Semuanya Akan Ditulis

Cuti hari Jumaat di Negeri Kedah adalah satu rahmat. Tidak perlu bergegas untuk ke tempat kerja, sebaliknya boleh berlama-lama dalam zikir pagi seterusnya mendengar tazkirah pembasah jiwa di Masjid Muttaqin, Bandar Darul Aman. Pulang ke rumah pula, masih banyak waktu untuk menghabiskan surah al Kahfi dan kemudian bersarapan bersama keluarga, dan riadhah atau sesi mengemas rumah selepasnya.

Pagi itu, pulang dari masjid selepas tazkirah oleh Ustaz Ahmad Abdullah, seperti biasa saya menyelak lembar Al Quran mencari surah Kahfi yang sunat dibaca pada pagi Jumaat. Keheningan dan ketenangan suasana pagi, banyak membantu untuk menghayati dan mentadabbur ayat-ayat dari surah yang sarat dengan kisah ini.

Sedang saya membaca dan ketika tiba ke ayat 49, tiba-tiba Humaira datang menyapa dengan wajah yang segar selepas mandi.

“Ayah baca surah apa tu?”

“Surah Al Kahfi” pendek saya menjawab sedang mata masih lagi tidak berganjak dari kalimah-kalimah suci.

“Oooo, ayat mana dah ayah baca?” dia bertanya sambil menjenguk Quran terjemahan yang sedang saya pegang.

“Ayat 49 dah ni” seketika saya memandang wajahnya, kemudian saya melihat terjemahan dari ayat 49.

“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun".”

“Menarik” getus saya sendirian dalam hati, buat tazkirah pada diri juga untuk dikisahkan pada Humaira.

“Humaira, nak dengar tak cerita tentang ayat yang ayah baca ni?”

“Nak, nak” spontan dia menjawab, kemudian dia mengambil tempat diatas riba saya.

“Baik, dalam ayat ini, Allah ceritakan tentang suasana masa hari akhirat”

“Dekat akhirat nanti, ada satu tempat nama dia Padang Mahsyar dan dekat sini semua manusia yang dah mati akan dikumpulkan untuk Allah balas perbuatan mereka semasa di dunia”

“Kalau yang belum mati macamana ayah?” sejenak itu dia mencelah.

“Eh, sebelum hari kiamat, semua manusia akan mati, ayah, ibu, Humaira, adik, kawan-kawan Humaira, semuanya akan mati” saya menegaskan semula.

“Alaaa, Humaira tak nak mati ayah, Humaira takut”

“Kita semua akan mati Humaira dan selepas mati kita akan dipanggil untuk berjumpa dengan Allah”

“Ayah, Humaira takut mati” sekali lagi dia mengulangi kerisauannya, kali ini dengan wajah yang lebih suram. Sebelum ini, ketika saya menjelaskan kepadanya tentang hakikat kematian, setiap kali itulah dia akan merintih ketakutan. Puas saya dan isteri cuba untuk membuang ketakutan itu, namun masih belum berjaya. Kematian bukanlah untuk ditakuti, tapi kami ingin memahamkannya bahawa ia adalah sebuah destinasi yang kita semua akan tempuhi dan apa yang harus disediakan untuk menghadapi kehidupan selepas kematian.

Saya menyambung cerita, cuba membuat dia lupa akan ketakutan yang sedang dialami.

“Dekat Mahsyar, buku amalan kita akan dibuka, kalau kita buat baik dengan banyak, dengan izin Allah, kita akan masuk dalam syurga, tapi jika amal kejahatan kita yang lebih banyak, kita akan masuk dalam neraka.”

Humaira terus mendengar, tanpa sebarang celahan atau reaksi, dan ini memberi peluang untuk saya terus menyambung kisah.

“Humaira tahu tak, dekat sebelah kiri dan kanan kita, ada 2 malaikat. Raqib dan Atid namanya. Malaikat Raqib dan Atid ni tugas dia adalah untuk menulis perbuatan baik dan buruk kita semasa kita di dunia dalam sebuah buku yang istimewa.”

“Setiap kali kita buat baik, malaikat yang namanya Raqib akan menulis. Tidak kira sekecil manapun perbuatan baik kita, samada Humaira beri makan ikan dalam akuarium atau tolong ibu cuci pinggan atau buang plastik gula-gula dalam tong sampah, malaikat Raqib akan tulis semuanya.”

“Malaikat Atid pula, tugas dia adalah untuk tulis perbuatan-perbuatan jahat kita. Jika kita tak solat, cakap kasar dengan ibu, tengok televisyen rancangan yang tak soleh hatta jika Humaira buang plastik gula-gula dalam longkang diluar pun, malaikat Atid akan tulis dalam buku tadi”

“Buku ini lah yang Allah akan tengok nanti, jika kebaikan yang kita buat lebih banyak, maka syurgalah tempat tinggal kita, tapi kalau keburukan..?” saya menghentikan bicara untuk menarik fokusnya kembali.

“Neraka” perlahan sahaja dia menyambung.

“Jadi, sebab itulah kita kena banyak buat kebaikan sebelum kita mati, supaya malaikat akan tulis dalam buku tu banyak amal kebaikan yang kita telah buat.” Saya menyimpulkan kisah. Humaira terdiam sahaja, saya mengusap-usap ubun-ubunnya dan kemudian merangkul tubuhnya untuk kembali memberi semangat kepadanya.

“Humaira, cuba ye, buat baik banyak-banyak ye, supaya kita masuk dalam syurga sama-sama dengan ibu, adik khadijah, atuk, nenek, aki, tok, dan mama, umi, makcik Inah dan semua kawan-kawan Humaira ye.”

“Ayah, Humaira, mari makan, sarapan dah siap ni” panggilan sarapan menamatkan perbualan kami pagi itu, moga keberkatan pagi Jumaat menyemai iman dalam hatinya.

2 comments: