Kisah Isra' & Mi'raj di Dataran Horsham

Perjalanan masih lagi jauh, saya mengintai melihat jam di ‘dashboard’ Toyota Corolla yang disewa.

10 malam. Jika di Malaysia, ia mungkin masih awal, tetapi di Australia ketika musim sejuk, malam telah bermula sejak jam 5 petang. Bermakna telah hampir 5 jam kami memandu tanpa sinaran cahaya matahari.

Titik kecil pada peta digital Google dari ZTE Mytab menunjukkan lokasi terkini adalah di daerah Horsham, masih lagi ada 1/3 perjalanan harus ditempuhi sebelum sampai ke destinasi di Clayton, Victoria.

Destinasi kami malam itu adalah rumah sahabat yang baru dikenali iaitu Dr. Ihsanudin Abas. Keesokan harinya saya dan isteri dijemput untuk menjadi panelis forum Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung anjuran ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) Cawangan Victoria di Pelham Musolla. Hari seterusnya kami dijemput pula sebagai penceramah dalam program kuliah bulanan masyarakat melayu di Clayton untuk memberikan pengisian tentang pendidikan anak-anak.

Jemputan sebegini yang jarang-jarang sekali hadir, saya dan isteri penuhi dengan perasaan gembira walaupun jarak perjalanan yang harus ditempuhi lebih dari 760 km sehala. Kesempatan untuk memberi dan berukhuwwah adalah satu peluang yang tidak harus ditolak.

Sengaja saya memilih jalan darat untuk melihat pemandangan bumi Australia secara dekat. Ternyata, ia cukup indah dan memukau, hingga banyak kali tanpa sedar lidah mengucapkan kalimah puji-pujian tanda kagum dengan kebesaran ciptaan tuhan yang penuh warna-warni.

“Ayah tak mengantuk ke?” Humaira’ menegur dari belakang. Saya melihat melalui cermin pandang belakang, samar-samar kelihatan Humaira’ yang terkebil-kebil menahan matanya dari tidur. Khadijah telah lama tidur seperti biasa sementara isteri saya juga telah terlena sejak tadi.

“Mengantuklah juga. Humaira’ tak tidur lagi?” Saya menjawab.

“Tak, nak teman ayah, kasihan ayah mengantuk. Tidurlah dulu ayah, nanti bahaya.” Pesan Humaira’ prihatin. Semakin besar, kalimah-kalimah yang keluar dari lisannya kedengaran semakin dewasa.

“Boleh lagi, lagipun kat sini mana ada tempat yang elok untuk berhenti. Ayah boleh tahan lagi, sambil-sambil makan kacang dan tengok bintang yang cantik dan banyak, seronok je ayah memandu.”

Jika pada waktu siang, pemandangannya adalah dataran luas dan ribuan binatang ternak yang memukau pandangan, malamnya pula langit yang cerah dihiasi bintang-bintang yang cukup jelas dan kelihatan lebih hampir. Tambahan di kawasan dataran dan pendalaman seperti di daerah Horsham, kerlipan dan gugusan bintang kelihatan begitu menakjubkan.

Melihat bintang di langit yang terang, saya teringatkan kisah Isra’ Mi’raj baginda. Tambahan pula ketika berada di penghujung bulan Rejab yang cukup bersejarah ini. Timbul pula idea untuk sesi bercerita malam malam begini. Bagus juga untuk menghilangkan mengantuk.

“Humaira tahu tak kita sekarang berada dalam bulan apa?” Saya bertanya untuk memulakan kisah.

“Tak tahu, bulan apa?” jawab Humaira’.

“Bulan ini namanya bulan Rejab, dalam bulan Rejab, berlaku satu peristiwa yang cukup istimewa.” Jelas saya sambil berfikir tentang dimensi kisah Isra’ dan Mi’raj yang harus saya ceritakan kepadanya.

“Peristiwa itu namanya peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Humaira nak dengar cerita tak tentang Isra’ dan Mi’raj.” Saya menawarkan. Sejak berada disini, kami agak jarang bermusafir seperti di Malaysia. Maklumlah, jika di Malaysia, pulang ke kampung menjadi agenda dwi bulanan. Belum lagi dikira agenda kerja, seminar dan pelbagai lagi. Peluang berkereta bersama biasanya saya akan gunakan untuk sesi bercerita dan bermain bersama.

“Nak nak nak” pantas dia menjawab. Selagi mana dia ingin mendengarnya, maka selagi itulah saya akan terus bercerita. Semoga nanti cerita-cerita ini akan melekat di jiwanya.

“Baik begini. Kisah Isra’ Mi’raj ni adalah kisah bagaimana Rasulullah diterbangkan dari Makkah ke Palestin dan kemudian naik ke langit bertemu dengan Allah.” Saya memberikan sinopsis kisah.

“Terbang? Macamana Rasulullah terbang?” Tanya Humaira’ penuh hairan.

“Haaa, itulah yang hebatnya. Begini, pada satu malam, Malaikat Jibril datang kejut Rasulullah dari tidur dan kemudian beritahu pada Nabi bahawa malam itu mereka akan keluar berjalan-jalan”

“Lalu Rasulullah pun bangun dan ikut malaikat Jibril dan kemudian Jibril bawa Rasulullah untuk naik seekor binatang yang namanya Buraq. Rupanya seperti kuda agaknya, ayah pun tak pasti, tapi dia boleh bergerak laju, lebih laju dari kereta yang kita naik ini dan lebih laju lagi dari kapal terbang.”

