Anak itu penyejuk mata


Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. Furqan:74

Antara perkara yang paling aku tunggu-tunggu setiap kali aku pulang dari kerja adalah senyuman dari puteri sulungku, Humaira'. Senyumannya yang ikhlas bisa mencairkan segala keserabutan kepala, permasalahan yang kompleks dan kegundahan jiwa yang aku deritai sejak dari pagi. Tambahan pula, dalam usianya yang mencecah 3 tahun 4 bulan, telatahnya makin mencuit hati ku, keramahannya disukai oleh semua, kepintarannya kadang-kadang mengkagumkan aku.

Semalam, ketika aku balik dari program perkhemahan belia, kerana terlalu letih dan mengantuk, aku solat berjemaah di rumah sahaja, seperti biasa si kecil sibuk mencari telekung tatkala kami menghamparkan sejadah. Ketika aku mula membaca al fatihah, Humaira mengajuk dengan kuat, masuk bacaan surah, aku membaca surah al Lahab, dengan tidak disangka-sangka si kecil mengikut bacaan ku dengan separuh lancar dan sebutan yang sangat menggelikan hati, kemudian dia tertawa sendiri. Tak dapat aku meneruskan bacaan kerana hati sudah penat menahan geli. Terus aku rukuk dan menghabiskan solatku dengan segera. Selesai solat terus aku memeluk si kecil, tak sangka aku dalam usia yang sangat muda, dia sudah mampu menghafaz beberapa surah pendek dan doa-doa pendek beserta makna yang kadang-kadang aku sendiri tak terhafal.

Begitu sejuk hati dan mata ku maghrib itu, terubat segala kepenatan perkhemahan, sungguh benarlah bahawa anak yang soleh itu penyejuk mata dan penawar hati bagi ibu bapa.

Aku bercadang jika diizinkan Allah untuk menghantar Humaira ke sekolah yang menyediakan kemudahan hafazan al-quran, moga-moga kesolehannya diwaktu kecil itu kekal hingga dia ke hujung usia. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.

Yoga : Pandangan Mesti Betul

Dekat Malaysia sekarang ni kecoh isu Yoga dan pengharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Ada banyak sudut yang kita boleh tengok berkenaan pengharaman ini,cuma apa yang penting fahami isu ini dengan betul, jangan semua main sedap je nak komen. Pelik, bila timbul je isu-isu Islam, semua nak menjadi jagoan, cuba kalau dalam bidang perubatan orang yang bukan ahlinya memberi komen terhadap institusi doktor. Cuba kalau dalam bidang perundangan orang ditepi jalan pun boleh memberi komen, cuba kalau dalam bidang masakan atau automotif setiap orang cuba menjadi jagoan. Rojak jadinya.

Aku juga sedih melihat bagaimana atas asas ketidakfahaman masyarakat mempertikaikan Majlis Fatwa, akibatnya institusi fatwa diperlekehkan termasuk oleh orang bukan Islam yang tidak ada kena mengena langsung dengan fatwa ini.

Entahlah, tapi apa yang pasti penyelesaian kepada masalah umat Islam yang kompleks ini hanya boleh diatasi dengan usaha pembinaan peribadi-peribadi unggul yang akan membentuk generasi harapan yang baru. Usaha ini perlu dilakukan dengan lebih gigih agar pada masa akan datang umat ini mampu untuk kembali bangkit dengan gagah. Namun, jalan masih lagi panjang, kemenangan tidak akan datang tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Bekerjalah, Allah akan melihat amal-amal kamu.

Bendangman



Jumaat lepas aku berpeluang juga untuk meluangkan masa berkelah, satu aktiviti yang dah lama aku tak buat bersama keluarga, kali ni lokasi yang dipilih adalah Bendangman (bukan Bendang Man ye) di Sik Kedah. Bendangman ni satu anugerah Allah yang sangat berharga, dalam zaman pencemaran disana-sini, lokasi Bendangman yang jauh dari bandar-bandar besar menjanjikan sebuah kedamaian, kesegaran dan kenyamanan air dan udaranya yang benar-benar "fresh". Memang tak akan rugi kalau berkunjung ke sini, airnya jernih, pemandangannya cantik, penduduknya baik, sumber-sumber ketenangan ada disini.



