Filem, kartun atau iklan adalah antara perkara yang paling akan melekat dengan kuat dalam minda anak-anak. Buktinya, apa yang saya tonton berpuluh tahun dahulu, masih saya boleh bayangkan visualnya, wataknya dan jalan ceritanya.
Kartun dan siri TV seperti Voltron, Ultraman, Dragon Ball, Power Rangers, Mask, Transformers dan Macgyver banyak membentuk identiti generasi yang ada hari ini, malah hingga sekarang, bila melihat pisau Swiss, masih teringat kepada Mcgyver dan kehebatannya, padahal banyak yang tak logik pun.
Begitu juga filem-filem perang Vietnam dulu, tertanam imej askar US yang 'invincible' seperti dalam kartun GI Joe dan kehebatan bangsa Anglo Saxon yang sering dinaikkan dalam filem-filem Holywood seperti Indiana Jones dan banyak lagi.
Anak-anak hari ini menonton watak animasi dalam bentuk yang lebih berwarna dan berkualiti tinggi, percayalah, animasi yang ditonton oleh mereka hari ini akan sedikit sebanyak membentuk identiti dan cara fikir mereka pada masa depan.
Filem-filem seperti Frozen dan Tangled yang memaparkan hubungan antara lelaki dan perempuan (puteri) yang boleh keluar bersama-sama, mengembara bersama-sama tanpa ada sebarang rasa bersalah. Jika ditonton selalu dan ibu bapa tidak pernah menjelaskan, akan terbentuk nilai dalam diri mereka dari karakter yang ditonton.
Bimbang juga kalau keselambaan 'Anna' yang keluar dengan lelaki penjual ais berdua-duaan untuk mencari kakaknya akan mencairkan nilai malu yang telah siap sedia sebagai fitrah dalam diri mereka.
Jika tidak dapat menghalang anak dari menonton, jika tidak dapat menapis filem yang ditonton oleh anak-anak, paling tidak, jelaskan kepada anak-anak yang mana benar dan yang mana salah mengikut neraca syara'.
Jelaskan bahawa seorang Muslimah, pakaiannya mesti menutup aurat bila telah sempurna usia kanak-kanaknya, bukan seperti Anna atau Elsa yang pakaiannya ketat sendat. Jelaskan, bahawa kecantikan sebenar bukan pada wajah dan tubuh yang menggiurkan, tapi pada akhlaq dan pekerti yang mulia. Jelaskan bahawa sebelum berkahwin, seorang perempuan, haram keluar bersama lelaki-lelaki yang bukan muhrimnya, jelaskan bahawa suara wanita adalah aurat dan menyanyi dengan kuat bila telah baligh adalah tidak dibolehkan.
Jangan biarkan jatidiri Islam anak-anak kita dicairkan oleh animasi Pixar yang membawa agenda serangan pemikiran halus dan agenda Amerikanisasi yang merosakkan.
Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Bahaya Menonton Televisyen Secara Berlebihan Kepada Anak-Anak
Dalam zaman di mana ibu bapa semakin sibuk bekerja akibat pelbagai
tuntutan ekonomi dan keluarga yang mendesak, ditambah dengan suasana di luar rumah
yang semakin tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sendiri, televisyen
menjadi alat utama yang menghabiskan masa anak-anak hari ini.
Dengan teknologi televisyen yang semakin pintar dan harganya yang
semakin murah, pelbagai rancangan menarik di pelbagai rangkaian yang berbayar
dan juga secara percuma di YouTube, juga pelbagai aplikasi yang membolehkan ‘movies’
dimuat turun secara percuma dan skrin televisyen yang semakin canggih dengan
teknologi LED, cabaran kepada ibu bapa untuk mengawal anak-anak dari menonton
televisyen secara berlebihan adalah satu realiti hari ini yang tidak boleh
dipandang endah.
Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap isi rumah mempunyai televisyen
dan sentiasa pula ditonton oleh segenap ahli keluarga. Menurut satu laporan
yang disediakan oleh unit perancang ekonomi Malaysia pada tahun 2013, terdapat
peningkatan yang amat ketara dalam bilangan langganan televisyen berbayar oleh
isi rumah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2012.
Statistik ini walaupun diulas secara positif oleh laporan tersebut,
namun disebalik peningkatan ketara bilangan isi rumah yang melanggan rangkaian
televisyen berbayar, terdapat bahaya yang hanya akan dapat dilihat kesannya
berbelas tahun akan datang, secara khusus pada anak-anak yang terdedah kepada
rancangan televisyen setiap hari untuk jangka waktu yang lama.
Dalam sebuah kajian (longitudinal*) yang dijalankan oleh sekumpulan para
penyelidik di New Zealand yang mana jurnal hasil kajian tersebut telah
diterbitkan di Journal of American Academy of Pediatrics pada bulan Mac 2013,
didapati bahawa kadar masa menonton televisyen oleh kanak-kanak, mempunyai
hubungan yang positif dengan personaliti anti-sosial, karakter agresif yang
cenderung ganas dan sabit kesalahan jenayah yang berkaitan dengan keganasan.
SIBUK
Rindu nak menulis di blog, masih adakah yang singgah dan sudi membaca?
Dulu, saya selalu mencatatkan kisah hidup saya di sini.
Kini sejak dibebani dengan penulisan tesis PhD yang semakin tiba di
penghujung, dan kesibukan dengan komitmen empat orang anak yang banyak memakan masa,
kesempatan untuk menulis dan berkongsi di sini semakin kurang.
