Matahari Pergi Mana?


“Ayah, bila malam matahari pergi mana?”

Humaira memulakan perbualan. Semalam dia beria-ia hendak mengikutku ke program halaqah di rumah Dr. Zul. Walaupun akalnya adalah untuk bermain dengan Kakak Tasneem (anak Dr. Zul yang tua setahun darinya) peluang bersama-sama dengannya dalam kereta amat aku hargai, pelbagai persoalan, nasihat dan perangsang yang sering aku berikan padanya dalam situasi ketika kami berdua berkereta.

Semalam, persoalan tentang matahari timbul kembali, seingat aku telah berpuluh kali soalan yang sama ditanyakan, puas aku cuba menerangkan tentang konsep matahari, bumi dan bulan kepadanya, namun mungkin dia masih belum faham agaknya.

Aku terdiam seketika, memikirkan jawapan yang sesuai.

“Matahari tu dia terbenam kan ayah kan” Humaira menjawab sendiri ketika melihat aku membisu.

“Dia masuk dalam laut dia cerahkan ikan pulak ke?” Humaira member jawapannya sendiri.
Aduh, kesitu pulak dia, tak sangka begitu pula kefahaman baru yang diperolehinya.

“Eh, taklah, matahari dia pergi tempat lain pulak, dia pergi cerahkan tempat lain la pulak” aku menjawab dengan jawapan semudah mungkin.

“Dia pergi mana ayah” timbul satu lagi persoalan.

“Begini Humaira, kita ni duduk kat bumi, bumi ni dia berpusing, bila bumi berpusing, kita akan nampak macam matahari tu ke tempat lain” aku menerangkan semula konsep bumi dan matahari, kali ini dengan siap gaya tangan pula.

“Bila bumi berpusing, tempat lain pula yang akan jumpa matahari, mungkin mamee kat Jepun pula yang nampak, mungkin Mak Cik Inah yang kat Australia pula yang nampak” aku menerangkan lagi

“ooooo” dia mengangguk-ngangguk...entah faham entah tidak

“Haa, faham dah ke?”

“faham dah, tapi ayah, kenapa bumi berpusing?”

Pulak dah, ke situ pula dia

“Jom kita selawat sama-sama....”

Aku menguatkan suara radio, membiarkan suara kumpulan Hijjaz berselawat menenggelamkan persoalannya tadi sambil otakku ligat berfikir bagaimana untuk menjawab permasalahan baru yang ditimbulkan...

“Allahumma salli ala Muhammaaaad....” kami mengalunkan selawat bersama-sama...tika langit berwarna merah perlahan-lahan bertukar hitam aku bermonolog sendiri,
“maha suci tuhan, tiada satupun yang kau ciptakan dengan sia-sia, jauhkanlah aku dan keluarga ku dari azab api neraka....”

3 comments:

  1. Aku terfikir la.... kalau la... semua orang bukan islam tetiba dapat hidayat dan mula bertanya macam-macam tentang agama islam kat kita yang konon nya senior dalam agama ni pening kepala jugak kan....

    Tuan ada berapa orang anak?

    ReplyDelete
  2. bukan takat pening, mau bankrap dibuatnya...aku ada 2 org anak, sorang 5 tahun, sorang lg baru 6 bulan..

    ReplyDelete
  3. Subhanallah, Allah jadikan Bumi berpusing. Supaya setiap makhluk di dunia ini dapat menikmati cahayanya yg silih berganti dengan malam.

    ReplyDelete