Bagaimana “Baby” Boleh Ada Dalam Perut Ibu?


Humaira, Ayah dan Khadijah, moga kasih kita bersemi selamanya

“Ayah, macamana “baby” boleh ada dalam perut ibu?”

Soalan yang keluar secara tiba-tiba itu membuatkan jantung saya bergerak laju dan hati berasa tidak tenteram. Anak yang seorang ini, jika tidak dijawab soalannya akan dituntut jawapannya hingga ke lubang cacing. Mungkin kerana setakat ini, setiap persoalan yang ditanyakannya akan saya dan isteri cuba jawab dengan sejujur mungkin. Dalam menjawab persoalannya, saya akan memberikan fakta yang sebenar dan menceritakan dengan ringkas akan proses kejadian sesuai dengan mindanya yang masih rebung.

Petang sabtu itu, selepas solat asar kami berehat-rehat sambil saya memegang-megang perut isteri dan berbual-bual dengan “baby” bagi merasai gerakan-gerakan bakal anak kedua kami yang penuh keajaiban. Hanya tinggal beberapa minggu lagi tarikh akhir untuk bersalin. Humaira juga tidak ketinggalan merasai keseronokan dan keajaiban itu, dan entah apa yang bermain difikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan itu, walhal sebelum ini tidak pernah disuarakannya.

Saya dan isteri saling pandang memandang, namun isyarat wajahnya jelas menunjukkan bahawa sayalah yang harus menjawabnya. Bagaimana saya akan menceritakan proses persenyawaan kepadanya, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan-urusan yang amat tidak manis jika diceritakan. Namun memberikan kefahaman yang sebenar, cukup penting, agar dia tidak beralih kepada sumber lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang mungkin akan mencetuskan masalah yang lebih besar. Lama saya terdiam mengharap agar Allah memberi ilham dan syukur, hadir sedikit cetusan.

“Humaira, “baby” tu Allah yang ciptakan, dan Allah yang letakkannya dalam badan ibu.”

“Tapi, “baby” tu bukannya duduk dalam perut ibu, dia duduk dalam satu tempat dekat dengan perut ibu yang namanya rahim.” Saya memulakan penjelasan. Sengaja saya melangkaui bab persenyawaan antara sperma dan telur pada tahap ini untuk mengelakkan persoalan yang lebih kompleks timbul.

“Kemudian “baby” tu duduk dalam rahim selama 9 bulan dan nanti bila sampai masanya dia akan keluar” saya menjelaskan lagi, sambil tangan saya masih merasai gerakan-gerakan bayi. Isteri saya hanya mendengar dan memerhati.

“Tapi ayah, kenapa “baby” tu kena duduk dalam rahim? Kenapa dia tak keluar awal-awal?” telah saya agak soalan ini akan ditanyakannya, dan saya telahpun bersedia dengan jawapan.

“Dia kena duduk dalam rahim sebab dia masih terlalu kecil dan tak cukup kuat lagi untuk keluar. Kalau dia keluar awal sangat, nanti “baby” tu akan sakit.

“Humaira ingat tak, dulu perut ibu mula-mula tak besar kan, kemudian makin lama makin besar. Sebabnya dulu “baby” itu cuma sebesar ibu jari ayah sahaja, kemudian semakin lama dia semakin besar.” Sambil saya menunjukkan ibu jari saya kepadanya.

“Asalnya “baby” tu tiada tangan dan tiada kaki, kemudian Allah jadikan tangan dan kakinya perlahan-lahan, sebab itu sekarang ini adik boleh “tendang” perut ibu.” saya tersenyum, dan isteri saya juga kelihatan tersenyum.

“Kemudian, bila dia dah cukup besar dan dah tak muat duduk dalam rahim dia akhirnya akan keluar.” Saya memudahkan ayat, agar lebih mudah difahaminya.

“Macamana “baby” tu keluar ayah?” soalannya bersambung lagi dan kali ini lebih mencabar.

“Humaira rasa macamana?” saya memulangkan soalan itu kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang dia cuba fikirkan disamping memberi masa kepada saya untuk memikirkan jawapan.

“Ikut perut ibu kot, ke ikut tempat berak?” dia mengagak dan sedaya mungkin saya dan isteri cuba menahan tawa. Lucu, tapi dahulu saya juga mempunyai kefahaman yang sebegitu.

“Bukan sayang” saya tersenyum, tubuh sedikit menggeletar kerana menahan geli hati.