Ada masanya, bila punya masa lapang, idea dan momentum untuk menulis
pula hilang entah ke mana, kadang-kadang, bila idea ada, niat terpaksa
dibatalkan kerana perlu melaksanakan tugasan yang lebih utama.
Banyak perkembangan yang berlaku sejak Ogos yang lalu. Kelahiran Khalid
Furqan tentunya. Humaira’ dan Khadijah yang semakin membesar. Ragam Insyirah
yang penuh pahit dan manis.
Kemudian ada warna-warni perpindahan balik kami sekeluarga ke Malaysia.
Dengan proses pindah yang amat menyakitkan, dengan barang-barang, proses
pembersihan rumah Klemzig yang cukup perit, dengan ragam kontena yang cukup
menyesakkan dan macam-macam lagi.
Seterusnya ada kisah adaptasi hidup di bumi Malaysia yang cukup
menyeronokkan. Betapa kami menghargai setiap detik nafas di tanah air bertuah
setelah 4 tahun berhujan batu di negara orang. Setelah beberapa ketika, saya
datang pula ke sini berseorangan, kemudian pulang, dan kemudian datang semula
dan akan balik minggu depan.
6 bulan terakhir proses penulisan tesis ini amat memakan keringat dan
daya fikir. Proses mendapatkan sebuah ijazah bernama PhD adalah satu proses
penuh jerih payah yang hanya akan difahami oleh mereka yang melaluinya.
Sampai di sini dahulu kerana saya perlu kembali menulis tesis dan
membaca beberapa lagi jurnal. Insya-Allah, blog ini akan saya update juga dari semasa ke semasa. Moga Allah permudahkan urusan kita semua.
MENGAPA ANAK MUDA PERLU MENJADIKAN AL QASSAM SEBAGAI IKON
Unit ketenteraan HAMAS yang dikenali sebagai Briged Izzuddin Al Qassam
adalah legenda sejarah dalam pembikinan. Kemenangan terbaru Al Qassam terhadap
tentera rejim pengganas Zionis (IDF) dalam peperangan Asfim Ma’kul atau perang
dedaun hancur yang berlangsung selama 51 hari baru-baru ini adalah sejarah
gemilang yang menambah koleksi kepahlawanan dan kecemerlangan briged tentera
yang menjadi kebanggaan penduduk Gaza dan ramai juga dari kalangan rakyat
Malaysia.
Al Qassam adalah hero terbaru umat Islam yang perlu dicontohi oleh
anak-anak muda di Malaysia. Lupakan artis-artis dari kalangan penyanyi dan
pelakon barat yang mengajak kepada kerosakan, atlit-atlit sukan yang tidak
menunjukkan contoh ketauladanan dan semangat yang baik, apatah lagi ‘super hero’
palsu ciptaan Holywood yang langsung tidak ada kebaikan padanya. Pada
pemuda-pemuda Al Qassam, ada ciri-ciri kepahlawanan yang jika dicontohi, mampu
menjadikan anak muda kita mempunyai personaliti yang boleh menggegar dunia. Ada
lima sebab utama mengapa Al Qassam perlu menjadi ikon kebanggaan dan ikutan
anak-anak muda kita.
Pertama, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai tahap keimanan dan
tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi. Tarbiah keimanan melalui didikan Al
Quran, hadis dan amal soleh yang berkualiti, ditambah dengan kekuatan tawakkal
kepada Allah yang dibina melalui aktiviti jihad bersenjata menentang rejim
pengganas Zionis menjadikan mereka manusia luar biasa yang berjaya menewaskan
hawa nafsu, syaitan dan musuh orang-orang yang beriman.
HAMAS BUKAN ISIS, ISIS BUKAN HAMAS
Ketika peperangan Al Asfim Ma’kul (Dedaun Hancur) sedang berlangsung,
salah satu kempen perang psikologi yang dilancarkan oleh rejim pengganas Zionis
yang diketuai sendiri oleh Netanyahu adalah meletakkan HAMAS sebaris dengan
ISIS.
Kempen ini antara lain memfokuskan persamaan antara ‘kekejaman’ HAMAS
dan ISIS yang menghukum pembelot dan lebih utama, keduanya mempunyai ideologi
jihad bersenjata yang merbahaya.
Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengukuhkan lagi
justifikasi bahawa HAMAS dan sayap ketenteraannya yang gagah perkasa iaitu
Briged Izzuddin Al Qassam adalah pengganas yang wajar diperangi dengan apa jua
cara sekalipun.
Media-media pro rejim pengganas Zionis seperti biasa mengalunkan
pembohongan ini dalam pelbagai laporan dan analisis, tujuannya hanya satu,
iaitu untuk mewajarkan serangan rejim pengganas terhadap Gaza dan lebih
penting, untuk meletakkan mereka yang bersama HAMAS dan projek pembebasan
Palestin sebagai mereka yang pro kepada kumpulan pengganas.
MALAYSIA PERLU GUNAKAN KEKUATAN DIPLOMASI UNTUK BANTU GAZA
Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat
mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk
Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander
Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat
antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan
kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.
Malaysia menerima kotak hitam dari puak pemisah |
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat
sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di
belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus
dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang
sedang diperangi oleh Kiev.
Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat
antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika
kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk
Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah
dengan efektif.
Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di
mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam
membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar
dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan,
Malaysia membuktikan sebaliknya.
