Mari Bersedia Untuk Ramadhan


Tinggal sehari lagi sebelum Ramadhan, bermakna hanya tinggal sedikit lagi masa untuk kita bersedia bagi menghadapi bulan yang paling penting dalam hidup seorang muslim.

Dalam tempoh sesingkat ini, apa yang mampu kita lakukan untuk bersedia? Mungkin tips dibawah ini boleh membantu.

1.    Merancang objektif dan aktiviti Ramadhan
Ada satu pepatah yang mengatakan, “Jika kita gagal untuk merancang, bermakna kita merancang untuk gagal”. Begitu juga dengan Ramadhan, jika kita memasuki gerbangnya tanpa sebarang objektif dan perancangan yang jelas untuk menghadapinya, kebarangkalian untuk kita terus gagal dalam memanfaatkan Ramadhan adalah amat tinggi dan Ramadhan akan dilalui seperti kita melalui hari-hari biasa, cuma bezanya pada lapar dan dahaga sahaja.

Alangkah ruginya.

Untuk mengelakkan kerugian besar ini, ada baiknya kita mula dengan meletak objektif, sebagai contoh:

“Aku ingin khatam Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadhan ini”

Kemudian gariskan perancangan bagaimana untuk mencapai objektif ini. Ramadhan punya 30 hari, jadi, sekurang-kurangnya kita perlu menghabiskan bacaan Al Quran sebanyak 1 juzu’ sehari.

1 Juzu’ biasanya sekitar 10 helai atau 20 mukasurat. Jika kita dapat menghabiskan bacaan Quran sebanyak 5 muka sebelum Subuh, 5 muka selepas Subuh, 5 muka ketika waktu Zuhur dan 5 muka lagi selepas solat Asar, maka Insyaallah jika kita istiqamah, matlamat kita akan tercapai.

Begitu juga jika kita meletakkan objektif:

“Aku ingin menghabiskan pembacaan kitab Sirah Rahiq Makhtum sepanjang Ramadhan kali ini”

Maka untuk mencapai objektif ini, kita harus merangka jadual dan meletakkan displin untuk kita sekurang-kurangnya istiqamah dalam membaca kitab tersebut sehingga khatam pada bulan Ramadhan kali ini.

Cumanya, bila kita meletakkan objektif, jangan terlalu tinggi dan jangan pula terlalu rendah. Jika kita meletakkan sasaran untuk solat tahajjud 8 rakaat setiap malam, dikhuatiri nanti kita hanya dapat melakukannya pada beberapa malam yang awal sahaja dan kemudian akan meninggalkannya langsung kerana jemu atau penat.

Amal yang terlalu sedikit pula, sebagai contoh, meletakkan sasaran untuk solat berjemaah di masjid sekurang-kurangnya sekali sehari, akan menyebabkan kita akan kehilangan fadhilat Ramadhan yang melimpah ruah.

Rancanglah dengan teliti dan gunakanlah tools yang boleh membantu seperti ‘QamarDeen’ (hanya pengguna iPhone sahaja). Besederhanalah dalam merancang dan melaksanakannya. Kebaikan itu ada pada kesederhanaan dan sifat istiqamah.


Besederhanalah dalam merancang dan melaksanakannya. Kebaikan itu ada pada kesederhanaan dan sifat istiqamah.

2.    Mewujudkan suasana ceria dan kondusif untuk menyambut Ramadhan di rumah dan di pejabat
Perkara kedua yang boleh kita lakukan untuk menyemarakkan Ramadhan adalah dengan mewujudkan suasana ceria dan kondusif untuk menyambut Ramadhan. Jika di rumah, hiasilah rumah dengan sewajarnya. 

Bersihkanlah baju melayu, kopiah, tudung dan telekung yang ingin dipakai, basuhlah juga sejadah dan jika berkemampuan, gantilah sejadah yang telah lusuh dengan yang baru.

Jika berkeluarga, sama-samalah dekorasikan poster bersama anak-anak dan tampallah di dinding atau di pintu peti ais. Jika ada poster pemain atau pasukan bolasepak yang ditampal di dinding, turunkanlah dan gantikanlah buat sementara waktu dengan poster-poster Ramadhan atau gambar Masjidil Haram.

