Keutamaan Sebuah Kesungguhan Dalam Cinta dan Perkahwinan


“Susahlah Abang Sham.” Keluh Ihsan diikuti dengan hembusan nafas yang panjang.

“Apa yang susahnya?” Tanya saya walaupun saya telah dapat mengagaknya.

“Tak tahulah boleh ‘proceed’ atau tidak, tak nampak jalanlah.”

“Kenapanya?” Saya menjawab, malas.

“Mak ayah macam tak berapa setuju je, dah cuba pujuk, tapi hmmm...entahlah, tak tahulah saya nak buat macamana.” Luahnya lagi.

Saya terdiam mendengar luahannya, tiba-tiba terkenang memori silam.



Perbincangan kami petang itu mengingatkan saya akan kisah suka duka yang berlaku 8 tahun lalu sebelum saya berjaya melafazkan kalimah ‘keramat’ yang menghalalkan hubungan kami berdua.

Bukan senang saya ingin meyakinkan kedua ibu bapa bahawa si dia adalah calon terbaik dan solehah, punya ciri-ciri isteri yang baik dan yang lebih penting bahawa saya sudah bersedia untuk berkahwin!

Bukan tidak ada air mata yang gugur,

bukan tidak ada konflik yang hadir,

bukan tidak ada kesilapan yang saya buat akibat panasnya darah muda yang mengalir,

namun saya bertahan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan kedua ibu bapa saya tentang kesesuaian calon dan kesediaan saya untuk berkahwin kerana saya yakin bahawa apa yang saya buat, dan mengapa saya memilih calon itu adalah semata-mata untuk mencari redha Allah.

Seingat saya, hampir setiap malam dan hampir setiap seusai solat fardhu saya berdoa ketika itu agar Allah memberi yang terbaik dan memohon agar dipermudahkan segala urusan jika benar dia jodoh yang ditaqdirkan.

Banyak siri perbincangan antara saya dan ibu bapa yang berlaku.

Pelbagai strategi saya gunakan untuk cuba meyakinkan mereka berdua.

Hingga akhirnya setelah beberapa lama dan beberapa peristiwa, Allah memberi saya jalan keluar yang terbaik, walaupun dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Ayah dan ibu saya akhirnya bersetuju dan redha.

Saya menyambutnya dengan syukur.

Namun jalannya tidak mudah dan parutnya masih berbaki hingga hari ini bila diingat kembali.
Namun, kemanisan mendapatkan sesuatu dengan cara yang sukar adalah satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan dengan kata-kata.

Sebab itu, saya agak kesal dan terkilan bila mendapat tahu ada ikhwah/akhawat yang dengan begitu mudah menolak calon yang soleh/ah dari keluarga yang baik kerana ibu bapanya tidak bersetuju untuk dia berkahwin (walaupun telah tamat pengajian) atas alasan anaknya masih belum bersedia dan juga tidak bersetuju dengan beberapa kekurangan calon yang agak tidak realistik.

Apa yang saya kesal bukanlah sikap ibu bapa tersebut, tapi sikap ikhwah/akhawat yang kadang-kadang begitu mudah beralah tanpa langsung berikhtiar untuk cuba memujuk dan menerangkan dengan bersungguh-sungguh kepada ibu bapa.

Berbuat baik kepada ibu bapa, tidak semestinya kita tidak boleh ada pendapat yang berbeza dengan mereka. Terutamanya yang bersangkutan dengan masa depan kita sendiri.

Cuma, pastikan cara kita menangani perbezaan tersebut tidak melanggar batas-batas yang sepatutnya hingga termasuk dalam pagar derhaka.

Berbincanglah dengan penuh adab dan kesungguhan, dan tunjukkan kepada ibu bapa bahawa kita benar-benar serius dan bersedia untuk memulakan langkah sebagai seorang lelaki dewasa yang akan mampu melindungi anak orang lain dan menyambung generasi keluarga.

Saya khuatir, sikap sambil lewa dan tidak bersungguh dalam membina rumahtangga ini akan berlarutan walaupun jika telah berkahwin hingga menyebabkan rumahtangga yang dibina tidak berpasak pada tiang seri yang kukuh.

Isunya bukan ibu bapa.

Isunya adalah KESUNGGUHAN untuk membina rumahtangga.

Sejauh mana kita bersedia dan BERSUNGGUH untuk berhadapan dengan cabaran dalam rumahtangga.

Jika sedikit cabaran pada awal perkahwinan pun telah membibitkan putus asa dan rasa kalah.

Khuatir, kesannya nanti, bila ada sedikit ribut yang melanda di pertengahan jalan, rumahtangga akan mudah goyah.

