I wish I was your age...

Mengimbau memori tahun lepas tika Khadijah baru lahir ke dunia, cepat benar rasanya masa berlalu.


“Humaira’! jangan lah bergayut pada troli tu, susah ayah nak tolak,” bentak saya dengan agak keras setelah dia melompat dan bergayut pada troli Pasaraya Coles buat kali yang entah ke berapa, menyebabkan pergerakan troli menjadi susah untuk dikawal. Telah beberapa kali saya dan isteri menegur dengan baik, namun tetap tindakannya itu diteruskan. Sungguh menduga kesabaran.

Mendengar bentakan saya yang agak luarbiasa, Humaira’ kemudiannya turun dari troli dengan wajah yang agak kelat, sementara adik Khadijah sudah mula merengek-rengek keresahan setelah melihat pelbagai mainan yang di susun cantik pada rak di kedai mainan bersebelahan pasaraya. tubuhnya melintuk liuk ingin keluar dari troli.

Saya kemudian membawa keduanya ke satu kedudukan yang agak jauh untuk melarikan tumpuan Khadijah dari mainan yang dilihatnya tadi di kedai mainan, sementara menunggu isteri saya membeli beberapa barangan yang terlupa dibelinya seketika tadi. Ketika menunggu, tiba-tiba datang seorang lelaki tua berjanggut putih dalam usia 80 an berjalan perlahan-lahan, agak bongkok datang menegur kami bertiga.

“Hello, how are you today?” Sapanya mesra. Sudah menjadi perkara biasa di sini ditegur mesra oleh orang yang tidak kita kenali, terutamanya oleh warga emas. Mereka biasanya amat senang untuk diajak berbual tentang pengalaman dan kisah hidup mereka.

“I’,m good,” saya menjawab sapaannya dengan wajah yang manis juga.

“Such a lovely daughter you have here, they’re so sweet.” Lelaki tua itu menundukkan sedikit wajahnya dan melihat Humaira’ dan Khadijah dengan renungan yang penuh makna tersirat.

“I remember when i was your age, i’m like you, young and have beautiful kids like this. Those were the most wonderful time in my life, more than anything.” Lelaki tua itu kemudian berbicara, mengingatkan dirinya tentang masa silam yang cukup indah yang pernah dilaluinya.

“Enjoy it while you still can son, when they grow up, you will look back and wish if this moment could happen again. Oh! How i wish i was in your age now.” Bicaranya dengan loghat Australia yang agak pekat, tapi penuh dengan kenangan yang tersirat. Saya terdiam mendengarnya, hendak membalas semula dengan rancak, khuatir jika tersalah cakap yang akan melukakan hatinya.

“I’ll remember that, thanks.” Hanya itu yang mampu saya ungkapkan sambil merenung wajahnya yang penuh kedutan yang menyimpan seribu rahsia kehidupan. Lelaki tua itu kemudiannya merenung jauh kehadapan dan kemudian berlalu pergi meninggalkan kami dengan perlahan.

Masih terngiang-ngiang di telinga akan kata-katanya. “I wish i was your age.” Saya merenung wajah Khadijah dan Humaira’, hilang segala kemarahan yang bersarang seketika tadi, sungguh, masa yang telah berlalu tidak akan dapat direbut kembali dan setiap detik yang ada bersama mereka ini harus dinikmati dengan penuh kesyukuran. Benarlah pepatah yang mengatakan, “yesterday is history, tomorrow is still a mystery and today is a gift, that’s why it’s called present.”

Ketika kita mengeluh akan sukarnya kehidupan dan susahnya melayan keletah anak-anak yang menduga kesabaran ketahuilah bahawa betapa ramai di antara kita yang telah menyesali masa silamnya, menginginkan agar masa itu dapat diulang kembali untuk dinikmati.

Sesungguhnya, anak-anak adalah permata berharga yang tiada galang gantinya jika dibandingkan dengan urusan kerjaya atau harta kita. Kita hanya akan mengetahuinya tika kita telah kehilangan mereka dan ia tidak semestinya pada hilangnya jiwa mereka, tapi pada hilangnya kasih sayang mereka pada kita tika mereka telah dewasa. Kasihilah, bermainlah, bacalah buku untuk mereka, peluklah dan ciumlah mereka sementara kita masih boleh melakukannya.

“Yesterday is history, tomorrow is still a mystery and today is a gift.”




Menumbangkan Jahiliah.

Mengenali Jahiliah adalah satu pencapaian, namun itu adalah langkah awal dan boleh dikatakan sebagai mudah, namun untuk keluar darinya adalah jauh lebih sukar berbanding mengenalinya.

Jahiliah hadir perlahan-lahan dan dalam bentuk yang cukup indah walaupun pada hakikatnya ia seperti ikan busuk yang telah dipaketkan dengan bungkusan yang menarik. Ia membunuh mu’min bagai seekor katak yang mati kepanasan di dalam periuk. Katak yang berada di dalam periuk, akan cepat melompat keluar jika periuk itu diletakkan air panas dengan serta merta atau api yang digunakan terlalu besar hingga menyebabkan air yang digunakan untuk membunuh katak panas dengan cepat.

credit: gravitationcreations.com

Namun perkara sebaliknya akan berlaku jika air dipanaskan dengan perlahan-lahan. Katak yang tidak menyedari kepanasan yang meningkat perlahan, pada mulanya mungkin akan berasa selesa tapi akhirnya akan mati perlahan-lahan dibunuh bukan oleh air panas, tetapi oleh keselesaannya berada di dalam air yang akhirnya akan meningkat sehingga paras didih hingga mengakibatkan ia direbus akibat kealpaannya sendiri.