Televisyen atau game seperti PS2 dan XBox yang jika berada ditempatnya kita yakin kita tidak akan dapat mengawal diri, maka alihkanlah ke tempat yang lebih sukar untuk dicapai seperti di dalam almari (games dan controller televisyen) agar tumpuan kita dan ahli rumah untuk beribadat dan menjaga pancaindera ketika Ramadhan dapat dilakukan dengan lebih fokus.

Di rumah juga, wujudkan satu tempat khas untuk kita dan ahli rumah dapat duduk bersama-sama membaca Al Quran samada untuk tilawah secara sendiri atau bertadarus. Jika mempunyai rehal, maka keluarkan dan letakkan berhampiran supaya ia mudah dicapai.

Jika mampu juga, letakkan satu tabung Infaq Ramadhan di rumah agar mudah untuk diisi (bukan dibuka ye) kerana salah satu perkara yang cukup afdhal dilakukan ketika Ramadhan adalah memperbanyakkan sedekah. Tabung ini nanti, salurkanlah ke tempat yang sepatutnya sebelum tamat Ramadhan seperti Aman Palestin atau NGO dakwah yang banyak membantu orang miskin dan melakukan kerja-kerja fisabilillah.

Mentol lampu yang terpadam, usahakanlah untuk menggantikannya. Lebih menarik juga jika kita dapat memasang lampu ‘lip lap’ sepanjang malam-malam Ramadhan. Hiasilah dan dekorasilah rumah umpama kita ingin menyambut tetamu agung yang akan datang bertandang.

Perkara yang sama juga boleh kita lakukan di meja kerja kita di pejabat. Cuma pastikan ia perlu mendapat keizinan boss terlebih dahulu!

3.    Meletakkan Al Quran di tempat yang istimewa
Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al Quran. Bulan ini harus kita gunakkan untuk meletakkan Al Quran di tempat yang cukup istimewa.

Selain dari merancang objektif untuk khatam Al Quran pada bulan Ramadhan, antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memotivasikan diri bagi membaca Al Quran adalah dengan meletakkan naskhah Al Quran di tempat yang mudah dicapai di rumah dan di pejabat. Lebih mudah jika kita mempunyai senaskhah Al Quran ‘mobile’ yang boleh kita bawa ke mana-mana.

Jika merasa susah untuk membawa mushaf yang tebal, carilah mushaf kecil dan comel yang banyak terdapat di pasaran. 

Selain itu, jika anda mempunyai telefon berjenis Apple atau Android, banyak aplikasi-aplikasi Android dan Apple yang menawarkan aplikasi Quran secara percuma.

Sebaiknya, carilah naskhah terjemahan agar kita tidak sekadar membacanya sahaja, tetapi kita cuba tadabbur (menghayati) sebahagian ayat-ayat Allah yang kita baca tersebut.

4.    Memohon kemaafan manusia dan keampunan dari tuhan
Akhir sekali, dalam tempoh yang singkat begini, banyakkan beristighfar dan berdoa “Allahumma Ballighna Ramadhan” agar Allah menyampaikan kita kepada Ramadhan dan memberikan kita kesihatan, kekuatan dan semangat untuk istiqamah beramal.

Kemaafan dari ibu bapa, kawan-kawan yang pernah kita terumpat caci dan sebagainya, juga harus kita usahakan untuk menuntutnya. Paling-paling tidak, hantarlah sms kepada kawan-kawan, status di facebook atau e-mail agar tercatat oleh malaikat bahawa kita punya usaha untuk membebaskan diri dari belenggu dosa sesama manusia.

Banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan sebenarnya untuk memeriahkan kehadiran Ramadhan dan bernafas di dalamnya dengan penuh makna jika kita memikirkannya dengan serius. Jika sebelum ini kita gagal dalam madrasah Ramadhan, marilah kita sama-sama berusaha agar Ramadhan tahun ini akan menjadi Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan berbanding tahun-tahun yang telah berlalu.

Ini adalah tips masa-masa kecederaan sebelum kita menyambut Ramadhan. Insyaallah selepas ini kita akan bincangkan pula dengan lebih lanjut tentang bagaimana untuk menyemarakkan Ramadhan bila kita telah berada di dalamnya. 


Selamat menyambut Ramadhan semuanya, semoga Allah redha.


