Rumahtangga Dakwah Kita

“Lepas berkahwin, bagaimana rupa rumahtangga yang antum bayangkan dan apa perancangan antum semua dalam nak menjadikan rumahtangga antum sebagai rumahtangga dakwah yang bahagia?” Tanya saya kepada ikhwah dan akhawat yang baru berkahwin dan bakal berkahwin dalam tempoh terdekat dalam satu sesi bengkel persediaan rumahtangga yang saya kendalikan baru-baru ini.

“Mungkin dengan melaksanakan program usrah bersama isteri seminggu sekali” Jawab Syafiq, pantas dan cergas.

“Saya akan cuba praktikkan sunnah bertahajjud setiap minggu bersama dengan isteri.” Syazwan pula mencelah.

“Suasana dakwah dalam rumah mesti ada, perbincangan dengan isteri pun akan banyak berkisar sekitar dakwah, tarbiah dan masalah ummah.” Razlan menjawab penuh semangat.
“Suami isteri mesti punya ‘check list’ amalan, masing-masing harus punya sasaran untuk tingkatkan amal fardi.” Fatimah, wakil akhawat tidak ketinggalan untuk memberi pandangan.


Saya tersenyum mendengar jawapan-jawapan yang diberikan. Satu ketika dulu, saya juga mempunyai tanggapan yang sedemikian tentang rumahtangga dakwah. Rumahtangga yang hanya berkisar sekitar usrah dan program-program tarbiah semata-mata. Ianya baik, Cuma ia terlalu naïf dan masih jauh dari rupa rumah tangga muslim sebenar yang harus dibina oleh para pendakwah.

“Bagus sekali jawapan yang diberi, saya harapkan agar Insyaallah, harapan-harapan itu akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.” Saya memulakan perkongsian setelah tidak ada lagi jawapan yang diberikan.

“Mencipta suasana ibadah dalam rumah, adalah antara komponen yang paling penting dalam rumahtangga, suami dan isteri saling bantu membantu untuk solat malam, solat berjema’ah bersama-sama di dalam rumah, bertilawah, bertadarus dan berusrah bersama-sama. Ia akan menimbulkan kasih sayang luarbiasa yang mendapat keberkatan langit.”

“Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah saw memuji suami isteri yang saling kejut mengejut dalam menunaikan sunat tahajjud.”

"Allah merahmati seorang suami yang bangkit dari sebahagian malam lalu ia sembahyang dan mengejutkan isterinya. Kalau isterinya itu enggan, ia merenjiskan air ke mukanya. Juga Allah merahmati seorang isteri yang bangkit pada sebahagian malamnya lalu ia sembahyang dan mengejutkan suaminya. Jikalau suaminya enggan maka ia merenjiskan air ke mukanya". (Hadis)

“Namun ikhwah akhawat, rumahtangga dakwah yang bahagia, bukanlah sekadar melaksanakan usrah, solat berjemaah, berbincang tentang dakwah dan tarbiah dan solat tahajud bersama semata-mata, kerana rumahtangga yang kita bina masih rumahtangga sepasang manusia.”

“Oleh itu, jangan lupakan perasaan dan harapan kita sebagai manusia, kesukaan dan fitrah kita sebagai manusia.”

“Maksudnya, perlu juga ambil berat tentang isu-isu seperti masak memasak, isu-isu komunikasi dan di dalam selimut, hubungan dengan mertua dan pelbagai lagi.”

“Contohnya, isteri harus berusaha sedaya upaya untuk memasak masakan yang disukai oleh suami, jangan atas nama kesibukan dakwah dan kerjaya, isteri jarang memasak dan jika memasak pun sekadar melepaskan batuk di tangga.”

“Jangan hingga air tangan tukang masak di Restoran Mamak atau Tom Yam lebih disukai oleh suami berbanding air tangan isteri sendiri. Sedaya upayalah berusaha untuk mencari apa yang disukai oleh suami dan belajarlah untuk memasak demi membahagiakan hati suami walaupun jika mendapat suami yang sangat pandai memasak seperti Akh Nizam di Adelaide.”

