahtangga juga akan lebih dinamik dengan sentuhannya.

Itu harapan saya sebelum berkahwin. Tidak pernah sekalipun saya membayangkan akan kesakitan-kesakitan yang bakal dialaminya selepas perkahwinan.

Ketika mengandungkan anak pertama (Humaira’), saya jadi keliru. Akhawat yang dahulunya kelihatan lincah dan hebat tiba-tiba merudum kesakitan. Keluar masuk wad untuk masuk air menjadi rutin. Itu belum dikira ‘mood swing’ yang membingungkan saya yang mengalaminya buat kali pertama.

Selepas bersalin anak pertama, timbul pula sakit-sakit lain yang memerlukan kepada beberapa pembedahan. Saya yang asalnya langsung tidak tahu memasak dan mengurus teknikaliti dalam rumahtangga termasuk menjaga anak (Humaira’ yang masih kecil), terpaksa juga ambil tahu dalam keadaan terpaksa yang amat sangat.

Walaupun ketika mengandungkan Khadijah, muntah-muntahnya berkurangan, namun kini dengan anak ke 3, ia datang kembali dengan lebih kuat dan lama. Menyebabkan sekali lagi saya terpaksa ‘beraksi’.

Apa yang ingin saya katakan di sini adalah, kehidupan berumahtangga itu adalah sesuatu yang tidak akan dapat boleh kita jangka.

Suami boleh mengharapkan isteri yang cantik wajah, bertubuh ‘solid’, matang, manja, sentiasa sihat dan lengkap serba serbi. Namun bila taqdir mendahului dan andaikata dia ditimpa kesakitan seperti kanser yang menyebabkan segala kecantikan dan kelincahannya hilang, apakah kita akan terus menyayanginya, ataupun kita akan kecewa dan meninggalkannya untuk memuaskan hawa?

Kita juga boleh meletakkan pelbagai harapan sebelum perkahwinan. Untuk mempunyai kerja tetap yang menjanjikan pendapatan lumayan, punya rumah yang luas untuk berehat dengan tenang, punya kereta yang baik untuk pulang ke kampung sebulan sekali menjengah ibu bapa dengan wajah ceria, punya anak-anak yang comel dan ceria buat penghias rumahtangga, bercuti ke destinasi indah setahun sekali dan pelbagai lagi fantasi.

Namun, jangan terlalu bermimpi, kerana ada masanya, rumahtangga akan menjadi medan ujian buat kita. Mungkin dalam bentuk krisis dengan ibu bapa atau keluarga mertua yang tidak sebulu. Mungkin juga dengan anak-anak yang sentiasa sakit dan mungkin juga dengan masalah kewangan yang tiba-tiba meruncing. Apa bentuknya untuk kita, hanya Allah yang maha mengetahui.

Namun apa jua bentuknya, kita harus bersedia.

Oleh itu, dalam mencari calon dan menyediakan minda untuk sebuah perkahwinan, sekali lagi saya ulang dan akan saya terus berpesan, usahlah mencari dan mengharapkan kesempurnaan kerana ia tidak akan dapat dicapai melainkan jika kita telah menjejakkan kaki ke syurga.

Rumahtangga adalah medan untuk kita mencari sebuah redha buat bekal untuk kita menahan diri dan ahli kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Bersediakah wahai anak muda?

Women’s and Children Hospital, Adelaide, Australia.
5 Oktober 2011.

5 comments:

  1. begini rupanya suasana orang yang sudah berumah tangga, dan mempunyai anak-anak.

    ReplyDelete
  2. Teman seperjuanganOctober 6, 2011 at 7:09 AM

    usah fikir bahawa rumahtangga itu hanya yg manis2 sahaja. Sesungguhnya yg pahit itu lebih byk lagi, namun bg rumahtangga yg dibina untuk mcari redha Allah, yg pahit itu juga akan menjadi manis andai dikenang2 semula suatu masa nanti...

    Sungguh, rumahtangga itu medan ujian, bg yg beriman akan bertambahlah keimanannya bahkan lebih teguh lagi... Jadi sama2 kita ikat hubungan ini dengan iman yg setingginya kepada Rabbul Izzati...

    Buat suami tercinta, pengorbanan dan susah payahmu Insya Allah akan dibalas dengan ketaatan yg tidak berbelahbagi dari hamba, mudah-mudahan akan terus menjadi bidadari tuan hamba hingga ke Syurga...

    Ujian2 yg sedang dilalui sesungguhnya makin mematangkan kita... Moga terus bersama mharunginya...

    ReplyDelete
  3. Benar dan tepat telahan bahawa alam rumah tangga adalah fasa yang lebih menuntut kepada awalan perkenalan antara suami isteri.

    Jaminan perkenalan sebelum perkahwinan bukanlah penjamin bahawa kita akan terus dan terus bahagia tanpa ada cubaan, ujian dan mehnahnya.

    Bernikah adalah penyatuan rohani dan jasmani dua insan. Untuk dijadikan maahad tarbiyah pembentukan sebuah keluarga. Di dalamnya terkandung 1001 rencah rasa. Terpulanglah kepada pasangan untuk mengadun sebaik mungkin supaya 'masakan kehidupan' itu secukup rasa.

    * Moga isteri saudara akan tabah mengalami 'morning sickness' itu. InsyaAllah moga2 dipermudahkan fasa kehamilan seterusnya.

    ReplyDelete
  4. Teruskan artikel sebegini utk buku motivasi rumah tangga pula.

    ReplyDelete
  5. AkmalG: Tidaklah semuanya pahit belaka, yang manisnya, cukup banyak sekali...

    Teman seperjuangan: Takpe, awak sihat esok, saya nak rehat puas-puas...muahahaha

    Sofea: betul betul betul .... 1001 rencah rasa itulah yang menjadikan rumahtangga itu benar2 istimewa!

    Kak Suraiya: Insyaallah...akan diteruskan... :)

    ReplyDelete