Kalau nak ke Bendangman ni, dari Lebuhraya Utara Selatan PLUS, keluar exit Gurun, kemudian hala ke Sik, lebih kurang 40 minit je dari Gurun. Jalan baru siap, 2 lane lagi, pemandangan pun cantik, melalui kampung-kampung dan dataran-dataran sawah yang berlatarbelakangkan gunung-gunung, cukup indah lukisan alam ciptaan Allah yang maha kaya.

Air sungai dan kawasan perkelahan di Bendangman ni aku rasa setakat ni antara yang paling bersih dan jernih yang pernah aku pergi. Anak aku, Humaira adalah orang yang paling tak sabar sekali nak mandi sungai, berhenti je kereta terus dia meluru keluar menghala ke air sungai.



Memang seronok dan berbaloi sekali sekala menghabiskan masa berehat melepaskan lelah dari tekanan kerja yang membukit, persiapan PhD, pengajaran, penulisan buku, tanda kertas periksa, selia praktikum, kerja-kerja ISMA dan PEMBINA dan urusan rumahtangga yang tak pernah selesai-selesai.

Apapun kembali dari Bendangman, fikiran perlu kembali fokus, kerana banyak tuntutan dan tanggungjawab yang harus dibereskan. Moga Allah beri aku kekuatan.

Ma & Dedi, Kasihmu ku dambakan

Alhamdulillah,
Hanya itu yang mampu ku ucapkan dalam hatiku apabila Allah memberi ruang dan peluang untuk aku menziarahi Ma dan Dedi di kampung (Bandar sebenarnya). Tambahan pula mereka hanya tinggal berdua dirumah, adik beradikku semuanya jauh dimata dekat dihati, ada yg kat Sarawak, Australia, Melaka dan aku terdampar di Kedah. Kesik (bahasa org Kelantan bagi sunyi) toksah nak kata la, tapi itu yang terpaksa dihadapi apabila anak-anak dah mula tumbuh sayap sendiri.

Aku juga merasa seronok melihat kerukunan rumahtangga Ma dan Dedi yang makin akrab sejak duduk berdua ni, tadarus al quran bersama, makan bersama, ke KL bersama, kemana-mana pun bersama dan yang membuat aku rasa lebih gembira apabila kesungguhan Dedi dalam ibadah tempias ke seluruh isi rumah.

Aku mengambil peluang untuk bersembang pelbagai isu, dari pokok mangga hinggalah ke Barrack Obama, kebanyakannya aku hanya jadi pendengar jelah, aku biar je Ma bercerita semahunya, biar terubat kesunyiannya.

Begitulah kehidupan, satu hari nanti kita juga akan tua seperti mereka dan pada ketika itu suara anak-anak dan cucu lah yang menjadi penghibur hati.

Ibu dan Ayah tidak kan boleh dicari ganti, berbaktilah selagi mereka masih ada, berhabislah untuk mereka, gembirakanlah mereka hingga ke hujung usia, jangan sesekali derhaka kerana segaris luka dihati ibu bakal mengundang petaka didunia dan diakhirat sana.

Sungguh aku amat terharu apabila Ma memberitahu, tidak pernah dia lupa untuk mendoakan kebahagiaan dan keberkatan anak-anaknya setiap kali selesai solat. Malu pun ada sebab banyak kali juga aku terlupa untuk mendoakan keselamatan mereka selesai solatku.

Ma & Dedi, Kasihmu ku dambakan, Kemaafan ku pohon, aku berdoa agar aku terus diberi kekuatan untuk terus berbakti dan agar Ma dan Dedi sentiasa terus dipelihara seperti mana mereka memelihara aku ketika aku kecil dulu

Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?



Bila ditanya soalan diatas kepada kita, apa jawapan yang kita akan jawab agaknya? Rasanya pastilah yang waras akalnya akan menjawab hidup untuk makan, tapi rasa-rasanya ada juga yang akan tersasul jawab hidup untuk makan kot. Sebenarnya dalam makna soalan tersebut, ada kaitan dengan matlamat hidup kita.

