Antara salah satu keistimewaan sambutan Syawal di wilayah nusantara adalah sambutannya cukup meriah sepanjang bulan. Budaya kunjung mengunjung, rumah terbuka, bermaaf-maafan adalah satu budaya yang cukup indah dan harus diteruskan oleh setiap generasi.
Bulan Syawal adalah bulan dimana Birr Walidain menjadi keutamaan dan ukhuwwah yang kian lama renggang, dieratkan. Berada dalam negara Malaysia yang cukup makmur, kita seharusnya merasa bertuah kerana turut sama menjadi sebahagian dari sambutan ini. Inilah bulannya dimana kita dapat berlama-lama di rumah kedua orang tua dan mertua untuk membahagiakan mereka.
Mengunjungi sanak saudara, sepupu sepapat yang kian lama berjauhan bertanya khabar dan bersapa mesra. Inilah juga bulannya kita dapat berziarah ke rumah jiran-jiran yang saban masa tenggelam dalam kesibukan kerja yang tidak berkesudahan.
Sesungguhnya Syawal adalah anugerah dari Allah buat hamba-hambanya yang beriman, dengan kasih sayangnya dibukakan pintu hati kita untuk bermaaf-maafan, mengeratkan kembali ukhuwwah dan menyambung kembali ikatan silaturrahim. Keindahan anugerah Syawal wajar kita syukuri dengan menyambung koleksi amal soleh yang kita lakukan ketika Ramadhan. Teruslah bertilawah, berpuasalah 6 hari, hidupkan malam dengan solat-solat sunat, teruslah bersedekah walau hanya dengan sekuntum senyum.
Setiap amal walau sebesar atom akan ada nilaiannya oleh Allah, moga amalan kita sepanjang bulan Syawal ini akan termasuk dalam buku catatan amal di sebelah kanan buat memberat timbangan amal di hari tidak berguna harta dunia.
No comments:
Post a Comment