BAGAIMANA REJIM ZIONIS MEMANIPULASI MEDIA
Selain dari penguasaan senjata berat yang canggih hasil sumbangan
Amerika Syarikat, cengkaman politik terhadap negara-negara kuasa besar dunia melalui
lobi kumpulan-kumpulan berpengaruh seperti American Israel Public Affairs
(AIPAC), dana kewangan yang besar hasil dari sumbangan korporat dan jutawan
Yahudi yang kaya dari serata dunia, rejim pengganas Zionis memastikan cengkaman
penindasan mereka terhadap rakyat Palestin terus kukuh dan tidak boleh
dipertikaikan oleh masyarakat dunia melalui cengkaman dan manipulasi media
massa besar dunia.
Karikatur peranan AIPAC di Amerika Syarikat |
Jika dilihat dari krisis terbaru yang sedang berlaku di Gaza sekarang, yang mengorbankan lebih 700 nyawa, mengakibatkan puluhan ribu mangsa tercedera, dan hampir ratusan ribu kehilangan tempat tinggal setakat hari ini, media-media barat tajaan rejim pengganas Zionis seperti CNN dan BBC walaupun kelihatan seperti simpati dengan Gaza, tapi terus memainkan propaganda dan melakukan manipulasi bagi membina legitimasi masyarakat dunia terhadap serangan terbaru rejim pengganas Zionis kali ini.
Dendangan Israel berhak mempertahankan dirinya sendiri dari serangan
roket HAMAS terus diulang-ulang setiap hari, begitu juga dengan kempen untuk
melabelkan HAMAS sebagai kumpulan pengganas. Walaupun telah terbukti melakukan
banyak jenayah perang dengan menggunakan senjata terlarang, membunuh
kanak-kanak, membedil masjid, kubur, bank, sekolah, hospital dan ambulans,
tetapi media-media ini terus menggambarkan rejim pengganas Zionis sebagai pihak
yang berada di kedudukan mangsa dan tindakan mereka hanya lah untuk mempertahankan
diri.
Walaupun menggunakan hujah-hujah yang rapuh, tapi ramai juga yang
percaya dan termakan propaganda dendangan media massa yang pro rejim pengganas
Zionis.
5 SEBAB MENGAPA HAMAS BERHAK MENYERANG REJIM ZIONIS
Antara
alasan yang sering digunakan sejak bertahun lamanya oleh rejim pengganas Zionis
sebagai legitimasi kepungan dan serangan mereka ke atas Gaza dan pencerobohan
mereka di Tebing Barat adalah ‘Israel has the right to defend itself from militants’
iaitu merujuk kepada serangan roket oleh tentera pejuang Briged Izzudin Al
Qassam dan Saraya Al Quds yang dilancarkan dari Gaza.
Terkini,
‘Israel Defense Forces’ (IDF) melalui laman media sosial telah melancarkan
kempen ‘What would you do’ bagi mencari sokongan masyarakat dunia terhadap
serangan yang mereka sedang lakukan di Gaza.
Alasan
ini juga sering diulang-ulang oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi menyokong
tindakan rejim pengganas Zionis seperti Obama, John Kerry, Francois Holande,
Angela Merkel dan lain-lain, juga diulang-ulang oleh media-media yang sering
menyebelahi kekejaman rejim pengganas Zionis seperti CNN, BBC dan ABC.
Malah,
ada dari kalangan mereka yang simpati terhadap Gaza juga menggunakan alasan ini
iaitu HAMAS wajib menghentikan serangan roket untuk mencapai jalan perdamaian
dengan rejim pengganas Zionis dan juga untuk mengelakkan kepungan dan serangan.
Hakikat
yang sebenar adalah HAMAS berhak sepenuhnya untuk mempertahankan diri dengan apa
jua cara bahkan lebih dari berhak untuk menyerang Israel dengan roket dan apa
jua persenjataan yang ada.
Sebab
yang pertama adalah kerana negara haram Israel dibina di atas tanah-tanah yang
dirampas secara paksa dari rakyat Palestin sejak lebih 60 tahun yang lalu.
Ramai yang dihalau keluar dari rumah sendiri untuk memberi laluan kepada pendatang
haram Yahudi untuk mendirikan penempatan mereka. Rejim pengganas Zionis juga
secara sistematik dengan menggunakan kekuatan ketenteraan telah menjajah banyak
dari kawasan-kawasan Palestin sejak 1948 dan 1967.
Jadi
rejim pengganas Zionis sebenarnya adalah penjajah dan perampas tanah rakyat
Palestin, dan mereka yang dijajah berhak sepenuhnya secara moral dan menurut
undang-undang untuk berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan. HAMAS,
Jihad Islam, FATAH dan mana-mana jua organisasi di Palestin berhak untuk
berjuang menggunakan apa jua cara bagi membebaskan negara mereka dari cengkaman
penjajah.
SELAMAT DATANG KE DUNIA, KHALID FURQAN
Banyak yang ingin dicoret, tapi hambatan masa dan keutamaan membataskan waktu untuk saya banyak menulis di sini. Hanya selepas hampir 3 minggu, barulah dapat 'update' sesuatu di sini berkenaan kelahiran anak kami yang ke empat di Adelaide.
Alhamdulillah, tepat jam 930 am, 4 Jun 2014, sekali lagi di Women's and Children Hospital, Adelaide, South Australia, anak lelaki pertama kami dan yang keempat dalam keluarga selamat dilahirkan melalui pembedahan.
Kali ini, proses agak rilek, tiada 'contraction' berat yang berlaku dan kami melangkah ke dewan pembedahan dengan tenang, sempat bergambar lagi di hadapan pintu sebelum masuk ke Women's Assesment Service. Saya juga dibenarkan untuk masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan itu dilakukan.