Orang yang hidup untuk makan menjadikan agenda dan keutamaan yang paling utama dalam hidupnya adalah untuk makan dan memuaskan nafsu semata-mata. Tiada yang penting baginya selain dari memuaskan nafsu makan, tidur, bermewah dan berhibur. Apa yang penting dalam hidupnya adalah perutnya sentiasa kenyang dan nafsunya sentiasa puas. Hidupnya tidak ada matlamat jangka panjang yang jelas, masanya dihabiskan untuk perkara yang ada kaitan dengan perut dan nafsu sahaja. Bangun pagi fikir pasal makan, buat kerja sekejap, fikir pasal makan lagi, malam fikir pasal makan lagi, makan pula sentiasa nak yang sedap-sedap. Pakaian sentiasa nak yang ada kelas, kereta nak yang hebat-hebat, rumah nak yang paling luas. Hujung minggu pula fikir macamana nak berseronok, dalam alam kariernya sentiasa difikirkan macamana nak dapatkan kenaikan pangkat, bonus dan kontrak, supaya kehendak nafsunya sentiasa dapat dipenuhi. Tiada beza golongan ini dengan ayam, kambing, lembu, itik dan binatang ternak yang lain.

Bagi golongan seperti ini, hidup hanyalah untuk memuaskan hawa nafsu, agama ditolak ketepi, hidupnya kosong dari perjuangan dan tujuan hidup yang mulia.

Bagaimana nilaian Allah pada golongan ini? Mari kita tengok sama-sama :

“Orang-orang kafir itu mereka makan dan minum seperti mana binatang ternak makan dan minum, azab neraka adalah tempat tinggal mereka” Muhammad:12

Nauzubillahiminzalik, harap-harap kita tak termasuk dalam golongan seperti ini, kalau boleh kita nak masuk dalam golongan yang kedua iaitu golongan yang makan untuk hidup. Golongan yang makan untuk hidup ini hawa nafsu tidak dapat menguasai dirinya, hidupnya ada matlamat yang jelas dan mulia, makan dan harta baginya hanyalah wasilah untuk mencapai matlamat hidup yang mulia tadi. Setiap detik hidupnya dalam perjuangan, hidupnya diabdikan untuk tuhan yang esa, golongan ini telah membuat satu transaksi perniagaan yang menguntungkan dengan pemilik sekalian alam. Hebat golongan seperti ini, mari kita tengok apa balasan Allah pada golongan seperti ini :

“Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang agung.” Saff:12

Kita ni masuk dalam golongan mana? Tepuk dada, tanyalah pada hati…

Dari Mana Datangnya Makhluk-Makhluk Ganas Ini?



Hari ini perasaan ku bercampur baur, geram,marah,sedih. Geram dan marah terhadap penjenayah-penjenayah yang telah membunuh dengan kejam 'Ustaz' Khairuddin dalam tragedi rompakan stesen minyak di Kuala Kangsar. Tiada langsung belas kasihan ditunjukkan oleh penjenayah-penjenayah ini. Hanya kerana RM1000, seorang insan soleh dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.

Sedih hari ini melihat gambar isteri dan anak-anaknya yang hilang tempat bergantung. Sedih melihat anaknya yang masih bayi yang telah kehilangan dakapan dan kasih seorang ayah.

Dari mana datangnya makhluk-makhluk yang ganas ini, kemanakah hilangnya perikemanusiaan mereka, apakah mereka ini tiada ibu, tiada ayah, tiada anak, tiada saudara mara. Apa perasaan mereka kalau anak mereka dibunuh didepan mata?

Manusia hari ini kian hilang pertimbangan, akibat jauh dari iman, nyawa manusia seolah tiada nilaian, dimana hilangnya belas kasihan?

Aku harap agar pihak polis segera menangkap syaitan-syaitan yang kejam ini, tidak selayaknya mereka ini bergelar manusia mahupun binatang, kenakanlah hukuman yang setimpal buat mereka didunia ini, hukuman untuk mereka diakhirat sedia ternanti.

Mari kita sama-sama mohon perlindungan dari Allah dari kezaliman manusia, Malaysia hari ini seolahnya telah tidak selamat lagi untuk diduduki, pembunuhan dan rompakan disana sini, inikah harga sebuah pembangunan? Jika inilah harganya, aku lebih rela memilih untuk hidup dalam kampung-kampung yang tiada pembangunan asalkan disana ada sebuah keamanan.

Antara Sajak Kematian & Sajak Kelucahan



Semalam gempar satu Malaysia dek kerana tindakan seorang guru agama menayangkan video sajak kematian kepada pelajar-pelajarnya. Dek kerana takut, maka pelajar tadi ketakutan hingga tidak dapat tidur malam. Laporan polis dibuat dan ustazah tersebut kini pula yang pasti dalam ketakutan.

