LEE KUAN YEW, DAP DAN SEJARAH



Dua gambar, dua cerita, dan zaman yang berbeza tapi di belakangnya ada pelajaran yang sama.
Gambar 1, kelihatan mendiang Lee Kuan Yew dari PAP (abang DAP) ketika sedang berkempen di sebuah kampung Melayu di Singapura. Demi untuk mendapatkan sokongan orang Melayu bagi melaksanakan agenda PAP terhadap Singapura, mendiang sanggup bersongkok untuk meraih undi dan akhirnya memerintah Singapura hingga hampir hujung hayatnya.
Gambar 2, barisan pimpinan tertinggi DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang sendiri sanggup turun ke bumi para anbiya Mesir dan Jordan baru-baru ini untuk menjelaskan agenda mereka kepada bakal-bakal asatizah Melayu di sana. Tindakan ini pastinya untuk menarik golongan para asatizah kepada DAP kerana mereka sedar, masyarakat massa Melayu di Malaysia hanya mampu diraih sokongannya melalui saluran golongan asatizah dan ulama yang thiqah.
Ketika pimpinan parti politik Melayu masih bertelagah, DAP mengorak langkah signifikan dalam perjalanan panjang perlaksanaan agenda mereka di Malaysia.
Sejak lahir di Malaysia pada tahun 1965, agenda mereka tetap tidak dan tidak pernah berubah hingga sekarang. Naiflah siapa yang menyangka bahawa DAP telah mula lunak terhadap Islam dan sanggup ke Mesir untuk berjinak-jinak dengan Islam.
Lupakah mereka dengan Snouck Hurgronje yang sanggup mendalami Islam untuk memusnahkan penentangan jihad menentang Belanda di Indonesia? Lupakah mereka dengan Lawrence of Arabia yang alim dan lebih Arab dari sebahagian orang Arab pada ketika itu demi untuk memecahkan kesatuan umat Islam hingga akhirnya khilafah umat Islam runtuh.
Jangan sampai nanti nama akan tercatat dalam sejarah sebagai pengkhianat kepada umat yang akan dimaki zaman berzaman seperti Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam sejarah robohnya Kota Melaka.

CERPEN: PARANOID


Mentari yang terbit dari ufuk Timur dari celahan awan pagi itu kelihatan begitu cemerlang. Sambil memandu, Furqan menatap keindahan sang mentari pagi sambil membaca zikir Ma’thurat secara perlahan-lahan.
Hatinya terasa lapang dan tenang selepas dapat menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid dan membaca beberapa muka Al Quran.
Furqan teringat pesan naqib usrahnya, bahawa memulakan pagi dengan Solat Subuh berjemaah, tilawah Al Quran dan zikir akan memberikan rasa ketenangan yang luar biasa.
Rakan sekongsi keretanya ke pejabat, Hanifa, masih leka sejak tadi menatap iPhone 6 yang baru sahaja dibelinya minggu lepas. Dia tenggelam dalam deretan ‘newsfeed’ di laman ‘facebook’nya dan ratusan mesej Whatsapp dan Telegram yang tidak dibukanya sejak semalam.
“Apa masalah dengan demonstran di Taman Maidan ini.” Sunyi di dalam kereta dipecahkan dengan suara Hanifa yang agak lantang secara tiba-tiba.
Furqan yang sedang khusyuk berzikir, sedikit tersentak. Zikirnya terhenti, sambil otaknya ligat berfikir tentang isu apa yang dimaksudkan oleh Hanifa.
“Tak habis-habis nak cari gaduh!” Tambah Hanifa lagi dengan suara yang lebih kuat.
“Apa benda pula kali ini?” Getus Furqan di dalam hati. Dia memang kenal benar dengan rakannya itu yang cukup ‘outspoken’ baik di alam nyata, mahupun di alam maya.