Mungkin analogi yang digunakan tidak berapa tepat jika ia cuba dilaksanakan pada katak sebenar, tapi begitulah jahiliah datang membunuh. Ia datang dengan perlahan dan membunuh mu’min tanpa disedari. Maka untuk keluar dari jahiliah itu, kita juga harus perlahan-lahan seperti mana ia menyelimuti kita juga dengan perlahan-lahan. Tidak boleh terburu-buru, harus ada langkah bertahap-tahap untuk mengeluarkan diri kita dari jahiliah dan memastikan agar ia terus mati dan tidak akan hidup kembali.

Kata kunci yang harus kita faham di sini adalah, perubahan harus berlaku secara perlahan-lahan, cermat dan tersusun rapi. Langkah terburu-buru akan hanya memburukkan keadaan hingga menyebabkan jahiliah kembali menyelimuti dengan lebih buruk berbanding sebelumnya.

Memahami cara-cara membebaskan diri dari jahiliah dan menegakkan kembali Islam dalam suasana masyarakat yang ada seperti sekarang adalah seperti sebuah pasukan bolasepak amatur yang bercita-cita tinggi untuk menumpaskan pasukan Brazil. Apakah logik jika kita katakan bahawa Pengkalan Chepa FC akan menumpaskan pasukan Brazil setelah berlatih hanya dalam tempoh satu bulan?

credit: fifa2010products.com
Bertemu pasukan sehebat Brazil setelah berlatih hanya satu bulan hanya menempah kekalahan teruk dengan sengaja. Pasukan sehebat Brazil yang mempunyai pemain professional seumpama Kaka, Robinho dan Eduardo, bermain di liga professional dan terbaik di dunia, pernah menjadi juara dunia sebanyak 6 kali, juga komitmen latihan yang canggih dan terbaik disertai dengan displin yang tinggi, pasukan Pengkalan Chepa FC mungkin akan diperkotak katikkan dan mungkin akan dikalahkan dengan jaringan gol 90 berbalas 0. Satu gol setiap minit mungkin akan membolosi jaring Pengkalan Chepa FC.

Untuk menumpaskan pasukan sehebat Brazil, strategi jangka panjang harus dirancang. Para pemain harus dikenalpasti dari peringkat awal lagi dan harus didedahkan dengan skil asas bolasepak seperti menahan dan menendang bola dengan betul sebelum masuk ke peringkat pembinaan stamina dan kekuatan fizikal,

Seterusnya, kefahaman kepada setiap pemain akan betapa perlunya mereka memberikan komitmen tinggi kepada latihan dan patuh kepada arahan jurulatih ketika latihan dan semasa perlawanan. Pemain yang hebat, tetapi tidak menuruti arahan jurulatih di atas padang akan hanya merosakkan permainan dan menyebabkan kekalahan pasukan.

Seterusnya setelah kualiti pemain benar-benar mantap dan standing, barulah strategi pasukan dirangka. Perbincangan mengenai formasi dan taktik di atas padang akan dirangka, samada taktik konvensional pasukan Itali yang elegan pada piala dunia tahun 1970 dengan formasi 5-3-2 atau formasi berlian ‘total football’ ala ala pasukan Belanda yang menghiburkan pada tahun 1974. Permainan pasukan Brazil juga akan dikaji dengan rapi, dimana kelemahan dan kekuatannya, pemain mana yang paling bahaya dan perlu diikat rapi.

Kehebatan pemain sahaja tidak mencukupi, harus juga ada kelompok penyokong yang faham dan sedar dan akan menyokong teguh untuk menjayakan matlamat besar ini. Suasana masyarakat di sekitar Pengkalan Chepa bahkan seluruh Kelantan dan Malaysia juga harus dibentuk agar ketika hari perlawanan di Stadium Bukit Jalil, seluruh penyokong akan membawa bendera pasukan Pengkalan Chepa FC dengan bangga dan memberikan sokongan padu yang akan menguatkan semangat pasukan sepanjang perlawanan.

Melihat kepada besarnya perancangan dan latihan yang perlu diikuti oleh setiap pemain juga suasana masyarakat yang harus dibentuk, tidak mungkin matlamat ini akan berjaya dicapai dalam tempoh singkat, mungkin mengambil masa puluhan tahun dan tidak mustahil ratusan tahun sebelum Pengkalan Chepa F.C akan berjaya menumpaskan pasukan sehebat Brazil.

Begitu juga untuk menumpaskan jahiliah, kerana evolusinya yang telah berkembang dan meresap hingga ke akar umbi, langkah-langkah yang tersusun rapi harus dirancang, bermula dengan membentuk kembali skil ‘pemain-pemain’ yang akan menumpaskan jahiliah, diikuti pembentukan kefahaman tentang semangat berpasukan dan seterusnya pembentukan suasana masyarakat yang akan membantu untuk menguburkan sistem jahiliah.

Usaha membentuk kembali ‘pemain-pemain’ inilah yang kita sebut sebagai TARBIAH. Ia adalah satu proses panjang untuk membentuk kembali pemuda-pemuda umat ini bagi menjadi batu-bata kukuh yang akan menjadi binaan Islam yang teguh yang akan menumpaskan jahiliah dalam bentuknya yang moden dan canggih seperti hari ini.

Ia tidak berlaku dalam sehari, tidak juga akan berlaku dalam sebulan, tapi ia adalah proses panjang yang akan berterusan sepanjang zaman hingga akhirnya ‘pemain-pemain’ ini akan menang ataupun tumpas tercedera dalam pertarungan dengannya.



Tarbiah bermula dengan penanaman akidah yang teguh seterusnya pembentukan ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia. Diikuti pula dengan membina keluasan kefahaman dalam ilmu agama dan dunia, sihat tubuh badan dan punya semangat yang jitu untuk menewaskan nafsu juga tersusun dalam segala urusan kehidupan, menepati masa, mampu berdikari dan memberi manfaat yang besar kepada orang sekelilingnya.

