Normalisasi
adalah senjata utama syaitan dalam perjuangannya menyesatkan manusia. Strategi
bertahap sedikit demi sedikit untuk menyesatkan umat Manusia agar terjerumus ke
jurang api neraka dilakukan amat licik, dan kadang-kadang dihias agar
dikelilingi oleh perkara-perkara yang nampak baik.
Strategi ini
telah diceritakan dengan jelas oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih
yang menceritakan bagaimana syaitan menyesatkan Umat Nabi Nuh.
“Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anha, beliau berkata
bahawa berhala-berhala yang asalnya merupakan berhala kaum Nuh, kemudiannya
menjadi berhala kaum Arab. Berhala yang bernama Wadd menjadi berhala Kilab di Daumah
al-Jandal. Suwa’ pula menjadi berhala Huzail. Yaghuth menjadi berhala untuk
Murad dan kemudiannya menjadi sembahan Bani Ghutayf di kawasan gua di Saba’.
Manakala Ya’ooq ia menjadi berhala untuk Hamdan. Nasr menjadi berhala Himyar,
yakni Aal Dzi al-Kula’.
Nama-nama itu adalah nama lelaki-lelaki soleh daripada
kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan memberi idea kepada kaum
mereka agar membina patung yang dibawa hadir ke majlis-majlis mereka. Patung
itu didudukkan bersama mereka dan setiap satunya dinamakan dengan nama-nama
lelaki soleh itu. Lalu kaum tersebut melakukan idea Syaitan itu tetapi mereka
tidak menyembahnya. Akan tetapi apabila generasi pembuat patung itu mati, dan
pengetahuan mengenai tujuan asal patung itu dibuat telah hilang, akhirnya
patung itu disembah” [Sahih al-Bukhari, hadith nombor 4920]
Syaitan tidak pernah
berhenti dari menggunakan strategi ini hinggalah hari kiamat untuk menyesatkan
manusia. Musuh Allah ini tidak akan datang kepada kita dan meminta kita
melakukan syirik dan dosa besar secara terus, tapi dia akan mengelirukan kita
secara perlahan-lahan hingga akhirnya kita terperangkap dalam belitan tipu
dayanya.
Umat Islam perlu
lebih cakna dan sedar dengan strategi ini agar tidak mudah tertipu dengan
kesesatan agenda yang dibawa oleh syaitan.
Agenda
perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah antara agenda
syaitan sejak zaman Nabi Lut yang diperjuangkan oleh sebahagian manusia di atas muka bumi hari ini.
Kemuncak kepada perjuangan agenda ini adalah supaya aktiviti mereka diiktiraf
sebagai sebagai normal dan hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang negara.
Jalannya tidak mudah, tapi strategi normalisasi digunakan dengan sangat
intensif oleh para aktivis yang memperjuangkan LGBT.