Bukanlah aku nak memihak kepada mana-mana pihak, tapi sebagai seorang muslim, sensitifkah kita dengan isu-isu seperti ini. Jangan cepat melenting dan melatah, nilaikan emosi kita dengan islam, neracakan tindakan kita dengan iman.

Mengingat kematian itu adalah pemutus kelazatan dan dalam satu hadis dinyatakan bahawa orang yang cerdik itu adalah orang yang banyak mengingat mati. Disatu sudut pula, dikiri dan kanan kita majalah-majalah separa lucah disana dan disini, siri televisyen yang mengundang kelucahan tanpa batasan, tak percaya lihatlah siri Desperate Housewives ataupun Kyle XY.

Mencintai hiburan adalah pencetus kepada kemalasan, pembunuh perasaan dan penggalak kemaksiatan, lihatlah filem-filem melayu hari ini, Cinta Medik lebih banyak cinta dari mediknya, filem Kami yang terang-terang mengajak pada pergaulan bebas antara remaja. Itu baru beberapa contoh. Namun adakah dikalangan kita yang berani tampil membuat laporan polis terhadap siri-siri televisyen seperti ini? Program yang terang-terang merosakkan anak kita dibiarkan begitu sahaja,dimanakah sensitiviti kita?
Apabila seorang ustazah menayangkan sajak kematian untuk mendidik anak-anak muridnya agar takutkan mati, ramai yang melenting dan melatah, kononnya anak-anak akan ketakutan, bagaimana dengan Pontianak Harum Sundal Malam? Susuk? Kuntilanak? Jangan Pandang Belakang? bukan sekadar dibiarkan bahkan diberi anugerah pula.

Sungguh hipokrit...

Flash Drive & Kitab Catitan Amal



Antara salah satu komponen rukun iman adalah percaya kepada malaikat. Masa sekolah dulu kita wajib belajar dan hafaz 10 nama-nama malaikat. Antara 10 malaikat tersebut ada yang namanya Raqib & Atid, tugas mereka berdua adalah untuk mencatit segala amal perbuatan kita dalam kitab amalan. Kitab amalan kita ni pada hari akhirat esok akan dibukakan dan akan dipertontonkan segala amal perbuatan kita untuk dihisab. Kadang-kadang kita terfikir, berapa besar dan hebatkah kitab amalan ini hingga dapat mencatit amal seorang manusia dari kecil hingga dia mati dan kitab ini wujud untuk setiap manusia yang pernah hidup diatas muka bumi ini. Berapa besar agaknya storan yang diperlukan untuk menyimpan segala maklumat tersebut? tak tersampai dek akal kita kan.
Mungkin 10 tahun yang lepas kita tak boleh nak bayangkan, tapi hari ini bagaimana? Ibarat kalau kita ada mesin masa dan kita kembali ke zaman 500 tahun yang lepas dan beritahu pada manusia pada ketika itu yang besi boleh terbang dan kita boleh terbang pula dalam besi tu. Bukan saja mereka tak akan percaya silap-silap kena baling batu atau dituduh ahli sihir agaknya.
Hari ini terdapat satu teknologi yang dipanggil sebagai "Flash Memory". Anda semua tahu tak Flash Memory ni apadia?
Secara mudahnya Memori Flash ini adalah satu kaedah penyimpanan data dalam cip. Kaedah ini digunakan dalam peranti yang kita biasa guna setiap hari contohnya macam thumb drive, memory card, memory stick dan macam-macam lagi. Teknologi Flash ini popular sebab ianya mempunyai masa capaian yang pantas, tahan lasak (masuk mesin basuh pun takpe) dan senang dibawa kemana-mana.
Saiznya kalau 3 tahun dulu paling besar adalah 128MB sahaja, kini dan mencapai 10GB. Harganya juga makin lama makin murah, hari ini dengan hanya RM50 kita boleh dapat 10GB.
Walaubagaimanapun, entry kali ini bukan nak cerita panjang lebar pasal thumb drive, tetapi nak kaitkan macamana teknologi Allah S.W.T yang boleh menyimpan segala data manusia bahkan seluruh data alam ini. Begitulah kerdilnya kita sebagai manusia, kalau kita berfikir maka kita akan dapati bahawa hakikat kita sebagai hamba adalah sangat lemah dan tidak berupaya. Tidak takutkah kita bahawa setiap saat amal perbuatan kita dicatit dalam bentuk audio video dan akan dihisab nanti, tidak kira ketika kita bersama dengan orang ramai ataupun ketika seorang diri. Sebab itulah sentiasa kita perlu berwaspada akan amal perbuatan kita, kerana segala-galanya akan dicatit. Didepan komputer ke, dalam bilik air ke, ketika membeli belah ke, tidak walau sesaat pun yang akan tertinggalkan catitan kita oleh malaikat yang mulia.
Walau secanggih mana teknologi manusia yang diciptakan, canggih lagi teknologi Allah yang menciptakan.