Tarbiah adalah satu proses yang perlu berlaku dengan tersusun dan sistematik, ada objektif dan jalan-jalan yang jelas. Ia tidak boleh di dapati hanya melalui ceramah-ceramah agama di masjid atau pada kuliah-kuliah ilmu di youtube. Tarbiah sifatnya menyeluruh, dari pembinaan akidah melalui kuliah ilmu hinggalah kepada pembinaan kekuatan tubuh melalui displin senaman yang tersusun rapi.

Logikkah untuk menewaskan pasukan Brazil, tapi  pemain-pemain Pengkalan Chepa FC berlatih sendiri, tidak ada rejim latihan yang disusun khas dengan displin yang tinggi, tidak ada program pemakanan yang lengkap berkhasiat, hanya berbekalkan semangat yang mencanak-canak tanpa langsung menguasai skil menendang atau menahan bola dengan betul?

Begitu juga dengan tarbiah, ia adalah jalan pertama untuk menumpaskan jahiliah. Semangat yang hadir ketika program Autumn Gath harus diisi dengan tarbiah dan disinilah hadir usrah dan komponen-komponennya yang lain seperti perkhemahan, pengembaraan, qiamullail dan riadhah. Usrah bukan untuk mendoktrinasi, tetapi untuk menjadikan ahli-ahlinya manusia yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Jalinan mulim luruh 2011 telah berlalu dan jahiliah telah kita kenali, namun ia harus disusuli oleh usaha untuk membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih berkualiti untuk menumbangkannya. Sudahkah anda bersedia atau masih selesa dengan kelemahan diri seperti katak malang yang akhirnya mati direbus di dalam periuk yang panas.

Pilihan di tangan anda!

Begini, Sayang

Enam tahun yang lalu, kami telah dikurniakan Allah satu anugerah yang cukup berharga.  Lahir pada tanggal 31 Ogos,  diberi namanya Humaira’ (gelaran kepada Saidatina Aisyah) agar dirinya nanti dapat mencontohi peribadi dan kecerdikan Saidatina Aisyah yang agung. Kali pertama melihatnya, seakan tidak percaya bahawa kami telah bergelar ayah dan ibu kepada seorang manusia kecil yang cukup istimewa.

Pengalaman mendidiknya adalah satu pengalaman yang amat indah dan manis. Walaupun pastinya ia disulami dengan mata yang bengkak kerana tidur yang kurang diwaktu malam, kesabaran yang teruji dengan pelbagai karenah yang tidak pernah kami bayangkan dan cabaran-cabaran yang tidak tersangka, namun segalanya kami nikmati dengan penuh kesyukuran.

Melihatnya membesar adalah satu keajaiban. Bermula dari meniarap, kemudian menjulur dan seterusnya merangkak hingga hari ini boleh melompat, bergayut dan berlari pantas, segalanya adalah keajaiban. Masih segar kenangan tika bibirnya yang mungil menyebut kalimah demi kalimah yang membuatkan hati kami menggeletek dan adakalanya kagum dengan perkembangan mindanya yang amat pantas. Soalan demi soalan ditanyakannya, bermula dari nama segala objek yang dilihatnya sepanjang perjalanan pulang ke kampung, di rumah ataupun di tadika.

Kemudian tika mindanya semakin berkembang, soalan apa bertukar pula kepada bagaimana dan kenapa. Soalan ini tidak pernah berhenti hinggalah saat ini. Pelbagai soalan ditanyakannya dari soalan tentang ketauhidan seperti 

“Di mana Allah?”,
“Mengapa tak boleh nampak Allah?”
“Nak jumpa Allah boleh tak?”,

hinggalah soalan tentang ibadah seperti

“Mengapa Perlu Solat?”
“Mengapa Perlu Puasa?”

membawa kepada soalan tentang sains dan kejadian-kejadian alam seperti

“Bagaimana Baby Boleh Ada dalam Perut Ibu?”
“Bagaimana Hujan Turun?”,
”Bagaimana Ombak Wujud?”
“Mengapa air laut boleh menjadi masin.”

Serta banyak lagi yang adakalanya menggeletek hati dan tidak kurang yang membuatkan kami termenung panjang.

Menjawab persoalan-persoalan yang tidak putus-putus (hingga hari ini), kami menggunakannya sebaik mungkin untuk menanam benih-benih keimanan dalam minda dan hatinya. Setiap persoalan akan kami jawab sebaik mungkin dan ditambah dengan perisa tauhid dan keimanan agar setiap soalan yang ditanya tidak hanya membuahkan maklumat, tetapi agar bibit-bibit taqwa tersemai di dalam hatinya menjadikannya insan yang takut kepada Allah.

Setiap soalannya, kami jawab dengan sabar agar nanti tika dia telah remaja dan kemudian menjadi dewasa, dia akan sentiasa menghargai kami dan mengetahui bahawa kami akan sentiasa berada disampingnya untuk menyayanginya setiap masa, walaupun jika kami telah tiada di atas muka dunia.

Sebahagian dari coretan pengalaman ini beserta sebahagian pengalaman isteri saya dalam berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan ibu bapa di tadika, kami abadikannya di dalam blog agar segala pengalaman dan dialog kami ini dapat kami kongsi dengan seramai mungkin. Kemudian tercetuslah idea untuk membukukannya agar perkongsian kami dapat pergi lebih jauh.

4 bulan kami mengambil masa untuk menulis kembali, membetulkannya dan mengingat banyak lagi pengalaman-pengalaman indah kami bersama Humaira’ dan tidak dilupakan adik kecil Khadijah yang mewarnai suasana dengan gelagatnya yang tersendiri.

Hari ini, buku Begini, Sayang telah pun berada di pasaran dan buat julung-julung kalinya menembusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 dan boleh di dapati di Booth Galeri Ilmu. Kami amat gembira dan pada masa yang juga sedikit terkilan kerana setelah menjadi pelawat (dan sudah tentunya pembeli) di KLIBF sejak saban tahun, tahun ini kami tidak dapat menjejakkan kaki ke sana kerana telah berhijrah ke Adelaide, Australia untuk melanjutkan pengajian bermula Februari tahun ini.

