Cerpen: Bayi Tiga Jahiliah (Bahagian 1)

Satu:


Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan. Al Qasas:4
Uwaaa, uwaaaa, uwaaaaaaaaaaaa

Keheningan pagi itu yang di basahi dengan zikir oleh burung-burung diceriakan dengan suara kecil bayi yang baru lahir ke dunia. Maria, ibu saudara kepada Ulfa yang baru melahirkan bayi lelaki pertamanya menyambut bayi itu dengan penuh kesyukuran.

Lantas bayi itu dibersihkan dan kemudian dibalut dengan kain tebal agar tidak kesejukan. Kemudian Maria membawa bayi itu ke jendela rumah, agar sang mentari yang baru menampakkan sinarnya memberikan sedikit kehangatan kepada ahli baru alam dunia ini.

Ulfa yang masih keletihan akibat sakit bersalin yang dideritainya sejak 8 jam yang lalu, tersenyum gembira. Hilang segala kesakitan dan derita tatkala dia mendengar esak tangis dan melihat zuriat pertama yang dilahirkannya.

“Maria, ke sini bayi itu, pasti dia lapar setelah menempuh perjalanan panjang dan sukar dari alam rahim ke dunia ini”

Maria tidak berkata apa-apa, terus sahaja dia menghulurkan bayi itu yang mulai telah reda tangisannya kepada si ibu yang baharu sahaja melalui sebuah pertarungan getir antara hidup dan mati.

Walaupun pertarungan hidup mati 2 insan itu telah berakhir dengan keselamatan, namun hatinya tetap diselimuti rasa bimbang. Kebimbangan tentang hidup mati anak kecil yang baru singgah ke alam dunia setelah meninggalkan alam rahim yang dihuninya selama 9 bulan.

Maria hanya memerhatikan bayi itu menggesel-gesel kepalanya ke tubuh ibunya, mencari kasih sayang melalui titisan-titisan susu yang mengalir perlahan, membuktikan keajaiban ciptaan yang maha penyayang.

Maria mencari satu sudut untuk berehat, kerana dia sendiri hampir tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam kerana menemani Ulfa bersalin. Suaminya telah tiada disisi, terbunuh dalam satu pergaduhan dengan pegawai istana maharaja.

Hanya dia sahaja saudara Ulfa yang masih tinggal berdekatan. Saudara-saudara yang lain samada dibunuh, diculik dan dipenjarakan entah dimana atau telah berpindah kerana tidak tahan dengan kerajaan Maharaja Firaun yang menindas bangsanya.

Maria melabuhkan punggungnya ke suatu sudut di ruang tamu. Dia menghela nafas panjang. Hatinya mula resah tatkala teringat kepada arahan terbaru maharaja negeri Mesir.

“Bayi-bayi lelaki yang lahir akan dibunuh! Ini arahan terus dari maharaja untuk keselamatan dan ketenteraman negeri kita!” laung tentera berkumis tebal dengan suara parau dan lantang membacakan arahan terbaru Maharaja di pasar. Suaranya bagai halilintar memecah hiruk pikuk jual beli di pasar Ukaz.

Wajahnya yang bengis tidak menampakkan sebarang belas kasihan. Orang ramai berbisik yang mengelilinginya berbisik sesama sendiri. Tidak ada yang berani membantah atau memberikan cadangan.

Bantahan terhadap arahan maharaja, bererti hukuman mati.

Maria sendiri tidak pasti atas alasan apa atau entah bagaimana arahan gila ini dikeluarkan. Cuma dia mendengar desas desus bahawa maharaja telah bermimpi kerajaannya akan ditumbangkan oleh seorang lelaki dari bangsanya.

Apa kaitan mimpinya dan arahan pembunuhan bayi lelaki, Maria sendiri tidak dapat meneka. Cuma ketika itu dia teringatkan anak saudaranya Maria yang sedang sarat mengandung bulan yang ke lapan.

Lamunannya terhenti tatkala mendengar bunyi derapan tapak kaki kuda menghampiri rumahnya. Jantungnya yang tadi berdegup kencang, kini hampir terhenti. Tanpa disedari, peluh dingin mengalir dari ubun-ubun kepalanya.

“Ulfa!, ayuh sorokkan bayi mu, aku tidak menjangka sepantas ini berita tentang kelahiran bayi mu akan sampai ke pengetahuan mereka!” Maria menjerit cemas, air matanya hampir tumpah, tapi ditahannya untuk mengelakkan Ulfa menjadi hilang pedoman.

