“Hai manusia, jika kamu
dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya
Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian
dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya
dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam
rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian
Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu
sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada
pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak
mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat
bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah
bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang
indah.”
“Dalam ayat ini Allah sebut kepada semua
manusia, bahawa jika ada yang tak percaya kepada hari kiamat, tak percaya
bahawa selepas mati dan ditanam di dalam kubur akan dibangkitkan semula, kemudian
dihimpunkan di Mahsyar untuk dihisab, melalui titian Sirat dan kemudian ke syurga
atau ke neraka, maka lihatlah kepada proses bagaimana manusia dicipta.”
Pagi ini, saya bercerita kepada anak-anak
tentang makna ayat-ayat awal dari surah al Hajj selepas sesi membaca Al Quran
bersama-sama sebelum saya bertolak ke Universiti.
Walaupun sesi begini tidak hari-hari saya
lakukan kerana fokus pendidikan Al Quran kepada Humaira’ dan Khadijah buat masa
ini masih lagi berkenaan memperbetulkan tajwid, panjang pendek dan makhraj huruf,
namun bercerita tentang makna sekali sekala tidak ditinggalkan agar sedikit
sebanyak mereka tahu makna dan pengajaran praktikal di sebalik ayat-ayat yang
dibaca.
Tidaklah saya menceritakan berkenaan dengan
asbab nuzul dan huraian ahli tafsir dari kitab-kitab tafsir yang lebih sesuai
untuk mereka yang lebih dewasa, terutamanya dalam membicarakan ayat-ayat
mutasyabihat, tetapi cerita saya lebih kepada ayat-ayat atau kisah-kisah yang
jelas maksudnya untuk diambil pengajaran.
Harapan saya, moga cerita-cerita dari Al
Quran ini menjadi asas untuk mereka menjadi generasi yang bukan hanya pandai
membaca dan menghafaz sahaja, tetapi melaksanakan Al Quran di dalam hidup
sepenuhnya.
“Allah sebut, bahawa manusia, Allah jadikan
daripada tanah, kemudian dari air mani….” Saya menyambung sebelum terhenti pada
perkataan ‘air mani’.
Seperti yang saya jangka, sebelum sempat saya
menyambung ayat yang seterusnya, Khadijah dan Humaira’ mengangkat tangan dan
serentak bertanya.
“Air mani itu apa ayah? Macamana Allah
ciptakan kita dari air mani?”