Terima kasih Humaira’, kerana mencetuskan ilham untuk ayah dan ibu menulis buku ini, menjadi teman sejati kami dan penyejuk mata ayah ibu selama ini. Semoga anakanda akan terus membesar menjadi anak yang cerdik dan solehah seperti mana Saidatina Aisyah dan moga syurga menjadi destinasi kita sekeluarga yang abadi. Moga coretan kecil ayah dan ibu ini akan menjadi saksi kenangan indah dan manis yang pernah kita lalui bersama.

Terima kasih juga kepada pihak Galeri Ilmu yang menerbitkan buku ini, terutamanya Pn. Suraiya Pauzi selaku editor pruf, tidak dilupakan juga team produksi dan seluruh pihak yang terlibat dalam penerbitan buku ini. Jika ada kebaikan dan pengajaran yang dapat diperolehi dari buku ini, maka segala puji hanyalah untuk Allah, tuhan sekalian alam, pencipta segala kejadian.

Jika bertandang ke PBAKL 11, jangan lupa dapatkan senaskhah Begini, Sayang!


Orang Paling Kaya, Orang Paling Miskin

“Ayah, jom kita main kejar-kejar dalam rumah.” Ajak Humaira’ yang menanti di muka pintu sebaik saya tiba di rumah dari pejabat petang itu. Waktu Maghrib yang masuk seawal jam 5.50 menyebabkan saya tiba agak lewat di rumah ketika langit telah pun bertukar merah.

“Sabarlah, ayah kan baru sampai ni, penat pun masih tak hilang, lagipun rumah kita ni kecil Humaira’, macamana nak main kejar-kejar?” Saya mempersoalkan rasional ajakannya dalam keadaan lelah berbasikal dalam keadaan berangin dan berbukit masih belum hilang.

“Alaaaa, kalau begitu, jomlah kita pindah rumah besar sikit ayah, rumah ni kecil sangat lah, tak ‘best’.” Balas Humaira’ meluahkan dengan jujur apa yang terbuku di hati dengan wajah yang muncung menyebabkan saya merasa kurang senang sedikit.

Perasaannya yang sebegitu harus segera dididik sebelum ia melarat menjadikan dirinya manusia pentingkan diri yang tidak pernah puas dengan apa yang ada tika telah dewasa. Sejenak saya mendiamkan diri memikirkan ayat-ayat tarbiah.

“Rumah besar, mahal sewanya Humaira’, setakat ni ayah cuma mampu rumah yang sederhana sebegini sahaja, nanti kalau ayah dah mampu, kita carilah rumah besar sikit ye.” Saya bersuara setelah ilham tarbiah datang. Waktu Maghrib tinggal lagi beberapa minit untuk masuk.

“Humaira’, nak tahu tak siapa orang yang paling kaya?” Saya terus menukar topik perbualan sambil melabuhkan punggung di atas sofa, melepaskan lelah berbasikal sambil membiarkan peluh yang mengalir dingin kering dengan sendirinya.

Wajah Humaira’ masih lagi muncung, kelihatan juga bibit-bibit rasa bersalah dalam matanya yang redup.

“Humaira’ rasa, orang yang paling kaya adalah orang yang banyak duit ke? Atau adakah orang yang paling kaya, rumah dia sangat besar, ada mainan banyak dan ada kolam renang besar di rumah? Apa pendapat Humaira’? Saya melontarkan beberapa persoalan kepadanya yang kini telah duduk di atas sofa bersebelahan agar dia berfikir.

Humaira’ diam membisu tidak menjawab.

“Kalau orang miskin, macamana pula?.Adakah dia orang yang rumahnya kecil dan buruk, tidak ada kereta, tidak cukup makanan dan tidak ada mainan? Humaira rasa, begitukah orang yang paling miskin?”
Saya terus mengasak dengan pertanyaan demi pertanyaan, saya tahu jauh di dalam, mindanya sedang mendengar dan menganalisa walaupun kepalanya ditundukkan sejak tadi.

“Humaira, nak tahu tak siapa orang yang paling kaya?” Saya mencadangkan jawapan setelah melihat dia masih mendiamkan diri.

“Orang yang paling kaya ialah orang yang sentiasa rasa cukup dengan apa yang ada. Dia tak semestinya ada duit yang banyak, rumah yang besar dan mainan yang banyak, tapi dia rasa syukur dan cukup atas apa yang Allah beri pada dia.”

“Bila dia rasa cukup, bukan bermakna dia tak kerja kuat untuk cari duit banyak, Cuma, kalau dia tak ada duit atau tak cukup makanan, dia tak akan mengeluh, sebaliknya dia akan sentiasa rasa syukur. Tapi pada masa yang sama dia terus usaha, kerja kuat untuk cari duit yang banyak.”

“Bila dia kaya, ada duit yang banyak, boleh beli rumah yang besar, kereta yang hebat dan mainan yang cantik-cantik, dia bersyukur kepada Allah, tak kedekut dan akan kongsi hartanya dengan orang lain. Itulah orang yang paling kaya.” Saya menjelaskan kepadanya akan konsep kekayaan dan kecukupan dalam Islam. Orang mu’min akan sentiasa bersyukur dan memuji tuhannya dalam apa jua keadaan, tidak kira senang atau susah. Sungguh ajaib.

“Humaira’ nak jadi begitu tak?” Saya bertanya mengharapkan respon.

“Seronok kan jadi orang yang banyak duit dan boleh bantu orang lain, pasti lebih seronok perasaannya berbanding ketika kita dapat hadiah yang ‘best’. Betul tak Humaira’?” Saya menjawab bagi pihaknya sambil menjelaskan kelebihan tangan yang memberi berbanding yang menerima. Kali ini dia mengangguk perlahan.