Sebelum ini dia telah merancang untuk menguruskan kelahiran cucu saudaranya tersebut di sebuah rumah usang ditepi sungai Nil agar bebas dari intipan mata-mata maharaja, namun kelahiran awal bayi tersebut telah merenjatkan segala perancangannya.

Ulfa yang tadinya masih lagi menyusukan bayi lelaki yang masih tidak bernama terkejut besar. Dirinya yang lemah seakan mendapat kekuatan luarbiasa. Terus sahaja dia bingkas bangun dengan cemas. Dia turun dari perbaringan dengan tergesa-gesa dan menyorokkan dirinya dan anaknya di salah satu penjuru rumah.

“Dummmm” bunyi pintu ditendang

Bersambung.....

Sunnah Kebangkitan


Melihat suasana dan musibah yang melanda umat Islam sekarang ini di Palestin amat memedihkan jiwa. Masjid Aqsa dijajah, rumah-rumah dirampas, kehidupan disekat dengan tembok batu, serangan, pembunuhan dan pengeboman saban hari berlaku tanpa ada pembelaan.

Negara-negara Islam pula hanya mampu melihat tanpa bertindak manakala jiwa pemuda yang membara hanya sekadar di jalanan dan semaraknya hanya seketika sebelum layu semula dihanyut ombak dunia.

Begitu juga dengan Iraq dan Afghanistan yang masih dijajah oleh tentera salibiyah moden. Negara-negara Afrika Islam seperti Sudan dan Somalia pula dihimpit kemiskinan, kebuluran dan pertempuran yang panjang.

Umat di Pakistan dan Arab pula tidak henti-henti bertelagah sesama sendiri, kerana khilaf mazhab atau apa jua sebab. Juga serangan pemikiran yang menimpa pemuda-pemudi Islam di nusantara hingga hilang identiti dan sifat kemuliaan Islam pada diri mereka.

Umat hari ini yang pada asalnya kita adalah singa yang menjadi raja, ditukar menjadi kijang yang pengecut dan menjadi pak turut kepada agenda musuh-musuh Allah.

Benar sabda baginda nabi bahawa umat hari ini telah menjadi laksana buih dilautan, banyak tetapi tidak berkualiti .

Apakah masih ada sinar kebangkitan di hujung terowong buat umat Islam hari ini?

Dalam sejarah panjang perjuangan tauhid disepanjang zaman, Allah telah menetapkan bahawa sebelum sesuatu umat itu diwariskan kepada mereka kemuliaan, Allah akan menguji mereka dengan sehebat-hebat ujian, hingga mereka menjadi kuat kerana ujian itu dan kebergantungan mereka dalam mendepani cabaran hanyalah kepada Allah semata-mata.

Banyak kisah di sepanjang zaman yang harus kita teladani, antaranya kisah Nabi Musa dan umatnya yang banyak sekali diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran.

Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan.

Kaum Nabi Musa telah ditindas dengan begitu hebat oleh Firaun dan kerajaannya. Hingga anak-anak kecil dibunuh dengan kejam tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),


dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khawatirkan dari mereka itu

Al-Qasas:4-6

Namun Allah telah menyatakan rahsia disebalik penindasan itu adalah kerana Allah ingin menjadikan mereka pemimpin di muka bumi. Tetapi sebelum mereka mendapat kemenangan, Nabi Musa dan Bani Israel diuji dengan hebat hingga ke suatu tahap yang mereka seakan berputus asa dari pertolongan Allah.

Maka Firaun dan bala tentaranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.


Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa:


"Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul".


Musa menjawab: "Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku".


Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah lautan itu dengan tongkatmu". Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.


As Syuaraa:60-63

Hingga akhirnya datang pertolongan Allah dengan cara yang tidak disangka-sangka dan Firaun dan kerajaannya tewas dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pada masa itu. Sungguh, pada kisah nabi Musa ada teladan yang harus diiktibari oleh orang-orang yang beriman.

Pada kisah perjuangan Rasulullah juga tergambar suatu sunnah kemenangan yang harus diteladani disepanjang zaman. Betapa kisah penindasan umat Islam di zaman Mekkah, juga ketika Madinah dikepung oleh tentera Ahzab sebenarnya adalah petanda bahawa kemenangan bagi umat Islam sedang dalam perencanaan Allah.

Begitu juga ketika peristiwa Constantinople hendak dibebaskan oleh Sultan Muhammad Al Fatih. Empayar Uthmaniah sebelumnya mengalami ujian yang sangat dasyat dengan serangan-serangan dari kerajaan luar seperti Timurlane dan perpecahan dalaman yang berlaku akibat perebutan kuasa.