Selamat Ulangtahun ke 2, Khadijah Hanan

Gambar terbaru Khadijah ketika Winter Trip 2011

Malam ini saya mengambil masa menatap semula gambar-gambar Khadijah sejak dia mula dilahirkan. Sedar tak sedar, hari ini genap 2 tahun Khadijah menjadi penyeri keluarga kami dengan keletahnya yang tersendiri.

Ketika baru mula meniarap, saling tak tumpah seperti kakaknya ketika kecil.
Membaca catatan sendiri (Selamat Datang Khadijah Hanan) ketika awal kehadirannya, terasa seakan baru semalam kenangan indah ketika kali pertama mendengar berita gembira tentang kehadirannya di dalam kandungan.

Mengingat kesyukuran yang kami rafakkan di hadapan rumah Allah yang paling mulia ketika usia kandungan telah mencecah 6 bulan, saat dia dilahirkan dengan suasana yang mencemaskan, dan ketika melihat wajahnya tersenyum buat kali pertama, semuanya bagai syurga yang didahulukan buat kami berdua.  

Tak sabar hendak memandu ke Khadijah?
Melihatnya membesar detik demi detik adalah kegembiraan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Kesungguhan dan tekad yang tinggi untuk mendapatkan apa yang diinginkan, kecintaannya kepada buku, senyuman dan tangisan yang silih berganti seawal jam subuh hari, serta tangannya yang lebih ligat berbanding lisannya, itulah Khadijah yang mewarnai keluarga kami.

Ketika pertama kali berjaulah bersama ayah di Cameron
Buat Khadijah permata hati ayah, jika suatu hari nanti, anakanda membaca coretan ini, ketahuilah bahawa ayah akan menyayangi mu selamanya dan harapan ayah adalah semoga anakanda membesar dengan semangat dan iman seperti Khadijah permata hati dan suri pertama dalam hidup Rasulullah.

Moga dirimu suatu hari nanti akan menjadi setabah dan sekuat Khadijah dalam memikul risalah ini.

Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 2 Khadijah Hanan. Semoga hari-hari mendatang akan menjanjikan rahmat dan keampunan yang tidak putus-putus dari pemilik semesta alam.

Gersang!

Lama saya tidak mencatatkan sesuatu di sini. Bulan Julai ini saya gersang idea dan masa untuk mencoret di blog ini. Bila idea ada, masa pula tiada, bila masa ada, idea itu pula hilang entah ke mana. Bila masa dan idea ada, mood pula yang menjadi penghalang. Macam-macam alasan, huh!

Saya sedang berusaha untuk mencari kembali momentum untuk menulis dan memberi dengan lebih deras lagi. Semoga kegersangan ini tidak akan berpanjangan. Moga Ramadhan ini, Allah memberi saya kekuatan luarbiasa untuk melipatgandakan usaha.

Terus menembak doa buat saya ye wahai pembaca blog yang budiman :)

Belajar dari Jennie dan Ibunya di West Lakes

Inilah menara yang saya sedang panjat. Gambar di ambil oleh En. Isteri yang setia menunggu di bawah.

“Cepatlah Humaira’, panjat tiang tu, jangan takut.” Saya mendesak setelah melihat dia hanya memandang sahaja menara palang tersebut.

Menara di Taman Permainan West Lakes itu memang tinggi, antara yang paling tinggi pernah saya lihat. Cukup menarik untuk dipanjat, namun pastinya memerlukan sedikit keberanian pada anak-anak yang mempunyai sifat gayat.

“Tak mau, Humaira’ takut.” Dia masih lagi enggan dan hanya melihat beberapa kanak-kanak lelaki memanjat tiang itu dengan cukup pantas dan bertenaga.

“Laa, tadi kata nak main, ni takut pula, macamana ni?” Saya mendesaknya lagi namun dia tetap tidak berganjak.

“Tinggi sangat, takut.”

“Tak mengapa, peganglah kuat-kuat, Insyaallah tak jatuh.”

“Tak nak, takuttt.” Namun dia tetap enggan membuatkan saya hilang idea untuk memujuknya dengan kata-kata.

“Aduhai, cuba tengok ayah panjat macamana.” Melihat keengganannya, saya menunjukkan contoh untuk memanjat menara tersebut, namun tiba di puncak, baru saya sedar yang saya juga gayat!