“Baby tu akan keluar melalui satu tempat yang istimewa yang Allah dah sediakan! Kemudian Dr. Murizah akan keluarkan dia dari tempat yang istimewa tu.” Dr. Murizah adalah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga rakan baik isteri saya di Hospital Sultanah Bahiyah yang telah menyambut kelahiran Humaira dan juga telah menyatakan kesediaan untuk menyambut kelahiran yang kedua ini.

“Oooooo”

“Humaira nak tahu tak macamana “baby” makan kat dalam tu?” saya pula yang menyediakan soalan, sebelum dia bertanya pula di mana tempat “istimewa” itu yang pastinya lebih sukar untuk dijelaskan.

“Nak, nak, macamana ayah?”

Memikirkannya semula, sukar juga sebenarnya. Aduh! Silap pula kali ini.

“Errr...Errr” saya teragak-agak.

“Macamana ayah?” Humaira telah tidak sabar lagi.

Melihat saya teragak-agak, isteri saya menyampuk.

“Baby tu dia tak makan macam kita guna tangan dan mulut, dia makan guna “straw” istimewa yang Allah ciptakan dalam rahim ibu.”

Straw? Saya juga kehairanan mulanya, namun mungkin “straw” itu merujuk kepada tali pusat yang menyalurkan nutrien kepada bayi melalui uri. Bagus juga idea isteri saya itu.

“Humaira pun dulu begitu juga, duduk dalam rahim ibu dan makan guna straw” saya menyambung tanpa dipinta.

“Ye ke ayah?” dia tersengih, kemudian saya menyimpulkan kisah dan memberikan pengajaran-pengajaran.

“Iye, kita semua begitu, ayah pun dahulu duduk dalam rahim nenek, ibu pula duduk dalam rahim Tok, Ayong, Alia, Ome, Cikgu Wana, semuanya duduk dalam rahim ibu masing-masing dan makan guna “straw” selama 9 bulan.”

“Sebab itu Humaira kena sayang banyak-banyak pada ibu dan pada Allah.”

“Pada ibu, sebab ibu dah bawa Humaira dan adik selama 9 bulan, berat dan susah tau nak bawa. Kemudian selepas Humaira lahir, ibu yang jaga dan beri susu pada Humaira. Hebatnya ibu dan sayangnya ibu pada Humaira dan adik kan?”

“Kemudian pada Allah pula, masa kita dalam rahim ibu, Allah yang jaga kita, beri kita “straw” untuk makan, ciptakan tangan dan kaki, mata, hidung, mulut, perut. Hebatnya Allah dan sayangnya Allah pada kita semua, dan pada Humaira.”

“Sebab itulah Humaira kena sayang ibu selalu dan kena selalu buat baik dan dengar cakap ibu, bila Humaira sayang ibu dan buat baik pada ibu, Allah pun akan sayang pada Humaira. Bukan Humaira saja, ayah pun kena buat baik pada nenek, ibu pun kena buat baik juga pada tok (panggilan bagi nenek di Pahang), Alia pun kena buat baik pada ibu dia, bahkan semuanya orang Allah wajibkan agar buat baik pada ibu masing-masing.”

“Dan Humaira juga kena buat baik pada Allah dengan rajin solat, rajin mengaji, rajin belajar, jadi anak yang baik pada ayah dan ibu, supaya Allah sayang Humaira selalu.” Saya menyudahkan kisah sambil tersenyum manis padanya.

Petang yang penuh barakah itu moga bertambah kepadanya kefahaman tentang kehidupan dan moga bertambah kecintaannya kepada pencipta seluruh alam.

Mutiara Kepada Ibu Bapa

Menjawab persoalan tentang kehamilan dan kelahiran pada anak-anak yang masih rebung usianya memang mencabar. Namun, kesukaran itu tidak harus menghalang ibu bapa untuk memberikan jawapan yang sesuai dengan peringkat usianya dan penuh pengajaran. Anak-anak bertanya kerana sifat ingin tahu yang mendalam tapi tidak semestinya kita harus menceritakan segala jawapan. Ada bahagian yang boleh kita langkaui dan ada bahagian yang perlu kita ceritakan. Paling penting jangan berbohong kepada anak-anak dan mereka-reka fakta yang tidak benar kerana kelak jika anak itu mengetahui bahawa ibu bapanya telah berbohong dalam memberikan jawapan, kita mungkin tidak akan dipercayainya lagi.

No comments:

Post a Comment