“Malam ini Humaira’ nak dengar cerita apa?” saya bertanya saat menemaninya ketika dia hendak tidur. Saat-saat begini adalah waktu terbaik untuk menanamkan benih-benih keimanan dalam jiwa anak-anak, kerana kisah yang baik-baik yang diceritakan kepada mereka sebelum mereka tidur akan kekal dalam minda bawah sedar mereka.
“Emm, nak dengar cerita tentang Nabi Musa.” Dia menyatakan hasrat.
“Ala, asyik kisah Nabi Musa sahaja, cerita lainlah.” Saya menyatakan ketidak setujuan kerana sebelum ini kisah itu telah banyak kali saya ceritakan padanya.
“Emm, nak dengar cerita Nabi Sulaiman dengan burung Hud Hud lah.” Kali ini kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud Hud yang berdakwah kepada Ratu Balqis pula menjadi pilihannya. Kisah menarik tentang burung Hud Hud yang menampilkan fikrah pendakwah dan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman yang menguasai bukan sahaja dari kalangan manusia, tetapi juga alam binatang, jin dan syaitan.
“Cerita tu pun dah banyak kali ayah cerita, cerita lain lah ye.” sekali lagi saya tidak bersetuju dengan pilihannya, bukan sahaja kerana kisah telah banyak kali saya ceritakan dan bukan juga bukan kerana kisah itu tidak menarik jalan ceritanya, tapi kerana kisah itu agak panjang dan memakan masa yang agak lama untuk diceritakan. Malam-malam begini, ketika kepala saya sendiri pun telah mula terasa berat, dikhuatiri akhirnya tukang cerita pun akan tidur sebelum habis ceritanya.
“Humaira’ nak dengar tak kisah tentang Rasulullah?” saya mencadangkan, memandangkan dalam sirah Rasulullah, banyak segmen-segmen kisah yang menarik dan sebelum ini amat jarang saya ceritakan kepadanya kisah-kisah dalam perjalanan hidup Rasulullah. Malam ini saya bercadang untuk menceritakan kepadanya kisah Rasulullah dan jirannya iaitu seorang wanita berbangsa Yahudi.
“Nak!” Dalam kegelapan malam dan suram-suram cahaya lampu tidur dia mengangguk kepalanya.
“Dahulu, Rasulullah ada seorang jiran wanita yang jahat. Setiap hari wanita ini akan campakkan sampah di hadapan rumah Rasulullah.” Saya memulakan cerita.
“Walaupun begitu, Rasulullah tetap sabar dan senyum sahaja setiap hari, tapi wanita itu tetap tak mahu senyum pada Rasulullah, masam sahaja mukanya dan ada ketikanya dia marah-marah pada Rasulullah dengan kata-kata yang kurang baik.” Saya mencemikkan muka, menunjukkan wajah yang masam. Cuba mengajuk masamnya muka wanita Yahudi yang diceritakan dalam sebuah hadis dan menjadi salah sebuah teladan indah yang dilakonkan semula oleh Maher Zain dalam klip videonya “The Chosen One”.
“Setiap hari wanita tu campakkan sampah dan marah Rasulullah, tapi Rasulullah tak pernah jemu untuk senyum dan tegur wanita itu dengan baik.”
“Satu hari, Rasulullah keluar rumah dan Rasulullah lihat wanita itu tidak keluar dari rumahnya. Rasulullah rasa hairan sebab biasanya wanita itu samada dia akan mencampakkan sampah atau dia akan marah-marah pada Rasulullah, tapi hari ini tiada pula dia.”
“Kalau ayah, mungkin ayah akan rasa lega sebab perempuan jahat tu dah tiada, ataupun mungkin ayah akan buang sampah balik di depan rumah dia pula. Tapi Rasulullah bukan begitu.”
“Rasulullah rasa bimbang dan kemudian pergi ziarah pula wanita yang jahat tadi untuk tanya khabarnya.”
“Wanita tadi terkejut bila tengok Rasulullah datang dan tak marah-marah pun walau selama ini dia selalu buat jahat pada Rasulullah. Kemudian wanita tadi minta maaf pada Rasulullah dan akhirnya dia masuk Islam. Habis selalu cerita.”
“Haa, begitulah cerita Rasulullah, hebat dan baik tak Rasulullah?” saya mengakhiri kisah. Soalan yang saya tanyakan tidak terjawab. Hanya kepalanya diangguk-anggukkan. Bola matanya juga telah semakin kecil. Melihat keadaannya yang telah sangat mengantuk, saya menyambung dengan pengajaran dari cerita, moga akan kekal dalam mindanya.
“Sebab itulah kita kena sayang pada Rasulullah, sebab Rasulullah baik sangat dan Rasulullah sayang pada kita semua. Humaira’ tahu tak, Rasulullah selalu doakan kita.”
“Bila kita sayang Rasulullah, kita kena jadi orang Islam yang baik dan rajin selawat macam yang ayah ajarkan Humaira’. Jom kita selawat sebelum tidur.”
“Allahummasalli ‘ala Muhammad”
“Bismikallahummaahya wa amut....”
Mutiara Untuk Ibu Bapa
Anak-anak harus diajar untuk megenal dan mencintai Rasulullah sejak dari awal lagi. Sentiasalah ceritakan kepada mereka akan akhlak-akhlak Rasulullah yang mulia agar terbit dalam hati mereka rasa cinta dan rindu pada nabi. Biasakan lidah mereka dengan selawat kepada nabi. Untuk itu, kita sebagai ibu bapa harus berusaha untuk sering membaca dan memahami banyak untaian-untaian kisah yang indah dari keharuman sirah baginda yang mulia.