Bukan Malaikat Bukan Juga Bidadari



Masih basah diingatan ketika mula-mula aku kenal jalan dakwah dan tarbiyyah, segala-galanya terasa begitu indah dan manis. Kemanisan dan nikmat berada diatas jalan dakwah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Detik-detik masa yang dilalui bersama sahabat-sahabat sefikrah terasa begitu berharga, terasa hidup begitu bermakna dan bahagia.

Proses tarbiyyah bermula dengan pembentukan individu muslim yang baik diikuti dengan pembinaan rumahtangga islam yang akan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat dan negara Islam yang berdaulat dan dihormati oleh negara-negara lain. Aku merasa bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian dari batu-bata tarbiyyah dalam proses panjang pembinaan kembali kekuatan ummah ini.

Pembinaan rumahtangga islam atau lebih dikenali dengan Baitul Muslim oleh pendukung-pendukung organisasi dakwah adalah antara jalan yang harus dilalui oleh setiap individu muslim yang beriltizam di atas jalan ini. Rumah tangga yang dibina harus berbeza dari rumahtangga yang dibina oleh masyarakat yang tidak menjadikan islam sebagai asas dalam kehidupan.

Perbezaan ini bermula dari saat memilih pasangan lagi, jika kebanyakan dari masyarakat biasa memilih pasangannya dengan hanya melihat kepada rupa tanpa mengira keteguhannya dalam beragama, bercinta sebelum berkahwin, bertukar-tukar pasangan dengan alasan untuk mencari calon terbaik, para pendakwah harus memilih jalan yang berbeza.

Pencarian pasangan dilakukan atas asas agama dan terpelihara dari unsur-unsur maksiat berdua-duaan, budaya keluar bersama, ke panggung wayang bersama, berkongsi segalanya sebelum perkahwinan dan segala budaya berpacaran tidak sihat yang diamalkan oleh kebanyakan dari para remaja hari ini.

Pencarian dan pencalonan dilakukan dengan penuh hormat dan bermaruah serta mengambil kira pelbagai faktor, terutamanya ibu bapa. Walaupun dakwah adalah utama namun memelihara hubungan yang baik serta menggembirakan hati ibu bapa adalah tanggungjawab yang harus dipelihara oleh setiap pendakwah. Ibu bapa jangan sekali-kali dipinggirkan dalam urusan memilih pasangan.

Bahtera rumahtangga para pendakwah yang walaupun melalui proses yang teratur dan rapi serta terpelihara dari segala dosa sebelumnya, adalah rumahtangga sepasang manusia, yang terdedah kepada kelemahan dan godaan syaitan.

Sebelum berkahwin, mungkin harapan seorang ikhwah pada akhawat yang akan dikahwininya pelbagai, pandai memasak, lemah lembut, pandai mengambil hati orang tua, rajin mengemas, pandai menjahit, bersopan santun dan berbudi bahasa, rajin bertahajjud bak senikata lagu Isteri Solehah, penyejuk mata, penawar hati, penenang fikiran.

Begitu juga dengan akhawat, sebelum berkahwin, mungkin harapannya pada seorang ikhwah cukup tinggi. Ikhwah itu dibayangkannya adalah seorang suami yang hebat, tegas, lancar bacaan qurannya, tidak pernah tinggal solat berjemaah, tidak terpengaruh dengan bolasepak, pandai berkebun, bertukang, romantik, thiqah dan sentiasa kemas. Pendek kata suami yang diidamkan bak lelaki soleh yang mempunyai karisma seperti sheikh Yusof Qardhawi.

Aku juga begitu satu ketika dahulu, namun setelah berlalunya masa dan bahtera rumahtanggaku telah mencecah usia 6 tahun, aku sedar bahawa itu adalah harapan yang palsu. Hakikatnya kita berkahwin dengan manusia, bukan dengan malaikat, bukan jua dengan bidadari.

Ikhwah dan akhawat adalah manusia biasa yang penuh dengan kelemahan disana sini. Tidak semua akhawat pandai memasak. Yang pandai memasak tidak pula pandai mengemas, ada yang agak kasar bahkan mungkin tidak pandai mengambil hati ibu dan ayah. Sama juga dengan ikhwah, tidak semuanya hebat, ada yang masih gagap dalam bacaan qurannya, ada yang suara bak buluh perindu namun tualanya melepek disana sini. Tidak kurang juga yang masih terlekat daki daki EPL, champion league dan masih ke kedai mamak menonton siaran langsung Arsenal vs Chelsea.

Ikhwah dan akhawat, berlapang dadalah atas kelemahan pasangan masing-masing, apa yang penting adalah masing-masing sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti iman dan amal soleh. Rancanglah rumahtangga dengan realiti, bukan fantasi. Perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Kita adalah manusia, bukan malaikat, buka jua bidadari.

6 comments:

  1. perkara inilah yang perlu setiap orang faham sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Harapan yang terlalu tinggi akan membuatkan seseorang itu kecewa. Terimalah seadanya pasangan kita, sabarlah atas kekurangannya dan bersyukurlah atas kelebihannya. Usah impikan yang sempurna kerana kita juga adalah manusia biasa sahaja...

    ReplyDelete
  2. hmm..betul tu, kalau suami malas sidai kain, byk2 la bersabar ye..huhu

    ReplyDelete
  3. tapi suami pun perlu sensitif juga... Jangan sebab dah tahu isteri sabar, suami buat tak reti aje... Hehe...

    ReplyDelete
  4. wah,penuh penghayatan..jzkk atas peringatan :)

    ReplyDelete
  5. teringat kata-kata nizam masa 1st year..

    "bukan siapa yang menjadi persoalan pokok dalam perkahwinan, tapi jalan mana yang nak dilalui untuk berkahwin itulah yang paling penting!"

    ReplyDelete