“Kemudian, Rasulullah naik binatang yang namanya Buraq itu untuk pergi ke Masjid Aqsa yang letaknya di Palestin. Sekejap sahaja Rasulullah sampai. Tak macam kita yang tak sampai-sampai lagi ke Melbourne ni walaupun bertolak pagi tadi.” Jelas saya sambil mengaitkannya dengan situasi yang sedang kami hadapi.

“Sebab itu Masjid Aqsa di Palestin ini sangat istimewa Humaira’. Sebab ketika malam Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah solat bersama dengan semua Nabi-Nabi di situ. Tapi sekarang, orang-orang Israel yang jahat yang menjaga masjid ini. Kita sebagai orang Islam kena bebaskannya semula sebab ia milik kita semua.” Saya menjelaskan penuh semangat.

Humaira’ senyap tidak menjawab atau memberi respon seperti biasa. Entah apa yang difikirkan agaknya. Saya melihat ke belakang dan dalam samar malam saya lihat matanya masih lagi terbuka, cuma bantal hijaunya telah digenggam erat sambil menguap.

Ketika ini, kami telah melintasi Bandar Horsham menuju ke Balarat dan sedang melalui satu kawasan yang namanya Gerang Gerung!

“Dari Masjid Aqsa, Rasulullah kemudian dibawa oleh Jibril untuk naik ke langit untuk berjumpa terus dengan Allah.” Saya menyambung cerita dengan mata yang masih khusyuk memandu kereta. Otak saya masih ligat berfikir tentang pengajaran dan dimensi mana yang harus saya tekankan kerana peristiwa Isra’ Mi’raj mempunyai pelbagai perspektif untuk dikupas.

“Allah duduk di langit ke ayah?” Humaira’ mencelah dengan soalan mencabar membuatkan kelancaran cerita terhenti seketika. Berpeluh juga hendak menjawab soalan sebegini. Hendak mengupas persoalan di mana duduknya Allah bukannya satu persoalan yang mudah.

“Sebenarnya, ayah sendiri tidak tahu Allah itu ada di mana, tapi apa yang ayah tahu walau dimana sahaja Allah berada, dia sentiasa memerhatikan kita. Samada di langit atau dimana sahaja, Allah tetap memerhatikan dan menjaga kita.” Saya cuba mengelak dari menjawab soalan tersebut secara langsung untuk mengelakkan kekeliruan, tapi saya membawa penerangan kepada khasiat dari pemahaman di mana duduknya Allah, iaitu rasa takut kepada tuhan walau di mana sahaja.

Melihat dia tidak memberi sebarang respon, saya menyambung. “Kemudian, Rasulullah sampai ke satu tempat yang cukup cantik, lalu di tempat tersebut Allah telah berjumpa dengan Rasulullah dan menyuruh orang-orang Islam semuanya untuk solat 5 waktu.” Kali ini saya mengelak dari menggunakan istilah langit buat sementara waktu kerana poin penting yang ingin saya utarakan adalah bagaimana suruhan solat boleh bermula dan betapa pentingnya untuk tidak meninggalkan solat walau dalam apa jua keadaan.

“Sebab itulah, kita tidak boleh meninggalkan solat. Sebab solat ini satu perkara yang sangat istimewa yang mana Allah menyuruh kita melakukannya pada satu malam yang hebat, di tempat yang hebat dan ketika mana Rasulullah sedang berjumpa dengan Allah.”

“Penting sangat untuk kita sentiasa solat, walau macamana susah pun kita. Tidak kira masjid ada atau tiada, masa kita sakit atau sejuk, solat mesti dilaksana. Faham tak Humaira’?”

“Itulah kisah Isra’ dan Mi’raj, pada malam tu juga Rasulullah nampak syurga dan neraka dan macam-macam balasan yang akan diterima oleh orang-orang yang berbuat jahat.” Saya mengakhiri kisah.

“Humaira’ faham tak? Tak nak tanya apa-apa ke?” Saya bertanya lagi, namun sepi tanpa jawapan.

“Laa, dah tidur rupanya.” Saya berkata sendiri setelah menoleh ke belakang dan melihatnya telah lena dibuai mimpi. Kemudian saya memerhatikan gemerlapan bintang-bintang di dada langit yang cemerlang.

Bumi ini jika dibandingkan dengan keluasan galaksi dan saiz bintang-bintang, hanyalah ibarat pasir kecil yang tidak kelihatan. Sungguh agung kekuasaan dan kerajaan Allah di langit yang telah di saksikan oleh baginda Nabi pada malam yang mulia itu.

Sungguh, pada penciptaan langit dan bumi serta pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu ada pelajaran bagi hati yang ingin memahami.

1 comment:

  1. ana membayangkan enta bercakap line yang akhir tu dengan loghat utagha. huhuh~ terbaik akhi, jzkk for the entry. semoga lebih ramai mendapat manfaat daripada perkongsian enta.

    nanti ada begini sayang 2nd volume pula.

    ReplyDelete