Saya diminta duduk di satu sudut sementara proses pembedahan dijalankan oleh 2 orang doktor dengan bantuan pakar bius dan beberapa 'midwives'. Sementara menanti, saya hanya berzikir dengan zikir Nabi Yunus, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.
Waktu terasa bergerak perlahan, saya menunggu dengan sabar hinggalah bunyi rahim 'dipecahkan' dan air ketuban mengalir keluar deras. Saya menjenguk dan tidak lama selepas itu, terdengar suara bayi kecil yang pertama kali bernafas di dunia.
Walaupun telah 4 kali melalui pengalaman ini, namun magisnya tetap tidak hilang, keseronokan dan keterujaan yang hadir tetap seperti anak yang pertama.
Seperti biasa, saya mengalunkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sebagai satu sunnah, tahnik juga dilakukan dan kemudiannya rambutnya dicukur pada hari ketujuh. Nama Khalid Furqan dipilih sempena nama sahabat Nabi yang berani iaitu Khalid Al Walid, Furqan pula adalah salah satu nama Al Quran yang juga nama satu surah di dalam Al Quran sendiri. Furqan bermaksud pemisah antara haq dan batil.
Semoga Khalid Furqan akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa, berani, pintar dan sentiasa dalam mujahadah seperti Khalid Al Walid dan menjadikan Al Furqan sebagai panduan tindakannya dalam menjadi pembela kepada kebenaran.
Salam Pra Ramadhan 2014
Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham
Khalid Furqan Mohd Hisham
Alhamdulillah, tepat jam 930 am, 4 Jun 2014, sekali lagi di Women's and Children Hospital, Adelaide, South Australia, anak lelaki pertama kami dan yang keempat dalam keluarga selamat dilahirkan melalui pembedahan.
Kali ini, proses agak rilek, tiada 'contraction' berat yang berlaku dan kami melangkah ke dewan pembedahan dengan tenang, sempat bergambar lagi di hadapan pintu sebelum masuk ke Women's Assesment Service. Saya juga dibenarkan untuk masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan itu dilakukan.
Saya diminta duduk di satu sudut sementara proses pembedahan dijalankan oleh 2 orang doktor dengan bantuan pakar bius dan beberapa 'midwives'. Sementara menanti, saya hanya berzikir dengan zikir Nabi Yunus, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.
Waktu terasa bergerak perlahan, saya menunggu dengan sabar hinggalah bunyi rahim 'dipecahkan' dan air ketuban mengalir keluar deras. Saya menjenguk dan tidak lama selepas itu, terdengar suara bayi kecil yang pertama kali bernafas di dunia.
Walaupun telah 4 kali melalui pengalaman ini, namun magisnya tetap tidak hilang, keseronokan dan keterujaan yang hadir tetap seperti anak yang pertama.
Seperti biasa, saya mengalunkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sebagai satu sunnah, tahnik juga dilakukan dan kemudiannya rambutnya dicukur pada hari ketujuh. Nama Khalid Furqan dipilih sempena nama sahabat Nabi yang berani iaitu Khalid Al Walid, Furqan pula adalah salah satu nama Al Quran yang juga nama satu surah di dalam Al Quran sendiri. Furqan bermaksud pemisah antara haq dan batil.
Semoga Khalid Furqan akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa, berani, pintar dan sentiasa dalam mujahadah seperti Khalid Al Walid dan menjadikan Al Furqan sebagai panduan tindakannya dalam menjadi pembela kepada kebenaran.
Salam Pra Ramadhan 2014
Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham
Khalid Furqan Mohd Hisham
SEPETANG BERSAMA KRISTIAN EVANGELISTA
Anak-anak adalah amanah, antara perkara yang paling asas yang perlu diajar kepada anak-anak adalah konsep asas tauhid. |
“Good afternoon, how are you doing?” Sapa seorang wanita muda tinggi
lampai sejurus saya membuka pintu rumah. Petang-petang Sabtu begini saya rasa
saya dapat mengagak siapa yang datang bertandang.
“Good, very good,” balas saya. Di sebelah wanita muda itu ada seorang
lagi wanita yang telah lanjut usianya. Khadijah datang dan berdiri di sebelah,
dan kemudian berlalu pergi untuk kembali semula menonton rancangan Mr Maker
yang sedang ke udara di rangkaian ABC 2.
Setelah bertegur sapa, wanita muda itu mula menjelaskan tujuan
kehadirannya seperti yang telah saya jangka.
“Do you know about the truth? Are you interested to know about the
truth?” Tanyanya kepada saya tanpa berkias-kias.
Saya hanya tersenyum, biasanya malas nak melayan misionari Kristian yang
sering datang bertandang, tapi hari ini kebetulan tidak berapa sibuk kerana
tidak lagi mengajar di IICSA, jadi apa salahnya sekali sekala.
“Yes, what truth?” Balas saya ringkas, buat-buat tidak tahu.
“The truth about what will happen after we die, and the truth about
Jesus.” Terangnya sambil menghulurkan sekeping risalah dengan gambar Jesus
tertera di muka hadapan. Saya mengambil risalah itu dan membelek-beleknya.
Wanita muda itu melihat dan menanti respon.
“What do you think? Are you interested to know more?” Kata wanita itu.
Why Allah Created the Bad Guys?
Walaupun keluar dari rahim yang sama, tapi kedua mereka punya karakter yang jauh berbeza. |
“Ayah, is Allah the god?” Tanya Khadijah satu hari dengan slang Aussie
yang tak berapa nak jadi.
