Halal dan haram bukan hanya pada makanan sahaja



"Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar yang akan menghempapnya manakala ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di hidungnya; apabila ia mengisyaratkan dengan tangannya, maka lalat itu akan lari."
(Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini, Rasulullah menggambarkan kepada umatnya tentang dua karakteristik yang berbeza dalam berhadapan dengan dosa.

Orang yang fasiq, memandang ringan akan perbuatan dosa dan kurang sensitivitinya terhadap dosa-dosa yang akan memberatkan timbangan amal kejahatannya. Sama seperti orang yang menghalau lalat yang singgah dihidungnya.

Bagaimana kita menghalau lalat yang singgah dihidung?

Apakah kita akan mencari ridsect dan mengejarnya hingga ke lubang lalat?

Atau,

kita akan meletakkan perangkap lalat di atas hidung agar setiap lalat yang singgah akan terperangkap dan kemudian mati kelaparan?

Atau,

ada yang mungkin akan mempelajari teknik menangkap lalat menggunakan chop stick dari sifu Karate Kid?

scene tangkap lalat dari Karate Kid ni memang legend! picture credit to oodora.com
Saya pasti, tidak ada siapa pun dikalangan kita yang akan bertindak begitu, kecualilah sememangnya dia mempunyai dendam kesumat dengan setiap lalat yang pernah singgah dihidungnya!

Biasanya, lalat yang singgah dihidung akan dihalau hanya dengan sambil lewa, dengan tidak sepenuh tenaga dan tidak memerlukan konsentrasi yang tinggi. Juga tidak akan mengambil masa lebih dari 1 saat. (Kecualilah tika berhadapan ribuan lalat di Australia ketika musim panas!)

Itu orang yang fasiq, maka bagaimana pula halnya dengan orang yang beriman tika berhadapan dengan dosa?

Bagaimana agaknya sifat orang yang tahu bahawa ada gunung besar yang akan menghempap, atau ada bahaya yang akan menimpanya? Pertamanya, sudah tentu dia kenal akan gunung yang menghempap itu sesuatu yang merbahaya dan boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada dirinya.

Kemudian, bila telah kenal maka tatkala dia melihat batu besar datang bergolek dan ingin melanggarnya atau runtuhan tanah yang datang secara tiba-tiba dari belakang, maka dia pasti merasa gerun dan akan terus melarikan diri dengan sepenuh tenaga mencari tempat perlindungan yang akan menyelamatkannya dari bahaya dihempap oleh batu gunung tersebut.

Begitulah orang beriman, hatinya sentiasa sensitif dengan dosa dan akan sentiasa berusaha keras untuk menjauhi apa jua perkara yang akan mengundang kemurkaan Allah dan akan menyebabkan dosa di dalam buku catitan amalnya bertambah banyak.

coklat cadbury mousse tidak halal kerana pada resipi coklatnya terkandung animal  rennet. pic credit to lasoo.com


Maka ketika datang kepada kita berita yang SAHIH tentang haramnya sesuatu makanan yang kita gemari, pada ketika itu sudah sewajarnya kita sebagai orang yang beriman akan berusaha keras untuk menjauhkan diri daripadanya. Walaupun coklat Cadbury Mousse telah berada ditangan dan hampir disuapkan ke mulut, maka ketika kita mendapat berita tentang status bahan tidak halal yang berada di dalamnya, saat itu juga kita harus berhenti memakannya.

Namun, halal dan haram yang akan masuk ke dalam tubuh kita bukan hanya pada enzim E471 atau pada animal rennet yang terkandung pada resipi coklat Cadbury, juga bukan hanya pada gelatin yang terdapat pada aiskrim Bulla, ia bukan sekadar pada makanan tapi pada segala yang masuk ke dalam tubuh kita melalui segala pancaindera.

Mata yang sengaja menyaksikan atau membaca perkara yang diharamkan akan dicatit sebagai dosa, telinga yang sengaja mendengar perkataan-perkataan lucah, lagu-lagu yang lagha lagi merosakkan juga akan dinilai sebagai dosa, hidung yang sengaja mencium bau wanita yang menggiurkan juga akan dinilai sebagai dosa.


Sesungguhnya dosa pada setiap pancaindera itu akan menyebabkan hati menjadi hitam.

Bila hati menjadi hitam, maka kemanisan beribadah akan mula hilang. Hendak melangkah ke masjid mula terasa berat, solat pula dengan penuh rasa malas. Ilmu yang dipelajari juga akan mula hilang keberkatan, kerana ilmu itu adalah cahaya, ia tidak akan masuk ke dalam bekas yang penuh dengan kekotoran.

"Garbage in, garbage out"


Solusinya?

Kita tidak akan dapat mengelak seratus peratus dari terlibat dengan dosa-dosa kecil, tambahan pula tika berada dalam suasana dimana Islam tidak menjadi rujukan yang tertinggi. Namun, Rasulullah meletakkan sifat yang harus dimiliki oleh setiap mu’min tika berhadapan dengan dosa, iaitu menghadapinya bagai menghadapi gunung yang ingin datang menghempap, iaitu penuh dengan rasa gerun, perlu kepada persediaan, penuh konsentrasi untuk berlari sekuat hati dan hati-hati bak berjalan di jalan yang penuh duri.

Perkemaskan ilmu, perkasakan iman di dada, perbaiki amalan – amalan yang wajib dan perhiaskan diri dengan amalan-amalan yang sunnah. Sentiasalah kita ingat mengingati akan kewajipan yang perlu kita laksanakan dan larangan yang perlu kita tinggalkan dengan penuh kesabaran.

Insyaallah, keberuntungan akan menjadi milik kita.

2 comments:

  1. tak semua yang boleh makan, hari tu ana check ada yang ada E471 yang tidak based pada soy or vegetable origin. Hati2 dengan gelatine

    ReplyDelete