Rupanya kejadian-kejadian yang berlaku ada rahsia disebaliknya. Allah sedang mempersiapkan dengan ujian ini tentera yang terbaik dan pemerintah yang terbaik bagi menawan kota Constantinople yang gagal ditawan oleh generasi para sahabat yang mulia.

Hari ini kita melihat rakyat Palestin ditindas, Gaza dikepung dan kelihatannya penderitaan ini bagai sebuah penderitaan yang tidak akan berkesudahan. Begitu juga dengan negara-negara Islam lain yang tertindas.

Namun lakaran sejarah semalam telah menunjukkan bahawa penindasan ini sebenarnya adalah proses ujian untuk menyediakan masyarakatnya bagi menghadapi perjuangan yang lebih besar, iaitulah perjuangan membebaskan Masjid Al Aqsa dan menyebarkan kebaikan Islam ke seluruh alam.

Ini adalah sunnah kebangkitan yang sifirnya telah ditentukan sejak dahulu lagi, hanya masa yang akan menentukan bilakah waktu kemenangan akan datang. Persiapkanlah diri kita dengan iman dan taqwa kerana  pertolongan Allah itu mungkin telah hampir, mungkin lebih hampir dari apa yang kita sangkakan.

Sesal Tidak Berguna Lagi...


Hayat kehidupan kita di dunia ini sebenarnya cukup singkat. Lebih singkat dari apa yang dapat kita bayangkan sebenarnya. Katakan usia kita di dunia ini adalah 70 tahun, kemudian ditolak waktu bayi dan kanak-kanak ketika sebelum akil baligh 15 tahun, kemudian ditolak lagi waktu tidur, maka kita sebenarnya hidup dalam jangka waktu yang sangat terbatas.

Usia kehidupan kita yang relevan secara kasar jika kita buat sedikit pengiraan kasar hanyalah 41 tahun sahaja.

= 70-15(bayi-baligh)-(6jam*365hari*(70-15)) = 41 tahun (anggaran sahaja)

Jika dibandingkan dengan umur bumi ini yang telah mencecah 4.54 billion tahun , kehidupan kita ibarat sebuah titik kecil diatas satu garisan panjang yang hanya akan kelihatan jika dilihat dengan mikroskop berkuasa tinggi. Itupun jika diandaikan usia kita sehingga 60 – 70 tahun.

Tapi siapakah yang dapat memberi jaminan bahawa kita boleh hidup sehingga usia tua? sedang saban hari kita melihat maut menjemput manusia tidak kira tua muda pangkat dan harta.

Kehidupan kita yang sebenar adalah kehidupan abadi di akhirat nanti, kehidupan yang tiada penghujungnya dan kehidupan panjang kita itu akan ditentukan oleh kerja buat kita dalam kehidupan singkat kita di dunia ini.

Kehidupan akhirat adalah satu kehidupan yang pasti kita akan sampai padanya suatu hari nanti, seperti mana kita pasti akan munculnya matahari pada keesokan harinya. Suka atau tidak, lambat atau cepat, suatu hari nanti kita pasti akan berada samada di syurga atau di neraka.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” Al Mulk:2

Dalam jangka waktu yang singkat ini, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari dan mendapatkan rahmat dan keampunan Allah, kerana hanya dalam hayat yang singkat ini sahaja kita berpeluang untuk meraihnya.

Perkara-perkara ini bukanlah diluar pengetahuan kita, bahkan telah kita ketahui sejak lama dahulu, tapi sering kita terlupa kerana disibukkan dengan urusan dunia.

Sibuk atau tidak, jahil atau alim, lemah atau kuat, kita tetap tidak akan terlepas dari menghadapi pertanyaan dan balasan dari Allah. Jika di dunia ini kita boleh mencari alasan-alasan dan kambing hitam untuk menutup kelemahan, menyalahkan keluarga, kawan-kawan, kerajaan, yahudi, zionis, illuminati dan sebagainya atas kelemahan dan kelalaian kita, tapi ingatlah pada hari pembalasan, tidak akan diterima sebarang alasan.

Dan (alangkah hebatnya) kalau kamu lihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya, sebahagian dari mereka menghadapkan perkataan kepada sebagian yang lain; orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: "Kalau tidaklah karena kamu tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman".


Orang-orang yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah: "Kamikah yang telah menghalangi kamu dari petunjuk sesudah petunjuk itu datang kepadamu? (Tidak), sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berdosa".


Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: "(Tidak) sebenarnya tipu daya (mu) di waktu malam dan siang (yang menghalangi kami), ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya". Kedua belah pihak menyatakan penyesalan tatkala mereka melihat azab.

Saba:31-33

Benarlah pepatah orang terdahulu,

Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya Lagi...

Teman Dunia Teman Akhirat


Setiap manusia dalam kehidupannya perlukan teman dan sahabat. Namun, di kalangan banyaknya perkumpulan teman-teman, ada teman yang berteman sekadar di dunia sahaja. Ada perkumpulan teman yang akan mengheret kita ke neraka tetapi yang terbaik adalah teman yang akan menyelamatkan kita dari azab siksa.

Dalam berteman, kita dianjurkan untuk berhati-hati membuat pemilihan, kerana kesilapan dalam memilih perkumpulan teman-teman, padah akan menanti di akhirat.

Ada perkumpulan teman-teman yang hanya berasaskan kepada hobi semata-mata. Sebagai contoh, kumpulan bermotosikal besar dan kelab jenama kereta tertentu. Aktivitinya hanya berkisar kepada perkara-perkara dunia yang tidak membawa apa-apa makna kepada akhirat.

Paling malang adalah, perkumpulan teman-teman yang akan mengheret ke neraka setiap dari ahlinya. Perkumpulan teman-teman ini bersatu atas asas kemaksiatan dan jenayah terhadap Allah. Inilah perkumpulan yang mengajak manusia kepada dosa dan kelalaian dengan aktiviti-aktiviti yang menjauhkan manusia dari mengingati Allah.

Namun, perkumpulan teman-teman yang terbaik adalah perkumpulan teman sejati hingga akhirat yang sanggup untuk menyelamatkan ahli-ahlinya dari siksaan api neraka di akhirat nanti.

Pada hari akhirat nanti, akan tiba suatu masa dimana Allah s.w.t atas perkenan dan keluasan rahmatnya akan memberi peluang kepada jiwa-jiwa mu’min yang terpilih untuk memberi syafaat kepada teman-temannya yang lain.

Dalam sebuah hadis riwayat muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Setelah kaum mukminin selamat dari api neraka, maka demi zat yang jiwaku ditangannya, setiap orang dari mereka meminta kepada Allah dengan memaksa agar dikeluarkan rakan-rakan mereka di dalam neraka. Mereka berkata: “Ya Allah, mereka dahulu pernah bersolat, berpuasa dan mengerjakan haji bersama-sama kami”. Lalu dikatakan kepada mereka: “Keluarkanlah orang yang kami kenal dari neraka itu.”

Dalam hadis ini jelas dinyatakan bahawa pada hari akhirat nanti, ketika jiwa-jiwa manusia ketika itu tercari-cari penyelamat yang boleh menyelamatkan mereka dari azab api neraka, ternyata rahmat Allah begitu luas apabila diizinkan sebahagian orang-orang mu’min untuk menyelamatkan teman-teman mereka di dunia dahulu dari azab api neraka.

Mereka ini akan berhujah dihadapan Allah bahawa teman-teman mereka ini adalah teman-teman yang satu ketika dahulu mereka pernah solat, puasa dan mungkin mengerjakan haji bersama, dan akhirnya dengan rahmat Allah, mereka dibebaskan dari azab api neraka.

Sungguh beruntung jika kita dikurniakan teman-teman sebegini, teman yang akan sentiasa setia hingga sanggup menyelamatkan kita diakhirat.

Oleh sebab inilah, kita sentiasa dituntut untuk mencari dan bersahabat dengan perkumpulan teman-teman yang soleh dengan bersungguh-sungguh. Kerana teman-teman akhirat ini ketika di dunia akan sentiasa mengingatkan kita akan tanggungjawab akhirat ketika kita di dunia.

Kembara Pantai Timur 2010


Dari sekian banyak daerah yang aku kunjungi di Malaysia, daerah Pantai Timur adalah destinasi yang aku cukup cintai. Setiap daerah yang dilalui, ada nostalgianya yang tersendiri. Bermula dari Kelantan, Terengganu, hingga ke Pahang, dalam hembusan angin pantai timur ada memori manis yang akan membangkitkan pelbagai kenangan pahit manis.