“Yes, Allah is the god.” Jawab saya ringkas dan terus menumpukan
perhatian pada pemanduan.
“Is he powerful?” Tanya Khadijah lagi.
“Of course he is.” Saya membalas dan setiap kali jawapan diberi,
soalannya terus berlanjutan.
“Did he created all things?”
“Yes Khadijah, he created everything, every single living things, trees,
animals, us, everything.” Sebenarnya, telah banyak kali saya menjelaskan
kepadanya tentang hakikat ketuhanan dan hakikat penciptaan, tapi Khadijah masih
suka bertanya tentang Allah, ada-ada sahaja soalannya.
“Did he created the bad guys?”
“Ya, Khadijah, macam yang ayah cakap, ‘he created everyone of us, good
guys and bad guys included’, semuanya dia yang ciptakan.”
“Can Allah fight the bad guys? Did he win?”
MENCIPTA KEBERKATAN USIA
Dalam sesi seminar statistik kaedah PLS SEM minggu lepas, Professor
Ringle memulakan kelas dengan bercerita tentang seorang ahli akademik yang
sentiasa menjadi rujukan dan inspirasinya iaitu J.L Lohmoller.
Saya mendengar dengan penuh tekun, kalau orang sebijak dan sehebat
Professor Ringle boleh kagum pada seseorang, maka pastilah orang itu adalah
orang yang amat hebat tahap ilmu statistiknya.
Menurur Professor Ringle, Lohmoller adalah seorang genius muda yang
luarbiasa. Walaupun usianya singkat (meninggal dunia pada usia yang masih muda)
dan buku tulisannya hanya satu, tapi kualiti ilmu statistik yang ada dalam buku
tersebut adalah amat tinggi tahapnya.
Walaupun ditulis pada tahun 1989, tapi
masih relevan hingga hari ini, dan lebih menarik, walaupun Professor Ringle
telah membacanya buku tersebut berkali-kali, karya Lohmoller tetap menjadi
rujukannya hingga hari ini dan kata beliau lagi, hingga hari ini tetap ada
bahagian di dalam buku tersebut yang masih belum dapat difahaminya dengan baik
kerana tahap kompleksiti dan penggunaan kaedah statistik yang maju dan luarbiasa.
Terus saya teringat pada Imam Nawawi yang juga meninggal dunia pada usia
yang masih muda, tapi meninggalkan legasi pemikiran dan karya yang terus hidup
hingga hari ini. Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Nawawi adalah amat hebat
dan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan umur beliau yang singkat, jumlah
tulisan yang dihasilkan oleh beliau, ternyata amat luarbiasa. Hingga hari ini,
kitab-kitab beliau masih menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun singkat masa hidupnya, tapi ternyata keberkatan usia dan
ilmunya adalah amat menakjubkan.
Begitu juga dengan Imam Hassan Al Banna yang meninggal dunia juga pada
usia yang masih muda, tapi legasi pemikiran dan kaedah amalnya telah membuatkan
musuh-musuh Islam tidak senang duduk. Manusia-manusia yang lahir dari madrasah
tarbiah Al Banna adalah manusia yang luarbiasa kerana walaupun disiksa dan
diuji dengan pelbagai ujian hingga hari ini di Mesir, tapi mereka tetap teguh
dengan keimanan dan terus berusaha untuk menegakkan panji Islam di tempatnya
yang tertinggi hingga hari ini.
Bahkan, dari madrasah tarbiah Al Banna juga lahir gerakan HAMAS yang
terus menjadi tunjang kebangkitan dan semangat juang rakyat Palestin dalam
perjuangan membebaskan Al Aqsa.
Banyak lagi tokoh-tokoh silam yang singkat hidupnya, tapi sumbangannya
luar biasa dan terus menjadi rujukan ramai manusia hingga hari ini.
Tidak dapat dibayangkan pahala tidak putus-putus yang diterima oleh
mereka ini di dalam kubur. Pasti hidup mereka selesa di alam baqa’ berkat kerja
keras mereka di dunia, Insyaallah.
Apa sebenarnya rahsia keberkatan usia mereka?
AKU INGIN BERUBAH, TAPI BAGAIMANA?
“Entahlah Abang Sham, saya ni dah lama ikut usrah, tapi tak rasa ada
peningkatan pun pada diri, masih lagi tak mampu nak tinggal lagu-lagu lagha, masih
suka tengok ‘movie’ lama-lama, layan bola tengah-tengah malam buta, masih lagi
suka ‘outing’ dan ‘chatting’ dengan budak perempuan, kadang-kadang, saya rasa
saya ni hipokrit, tapi entahlah, saya tak tahu bagaimana nak berubah.” Luah
Zairul dengan wajah penuh kesal.
Saya mendengar dan cuba menganalisa, tidak ingin cepat memberi nasihat
dan cadangan, cuba untuk meletakkan diri di dalam kasutnya.
“Mutabaah amal saya cuba ‘maintain’, Quran saya baca, Solat Jemaah saya cuba untuk tak miss, tapi tak tahulah, kemanisan beribadah tu saya tak dapat rasa, hipokritkah saya ni Abang Sham?” Zairul menambah.
Saya terdiam dan memandang wajahnya mencari makna. Tampak ada keikhlasan
di wajahnya untuk berubah, tapi ada sesuatu yang menghalangnya dari terbang
tinggi.
Selepas lama Zairul mendiamkan diri dan melihat wajahnya yang memberi
isyarat untuk saya memberi respon, barulah saya memulakan kata-kata.