“Sesibuk mana sekalipun, cuba pastikan dalam seminggu ada hidangan istimewa sekurang-kurangnya sekali dari tangan isteri untuk suami.”

“Peringkat awal mungkin tak berjaya, tapi kena usaha juga. Bila balik kampung, kena bergurulah dengan mak mertua. Lama-lama berjaya juga nanti.”

“Begitu juga dengan berhias dan berwangi untuk suami, isteri jangan ambil mudah perkara ini. Jangan hingga tidur di katil dengan baju yang dipakai dari pagi, apatah lagi jika dengan bau yang kurang menyenangkan.”

“Maaf ye, saya terpaksa cakap juga, tapi jangan hingga suami tidak ada ‘selera’ dengan isteri dan begitu juga sebaliknya. Amat bahaya jika ianya berlaku dalam rumahtangga.”

“Banyak lagi perkara-perkara kecil yang kita rasakan mungkin remeh, seremeh mencedukkan nasi ke pinggan lauk suami, menyiapkan teh panas di waktu pagi untuk suami atau sesekali meminyak dan menyikat rambut suami.”

“Tapi sebenarnya isu remeh yang tidak selesai inilah jika tidak ditangani dan dirawat, bakal membawa bencana dalam rumahtangga.”

“Jangan tidak percaya, ada yang hampir bercerai dan meminta untuk berkahwin lain kerana merasakan tidak mendapat layanan isteri yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan dakwah. Kena cari titik keseimbangan antara kerjaya, dakwah dan rumahtangga.”

“Suami pun begitu juga, jangan terlalu keras dan kering di rumah, isteri kita juga ingin dibelai dan disayangi. Layanilah dan berbuat baiklah kepada mereka. Jika kita ingin mereka sentiasa kelihatan cantik, maka mereka pun ingin kita sentiasa kelihatan tampan dan bergaya juga.”

“Hormatilah dan berbuat baiklah kepada isteri, bantulah isteri di dapur dan urusan-urusan rumahtangga lainnya dengan kadar yang sesuai. Cuma para suami dan bakal suami, jangan abaikan tanggungjawab dakwah di luar rumah dan banyakkan solat berjema’ah di masjid.

“Jangan rumah yang terlalu selesa mengikat kaki hingga kita terlalu berat untuk ke masjid atau ke program-program dakwah.”

“Sesekali, bawalah isteri berbulan madu ke tempat-tempat yang istimewa (tidak semestinya mahal), temanilah mereka membeli belah pakaian kesukaan dan makan di tempat-tempat yang romantik dan nostalgia.”

“Di atas semua itu, suami dan isteri kena banyak berlapang dada setelah cuba untuk memberi yang terbaik, kerana masing-masing suami dan isteri, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, dan sudah tentunya kerana lelaki dan wanita datang dari planet yang berbeza!”

“Bila dah ada anak nanti, lain pula kisahnya, itu nanti kita kena buat bengkel lain pula.” Saya tersenyum sambil melihat wajah-wajah di hadapan saya yang juga sedang tersenyum.

Melihat pasangan-pasangan muda ini, teringat kepada kehidupan saya 7 tahun yang lalu ketika baru mula melayar bahtera rumahtangga. Bukan kecil anjakan paradigma yang perlu saya lakukan setelah berkahwin. Dari hidup bujang yang ‘simple’ kepada hidup bersama pasangan yang sama-sama berkongsi rasa manis, pahit, masin dan tawar dalam alam rumahtangga.

Banyak ranjau yang dilalui, namun tidak sedikit juga kemanisan yang dirasai. Alam rumahtangga ada keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Rugilah sesiapa yang sengaja melambat-lambatkan urusan perkahwinannya.

Semoga cinta antara mereka ini akan terus mekar membuahkan pahala buat pemberat timbangan pada hari hati-hati semuanya akan menjadi goncang. Insyaallah.
  

No comments:

Post a Comment