Dunia Kian Tenat

"Telah nyata kerosakan dilangit dan dibumi, akibat perbuatan tangan-tangan manusia"
Rum:41

Dunia kini kian tenat, sakit segala-galanya, alam sekitar sakit dengan pemanasan global,ekonomi sakit dengan krisis kewangan global, masyarakat tenat dengan krisis sosial dan identiti global. Manusia tidak lagi dapat hidup dengan tenang, hambatan dunia menghantui saban hari, pelbagai krisis disana dan disini menambahkan lagi gelodak keresahan dijiwa. Saban hari pemimpin-pemimpin dunia memerah otak memikirkan penyelesaian, Obama melaungkan slogan, "Change,we can believe in", kononnya untuk mengubah segala permasalahan dunia hari ini, undang-undang digubal, bajet diluluskan, hukuman dilaksana, namun penyakit tidak juga sembuh. Dimanakah ubat bagi segala penyakit yang bernama "global" ini, apakah puncanya? Adakah ini hukuman ataukah natijah dari kesombongan makhluk yang bernama manusia?
Jika kita kaji sejarah umat manusia ini, nescaya kita akan ketemu jalan penyelesaiannya. Dunia ini pernah makmur rupanya, dimana? bila? bagaimana?
Islam ada jawapan buat segala-galanya.
Dunia hanya akan aman dan makmur dengan undang-undang dari pencipta dunia ini, manusiakah yang menciptakan dunia ini? ataukah tuhan yang maha perkasa. Layakkah manusia yang dicipta mencipta undang-undangnya sendiri. Undang-undang itu hanyalah milik Allah, hak mutlak Allah. Serahkan segalanya kepada dia, tiada hak kita sebagai hamba untuk mempertikaikan apa-apa.
Langit,Galaksi,Bintang,Sistem Suria,Planet,Bulan segala-galanya tunduk patuh kepada peraturan dan undang-undangnya. Belum sampaikah masanya kita sebagai manusia untuk tunduk pada Allah yang maha perkasa? Anda ada jawapannya....

Norman & Abby: Keaiban yang harus ditutup

Hari ini saya percaya ramai yang gempar dengan berita Abby menyerang Norman Hakim dilokasi penggambaran Gerak Khas. Krisis rumahtangga mereka mendapat liputan meluas dari akhbar perdana, Utusan melaporkan berita lengkap 1 muka berkenaan krisis tersebut. Walaupun berita tersebut seronok dibaca kerana sensasi, namun wajarkah begitu?

Cuba kita bayangkan kalau yang berkrisis itu kita, sukakah kita keaiban kita menjadi tatapan umum. Seaib mana sekalipun dosa seseorang itu, masyarakat islam tidak seharusnya menjadikan keaiban yang menimpa seseorang sebagai tatapan umum.

Saya petik hadis riwayat muslim berikut dari artikel Dr. Maza dalam Utusan Ahad lepas sebagai pedoman buat kita dalam menangani masalah mendedahkan dosa dan kesalahan :

Seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan.

Moga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menyembunyikan aib kita di hari akhirat kelak.

Belajar Dari Si Kecil Hana


[Hana tika jadi model telekung jualan isteriku]

"Bang, bagus betul la si Hana tu", isteriku memulakan perbualan dalam kereta...
"Kenapa?" Jawabku dalam keadaan fikiran menerawang ke sana dan kesini,

"Tadi dia puasa sunat,sanggup tak makan masa rehat kat tadika, Puasa 6 pun dapat ke dia"

Aku tak mampu berkata-kata apa-apa,hanya kekaguman, untuk pengetahuan anda semua,Hana hanyalah kanak-kanak berusia 6 tahun,salah seorang pelajar yang paling lama duduk di tadika isteriku,sejak dari umurnya 3 tahun lagi. Tanpa apa-apa program tarbiyyah secara langsung yang diikuti, jiwanya kental untuk beramal soleh. Mengikut ibunya, Hana kat rumah sangat rajin mengaji Quran, membaca buku dan sangat berbudi bahasa. Alangkah baiknya kalau kita dapat mencontohi semangat si kecil ini dalam beramal. Sejuk perut ibu yang mengandungkan setiap anak seperti ini.

