Tarbiah Dari Talipinggang Keledar

Kalau naik beca tak perlu lah pakai tali pinggang keledar, tapi  kalau naik kereta kena lah pakai sayang.


“Humaira’, cepat pakai talipinggang keledar, nak jalan dah ni, selagi Humaira’ tak pakai talipinggang keledar, selagi itulah ayah tak akan jalan. Di sini bukan macam di Malaysia Humaira’, kalau tak pakai talipinggang nanti, polis akan tahan.” Leteran saya bermula setelah melihatnya duduk di tempat duduk kereta tanpa memakai talipinggang keledar. Bebelan sama yang entah kali ke berapa diulang-ulang.

Di Australia, penguatkuasaan undang-undangnya amat ketat. Sebarang kesalahan jalan raya yang dilakukan, tidak akan ada kompromi. Saman yang dikenakan atas kesalahan yang dilakukan walaupun kecil, tetap perlu dibayar walau dengan apa cara sekalipun. Tidak akan ada sebarang rundingan atau diskaun yang akan diberikan.

Jika tidak memakai talipinggang keledar, denda yang akan dikenakan adalah AUD 300, jika dikali dengan 3 akan bersamaan dengan RM 900. Lepas tiket untuk balik ke Malaysia bagi seorang jika bertolak dari Perth.

“Ye lah ayah, tengah pakai la ni,”  dari cermin hadapan, saya dapat melihat Humaira’ sedang menarik tali pinggang keledar untuk dipakainya, namun pergerakannya begitu perlahan sekali.

“Cepat sikit, kita dah lambat ni” saya terus memberikan tekanan kepadanya agar lebih bersegera kerana kami telah agak lambat untuk menghantar Humaira’ menghadiri kelas hafazan Al Quran yang dianjurkan oleh Persatuan Islam South Australia di pejabat persatuan berhampiran Masjid City.

“Ok, dah siap pun,”  bunyi klik menandakan tali pinggang keledar telah siap dipasang dan perjalanan boleh dimulakan.

“Ok, baca doa semua” saya mengeluarkan arahan.

“Subhanalladzi sakharalana hadza wa ma kunna lahu muqrinin, wa inna ila rabbina lamunqalibun”

Serentak doa itu kami baca bersama-sama. Adik Khadijah juga menurut dengan lenggok dan sebutannya yang tersendiri.

Sambil kereta berjalan, saya memikirkan dialog-dialog tarbiah untuk pengisian sepanjang perjalanan yang akan mengambil masa lebih kurang 25 minit.

“Humaira’ rasa, mengapa kita kena pakai talipinggang keledar kat sini?” saya mula bertanya, ada kefahaman yang ingin saya selitkan dari pemakaian talipinggang keledar hari ini.

“Kalau tak pakai nanti polis saman la.” Jawab Humaira’ mengulang kefahaman yang setiap hari saya leterkan.
 “Betul tu Humaira’, tapi masih tak cukup betul lagi.” Saya mengiyakan jawapan, tapi bukan itu jawapan yang saya kehendaki.

“Habis tu, kenapa?” tanyanya kembali.

“Sebenarnya, tujuan asal kita pakai talipinggang keledar dan meletakkan adik di atas kerusi bayi bukanlah sebab takut disaman, tapi kerana keselamatan.” Saya mula menerangkan khasiat sebenar dari pemakaian talipinggang keledar.

“Maksud ayah, talipinggang keledar itu akan berfungsi untuk mengelakkan kita dari terhentak dengan kuat atau terpelanting keluar yang akan menyebabkan kita cedera teruk jika berlaku kemalangan.” Jelas saya lagi.

Pemakaian talipinggang keledar oleh setiap penumpang kenderaan, mengikut kajian, akan mengurangkan risiko kecederaan dalam kemalangan yang berlaku.

“Maksudnya, pakai talipinggang keledar adalah untuk keselamatan. Bukan kerana takut disaman atau pakai bila nampak polis sahaja.” Saya menyambung.