“Humaira’ nak tahu tak siapa orang yang paling miskin?” Saya bertanya semula, kali ini untuk menjelaskan sifat yang berlawanan pula.

“Orang yang paling miskin ialah orang yang tak pernah rasa cukup dengan apa yang dia ada. Dia mungkin miskin tak banyak harta, tapi sentiasa mengeluh dengan ketidakcukupannya.”

Kenangan Ramadhan tahun lalu tika menziarahi dan memberi bantuan kepada orang miskin di Kuala Nerang. Masih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan, bekerja keras demi mencari sesuap nasi.
“Jika kaya pula, ada rumah yang elok, kereta yang baik dan makanan yang sedap-sedap, dia tak bersyukur dan rasa tamak nak lebih banyak. Kekayaannya pula untuk dirinya sendiri, tak dikongsi dengan orang lain.”

“Hidupnya sentiasa gelisah, kejar kekayaan yang tak sudah-sudah.” Saya menjelaskan konsep miskin jiwa padanya, iaitu jiwa yang sentiasa tamak mengejar dunia tanpa pernah ingat akan rasa syukur. Tika miskin, dia resah gelisah, bila kaya pula, dia hendak jadi lebih kaya melupakan orang lain dan tuhan yang memberi kekayaan padanya.

“Humaira’ nak tak jadi orang yang macam tu?” saya bertanya lantas dijawabnya dengan gelengan kepala yang perlahan.

“Jadi, dengan apa yang kita ada sekarang, kita bersyukur ye, lagipun bukannya kita takde rumah langsung, rumah kita elok je, cuma kecil sedikit. Mainan pun ada, makanan pun banyak, pastu Allah bagi kita semua sihat. Banyak kesenangan yang kita dapat dan sepatutnya kita ucapkan terima kasih pada Allah.”

“Insyaallah pada masa yang sama, kita cubalah cari rumah yang lebih besar, tapi bukan untuk kita sahaja, tapi supaya ada lebih ramai kawan Humaira’ dan Khadijah yang boleh datang belajar dan bermain, juga kalau ada tetamu yang datang ke rumah kita, mereka boleh duduk dan tidur dengan selesa.”

“Eh, jom kita solat Maghrib, waktu pun dah masuk ni. Humaira’ pergi pakai telekung cepat.” Saya menamatkan perbualan dengan memberinya aspek praktikal dari kefahaman yang saya ajarkan tadi dan kemudian mengajaknya untuk solat Maghrib bersama.

Moga ada percikan kefahaman yang akan meresap masuk ke mindanya menjadikannya mu’min yang sentiasa bersyukur pada setiap masa dan ketika serta menjauhkannya dari menjadi manusia kikir yang tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya.

Mendidik Anak Memahami Taat

Ini baru makan strawberi, kalau aiskrim, 3 kali ganda comot daripada ni.

“Ayah, nak aiskrim ,” Humaira’ bersuara meminta aiskrim ketika kami lalu di ruangan sejuk beku yang turut memuatkan pelbagai jenis aiskrim di Pasaraya Foodland. Adik Khadijah yang sedang duduk di atas troli pula mula merengek-rengek tatkala melihat aiskrim pelbagai warna dan rasa. Petang itu, hanya saya dan anak-anak yang meronda pasaraya di hadapan rumah kami mencari beberapa barang keperluan dapur.

Namun tidak semuanya boleh dibeli memandangkan kebanyakan aiskrim di sini dihasilkan menggunakan emulsifier E471 dan gelatin yang diperbuat dari sumber haiwan seperti babi atau haiwan yang tidak disembelih menurut cara Islam menyebabkan ianya tidak halal dimakan.

“Sekejap ye ayah tengok aiskrim ini halal atau tidak.” Saya membuka peti ais dan memeriksa kandungan di belakang bungkusan aiskrim dengan teliti. Jika di Malaysia, tanda halal Jakim atau dari mana-mana badan yang diiktiraf membuatkan kami yakin untuk membeli sesuatu makanan, tetapi tidak di Australia, kerana boleh dikatakan hampir tidak ada makanan yang mempunyai logo halal dan ini menyebabkan kami harus memeriksa dengan teliti setiap kandungan bahan makanan untuk mengelakkan bahan yang haram masuk ke dalam tubuh badan.

“Oh, tak boleh lah sayang, aiskrim ni tak halal, kita cuba cari yang lain pula ye,” saya mencadangkan setelah melihat terdapat penggunaan emulsifier 471 pada bungkusan aiskrim yang saya periksa tadi.

Saya kemudiannya mengambil beberapa lagi jenis aiskrim dan memeriksa kandungannya dengan teliti, dan setiap kali itu jugalah Humaira’ akan menanti dengan penuh harap sementara rengekan Khadijah makin menjadi-jadi kerana keinginannya pada aiskrim yang semakin membuak-buak. Saya buat-buat tidak tahu sahaja, ada masanya boleh dilayan, ada masanya, biarkan sahaja.

“Hah, yang ini boleh!, dia gunakan gelatin halal,” saya memberikan berita gembira tika terjumpa satu jenis aiskrim jenama Peters yang menggunakan gelatin halal dan E471 yang berasaskan soya pada kandungannya. Saya lantas mengambil satu bekas sederhana besar untuk sama-sama dinikmati di rumah.

“Yeeeeaaaa, boleh makan aiskrim!” jerit Humaira’ penuh kegembiraan, sementara Khadijah juga telah berhenti merengek tika melihat saya meletakkan aiskrim di dalam troli.

“Humaira’ tahu tak, mengapa kita kena makan yang halal sahaja?” Saya bertanya sambil mengheret troli.

“Tidak pula, ayah tak pernah ceritakan pun,” jawab Humaira’ dengan penuh ceria kerana hajatnya untuk makan aiskrim hari itu tercapai juga. Sejak datang ke sini, inilah kali pertama kami membeli aiskrim, itupun setelah kami jelas bagaimana untuk memeriksa kandungan pada bungkusan makanan bagi membezakan antara yang halal dan yang haram.