Sempena cuti sekolah kali ini dan juga sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke 6, aku sekali lagi membawa isteri dan anak-anak mengembara di negeri-negeri di pantai timur. Kembara yang telah kami lalui hampir setiap ulangtahun perkahwinan kami. Terasa seperti baru semalam berbulan madu di Pantai Merang, betapa pantas masa berlalu.

Setiap kali kembara, bukan hanya kembara biasa, tapi kembara yang di dalamnya kami cuba mengenali isi hati sesama kami dengan lebih rapat di samping menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran yang kelihatan di sepanjang perjalanan kepada Humaira.

Perjalanan bermula jam 6 pm (terlewat 3 jam dari jadual asal sebenarnya), setelah menikmati santapan malam di restoran Mama di Alor Setar, kami kemudiannya solat Maghrib di R&R Gurun. Seterusnya kami keluar ke susur Sungai Petani Utara untuk ke Grik dan kemudiannya Jeli.

Jalan yang biasanya cukup indah jika dilalui sewaktu siang, kelihatan suram dan menggerunkan sepanjang malam. Namun suasana tetap ceria dengan perbualan asal bulan bintang yang membina iman.

Kami tiba di Jeli lebih kurang jam 1230 pagi, banyaknya kenderaan berat di sepanjang jalan melambatkan perjalanan kami, ketika itu aku sudah tidak mampu lagi untuk memandu kerana di hambat perasaan mengantuk yang bersangatan. Tambahan pula suasana dalam kereta yang sunyi sepi kerana semua ahlinya telah lena diulit mimpi sejak jam 1130 malam lagi.

Aku berhenti di satu hentian, tertulis di situ Jeli Inn. Kami berhenti disitu dan bercadang untuk menyewa bilik bagi melepaskan lelah. Namun agak menghairankan, tidak ada seorang pun kakitangan yang menunggu di lobi. Oleh kerana terlalu letih, aku mengajak isteri dan anak-anakku untuk menunggu di lobi sementara kakitangannya datang semula.

Tunggu punya tunggu, tidak seorang pun yang kelihatan, hingga akhirnya kami terlena di atas sofa di lobi hingga waktu subuh. Subuh menjelang, kami terus sahaja solat di musolla bersebelahan. Selesai solat, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Tanah Merah untuk mandi dan bersarapan nasi berlauk istimewa di tepi sungai kecil berhampiran “market” Tanah Merah.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu bagi membeli beberapa buah tangan yang sukar kedapatan di utara. Antaranya keropok cap ikan emas yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan pastinya budu kampung yang istimewa.

Tidak dilupakan akok dan puding Kelantan yang pastinya tidak akan sama di negeri-negeri lain.

Menikmati perjalanan di sekitar kampung-kampung di Kelantan sambil menikmati etok Pasir Mas original memang cukup membahagiakan, bertemankan pula dendangan Maher Zain(beli yang original ye) yang tidak pernah mengecewakan.

Teringat pula satu buku yang pernah aku baca lama dahulu tentang Kelantan iaitu “Kelantan, sesejuk wajah tuan guru”. Suasana di Kelantan walaupun tanpa pembangunan, ada damai pada lintuk liuk pokok kelapa dan budi bahasa masyarakatnya.

Cuma sedikit kesal, kerana tabiat segelintir rakyat Kelantan yang kurang menjaga kebersihan, merosakkan pemandangan. Serta kelihatan banyak tanah-tanah terbiar yang tidak diusahakan. Islam adalah agama yang amat mementingkan kebersihan, seharusnya kerajaan PAS menjadikan kebersihan sebagai salah satu agenda utama dalam pembangunan negeri Kelantan.

Dari Kota Bharu, kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Terengganu melalui jalan Kota Bharu-Pasir Putih. Destinasi utama, tentunya Kg. Losong yang menyediakan rasa asli keropok lekor pantai timur yang tiada tandingan. Rasa yang ingin kami kongsi bersama dengan jiran-jiran di Felda Chini Timur 3.

Jam menunjukkan angka 8 ketika kami tiba di Marang. Mata terasa berat dan letih, dengan telefon yang telah lama kehabisan tenaganya, bukan hanya telefon, tapi tuan telefon juga perlu berhenti sejenak untuk mengecas tenaga bagi menyambung perjalanan yang masih 240 km berbaki.