“Ha, ayah boleh pun panjat, cuba panjat macam ayah tadi.” Saya menjerit dari puncak menara tersebut. Namun Humaira’ tidak memperdulikan saya lagi, dia telah berlari ke permainan buaian meninggalkan saya di atas menara bersama anak-anak kecil lain yang sedang memanjat dengan berani. Isteri saya hanya tertawa dengan wajah yang mengejek.

Dalam perjalanan turun ke bawah, saya tertarik melihat seorang kanak-kanak perempuan sekitar usia 4 tahun yang juga kelihatan takut, tapi sedang memanjat dengan perhatian penuh dari ibunya.

“Ok, Jennie, pijak di atas tiang kiri, kemudian pegang tiang yang di atas.” Ibunya melaung memberikan arahan sementara anak itu mengikut dengan patuh. Menariknya, ibunya langsung tidak memegang atau cuba membantunya secara fizikal.

“Ok, sekarang angkat kaki kiri dan letakkan di atas palang kanan!” Laung ibunya lagi, tapi kali ini Jennie tidak bergerak, kelihatan seperti takut. Saya berhenti seketika di atas palang di tengah-tengah menara memerhati kaedah ibu itu mendidik anaknya berani mencuba.

“Jennie, jangan takut, kamu boleh lakukannya, ibu percaya pada kamu, sekarang, angkat kaki kiri perlahan-lahan.” Anak itu mengikut dengan perlahan sementara ibunya tidak putus-putus memberikan arahan dan kata semangat hingga akhirnya anak itu berjaya sampai ke puncak kedua tinggi.

Saya melihat dengan penuh khusyuk. Menarik melihat bagaimana anak itu dipandu dan diberi semangat oleh ibunya untuk memanjat menara itu dengan jayanya. Sampai di bawah, kanak-kanak itu diraikan oleh ibunya seperti baru menang satu perlumbaan.

Positif, cukup positif.

Saya turun dari menara itu dan duduk di atas kerusi di tepi tasik sambil memerhatikan Humaira’, Khadijah dan ibunya sedang bermain buaian. Saya mencari kelibat ibu dan anaknya tadi, namun telah tidak kelihatan.

Sambil menghirup udara petang yang segar, saya berfikir-fikir tentang apa yang saya lihat tadi dan membandingkannya dengan beberapa pengalaman saya yang lepas.

Dalam mendidik anak-anak, kadang-kadang ada ibu bapa yang terlalu ingin melihat hasilnya dengan segera tanpa memperincikan kaedah pendidikan dengan teknik yang betul. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang ingin anaknya cepat membaca, tapi tidak pernah mengajar anak itu di rumah dan hanya bergantung kepada tadika atau sekolah untuk mengajar anaknya cepat membaca.

Bila anak itu gagal, maka yang disalahkan adalah sekolah dan guru yang mengajar sedang kealpaan diri dalam mendidik tidak pula dijadikan punca.

Mendidik anak-anak tanpa ilmu ibarat membina rumah tanpa pelan yang dihasilkan oleh jurutera.

Haru biru jadinya.

Itu satu ekstrem.

Ada juga ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengawal anaknya. Segala-galanya ditentukan oleh ibu bapa, dari sekolahnya ketika kecil hingga tamat persekolahan, kursus yang harus diambil anaknya di universiti, pekerjaan anaknya juga ditentukan malah calon pasangan juga telah ditentukan sejak awal lagi.

Ekstrem yang sebegini menjadikan anak umpama robot untuk memuaskan nafsu ibu bapa. 

Cukup menyedihkan, namun usah terperanjat kerana ia memang benar-benar berlaku.

Hasilnya nanti, anak itu mungkin akan membesar menjadi manusia yang tidak pandai berdikari dan menentukan hala kehidupannya sendiri. Bila ibu bapanya telah tiada, besar kemungkinan anak ini akan hilang punca.

Mendidik anak-anak, kita perlu pendidikan yang sederhana. Umpama ibu yang mendidik anaknya memanjat menara. Dia membimbing dan memberikan semangat bukan mengarahkan dan marah-marah bila anaknya gagal.

Dia menunjukkan laluan bukan menentukan jalan yang harus diikuti.

Namun, dalam mendidik anak-anak menjadi manusia yang cinta pada agama, sesekali kita harus memaksa. Dalam mengajar anak untuk bersolat umpamanya.