“Ayah tak cerita sebab Humaira’ tak pernah tanya, hehehe, tapi tak mengapa, hari ini ayah akan cerita.” Perbualan kami terhenti seketika saat tiba di kaunter pembayaran.

Ketika berjalan pulang, Humaira’ mengingatkan saya akan topik yang saya janjikan tadi.

“Nantilah Humaira’, susahlah nak menerangkan dalam keadaan kita nak melintas jalan ni,” saya memohon penangguhan kerana suasana yang tidak mengizinkan dan agar penjelasan yang diberi nanti lebih berkualiti dan tidak dalam keadaan tergesa-gesa.

“Baiklah ayah!”
*****************
“Eh! Makan perlahan-lahanlah sedap sangat ke aiskrim tu?” Melihat anak-anak makan dengan lahap hingga comot mulut dan baju masing-masing seperti tidak pernah berjumpa dengan aiskrim sebelum ini menyebabkan saya menegur mereka agar memperlahankan kelajuan suapan, agar aiskrim itu tidak habis dengan segera (mahal harga aiskrim di sini) dan supaya mereka makan dengan lebih tertib.

Selesai makan, wajah keduanya kelihatan seperti calon yang baru menang pilihanraya, cukup puas dan gembira dengan nikmat yang baru dijamah.

“Hah! Puas dah?” Saya menyergah manja setelah membasuh mulut kedua-duanya.

“Puas-puas,” Humaira’ menjawab penuh kegembiraan, sementara Khadijah pula telah pun berlari-lari ke ruang tamu mengambil mainan.

“Kalau puas, ucapkan Alhamdulillah,” saya mengajar. Kalimah puji-pujian tidak harus dilupakan saat kita mendapat nikmat, tidak kira kecil atau besar.

“Alhamdulillah,” ucap Humaira’.

“Ingat lagi tak soalan ayah tadi?” Saya terus memulakan bicara untuk mengingatkannya akan topik yang dibicarakan tadi.

“Ingat-ingat, yang pasal halal tu kan ayah?” Jawab Humaira’ dengan yakin.

“Iye, jadi Humaira’ fikir, kenapa kita kena makan yang halal? Kalau kita makan yang tak halal, kita akan jatuh sakit ke?” Saya tidak terus menjawab persoalan tadi, tetapi cuba memprovokasi mindanya agar dia menjadi lebih kritikal.

“Tak tahu, tadi kata ayah nak terangkan, kenapa tanya Humaira’ balik?” Dia memulangkan kembali soalan itu, tiada idea agaknya untuk menjawab. Nampaknya, saya harus terus memulakan penerangan.

 “Ok, Ok, ayah terangkan. Begini, dalam Islam, tidak semua makanan kita boleh makan, ada yang halal dan ada pula yang haram, halal ialah apa yang Allah benarkan kita makan dan haram pula adalah benda yang Allah larang kita untuk makan.” Saya memulakan dengan menerangkan konsep asas yang telah diketahuinya.

“Contohnya macam daging babi, daging anjing, kucing, harimau, buaya dan air arak. Begitu juga dengan haiwan yang masa orang sembelih, dia tak sebut nama Allah. Ini semua adalah antara makanan dan minuman yang Allah haramkan kita makan.”

“Faham tak?” saya bertanya untuk memastikan agar dia tidak hilang dalam penerangan. Seboleh mungkin saya cuba untuk merendahkan bahasa, agar dapat difahami oleh mindanya.

“Faham, faham. Tapi kenapa Allah haramkan?” tanyanya lagi, membuatkan perbincangan menjadi lebih menarik.

“Oh! bagus soalan Humaira’ tu, begini, ada benda yang haram, bila kita makan, kita akan jadi sakit. Contohnya macam arak, meminumnya boleh menyebabkan mabuk dan badan kita boleh rosak. Kalau babi pula, ada yang kata dia binatang yang pengotor, kalau makan babi nanti banyak kuman akan masuk dalam badan.”

“Jadi, makan benda yang haram akan buat kita sakit ke ayah?” sampuk Humaira’ sebelum sempat saya menyambung.

“Tidak juga, ada pula orang yang makan daging babi, daging anjing, makan ular, makan binatang yang tak disembelih dengan nama Allah, tak pula jadi sakit, bahkan bertambah sihat pula tu.”

“Jadi, maknanya tak semua benda yang haram ini akan buat tubuh manusia jadi sakit kan?” saya menguji lagi mindanya. Humaira’ mendiamkan diri, tidak tahu bagaimana hendak memberi respon.

“Sebenarnya begini, sayang, apa yang ayah cuba nak sebut adalah, apa jua yang Allah perintahkan dan larang, semua ada kebaikannya untuk manusia. Sebab Allah yang ciptakan kita dan semua benda yang ada dalam dunia ni, jadi pasti dia yang lebih tahu tentang diri kita.”

“Jadi, kita tak boleh makan makanan yang haram tu bukan hanya sebab dia kotor, tak baik dan akan menyebabkan kita jadi sakit, tapi kita tak boleh makan sebab Allah tak bagi kita makan. Walaupun makanan tu baik sekalipun, tapi jika Allah tak beri kita makan, maka tak bolehlah kita makan.”

“Bila Allah tak beri kita makan,  mesti benda yang Allah haramkan tu tak baik untuk kita. Allah kan sayangkan kita, jadi Allah nak kita makan benda-benda yang baik sahaja.”

“Bila kita makan benda yang haram, Allah akan marah dan kita akan dapat dosa, bila banyak dosa, kita akan masuk neraaaaa?” saya berhenti seketika, ala-ala cikgu yang mengajar di sekolah.

“kaaaa...” Humaira’ menyambung.