Di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang yang lemah beserta kesedaran sivik yang rendah dalam keselamatan jalan raya menyebabkan banyak kemalangan maut yang berlaku akibat dari pemanduan yang berbahaya.

Lebih menyedihkan bila ramai juga kanak-kanak yang terkorban kerana kecuaian ibu-bapanya. Takdir adalah takdir, tapi bila ikhtiar keselamatan itu tidak dimaksimakan, maka sunnatullah akan menunaikan janji.

“Pakai talipinggang keledar ini, sama juga dengan solat lima waktu. Humaira’ kena solat bukan sebab takut kena marah dengan ayah atau ibu jika tak solat, tapi kerana takut jika tak solat, Humaira’ akan cedera dibakar dalam api neraka.” Dari talipinggang keledar, saya membawa perbualan kami kepada hakikat pengabdian yang sebenar.

Konsep pengabdian dalam Islam, harus kita lakukan dengan penuh kesedaran bahawa ia dilakukan atas rasa cinta kita kepada pencipta yang akan menyelamatkan kita dari azab api neraka. Kita solat, bukan kerana segan kepada manusia, kita puasa bukan kerana takut ditangkap oleh Jabatan Agama. kita menjaga pergaulan dan berdoa bukan kerana takut kepada mana-mana manusia, tapi supaya kita hidup sejahtera di dunia dan untuk menyelamatkan diri kita dari azab seksa di akhirat sana.

Ramai yang menjadi muslim pada hari ini ibarat pemandu kereta di lebuh raya yang akan hanya memperlahankan kenderaan tika mendapat isyarat dari kereta dihadapan bahawa ada perangkap kelajuan. Selepas melepasi kamera kelajuan, kereta dibawa kembali dengan laju dan berbahaya.

Kereta diperlahankan bukan kerana keselamatan, tapi kerana takut disaman!

Lebih malang jika saya katakan, ada juga (walaupun mungkin tidak ramai) yang memandu kereta dengan cara yang berbahaya ini adalah dari mereka yang menjaga ibadah khususnya. Solat 5 waktu di masjid, puasa dan berterawih penuh di bulan Ramadhan, zakat ditunaikan tanpa gagal, haji dan umrah juga telah beberapa kali ditunaikan, tapi malaikat di kiri dan kanannya dilupakan ketika memegang stereng.

Islam adalah agama yang lengkap dan menjamin keselamatan manusia. Mustahil Islam akan mengabaikan salah satu aspek yang paling penting dalam kehidupan manusia pada hari ini, iaitu keselamatan jalan raya. Dalam Islam, tidak ada konsep pemisahan antara ibadah khusus dan kehidupan seharian kita. Bila pemisahan ini berlaku, datanglah kata-kata yang berbunyi.

“Aku ke Perancis dan aku lihat Islam tanpa Muslim. Aku pergi ke Mesir dan di sana aku temui Muslim tanpa Islam”

Menjadi muslim, kita seharusnya beriltizam dengan segala peraturan-peraturan yang baik untuk kesejahteraan manusia. Bukankah Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam?

Monolog saya berhenti dan bicara saya sambung lagi. “Sebenarnya Humaira’, apa yang ayah nak sebut adalah, jika Allah menyuruh kita solat, maka Allah juga menyuruh kita untuk berikhtiar menjaga keselamatan dengan memakai talipinggang keledar. Allah menyuruh kita berpuasa, Allah juga menyuruh kita membawa kereta dengan berhati-hati dan tidak membahayakan keselamatan orang lain.”

“Islam itu adalah semuanya Humaira’, apa jua perkara yang membawa kebaikan, maka itu adalah suruhan Allah kepada kita sebagai orang Islam untuk melaksanakannya.” Saya mengakhiri sesi tarbiah pagi, berbicara seperti Humaira’ telah dewasa. Moga ada mutiara yang dapat dikutipnya dari perbualan kami pagi ini.

Hikmah dan kebaikan itu adalah asalnya milik muslim yang kini hilang, di mana sahaja dia menemuinya, maka dia berhak untuk menggunakannya.

No comments:

Post a Comment