Musibahnya mungkin pada campurtangan mertua,

mungkin juga pada kerjaya dan kewangan yang menyesakkan dada,

bahkan mungkin, ada pihak ketiga yang hadir menganggu cinta.

Tapi, musibah yang paling besar adalah TIDAK BERSEDIA dan BERSUNGGUH,

TIDAK SERIUS.

Saya memandang wajah Ihsan dengan seribu rasa. menyusun kata untuk memberi pedoman.

“Benar Ihsan, ia tidak mudah. Ia memang tidak mudah.”

“Tapi, iika kita inginkan sesuatu, maka kenalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya”.

“Percayalah, nilai sesuatu yang kita dapat dengan usaha yang bersungguh-sungguh adalah jauh lebih besar maknanya berbanding benda yang kita dapat melalui jalan yang mudah.”

“Dulu, masa mula-mula Abang Sham ‘propose’ calon pun, mak dan ayah tak setuju juga.”

“Namun, apakah ada perkara dalam dunia ini yang mudah Ihsan? Apatah lagi dalam urusan yang besar seperti ini.”

“Ihsan, bila kita yakin dengan jalan yang kita pilih, maka kita harus menjadi lelaki yang punya pendirian.”

“Ibu bapa tetap adalah ibu bapa, walau apa jua yang berlaku, hak seorang anak adalah untuk berbuat baik kepada ibu bapanya, apatah lagi jika mereka telah lanjut usia.” Saya mengingatkan.

“Dalam proses membina rumahtangga, restu ibu bapa adalah perkara yang paling utama.”

“Redha ibu bapa dalam rumahtangga yang dibina adalah antara kunci kebahagiaan yang paling utama.”

“Namun begitu...” saya menghela nafas panjang.

“Tidak semestinya kita perlu menurut semua kehendak ibu bapa dan tidak menurut kehendak mereka bukan bermakna kita derhaka.”

“Ada perkara-perkara yang kadang-kadang kita perlu tunjukkan bahawa kita punya pendirian kita sendiri.”

“Tunjukkan bahawa Ihsan telah matang dan bersedia.”

“Tunjukkan bahawa Ihsan telah dewasa.”

“Berbincanglah dengan baik tanpa sebarang niat untuk derhaka, mungkin akan ada sesekali ibu bapa merajuk walaupun kita berlembut, tapi pujuklah kembali dengan bersungguh-sungguh.”

“Tunjukkan keseriusan dan kesungguhan.”

“Berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, pohon dan merayulah kepadanya agar dia memberi keputusan yang terbaik.”

“Cuma, jangan mudah mengeluh dan gopoh bila apa yang dipinta tidak dimakbulkan oleh Allah dengan segera.”

“Mungkin Allah ingin menguji, mungkin Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik.”

“Abang Sham yakin, kalau Ihsan benar-benar yakin dengan pilihan, benar-benar yakin dengan jalan yang dipilih ini, hati tidak akan mudah gundah dengan dugaan yang mendatang.”

“Kalau benar-benar Ihsan cintakan ‘si dia’ kerana Allah, maka berusahalah, bertawakkallah dan bersabarlah. Insyaallah, Allah akan bantu.”

“Tapi, kalau semasa membuat keputusan pun tak pasti dan hati masih keliru, yang itu tak dapatlah Abang Sham nak menolong.”

“Abang Sham tak tahu bagaimana perbincangan Ihsan dengan Ibu bapa dan bagaimana karakter ibu bapa Ihsan itu sendiri, tapi yang pasti ada 1001 strategi yang boleh Ihsan guna. Kata kuncinya adalah kesungguhan.”

Jelas saya perlahan-lahan, moga dia memahami.

Islam mengajar kita untuk mempermudahkan perkahwinan, tapi sekali-kali tidak menyuruh kita untuk mengambil mudah urusan perkahwinan.

Urusan perkahwinan adalah urusan yang SERIUS.

Menangani urusan-urusannya dengan pemikiran ‘simplistik’ tidak akan membantu untuk menyelesaikan masalah kerana perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua hati, tapi ia adalah salah satu langkah dari langkah-langkah yang besar untuk membangunkan semula generasi umat yang akan membebaskan bumi Palestin yang terjajah.

Bersungguhlah, kerana pada kesungguhan itu ada redha dan pahala yang berganda.

1 comment:

  1. Bersungguh2 dlm meyakinkan...
    betul, kdg2 jawapan yang hadir daripada ALLAH swt dtg dengan tidak disangka2.
    Tersenyum:)

    ReplyDelete