Moga-moga perbualan kami petang ini akan memberikannya asas awal tentang memahami garis penting antara ketaatan dan menggunakan akal dalam bermuamalah dan menunaikan ibadah.

Ketaatan kepada suruhan dalam Islam, tidak harus menjadikan kita rigid dalam memerhatikan hikmah suruhan dan larangan  serta kebesaran pada setiap ciptaan. Islam mengalu-alukan segala kajian tentang kejadian yang baik dan berfaedah dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Namun begitu, asas kepada sesuatu suruhan dan larangan adalah kerana ketaatan, bukan kerana hikmah disebaliknya. Kita menjauhi perkara yang haram kerana Allah mengharamkan kita menyentuhnya, bukan kerana hikmah yang tersembunyi disebaliknya.

Kita harus faham bahawa kita menunaikan solat adalah kerana Allah menyuruh untuk kita solat, bukan kerana solat itu punya manfaat kesihatan padanya. Namun, kita yakin bahawa, sebagai pencipta yang maha kuasa, pasti ada rahsia agung disebalik setiap suruhan dan larangan dan umat Islam tidak dihalang untuk mencarinya. Rahsia syara’ pasti tidak akan pernah bertentangan dengan hikmah akal manusia.


Tarbiah Dari Anjing di Sekolah

Sedapnya epal, nak letak gambar anjing kat sini, macam tak best pula, letak ajelah gambar Humaira' gigit epal.

“Ayah cuba teka, apa yang Humaira’ pegang di sekolah tadi,” isteri saya bertanya saat kami selesai solat Maghrib berjemaah bersama-sama di rumah.

Tidak semena-mena Wajah Humaira’ bertukar merah, sesuai dengan namanya, kepalanya pula ditundukkan dan kakinya dihentakkan sedikit, jika begitulah responnya, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

“Humaira’ pegang apa sayang?” saya bertanya, walaupun sebenarnya saya telah dapat mengagak apa yang dipegangnya di sekolah.

Humaira’ diam membisu, badannya dikeraskan di satu sudut di hadapan televisyen, kepalanya masih ditundukkan dengan wajah yang muncung.

“Apa yang Humaira’ pegang tadi di sekolah?” saya bertanya lagi, memujuknya untuk memberitahu sebelum saya mula meneka.

“Beritahulah ayah, bukannya ayah akan marah Humaira’ pun.” Isteri saya menyampuk, setelah melihat Humaira’ mendiamkan diri.

“Humaira’ pegang anjing lah ayah” isteri saya menjawab bagi pihak Humaira’ setelah melihat tidak ada tanda-tanda yang dia akan bercakap.

“Oooo, pegang anjing,” saya mengawal reaksi, walaupun saya tidak setuju dengannya, tapi ia bukanlah satu perkara besar dan saya tidak ingin Humaira’ membina persepsi yang negatif terhadap guru dan sekolahnya kerana peristiwa itu. Ada jalan penyelesaian yang lebih harmoni selain dari marah-marah yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Sebenarnya, saya sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya persepsi dalam dirinya bahawa memegang anjing adalah satu kesalahan, cuma sebelum ini kami ada memberitahunya yang sebagai muslim, dia tidak boleh memegang anjing dan babi.

“Mari sini Humaira’,” saya memanggilnya untuk datang ke arah saya yang sedang duduk bersandar di dinding, perlahan dia berjalan ke arah saya sambil menundukkan kepala.

“Tak mengapa, Humaira’ tak sengaja kan” saya memujuknya agar perasaan bersalah tidak ditanggungnya dan di bawa hingga tidur, mencetuskan persepsi negatif yang mungkin akan menyebabkan dia akan bertambah liat untuk ke sekolah keesokan harinya.

“Humaira’ tak nak pegang, tapi cikgu suruh pegang juga.” Dia mula bersuara, perlahan dan dengan penuh nada kesal.

“Humaira’ dukung ke anjing tu?” saya cuba meneka.

“Taklah, Humaira’ usap-usap sahaja.” Dia menerangkan sambil menggayakan tangan bagaimana dia memegang anjing di sekolah siang tadi.

“Sebenarnya, pegang anjing memanglah tak boleh, tapi kalau dah terpegang atau terpaksa pegang kenalah samak lepas tu.” jelas saya, menunjukkan jalan keluar. Islam itu bukanlah agama yang rigid, tetapi ia agama fleksibel yang punya jalan keluar untuk segala masalah dan maslahah manusia.

“Samak tu apa ayah?” tanya Humaira’, wajahnya kembali cerah. Sedikit.

“Samak tu, kita basuh tangan kita dengan air 6 kali, kali yang ke 7 kita basuh dengan air tanah, mesti ibu dah buat dah tadi kan? Itu sahaja, tak ada masalah pun.” Jelas saya lagi, agar gundah dihatinya hilang sama sekali. Dia mengangguk, menepati tekaan saya. Pasti isteri saya tidak akan membiarkan tangan Humaira’ tidak bersamak setelah dia mengetahui Humaira’ memegang anjing.

“Sebenarnya Humaira’, dalam Islam, kita tak dibenarkan bela anjing dan rapat dengannya macam kebanyakan orang di Australia ni, tapi jika kita pegang atau terpegang, bukanlah berdosa, cuma kena samak tangan kita sahaja. Selain dari anjing, binatang yang tak boleh kita pegang adalah babi. Kalau kita pegang babi pun kena samak juga.

“Selain dari anjing dan babi, binatang lain semua kita boleh pegang.” Saya mengingatkan kembali akan binatang yang tidak boleh dipegangnya, cuma kali ini dengan tambahan apa yang perlu dilakukan jika memegangnya.