Kami memilih sebuah chalet kecil di tepi pantai yang murah dan comel. Dengan RM70 dan kelengkapan yang bagiku lebih baik dari hotel 3 bintang, selain kedudukan yang betul-betul menghadap pantai, aku tidak berfikir panjang, letak sahaja kepala di bantal, terus sahaja hilang. Oppss lupa baca doa tidur, jangan marah ye Humaira...hehehe

Perjalanan disambung kembali keesokan paginya, tapi tidak sehingga kami membasahkan diri dengan air laut di pantai Marang yang jernih dan pasirnya yang putih seawal jam 645 pagi. Nikmat mandi laut diwaktu pagi sambil menyaksikan matahari terbit, menambahkan rasa takjub kepada pencipta segala kejadian. Semoga pepasir dan ombak di pantai Marang menjadi saksi kepada alunan Ma’thurat yang kami baca bersama pagi itu.

Bermusafir di Terengganu, tidak lengkap rasanya jika tidak bersarapan nasi dagang, gerai yang dipilih tentunya gerai kecil kepunyaan kakak kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhadapan Masjid Rusila. Seusai beramah mesra dan solat dhuha di Masjid Rusila, kami menyambung kembali perjalanan.

Perjalanan dari Marang ke Kuantan cukup mendamaikan, pemandangan pantai yang saujana mengilhamkan ketenangan walaupun tubuh dihimpit rasa letih setelah perjalanan 2 hari menaiki Saga IAFM yang tidak mengecewakan. Beberapa kali kami berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar, kerana tertarik dengan keindahan pantai yang unik dan berbeza di setiap daerah.

Berbanding Kelantan, Terengganu kelihatan lebih bersih dan agak tersusun, ditambah dengan kawasan pesisir pantai yang luas, perjalanan yang jauh tidak dirasakan lamanya. Cuma apa yang menimbulkan tanda tanya, masjid-masjid di Terengganu dibina agak banyak dan berdekatan pula antara satu sama lain.Masjid yang dibina sememangnya besar dan cantik, tapi apakah usaha mengimarahkannya sehebat usaha memperbanyakkan masjid? Wallahua'lam

Akhirnya, 9 hb Jun tepat jam 8 malam, kami tiba di Felda Chini Timur, kampung isteriku. Segala puji bagi Allah yang telah menjaga kami sepanjang perjalanan dan menyampaikan kami ke destinasi dengan selamat dan sejahtera.

Inilah Zionis, Tapi Dimana Al Mu’tasim?


Tindakan Zionis terhadap kapal Mavi Marmara sebenarnya bukanlah satu tindakan yang mengejutkan, kerana mereka memang telah sinonim dengan tindakan-tindakan kejam dan pengecut seperti di Sabra Shatilla, Deir Yassin, Jenin dan Gaza. Inilah wajah Zionis yang sebenar buat mereka yang belum tahu. Wajah yang telah mereka tonjolkan selama 62 tahun yang menampilkan kebusukan hati perut dan ketidakpedulian mereka akan pandangan dan kecaman dunia terhadapnya. Mereka tidak peduli, kerana mereka tahu kecaman akan hanya tinggal kecaman tanpa tindakan konkrit yang boleh menjejaskan mereka.

Melihat kebiadapan dan kekejaman pihak Zionis yang kini semakin menjadi-jadi, hingga rakyat Malaysia pun menjadi tawanannya, hati pasti akan merasa pedih dan hiba, kerana kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain berdoa dan berharap agar Allah melindungi para pahlawan yang gagah berani itu.

Dalam keadaan genting seperti ini, dimanakah pembela bagi umat Islam? Dimanakah Al Mu’tasim zaman ini dan tentera-tenteranya yang gagah berani berjuang hanya untuk membela maruah seorang wanita muslimah yang dicalari oleh tangan-tangan Yahudi.

Perjalanan ini masih panjang dan jauh, selepas tragedi ini, akan muncul lagi tragedi demi tragedi yang pasti akan meruntun air mata dan membakar semangat para pemuda. Namun apakah kita telah menelusuri jalan yang tepat untuk membina kembali peribadi-peribadi hebat seperti Khalifah Al Mu’tasim dan tentera-tenteranya.

Buat mereka yang sedang diuji dan dianugerahkan kesempatan untuk berdepan dengan musuh-musuh Allah yang bernama Zionis, semoga mereka dianugerahkan kesabaran dan ditetapkan hati-hati mereka untuk terus tabah dan tsabat diatas jalan perjuangan, semoga mereka beroleh ganjaran untuk menjadi syuhada.

Buat yang telah gugur syahid, tahniah diucapkan dan semoga mendapat rezqi yang berterusan di alam baqa’ dari pencipta syurga dan neraka. Kematian sebagai syuhada adalah sebaik-baik kematian bagi seorang mu’min.