Rahsia Kemanisan Rumahtangga.

“Risaulah Abang Sham?” Luah Kamal sambil memandang ke luar tingkap kereta sambil menghela nafas panjang.

“Apa yang risaunya?” Saya bertanya sambil mata masih memandang ke hadapan. Memberi tumpuan kepada perjalanan dari Melbourne ke Adelaide yang masih lagi jauh. Namun saya dapat mengagak yang kerisauannya adalah di sekitar urusan perkahwinannnya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mujur ada teman yang menemani dan berganti-ganti untuk memandu, tidaklah sunyi perjalanan sejauh 800 kilometer. Hendak mengharapkan isteri, baru 40 minit memandu dia sudah mengadu pening kepala dan mengantuk. Sekarang sedang terlena di belakang bersama anak-anak.

“Risaulah tentang persediaan menghadapi alam rumahtangga. Masih banyak yang belum diketahui dan dipelajari.” Luah Kamal, ikhlas dari hati.  

“Risau juga tentang penerimaan dia terhadap saya, penerimaan kedua belah keluarga, tentang komunikasi antara kami berdua nanti, apa yang akan jadi jika timbul masalah antara kami, bagaimana kami akan menyelesaikan konflik jika ianya berlaku.”

“Tentang masa depan, di mana kami akan ‘settle down’...” sambung Kamal lagi. Banyak sungguh kerisauannya.

Saya mendengar dengan teliti. Hilang rasa mengantuk seketika mendengar luahan hatinya. Sebelum berkahwin dan sehingga kini, tidak pernah saya terfikir akan perkara-perkara sedemikian.

Mungkin Kamal ini jenis orang yang amat teliti dan sentiasa berfikir ke hadapan, berbeza dengan saya yang mungkin agak ringkas dan tidak suka untuk berfikir tentang perkara-perkara yang belum berlaku.

Bukan tidak ada masalah yang pernah berlaku dalam rumahtangga kami, bukan tidak pernah ada konflik yang timbul antara saya, isteri dan ibu bapa. Memang pedih, tapi bila usaha dan masa merawatnya, kepedihan itu akan bertukar menjadi sebuah kemanisan yang luarbiasa.


Saya tersenyum dan melihat wajahnya sebelum memulakan bicara.

“Baguslah Kamal risau, itu tandanya Kamal amat ‘concern’ tentang rumahtangga yang bakal dibina. Ramai di luar sana yang tidak pernah peduli pun untuk merancang agenda rumahtangganya.” Saya memuji keprihatinannya.

“Cuma Kamal, perkahwinan adalah medan untuk kita belajar dan bersabar. Ada perkara-perkara yang kita rancang dan harapkan, mungkin tidak akan berlaku. Tarbiah rumahtangga adalah tarbiah unik yang ujiannya adalah berbeza-beza untuk setiap orang.”

“Kalau kita lihat dalam sirah, rumahtangga Rasulullah juga banyak cabarannya. Ada kisah Saidatina Aisyah difitnah hingga Rasulullah sendiri terpaksa menunggu wahyu untuk menyelesaikannya. Ada juga kisah pinggan melayang dan kisah cemburu Saidatina Aisyah dan Hafsah.” Saya berhenti seketika menghela nafas apabila melihat Kanggaru melintas di hadapan.

“Sebelum berkahwin, kita mungkin telah istikharah, istisyarah (berbincang) dan berfikir semasak-masaknya sebelum membuat pilihan. Namun, tidak semestinya perkahwinan yang kita rancang dengan baik akan terus kekal baik tanpa ujian yang datang melanda.” Sambung saya.

Kereta Toyota Aurion terus bergerak pantas melalui pekan Keith yang cukup damai. Matahari yang baru menampakkan diri menambah seri pemandangan indah bumi Wallabies ini.

“Sebab itu, bila masuk dalam medan rumahtangga, kita orang lelaki kena tambah dos kesabaran, tingkatkan rasional dan kena perbanyakkan sifat redha.” Saya menambah.

“Apa maksud Abang Sham?” Celah Kamal di tengah-tengah bicara.

“Begini, kita boleh merancang tapi kita tidak akan tahu ujian bagaimana yang akan Allah hadirkan dalam rumahtangga kita. Sebab itu, kena perbanyakkan sabar, rasional dan redha, supaya setiap masalah yang mendatang dan akan datang, kita akan hadapinya dengan bekal-bekal tersebut.” Jelas saya, memberikan konsep asas. Setiap orang dan setiap rumahtangga, akan punya ujiannya yang tersendiri sesuai dengan kemampuan kita.

“Seperkara lagi, ilmu perkahwinan mesti dituntut. Usah berpada dengan kursus sehari dua sahaja. Beli buku-buku yang baik seperti Mutiara Perkahwinan, Aku Terima Nikahnya, La Tahzan, Fiqh Wanita, Women are from Mars, Men are from Venus dan macam-macam lagi.”

“Rajinkanlah juga diri untuk mendengar kuliah-kuliah, hadir ke seminar-seminar rumahtangga yang membincangkan tentang pendidikan anak-anak dan sebagainya.”

“Juga jangan lupa untuk mengutip pengalaman dari orang-orang berpengalaman yang telah berjaya dalam rumahtangga. Redha ibu bapa juga mesti sentiasa dipinta, kerana doa mereka amaaaat penting dalam memastikan rumahtangga kita kekal bahagia.”

“Akhir sekali, banyakkanlah berdoa dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan. 
Insyaallah, jika kita ikhlas untuk membina rumahtangga bagi mencari redhanya, maka Allah akan menunjukkan jalan-jalannya.” Saya menyudahkan nasihat, menunggu pertanyaan seterusnya sambil melihat mentari pagi yang cukup indah.

Melihatnya diam, saya menambah lagi. “Tak perlu risau sangatlah Kamal, Insyaallah, seronok berkahwin ni, bila ada cabaran dan ujian, rumahtangga akan jadi lebih matang dan manis.”

"Apa yang penting, lafazkan dulu Aku Terima Nikahnya dengan tenang dan bergaya. Insyaallah akan ada keberkatan dari langit yang akan membuatkan urusan hidup kita bertambah indah.”

Mentari yang tadinya naik perlahan telah mula meninggi, sesekali saya melihat ke belakang melihat wajah isteri dan anak-anak yang sedang nyenyak tidur. Bukan sedikit cabaran yang dilalui dalam menjadikan mereka penyejuk mata dan penawar hati. Tapi itulah rahsia kemanisannya! 

3 comments:

  1. "Apa yang penting, lafazkan dulu Aku Terima Nikahnya dengan tenang dan bergaya"

    tu ayat yang sungguh catchy. :D

    ReplyDelete
  2. andai coretan kali ini kisah benar, pasti ramai tahu siapa Kamal! =)

    ReplyDelete
  3. risau-risu tu bagus, akan lebeh ready kalo menghadapi konflik rmh tangga nanti. hadapilah dgn cool n jgn aling dok tuding jari. situasi win-win..

    ReplyDelete