“Mengapa kita tak boleh pegang anjing dan babi, dan kena samak selepas memegangnya, ada orang kata ianya kotor, ayah pun tak pasti, cuma ayah yakin apa yang Rasulullah ajar pada kita pasti ada kebaikannya kepada kita.” Panjang lebar saya menjelaskan, setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah, walaupun belum dapat dibuktikan secara saintifik pasti ada kebaikannya untuk umat manusia kerana kata-kata Rasulullah bukanlah mengikut hawa nafsunya, tetapi diilhamkan oleh Allah yang mengetahui segala-galanya tentang hakikat penciptaan manusia.

“Humaira’ nak dengar tak kisah seorang lelaki yang Allah ampunkan dosa dia kerana seekor anjing?” saya teringat pada satu kisah dalam hadis sahih, riwayat Muslim yang menceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana memberi anjing minum. Walaupun riwayat yang saya dengar sebelum ini adalah pelacur, namun seingat saya, riwayat yang saya baca lengkap dengan matannya adalah berkenaan seorang lelaki. Pelacur itu mungkin dalam hadis lain agaknya. Kisah ini saya ingin ceritakan untuk mengubat hatinya yang mungkin masih ada rasa bersalah.

“Nak-nak,” sejak kecil, tawaran untuk mendengar kisah yang saya ceritakan setakat ini tidak pernah ditolaknya. Anak-anak amat suka bila kita bercerita padanya.

“Kisah ini Rasulullah yang cerita tau, jadi dengar betul-betul ye. Begini, pada satu masa, ada seorang lelaki, dia berjalan di padang pasir. Mungkin dia hendak balik ke rumah dia agaknya. Cuaca sangat panas hingga lelaki tu berasa sangat dahaga.” Cerita bermula.

“Kemudian, lelaki itu terjumpa sebuah telaga, lalu dia pun turun dalam telaga untuk minum airnya.”

“Bila dah puas minum dan dahaganya telah hilang, lelaki ini pun naik ke atas untuk sambung perjalanan dia balik ke rumah. Tapi bila dia naik, ada seekor anjing menunggu di tepi telaga, menjelir-jelirkan lidah dia tanda kehausan.” Sambil saya membuat gaya lidah anjing yang sedang terjelir-jelir.

“Lelaki ini pun fikir, “mungkin anjing ini haus agaknya”, lalu dia pun turun semula ke dalam telaga dan mengambil air yang diletakkan ke dalam kasutnya untuk diberinya kepada anjing yang kehausan tadi.

“Kemudian dia naik semula, dan diletakkan kasutnya yang berisi air untuk anjing itu minum.”

“Anjing itu pun minum dengan puas dan dahaganya pun hilang.” Saya menghabiskan cerita, dan kini masuk pula ke bahagian pengajarannya pula. Setiap cerita tidak akan ada makna tanpa diselitkan dengan pengajaran berguna.

“Humaira’ tahu tak, yang Allah sangat suka akan perbuatan lelaki ini, dan kemudian Allah ampunkan dosanya. ” itu adalah pengajaran pertama.

“Humaira’, sebagai seorang muslim, kita kena tunjukkan kasih sayang kita pada semua makhluk yang Allah ciptakan, manusia atau binatang. Termasuklah anjing.” Diikuti dengan pengajaran kedua yang lebih relevan dengan situasi yang sedang dialaminya hari ini.

“Kalau kita buat kebaikan, walaupun terhadap seekor anjing, membantu semut yang sedang lemas di dalam air atau memberi kucing yang kelaparan makan kepala ikan, Insyaallah Allah akan beri kita pahala.” Saya menyambung lagi dengan pengajaran ketiga yang lebih bersifat praktikal, dalam skala amal yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak sebesarnya.

“Kalau kita tolong binatang yang sedang haus pun Allah ampunkan dosa lelaki itu, apatah lagi kalau kita bantu sesama manusia, pasti lebih besar dan banyak pahala yang Allah berikan pada kita kan?” saya mengakhiri dengan pengajaran kelima yang lebih penting, iaitu jika dengan binatang pun kita dituntut untuk berbuat baik, apatah lagi sesama manusia. Sungguh Islam ini agama yang sangat indah dan universal.

“Jadi, apa yang Humaira’ faham dan boleh ambil pelajaran dari kisah hari ini?” saya mengujinya, cuba menduga kefahaman.

“Kalau jumpa anjing haus, kena bagi minum.” Dia menyimpulkan dengan lurus, membuatkan saya dan isteri yang turut sama mendengar terasa ingin ketawa.

“Aisey, bukanlah, kena buat baik pada semua manusia dan binatang lah.” Kesimpulan yang dibuatnya tidak salah, tetapi saya membetulkan agar ia lebih sesuai dengan konteks.

“Cuma, kenalah tengok keadaan juga, kalau tengok anjing tu besar atau garang sangat, biarkan ajelah, nanti kalau kita bagi dia minum, digigitnya pula kita macam ni”, lantas saya menggigit tangannya perlahan.

“Ayaaaahhhhh!” Humaira’ menjerit.

“Hahaha, tapi lepas ini kan, Humaira’ kena beritahu Mr. Johnson kalau dia suruh pegang anjing lagi macam ni.”

“Sorry, Mr. Johnson, i love dogs, but i can’t hold it because my father won’t allow me. Maksudnya, ayah tak bagi Humaira’ pegang. Kalau dia tanya kenapa, Humaira’ kata, “I don’t know, you have to ask my father,” boleh macam tu?” cadang saya, dan dia mengangguk perlahan. Nanti saya akan melatihnya lagi.

“Ayah yakin dia pasti faham, dan nanti kalau ayah jumpa dia di sekolah, ayah juga akan beritahu dia dan Miss Tracy. Humaira’ jangan risau, Mr. Johnson tu baik, Insyaallah dia tidak akan marah.” Saya memujuknya lagi, memberinya jalan keluar. Syukur pada Allah, walaupun dengan satu peristiwa kecil di sekolah, banyak tarbiah yang kami sekeluarga dapat darinya. Benarlah kata pepatah, banyak berjalan, luaslah pengalaman.