Namun ia harus diawali dengan pendidikan berterusan sebelumnya diiringi dengan teknik-teknik yang lain yang positif. Rotan dan paksaan harus menjadi kaedah terakhir untuk memberi amaran kepada anak-anak bahawa dalam Islam, ada perkara yang tidak boleh bertoleransi.

“Ayah, jom main jongkang jongket kat sana tu!” Laungan Humaira’ memecahkan angan pemikiran saya petang itu. Saya bangkit dengan semangat baru, dengan kaedah baru.

Terima kasih ibu muda dan anaknya. Ada sesuatu yang saya belajar dari kamu berdua.





Mengapa Babi Haram?

Tak sampai hati nak letak gambar babi, saya letak ajelah gambar piggiebank, jadilah...(credit : creditcardcompare.com.au)


Apa yang Humaira’ belajar di sekolah tadi?” saya memulakan bicara malam selepas solat Maghrib berjemaah di rumah.

“Takde apa-apa,” dia menjawab malas.

“Hai, takkanlah tiada apa-apa, punyalah lama duduk di sekolah.” Soal saya kembali, tidak puas hati.

“Entahlah, lupa lah ayah,” jawabnya dengan lebih malas. Kadang-kadang moodnya memang begitu, ada ketikanya tanpa ditanya dia akan bercerita tanpa henti, tapi kalau datang anginnya, soalan yang ditanya hanya dijawab dengan beberapa patah kata.

“Humaira’ tak nak cerita dekat ayah ke yang Humaira’ pergi ‘farm’ tadi?” sampuk isteri saya yang sedang melipat telekung. Rupanya dia telah bercerita pada ibunya sebelum ini, mungkin dia malas hendak mengulang cerita kepada saya agaknya.

“Oh, ada ‘farm’ ke kat sekolah?” saya bertanya penuh ingin tahu. Tidak pula saya tahu sebelum ini ada kebun kecil di sekolahnya.

“Ada, ada, tadi kami semua pergi ‘farm’, tengok binatang” Kali ini butir bicaranya kedengaran lebih ceria.

“Iye ke, apa yang Humaira’ jumpa dekat ‘farm’ tadi?” Saya bertanya lagi.

“Ada ayam, ada biri-biri, ada burung, ada Turkey,” jelasnya satu persatu.

“Hmm, lagi, ada binatang apa lagi?” saya terus bertanya kerana intonasinya seakan berhenti pada wakaf yang tidak kena.

“Ada babi.” Jawab Humaira’, tapi kali ini dengan suara yang sedikit berbisik.

“Haa, ada babi ke?” Saya menunjukkan riak wajah terkejut walaupun sebenarnya tidak.

“Iye, ada ayah.” Jawabnya lagi dengan nada berbisik, entah mengapa agaknya.

“Humaira’ pegang ke babi tu?” Saya bertanya meminta pengesahan, kerana jika memegang atau terpegang, terpaksalah saya keluar mengambil segenggam tanah di luar untuk proses samak.

“Taklah, Humaira’ tengok jauh-jauh je sebab masa tu babi tu kencing.” Hurainya tanpa berselindung menyebabkan tawa saya dan isteri meletus mencetus hairan pada Khadijah yang sedang leka bermain di atas sofa.

“Aduhai, kasihan babi tu ye, kena gelak dengan kita. Tak mengapalah Humaira’, tapi Humaira’ tahu tak kenapa kita tak boleh makan dan pegang babi?”

“Sebab Allah tak bagi lah,” Jawabnya ringkas, tapi padat dan tepat.

“Macamana Humaira’ tahu Allah tak bagi?” saya cuba memprovokasi.

“Sebab ayah dengan ibu beritahu.”

“Tapi, Humaira’ tahu ke macamana ayah boleh tahu?” Saya menyambung soal jawab untuk membuat mindanya berfikir bahawa kebenaran itu harus dicari dan rasa percaya itu mestilah berasaskan kebenaran yang diyakini bukan taklid buta tanpa mengkaji.

“Hmmm, macamana ayah?” Humaira’ mengalah.

“Mestilah melalui ini!” saya mengangkat terjemahan Al Quran.