KASIH AYAH MEMBAWA KE NERAKA: IKTIBAR DARI PESAWAT MALANG AEROFLOT 593
Pada 23 Mac 1994, sebuah pesawat Airbus A310 syarikat Aeroflot yang
dalam perjalanan dari Moscow ke Hongkong terhempas di kawasan pergunungan
Russia, mengorbankan semua 73 penumpang dan anak kapal.
Kredit Foto: Airdisaster.com |
Airbus A310 adalah sebuah pesawat yang canggih, dan digunakan oleh
banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia. Kemalangan pesawat ini
menimbulkan rasa cemas banyak pihak kerana jika berlaku kerosakan mekanikal
atau terdapat kesilapan pada rekabentuk yang menjadi punca kemalangan, ia perlu
ditangani segera, kerana jika tidak, banyak lagi pesawat Airbus A310 yang
mungkin bakal mengalami nasib yang sama.
Namun hasil siasatan membuktikan sebaliknya, tiada kerosakan mekanikal
yang berlaku, bahkan bukti-bukti yang ditemui dari kotak hitam dan kedudukan
mayat di kokpit membawa kepada penemuan yang amat mengejutkan.
Terdapat dua kanak-kanak di dalam kokpit, dan data dari kotak hitam
membuktikan bahawa dua kanak-kanak ini dibenarkan oleh juruterbang untuk
memandu pesawat dan mengakibatkan pesawat terhempas!
Apa yang berlaku sebenarnya?
AIR MANI, SPERMA DAN ZINA: MEJELASKAN KEPADA ANAK TENTANG PROSES PENCIPTAAN MANUSIA
“Hai manusia, jika kamu
dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya
Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian
dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya
dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam
rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian
Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu
sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada
pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak
mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat
bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah
bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang
indah.”
“Dalam ayat ini Allah sebut kepada semua
manusia, bahawa jika ada yang tak percaya kepada hari kiamat, tak percaya
bahawa selepas mati dan ditanam di dalam kubur akan dibangkitkan semula, kemudian
dihimpunkan di Mahsyar untuk dihisab, melalui titian Sirat dan kemudian ke syurga
atau ke neraka, maka lihatlah kepada proses bagaimana manusia dicipta.”
Pagi ini, saya bercerita kepada anak-anak
tentang makna ayat-ayat awal dari surah al Hajj selepas sesi membaca Al Quran
bersama-sama sebelum saya bertolak ke Universiti.
Walaupun sesi begini tidak hari-hari saya
lakukan kerana fokus pendidikan Al Quran kepada Humaira’ dan Khadijah buat masa
ini masih lagi berkenaan memperbetulkan tajwid, panjang pendek dan makhraj huruf,
namun bercerita tentang makna sekali sekala tidak ditinggalkan agar sedikit
sebanyak mereka tahu makna dan pengajaran praktikal di sebalik ayat-ayat yang
dibaca.
Tidaklah saya menceritakan berkenaan dengan
asbab nuzul dan huraian ahli tafsir dari kitab-kitab tafsir yang lebih sesuai
untuk mereka yang lebih dewasa, terutamanya dalam membicarakan ayat-ayat
mutasyabihat, tetapi cerita saya lebih kepada ayat-ayat atau kisah-kisah yang
jelas maksudnya untuk diambil pengajaran.
Harapan saya, moga cerita-cerita dari Al
Quran ini menjadi asas untuk mereka menjadi generasi yang bukan hanya pandai
membaca dan menghafaz sahaja, tetapi melaksanakan Al Quran di dalam hidup
sepenuhnya.
“Allah sebut, bahawa manusia, Allah jadikan
daripada tanah, kemudian dari air mani….” Saya menyambung sebelum terhenti pada
perkataan ‘air mani’.
Seperti yang saya jangka, sebelum sempat saya
menyambung ayat yang seterusnya, Khadijah dan Humaira’ mengangkat tangan dan
serentak bertanya.
“Air mani itu apa ayah? Macamana Allah
ciptakan kita dari air mani?”
NORMALISASI DAN PERJUANGAN LGBT, AGENDA SYAITAN SEJAK ZAMAN BERZAMAN
Normalisasi
adalah senjata utama syaitan dalam perjuangannya menyesatkan manusia. Strategi
bertahap sedikit demi sedikit untuk menyesatkan umat Manusia agar terjerumus ke
jurang api neraka dilakukan amat licik, dan kadang-kadang dihias agar
dikelilingi oleh perkara-perkara yang nampak baik.
Strategi ini
telah diceritakan dengan jelas oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih
yang menceritakan bagaimana syaitan menyesatkan Umat Nabi Nuh.
“Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anha, beliau berkata
bahawa berhala-berhala yang asalnya merupakan berhala kaum Nuh, kemudiannya
menjadi berhala kaum Arab. Berhala yang bernama Wadd menjadi berhala Kilab di Daumah
al-Jandal. Suwa’ pula menjadi berhala Huzail. Yaghuth menjadi berhala untuk
Murad dan kemudiannya menjadi sembahan Bani Ghutayf di kawasan gua di Saba’.
Manakala Ya’ooq ia menjadi berhala untuk Hamdan. Nasr menjadi berhala Himyar,
yakni Aal Dzi al-Kula’.