Aku doakan agar Hana terus kekal dalam kebaikan dan moga dia membesar menjadi seorang pendakwah dan cendikiawan yang hebat.

Peringatan Buat Para Daie

Dari Abu Zaid Usamah Bin Zaid Bin Harithah radhiallahuanhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: ”Akan didatangkan seorang lelaki pada hari Qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian ia berpusing seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata padanya: ”Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu engkau menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab: ”Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan, tetapi saya tidak melakukannya, dan saya suka melarang orang lain daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri melakukannya.”

Hadis ini merupakan peringatan yang sangat menggerunkan buat para da’ie yang mengajak manusia kepada Islam. Dalam pada kita berdakwah kepada manusia, mengajak mereka kepada kalimah tauhid. Jangan dilupakan diri kita, perbaikilah diri kita dahulu sebelum kita menyeru teman-teman yang lain.
Berapa ramai antara kita yang ketika mana mengendalikan usrah berpesan pada anak-anak buah agar berpuasa dan qiamullail, akan tetapi, amat malang dalam realiti kehidupan sehari-hari, puasa dan qiamullail itu sangat jauh dari diri. Berapa ramai antara kita yang menyeru kepada meninggalkan jahiliah secara total, akan tetapi dirumah membiarkan maksiat berleluasa dan tiada suasana Islam dirumahnya. Berapa ramai antara kita yang masih menyeru kepada Islam secara keseluruhannya, tapi masih beriltizam dengan pinjaman berasaskan riba melalui kad kredit, insuran dan pinjaman-pinjaman yang lain.
Dakwah ini adalah dakwah realiti. Ada pepatah mengatakan, “If you want to deliver the message, be the message”. Mulakan dengan diri kita dahulu, kemudian ajaklah orang lain. Amat benarlah kalimah dakwah yang dipelajari ketika awal-awal dahulu, “Islah nafsaka, wad’u ghairuka”.

My Father, My Hero...



Entry kali ini aku nak cerita pasal seseorang yang aku anggap sebagai hero dalam hidup aku. Seorang yang mulia dan telah memberikan segala-gala dalam hidupnya untuk kebaikan anak-anaknya. Dialah yang menyara makan dan minumku, mendidik aku dengan akhlak yang mulia, mengajarku kenal budi bahasa, mengajarku tulis baca, dialah yang mengajarkan ku segala-galanya.
Ketika aku sakit, dialah yang setia menghantarkan ku ke klinik, ketika aku kecewa, dia lah yang memberikan ku harapan dengan kata-kata nasihat yang berharga, walaupun hidupnya hanya sederhana, tetapi diberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Dia menggadai cita-cita untuk melihat anak-anaknya berjaya.
Hari ini, walaupun aku dah makin dewasa, tapi tetap aku banyak belajar dengannya, rutin hidupnya bermula seawal jam 430 pagi dengan solat tahajjud, bacaan quran, solat lima waktu di masjid, puasa sunat, menelaah buku dan macam-macam lagi amalan soleh. Walaupun tanpa tarbiyyah dan muhasabah saban minggu, tetap amalannya terjaga tiap waktu.
Aku berdoa agar Allah memanjangkan umurnya dalam keimanan dan diberikannya kebaikan dan agar Allah memelihara dirinya sepertimana dia menjaga aku ketika aku kecil dahulu.
Tanpa dia, siapalah aku...

Lama tak nampak? Mana hang pi?

Assalamualaikum semua,
Hai, nak kata sibuk takdelah sibuk sangat, tapi entahlah takde idea aku nak tulis apa, tapi apapun, mengingatkan bahawa blog ini adalah antara sumber pahala aku, untuk menyampaikan kebaikan Islam kepada pengunjung blog, akan aku gagahi juga, walaupun aku bukanlah muslim yang terbaik, tapi tetap akan ku usaha untuk melakukan yang terbaik untuk Islam.