“Dalam Al Quran inilah Allah mengajar kita semuanya. Al Quran ini bukan kita perlu pandai baca sahaja, tapi pada masa yang sama kita kena faham apa yang Allah nak sampaikan di dalamnya.”

“Kalau kita baca sahaja Qur’an, tapi tak faham, tak sempurnalah sayang. Sebab, Allah beri kita Al Quran, bukan hanya untuk kita baca, tapi supaya kita faham dan kita dapat buat apa yang Allah suruh di dalamnya.”

“Sebab itu kita kena ada terjemahan, supaya kita tahu apa yang Allah ingin cerita pada kita.” Jelas saya tentang khasiat Al Quran yang sebenarnya iaitu sebagai panduan hidup manusia, bukan hanya untuk dibaca dan dipertandingkan dalam musabaqah tahunan.

Saya membelek belek lembaran Quran terjemahan mencari ayat dari surah Al Maaidah tentang pengharaman umat Islam untuk memakan babi dan binatang-binatang lain yang tidak disembelih dengan nama Allah.

“Haa, cuba Humaira’ tengok ini.” Saya menunjukkan kepadanya maksud dari ayat ke 3, surah Al Maaidah.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

“Haa, di sinilah Allah beritahu kita tak boleh makan babi. Selain dari babi, binatang yang kita tak boleh makan adalah binatang yang mati tanpa sempat kita sembelih. Sembelih ni, macam yang kita lihat di UUM masa korban tahun lepas. Ingat tak?”

Sebelum sempat dia menjawab, saya menyambung lagi.

“Jadi, lembu, kambing dan ayam yang bukan orang Islam sembelih dan juga dia mati bukan sebab kena sembelih, macam mati kena langgar kereta ke, semuanya tak halal di makan.” Terang saya panjang lebar.

“Ooooo” Humaira’ mengangguk panjang.

 “Cuma Humaira’, binatang yang tinggal di lautan macam ikan, udang, Kerang dan sotong, tak perlu kita sembelih.”

“Kenapa pula ayah?” Tanyanya lagi, soalan yang telah saya jangka.

“Sebab, binatang-binatang itu tiada darah macam ayam, lembu, kambing dan unta dan juga tiada tengkuk untuk di sembelih, dan yang lebih penting, Allah sebut pada kita bahawa kita boleh makan ikan di laut yang sedap-sedap semuanya.”

“Humaira’ nak tahu tak di mana Allah sebut pada kita bahawa kita boleh makan ikan di laut?” saya bertanya lagi untuk mewujudkan interaksi antara kami dan Al Quran.

“Nak, nak.”

“Ok, mari kita cari,” saya mengingat-ingat di mana letaknya ayat tentang bolehnya makan ikan di laut. Jika tidak silap ada beberapa tempat, dan yang paling saya ingat dan suka adakah ayat dari surah Fathir yang banyak membincangkan tentang kehebatan ciptaan-ciptaannya.

“Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain asin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari karunia-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Fathir: 12)

“Haa, inilah ayatnya!” Saya menunjukkan isi dari ayat itu kepadanya dan dia kemudian membacanya dengan kuat.

“Haa, macamana, faham tak?” Tanya saya selepas dia selesai membacanya.

“Faham, faham, faham” Jawab Humaira’ dengan gaya Upin dan Ipin yang amat diminatinya.

“Jom makan, nanti sejuk pula lauk ni.” Panggil isteri saya dari dapur menangguhkan seketika majlis ilmu tidak formal antara saya dan Humaira’ petang itu.

Al Quran, bukan hanya kitab untuk kita baca pada setiap malam Jumaat dan juga bukan hanya untuk dilagukan dan dihafaz tanpa diketahui makna dan isinya. Dari kisah babi di sekolah, hingga cara berinteraksi dengan Al Quran, semoga sedikit interaksi kami dengan Al Quran petang itu akan membuka mindanya bahawa Al Quran bukan hanya untuk menghalau hantu seperti banyak yang dilihat dalam filem seram di televisyen. Tetapi Al Quran adalah cahaya yang Allah hantarkan kepada umat manusia.

Ia adalah manual lengkap untuk mengurus kehidupan manusia di atas muka bumi agar manusia hidup berpandukan paksi tuhan yang tertinggi, bukan demokrasi dan hak asasi yang hanya akan menjadikan manusia hamba kepada nafsu dan egonya sendiri.