Nama-nama itu adalah nama lelaki-lelaki soleh daripada
kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan memberi idea kepada kaum
mereka agar membina patung yang dibawa hadir ke majlis-majlis mereka. Patung
itu didudukkan bersama mereka dan setiap satunya dinamakan dengan nama-nama
lelaki soleh itu. Lalu kaum tersebut melakukan idea Syaitan itu tetapi mereka
tidak menyembahnya. Akan tetapi apabila generasi pembuat patung itu mati, dan
pengetahuan mengenai tujuan asal patung itu dibuat telah hilang, akhirnya
patung itu disembah” [Sahih al-Bukhari, hadith nombor 4920]
Syaitan tidak pernah
berhenti dari menggunakan strategi ini hinggalah hari kiamat untuk menyesatkan
manusia. Musuh Allah ini tidak akan datang kepada kita dan meminta kita
melakukan syirik dan dosa besar secara terus, tapi dia akan mengelirukan kita
secara perlahan-lahan hingga akhirnya kita terperangkap dalam belitan tipu
dayanya.
Umat Islam perlu
lebih cakna dan sedar dengan strategi ini agar tidak mudah tertipu dengan
kesesatan agenda yang dibawa oleh syaitan.
Agenda
perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah antara agenda
syaitan sejak zaman Nabi Lut yang diperjuangkan oleh sebahagian manusia di atas muka bumi hari ini.
Kemuncak kepada perjuangan agenda ini adalah supaya aktiviti mereka diiktiraf
sebagai sebagai normal dan hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang negara.
Jalannya tidak mudah, tapi strategi normalisasi digunakan dengan sangat
intensif oleh para aktivis yang memperjuangkan LGBT.
TERHINA DI BUMI SENDIRI
Beberapa hari lepas, negara dikejutkan dengan berita sedih sepasang suami
isteri yang ditahan di Sweden kerana merotan anak mereka di tangan dengan
tujuan untuk mendidik mereka berkenaan dengan solat.
Hingga saat ini, pasangan ini telah ditahan di penjara hampir sebulan
dan lebih menyedihkan, anak-anak mereka telah ditempatkan bersama dengan
keluarga bukan Islam. Menurut sumber media, undang – undang penderaan fizikal
kanak-kanak yang amat ketat di Sweden telah menyebabkan pasangan ini ditahan.
Setiap Muslim yang membaca berita ini pasti akan terluka, kerana merotan
anak-anak dalam pendidikan solat adalah sebahagian sunnah baginda dalam tarbiah
anak-anak. Rotan adalah langkah terakhir yang dianjurkan oleh baginda dalam
mendidik anak-anak untuk mendirikan solat. Sunnahnya adalah mula menyuruh anak
solat pada usianya 7 tahun dan rotan digunakan jika masih culas dalam solat
pada usia 10 tahun.
Mungkin inilah hakikat praktikal disebalik peribahasa hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Sweden
walaupun terkenal sebagai sebuah negara yang baik serba serbi, dari segi hak
asasi, ‘good governance’, kebersihan, kemajuan, harga barang yang murah dan
sebagainya tapi bila berlaku kes-kes begini, tetap kita merasakan tinggal di Malaysia
yang mungkin tidak sehebat Sweden dari segi material adalah jauh lebih baik.
Kecederaan emosi akibat memisahkan anak-anak pasangan ini dari ibu
bapanya yang baik jauh lebih buruk dari luka libasan rotan oleh ibu bapa yang
ingin mendidik anak-anaknya. Kerajaan Sweden nyata telah berlaku zalim apabila
memisahkan hak fitrah anak-anak untuk bertemu dengan kedua ibu bapa mereka. Hal
ini terbukti apabila diberitakan anak-anak pasangan ini dalam keadaan tertekan
dan sedih, bahkan dilaporkan bahawa anak bongsu kepada pasangan ini menangis setiap hari kerana rindukan ibu
bapanya.
Semoga Allah melimpahkan kesabaran dan mempermudahkan jalan untuk
pasangan ini dibebaskan dan kembali disatukan dengan anak-anak mereka.
Sedih memang sedih, tapi bila melihat apa yang berlaku kebelakangan ini
di negara kita, peribahasa tersebut mungkin pada masa akan datang tidak akan
lagi relevan. Kisah guru muallaf SJKC yang dipaksa untuk menanggalkan tudung
jika ingin terus mengajar adalah amat menyedihkan dan membimbangkan.
‘HEATWAVE’ DI ADELAIDE, PANAS LAGI NANTI DI MAHSYAR
Minggu lepas Adelaide mengalami ‘heatwave’ yang dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah. Bahkan pada hari Khamis, iaitu hari keempat ‘heatwave’, Adelaide diisytiharkan sebagai bandaraya terpanas di dunia dengan suhu mencecah hampir 46 darjah celcius.
Dengan suhu melebihi 40 darjah untuk 5 hari berturut-turut, kelembapan
udara yang rendah hingga menyebabkan pernafasan menjadi sukar dan kulit menjadi
amat kering, angin panas yang bertiup menerjah muka seperti angin yang baru
keluar dari bara api dan terik mentari yang amat membahang hingga kulit terasa
terbakar setiap kali terkena cahaya matahari, ‘heatwave’ kali ini benar-benar
membuatkan ramai orang resah dan gelisah.
‘Bushfire’ juga berlaku di beberapa tempat hingga mengakibatkan
kehilangan harta yang tidak kurang banyak.
Berada di rumah terasa seperti berada di dalam sauna bila pendingin hawa
di rumah mengalami kerosakan. Malam rabu dan khamis, kami sekeluarga terpaksa
tidur di surau Universiti di bangunan Business School yang baru dibina kerana
tidak tahan berada di rumah. Mandi berkali-kali, minum air sejuk juga
bergelen-gelen kerana perasaan dahaga yang luar biasa. Peluh di badan usah
dikata.
Siang hari dihabiskan di perpustakaan, pulang ke rumah hanya seketika
untuk mandi dan makan seketika. Pergi ke tepi pantai pada waktu malam pun masih
terasa bahang angin panas yang bertiup, bahkan ramai yang masih berenang di
pantai pada jam 11 malam!
Ini baru panas dunia, bak kata Imam Salam dalam khutbah Jumaat di Masjid
Wandana.
JEREMY WADE, RIVER MONSTERS DAN CITA YANG TERPADAM
Selain dari Air Crash Investigation, satu lagi siri yang saya amat
minati adalah River Monsters yang dihoskan oleh Jeremy Wade. Dalam beberapa
siri River Monsters yang sempat saya tontoni, Jeremy mengembara ke
lokasi-lokasi yang agak ‘remote’ dan asing bagi dirinya untuk mencari spesis
ikan gergasi yang jarang-jarang ditemui.
Apa yang menyebabkan saya suka dengan siri ini bukanlah kerana ikan-ikan
gergasi yang selalu ditemui oleh Jeremy, tapi saya seronok menikmati bagaimana ‘passion’
Jeremy dalam mencari apa yang diingininya. Beliau bukanlah gagah, tampan dan
sasa seperti Bear Grylls, atau agresif, luar biasa dan lucu seperti Steve Irwin
yang telah meninggal dunia akibat tertusuk duri ikan Pari.
Susuknya sederhana, tiada six pack atau lengan yang berotot, tapi
semangatnya yang meluap-luap dalam setiap pengembaraan membolehkan beliau
mencapai apa yang beliau cari walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai
rintangan.
Dokumentari River Monsters menceritakan kisahnya dengan begitu jujur.
Beliau pernah diserang Malaria selama dua minggu ketika kembaranya ke Congo, terjatuh
dan cedera beberapa kali akibat pelbagai kemalangan ketika pengembaraan di
Amazon, dirempuh oleh ikan gergasi hingga menyebabkan kecederaan yang teruk dan
pelbagai lagi kisah-kisah menarik.
Banyak juga pengembaraannya yang langsung tidak membuahkan hasil, ikan
yang dicari tidak ditemui, ada ketikanya beliau pulang tangan kosong dengan
hampa walaupun telah mengembara dengan amat jauh dan memakan masa yang lama, tapi
‘passionnya’ tidak pernah berkurang dalam setiap pengembaraan.
Apa sebenarnya yang mendorong Jeremy Wade untuk mengembara dan mengalami pelbagai kesusahan?
SELAMAT DATANG JANUARI 2013, EH 2014
Cepat sungguh masa berlalu, rasanya seperti baru sahaja menulis entri
pertama dalam blog pada awal tahun 2013, hari ini, Januari 2014 telahpun masuk
ke fasa pertengahan. Bilangan tulisan di blog pada tahun 2013 juga semakin
merosot jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, mungkin kerana saya
banyak berkongsi rasa di facebook agaknya. Azam 2014 adalah untuk menghidupkan
kembali blog ini dengan lebih banyak artikel dan analisis yang lebih dewasa.
Banyak perkara yang berlalu pada tahun 2013. Perjalanan PhD juga telah hampir
sampai ke penghujung, data telah siap dikutip dan dianalisa, tinggal untuk
diulas dalam tesis. Beberapa bab telah disiapkan dan telah dihantar, tapi masih
menunggu komentar dari penyelia yang nampaknya agak kurang aktif sejak cuti
Krismas baru-baru ini.
Entahlah, tapi semakin saya mendalami bidang ini, semakin saya tahu
bahawa saya tidak akan kekal lama dalam bidang ini. Dunia kajian dan penerbitan
akademik dalam bidang sistem maklumat bukan bidang yang pastinya saya akan
terus mendalami selepas ini walaupun jika saya berjaya menamatkan penulisan
tesis ini dengan jayanya. Bidang lain, mungkin, dan mungkin juga satu hari
nanti saya akan bertukar karier menjadi usahawan sepenuh masa. Hidup dengan
usaha dalam perkara yang lebih saya sukai.
2013 juga saya banyak berkelana, ke Dubai, Brazil dan pulang ke Malaysia
beberapa kali, antaranya kerana PRU dan untuk menjemput ibu bapa saya datang ke
sini. Banyak pengalaman baru dalam perjalanan, banyak juga kenalan-kenalan baru
yang saya temui, paling ‘mengejutkan’, bila mendapat khabar cahaya mata keempat
akan tiba tidak lama lagi dalam tahun 2014.
Selain dari orang baru yang akan disambut pada tahun 2014, tahun ini
juga tahun terakhir saya akan berada di Australia, paling lambat saya akan
pulang adalah pada bulan Ogos 2014, paling cepat mungkin bulan Mac saya akan
pulang. Perasaan pastinya bercampur baur, tapi apa yang pasti, kehidupan akan
diteruskan dan setiap saat yang berlalu, di mana sahaja saya berada, ada
malaikat yang mencatat segala amalan untuk dipersembahkan di hadapan Allah satu
hari nanti di akhirat.
Begitulah kehidupan, saat demi saat, kita semakin tua, anak-anak semakin
membesar dan kematian semakin menghampiri, selagi usia masih bersisa,
gunakanlah sebaiknya untuk beramal sebanyak-banyaknya buat bekal di akhirat
nanti.
Subscribe to:
Posts (Atom)